26
Jan
12

Cuti-cuti Tahun Baru Cina 2012

Percutian kami sekelurga (bertiga je) pada kali ini sebenarnya adalah untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan anak abang aku Ibrahim@Pak Mat Jerangau iaitu Rozaimah.

Majlis ini akan berlangsung di Felda Jerangau Trengganu.  Oleh kerana cuti umun Tahun Baru Cina pada 23 dan 24 Jan (Isnin, Selasa), maka bagi  negeri Kedah yang cuti mingguan persekolahan pada hari Jumaat maka sempat untuk kami membuat perjalanan di banyak tempat.  Justeru kami membuat keputusan untuk membuat perjalanan melalui Lebuh Raya Utara-Selatan yang mana destinasi pertama kami adalah ke Melaka.

Naratif ringkas:

20 Jan 2012 jam 0730(zone H) Jangka masa bertolak (JMB)dari Jitra.

200915H -Berehat untuk sarapan pagi di R&R Gunong Semanggol Perak.

201300H –Ambil susur keluar di Tanjong Malim untuk Solat Jumaat.  Destinasi persinggahan ialah rumah sahabat lama LK1 PPP Latif/Yani (skot 146 dan jiran masa tinggal di Blok A25). Bersolat Jumaat di Mesjid Ar-Rahman Ulu Bernam Selangor yang bersempadan dengan rumah Latif.

 201430H. Meneruskan perjalanan.  Bermula di sini PAPAGO (GPS) menjadi pemandu jalan .

Aplikasi GPS PAPAGO banyak membantu memberi petunjuk jalan

1700H- Mengambil susur keluar tol Air Kroh.  Bekas PW1 STN(L) Azmi memandu jalan untuk ke rumahnya di Bukit Larang Pernu .  Bermalam di rumah Azmi.  Jiran semasa bermastautin di Block A-24 Kuarter TLDM yang masih berhubung dan saling mengunjung walaupun sudah membawa haluan masing-masing setelah tamat perkhidmatan.

Cantik....Rumah Azmi di Bukit Larang Melaka

210900H- Azmi dan Sariah isterinya membawa kami melawat sekitar Melaka Bandaraya Bersejarah .  Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Batu Pahat dan keluar susur Air Hitam.

Dah berpuluh tahun tidak menjejaki bumi Johor...

211300H-  Kami tiba di rumah bekas BK PJT Abdul Ghani/Samsiah di no 18 Taman Manis Parit Raja Batu Pahat Johor.  Sebenarnya kami gagal menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan kedatangan kami kerana Ghani telah menukar no telefonnya.  Nasib baik samsiah ada di rumah. Ghani tiada di rumah kerana bekerja.  Ghani telah menamatkan perkhidmatan sekitar tahun 2002 dan sejak itu kami telah terputus hubungan.

Diorang ni bila jumpa geng lama, sembang bagai nak runtuh bangunan...

211400H- Meninggalkan  Parit Raja dan menggunakankan lebuh raya PLUS kembali ke Melaka.

211700H- Tiba kembali di rumah Azmi dan bermalam.

220800H- Meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya iaitu Felda Jerangau Trengganu.  PAPAGO memberi perkhidmatan terbaik memandu kami melalui Jasin-Tangkak-Segamat.  Tiba di segamat jam 1000H dan melalui Muadzam Shah kami singgah di rumah anak saudara di Felda Lepar Hilir 3 Gambang pada jam 1300H untuk Zohor dan makan tengahari.

Rumah kakitangan Felda Lepar Hilir 3

221430H- Destinasi kedua di Pahang ialah menziarah ibu angkat Wan Besah di Sungai Karang Darat.  Jam 1530 tiba di rumah beliau dan 1600H menuju destinasi ke3 untuk tea time di Restoran Tunas Samudera kepunyaan sahabat seperkhidmatan di Balok.  Tapi malangnya  Nik Adib tidak berniaga pada hari tersebut dan masa agak suntuk untuk bertandang ke rumah beliau.  Justeru kami meneruskan perjalanan ke Jerangau melalui Jalan Jabor.  Jam 1740H berhenti minum di R&R Bandar Almuktafibillah Shah.  Jam 1830H selamat tiba di Felda Jerangau dan bermalam di rumah abang (Pakmat Jerangau).

23 Jan 2012-  Rozaimah selamat diijabkabul dengan pasangannya Rashid dan majlis kenduri kesyukuran diadakan pada hari tersebut.  Rashid adalah orang Juru Pulau Pinang menjadikan menantu Pakmat yang ke 4 dari tanah Pulau Mutiara.  Dua orang lagi menantu Pakmat adalah warga Felda itu sendiri dan Selangor.  Keenam-enam anak Abang Mat dan Kak Nisah sudah berumahtangga yang akhirnya  hanya tinggal mereka berdua sahaja yang akan meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki di rumah yang bernombor 612 Jalan Nussery Felda Jerangau Ulu Trengganu.

Selamat Pengantin Baharu ema dan rasyid

Rombongan keluarga pengantin lelaki

Sebahagian drp keluarga sebelah pengantin perempuan

231630H- Semua kaum kerabat dari jauh, Kuala Lumpur, Pahang dan Besut pakat balik,  maka kami pun ikut berangkat meneruskan musafir ke Besut Trengganu.  Bermalam di rumah Abang Meli/kak Yam yang mana bertanggongjawab memelihara seorang ibu tua hajjah Meriam.

Bonda Hjh Meriam- umurnya melebihi 88 tahun

 

Itulah ibu kandong kami yang sebelum ini dititipkan kepada abang  Jusoh/Kak Sinah untuk penjagaan dan segala keperluannya.  Setelah Abang Jusoh dan Kak Sinah kembali ke Rahmatullah Oktober tahun lalu, maka keluarga Abang Meli yang mengambil alih tugas itu bagi pihak adik beradik lain kerana mereka tinggal berhampiran di kampong Baharu.

240800H- Hari terakhir dalam percutian kali ini, kami bermusafir balik ke Jitra melalui Jalan Raya Timur Barat yang merupakan jalan penghubung antara utara dan Timur Semenanjong yang merakam banyak sejarah perjuangan ATM menentang pengganas Komunis.

241830H- Selamat sampai ke Jitra. Syukur kehadrat Allah (swt) yang telah member i kesihatan dan kekuatan dan memudahkan permusafiran kami  kali ini. Sekian.

Nota:

  • Semua catatan masa adalah anggaran.
  • Fuel RM 200.00
  • Tol RM 88.00
12
Dec
11

MALAM APRESIASI 1MINDEF

Tema merah hitam

Balik dari LIMA’11 pada 9 Dis, sempat berehat 2 hari di rumah dan 12 Dis 0900 aku menaiki bas lagi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi jemputan Majlis Makan Malam Apresiasi 1MINDEF yang telah diadakan  di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada jam 2000 pada hari yang sama.

Majlis ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan dan merapatkan hubungan yang sedia terjalin di antara pengamal media yang sering memberikan liputan positif terhadap aktiviti Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis dirasmikan  oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia.  Turut hadir ialah Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zain, Panglima Angkatan Tentera, Para Pegawai Kanan ATM serta Pengarang Kanan media cetak dan elektronik.

Majlis dimulai dengan ucapan YB Menteri Pertahanan dan dituruti dengan persembahan dari Badan Kesenian MinDef serta Kombo Rejimen Renjer Diraja. Majlis turut diceriakan lagi dengan kehadiran pengacara jemputan iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahira.

Bertemakan merah dan hitam, para hadirin turut diserikan dengan persembahan nyanyian dari Marsha dan Nubhan. Dalam pada itu, sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai kejutan hadiah yang lumayan khususnya untuk para pengamal media yang hadir.

Dan aku juga merupakan salah seorang peserta yang ‘bertuah’ pada malam itu. Terima kasih Mindef.

Meja no 7 geng SHP media

Sempat berbual dengan orang kampong-PTU (foto sharul)

09
Dec
11

LIMA 2011

Langkawi Exhibition Maritime and Aerospace 2011 (LIMA’11) datang lagi.  Kali ini berlangsung 6-10 Dis berkonsepkan single hall di bawah satu penganjur HDW LIMA.

Apa yang penting aku berkesempatan mengambil bahagian sekali lagi pada kali ini sponsored by SHP Media yang menyediakan tempat tinggal dan kemudahan asas sepanjang LIMA berlangsung.  Aku berada di Langkawi pada 5 Dis hingga 9 Dis.

Sejarah penglibatan aku dalam LIMA ini adalah 2 kali semasa dalam service (LIMA’99 dan LIMA’01) dan 3 kali selepas service (LIMA ’07, LIMA’ 09 dan LIMA’11) tetapi dalam suasana dan tanggungjawab yang berbeza.

Di dalam helikopter Sikorsky S-92

Di Booth Perajurit/Adj

02
Dec
11

Mengambil berkat orang balik haji

Sumber utusan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

AMBIL berkat orang balik haji.” Benarkah para jemaah haji yang mula pulang ke tanah air ada membawa berkat? Berkat dari Tanah Suci Mekah al Mukaramah?

Bagaimanakah yang dikatakan mengambil berkat dari ahli keluarga, saudara mara dan handai taulan yang baru pulang dari haji itu?

Adakah dengan sekadar minum air zamzam sebagai buah tangan dari Tanah Suci itu dikatakan mengambil berkat? Adakah para jemaah haji yang baru pulang itu layak diambil berkat daripada mereka?

Pelbagai persoalan timbul dengan istilah mengambil berkat dari para jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji itu.

Namun, bagaimana sebenarnya kita atau Islam itu melihat fenomena mengambil berkat tersebut supaya tidak terjebak dengan sebarang fenomena yang boleh membawa kepada kesesatan dan khurafa?

Umumnya, berkat atau barakah adalah memohon restu Allah SWT agar dikurniakan kebaikan yang berkembang, kesejahteraan berpanjangan, kesihatan yang berkekalan sehinggalah berjaya dalam pekerjaan, soal jodoh dan sebagainya.

Barakah ini adalah dengan keizinan Allah. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah kehendaki, Dia akan memberi barakah kepada seseorang itu.

Permohonan berkat ada disebutkan dalam al Quran. Ini sebagaimana kata-kata Nabi Allah Isa a.s dalam firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada. (al-Maryam: 31).

Maka Allah adalah al-Mubaarik, pemberi restu atau barakah dan hamba-hamba-Nya adalah al-Mubaarak yang bermakna seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Sifat memberi barakah hanyalah milik Allah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekelian alam. (al-A’raaf: 54)

Barakah Allah adalah di mana-mana sahaja Dia letakkan di alam maya ini, firman-Nya yang bermaksud: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya). (Qaaf: 9)

Apatah lagi dari Tanah Suci Mekah dan Madinah di mana tidak semua umat Islam berpeluang dan mampu ke sana!

Bekas Pengurus Besar Kanan Haji, Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Dr. Azmi Ahmad berkata, jemaah haji adalah tetamu Allah yang Allah pilih menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah, melihat rumah Allah, Baitullil Haram, bangunan tertua di dunia yang penuh dengan keberkatan dan menziarahi makam Rasulullah dan para sahabat.

Maka, katanya, apabila mereka pulang dengan haji yang mabrur, bermakna tiada balasan yang lain dijanjikan oleh Allah kecuali syurga.

“Apabila dijanjikan syurga bermakna para jemaah yang pulang ini adalah bakal penghuni syurga. Jadi, ambil berkat dan doa daripada bakal penghuni syurga adalah sangat digalakkan kerana pasti doa dari mereka akan dimakbulkan oleh Allah.

“Tetapi janganlah dek kerana hendak ambil berkat ini kita datang berbas-bas. Sanggup bertunggu tangga di lapangan terbang semata-mata untuk mendapatkan berkat daripada jemaah yang Allah janjikan sebagai penghuni syurga itu,” katanya.

Sepanjang pengalaman bertugas selama 26 tahun di Tabung Haji beliau yakin setiap jemaah yang selamat pulang ke tanah air membawa pelbagai keberkatan dari Tanah Suci.

“Oleh kerana terlalu berkat, saya amat menggalakkan agar jemaah lelaki yang baru balik dari haji eloklah dilantik menjadi imam sekurang-kurangnya untuk 40 hari di masjid-masjid atau surau-surau.

“Ini kerana kita hendak mengambil berkat daripada doa mereka. Jadi kita mintalah yang balik haji ini doakan untuk jemaah masjid dan surau.

“Doakan agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh, rumah tangga kita aman damai dan sebagainya. Insya-Allah dapatlah juga tempias-tempias berkat daripada orang yang balik haji ini,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Namun menurut Dr. Azmi, umumnya masyarakat tidak boleh menghakimi haji seseorang itu mabrur atau tidak. Semua itu adalah dalam rahsia dan pengetahuan Allah.

“Sebab itu, jangan pula kita tidak pergi ziarah apabila mendengar kononnya haji seseorang itu ditolak.

“Walhal kita digalakkan menziarahi jemaah haji bagi pelbagai tujuan murni yang lain termasuk mengambil pengajaran dengan apa yang terjadi sepanjang di tanah suci,” katanya.

 

22
Nov
11

Kenduri- Tak Tumbuh Tak Melata…

Gambar Hiasan

19 Nov- Kalau nak diikutkan hari ini ada 4 kad jemputan kenduri kahwin yang aku terima.  Satu daripadanya sememang daripada orang yang aku kenal rapat dan Alhamdulillah aku sekeluarga telah menunaikan jemputannya atas lebih kurang jam 2.30 petang.

Manakala 3 lagi jemputan diterima dari wakil empunya kenduri dan 2 daripadanya aku sendiri tidak kenal dan aku mengambil keputusan untuk tidak akan menunaikan jemputan tersebut kerana kesuntukan masa.

Yang aku ingin kongsi dalam ekspresi kali ini ialah sikap tuan punya kenduri yang seorang ini yang aku kenal walupun jemputannya melalui wakil.  Aku hadir dalam majlis kendurinya sekitar jam 4 petang (selepas kenduri pertama).  Setiba aku di khemah kenduri, tetamu sudah berkurang.  Kelihatan tuan punya kenduri sedang berbual di sudut khemah memandang kepada ku dan sekadar tersenyum dan mengangguk dan meneruskan perbualan dengan kawannya tanpa menghiraukan aku dan beberapa orang tetamu lain yang baru datang.  Aku kira sikap itu kurang sopan dan tidak pandai bersosial.

Sebenarnya aku rasa kecewa dengan sikapnya yang melayan tetamu sebegitu ditambah lagi juadah buffet yang tidak terurus.  Cawan nak minum pun tak ada sehinggakan aku sendiri ambil cawan terpakai dan basuh sendiri untuk digunakan.

Fahamlah aku semua petugas  kepenatan tapi itu tidak bermakna kita layan endah tak endah tetamu yang kita/wakil jemput.  Kalau tidak bersedia untuk berhadapan dengan situasi sebegitu, jangan jemput orang datang.  Buatlah kenduri sekadar mampu.  Dalam musim banyak kenduri, bukan semua orang suka dijemput.  Maknanya jika tetamu bersusah payah datang meraikan kenduri kita, tetamu itu menghargai jemputan kita. Patutkah tuan punya kenduri melayan tetamu sambil lewa?

Begitulah lazimnya yang berlaku di dalam komuniti di persekitaran permastautinan ku.  Tapi itu tidak menjadi masalah, jika ada kelapangan dan tidak banyak clash majlis kenduri, aku hadiri juga majlis itu atas dasar ‘mengambil hati’ wakil yang menjemput yang memang rapat persahabatan.

Budaya wakil mewakil ini tidak salah kerana memang dibenarkan dan ada dibincang di dalam bab Munakahat.  Secara positifnya amalan wakil mewakil ini juga bagus, di samping meringankan beban tuan punya kenduri, ianya juga boleh mencetus suatu perkenalan baharu jika sebelum ini kita belum mengenalinya secara dekat dengan cara menghadiri majlis kenduri yang dianjurkannya.

Namun, apa yang sering aku alami, sesuatu yang positif dan baik dari sudut ugama ini tidak diadaptasikan dengan sebaik-baiknya kerana ‘biasanya’ dari apa yang aku sering alami bila berjumpa/bersalam dengan tuan punya kenduri, ‘kemesraan’ itu tidak wujud.  Maklumlah tidak kenal siapa diri kita yang wakilnya menjemput.  Bersalam pun mata pandang ke lain.  Biasanya perkenalan di situ tidak berkesinambungan di masa-masa lain selepas kenduri. Itulah hakikatnya.

Kesimpulannya, kenduri elok dibuat hanya untuk kenalan dan saudara mara jauh dan dekat sahaja dan mampu kita ‘bertemu mata’ dengan menjemputnya sendiri. Tak guna jemput sampai habis satu daerah sedangkan kita sendiri tidak tahu siapa jemputan kita dan tak larat pula nak melayaninya.  Fikir-fikirkan lah.

03
Nov
11

Bila mai musim haji

Musim haji telah tiba lagi.  Siapa yang telah mendaftar dengan Tabung Haji dan jika ‘bertuah’ dapat  menunaikan haji tahun ini. Alhamdulillah, syukur kerana nama anda sudah terpilih yang pada hakikatnya Allah ‘menghendaki’ kita berada dalam khalayak jutaan umat Islam di seluruh dunia di Makkatul Mukarramah.

Pada Ahad 6 Nov 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432H semua umat Islam di Malaysia khususnya akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau juga dikenali dengan Hari Raya Qurban.

Tuntutan Qurban mempunyai sejarah yang panjang bermula sejak nabi Allah Adam lagi di mana pengorbanan yang dilakukan oleh kedua-dua anaknya Habil dan Qabil.  Nabi Allah Ibrahim dan isterinya Siti Hajar diperintahkan oleh Allah (swt) supaya berkorban dengan menyembelihkan anaknya Nabi Ismail.  Apabila dilihat keikhlasan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga beranak ini di dalam berabdi kepada perintah Allah sehingga ke  peringkat perlaksanaannya, maka Allah (swt) telah menggantikan jasad Ismail dengan seekor kibas.

Nilai satu bahagian korban bergantung kepada saiz binatang yang akan dijadikan korban

Apa yang saya ingin ekspreskan pada entri kali ini ialah ‘keghairahan’ umat-umat Islam melaksanakan ibadat Qurban yang sangat dituntut (Sunat Muakkad) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.  Bagi yang berada buatlah setiap tahun pun tak apa asalkan faham akan tuntutannya supaya ibadat ini betul-betul memberi manfaat pahala kepada yang melakukan dan memberi kegembiraan kepada ‘yang tiada’ menikmati habuan yang diagih-agihkan.

Samada sekali atau banyak kali, itu bukan persoalannya. Asalkan niat sebenar adalah jitu kerana Allah.   Tiada sekutu baginya dalam melaksanakan ibadat ini.

Persoalannya, ke manakah daging-daging qurban itu diagihkan samada daging mentah atau bermasak, apakah wang untuk melaksanakan ibadat ini betul-betul dari sumber yang halal dan lain-lain.  Pada ekspresi saya, perkara ini sangat penting tapi ianya juga bukan persoalan sebenar.  So?…apa yang sebenarnya?

Persoalan yang selalu bermain-main dan menari dalam kepala saya ialah sikap/perangai mereka-mereka yang berkorban itu pada (bukan semua) ada kala terlepas pandang atau sengaja atau  atau  atau…

Nak berkorban tu elok lah amalan tu cuma diam-diam je lah… tak usah dok heboh-heboh kerana konsep berkorban ini adalah sedekah.  Sebolehnya tangan kanan menghulur biar tangan kiri tak tahu.  Kalau dok heboh-heboh nanti  jadi  riak la pulakk.

Satu peel lagi sejenis manusia yang membesar-besarkan amalan Qurban yang sunat tu walhal ada perkara WAJIB yang perlu dilunasi seperti hutang yakni  wajib melaksanakan mengikut  KEUTAMAAN yang mana dahulu bila melibatkan wang kerana wang yang akan dijadikan belanja untuk melaksanakan ibadat korban itu ada orang lain yang lebih berhak yakni sipiutang.  Maka, kata ulama’  korban itu sah namun pahalanya tergantung.

Maksudnya bukan jenis hutang beli kereta, beli rumah dan seumpamanya tapi jenis hutang kawan-kawan, contohnya: hutang buat rumah, hutang kedai runcit dan macam-macam jenis lagi la dalam bab kaki suka berhutang ni… Kena tanya lah yang arif apakah hukumnya bila berhadapan dengan situasi tuntutan yang SUNAT dengan yang WAJIB.

Petugas melapah adalah penting untuk kelicinan ibadat ini

Moral of the story ekspresi saya pada kesempatan ini ialah, buatlah ibadat sebanyak-banyaknya dan semampu-mampunya tentang perkara-perkara sunat TAPI jangan lupa yang wajib kena langsaikan dulu. Wassalam.

P/s: raya pertama dan kedua dah banyak jemputan makan free. Alhamdulillah.

Imej: sony erricson/experia neo 2.3.3

02
Oct
11

Bila Ajal sudah tiba….

Pagi 28 Sep 2011, aku menerima panggilan talipon dari anak saudaraku Zaini di Kampong Baharu Besut Trengganu mengatakan ibunya yakni kakak iparku telah meninggal dunia .  Arwah yang sebelum ini tidak mempunyai apa-apa komplikasi  yang serius melainkan darah tinggi telah diwadkan dihospital Jerteh selama seminggu kerana sakit dalam perut.  Lebih kurang jam 0600 beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 61 tahun.

Aku tidak dapat balik pada hari kematiannya kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  Namun keesokan harinya baru dapat bersama-sama keluarga di kampong.  Berada di kampong sehingga selesai tahlil arwah untuk hari ketiga.  Keesokan harinya aku bercadang untuk balik ke Jitra bersama isteri dan anak perempuan ku.

Lebih kurang jam 0400 pagi 1 Okt 2011, telingaku seakan terdengar seseorang memanggil dari bilik sebelah di rumah abangku itu.  Pada mulanya aku menyangka abang Jusoh/Rani mengigau.  Maklumlah beliau masih dalam mood kesedihan setelah pemergian isterinya kak Sinah.  Setelah aku peramati, panggilan itu berterusan seperti memerlukan pertolongan.  Lantas aku bangun menuju ke biliknya mendapati dia sedang menghadapi komplikasi sesak nafas.

Aku membangunkan anak-anaknya yang semuanya masih berada di rumah, memberi  rawatan kecemasan  seberapa mampu dan membawa nya ke hospital  Jerteh pada jam 0430. Namun bila ajal sudah sampai tiada siapa yang boleh menghalang.  Dalam suasana keheningan azan subuh di mesjid berhampiran hospital,  abangku pula menghembuskan nafas terakhir.

Ramai yang terkejut kerana tidak menyangka arwah yang semalamnya masih boleh berbicara dan melawak bersama-sama tetamu yang bertahlil malam ketiga untuk isterinya pula meninggal dunia.

Dalam usia 64 tahun abang Jusoh, sejak setahun dua terakhir ini beliau sememangnya sudah kurang sihat kerana ada tanda-tanda sakit jantung namun tiada siapa yang menduga beliau pergi begitu cepat.

Pelan aku untuk balik Jitra pada hari itu terpaksa ditangguhkan dan majlil tahlil di rumah itu bersambung 3 hari lagi.  Aku Cuma mampu membuat perancangan tetapi perancangan Allah adalah yang tepat dan mutakhir.

Abdul Rani bin Abdullah adalah bekas askar jurutera Tentera darat yang bernombor 302020.  Nombor itu seolah-olah tertulis dan dalam ingatanku sehingga sekarang.  Walaupun beliau hanya berkhidmat 16 tahun namun  zaman beliau menjadi tentera adalah penuh dengan pertempuran menentang pengganas komunis. Alfaatihah.

Abd Rani pejuang zaman insurgensi

14
Sep
11

Selamat Hari Raya 1432/2011

Biarlah gambar yang menceritakan segalanya… Malas nak mengarang cuma seperti biasa raya pertama hidangan laksam dan cookies (tahun ni beli je) dan laksa penang pada raya ketiga… sapa datang daptla makan. Gambar-gambar yang ada ni cuma sebahagian yang sempat dirakam…

errrgh... kenyang dah

 

Berselera selepas sebulan menahan lapar dan dahaga

Keluarga rohana/azhar

sila ...tambah- tambah

Hari Raya menjana Semangat kejiranan

Keluarga Rosmadi dari Bitterworth

Rakan Kelab Veteran ATM pun mari..

Singapore mari

08
Aug
11

Bebas sakit lutut

sumber utusan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SECARA umumnya, tanda-tanda seseorang mengalami koyakan pada meniskus selepas sesuatu kecederaan adalah kesakitan pada sendi lutut , kebengkakan pada lutut (mungkin tidak ketara pada peringkat awal) dan kesukaran melakukan pergerakan penuh pada lutut tersebut.

Osteoartritis ditakrifkan sebagai kerosakan atau degenerasi pada permukaan rawan pada sendi – sendi yang mengalami proses penipisan rawan.

Permukaan rawan yang nipis ini lama-kelamaan akan merekah dan membentuk lurah-lurah dan pada waktu ini geseran permukaan sendi akan bertambah menghasilkan bunyi getaran atau krepitus (bunyi meretih) dari sendi tersebut.

Tanda-tanda yang dialami merupakan kesakitan terutamanya apabila bergerak atau berjalan, kebengkakan yang datang dan pergi, dan kekakuan atau kesukaran menggerakkan sendi lutut sepenuhnya seperti kesukaran melakukan solat secara sempurna (duduk di atas lantai).

Rawatan diklasifikasikan sebagai rawatan konservatif dan rawatan pembedahan . Rawatan secara konservatif termasuklah:

* Mengelakkan pergerakan berlebihan pada lutut , atau rehatkan lutut (sementara)

* Menggunakan ais untuk membantu mengurangkan kesakitan dan kebengkakan

* Mengambil ubat penahan sakit sekiranya tiada kontraindikasi

* Mengambil ubatan glucosamines dan chondroitin bagi membantu memulihkan kondisi rawan (tetapi ia tertakluk kepada tahap kerosakan rawan tersebut)

* Fisioterapi bagi menguatkan otot-otot paha dan betis, dan menyelaraskan pergerakan lutut

* Menggunakan tongkat bagi mengurangkan impak ke atas lutut yang cedera

* Menyuntik ke dalam lutut dengan pelincir tiruan atau hyaluronic acid sebanyak tiga hingga lima kali, bagi membantu melincirkan kembali lutut .

Rawatan seterusnya adalah rawatan pembedahan yang dicadangkan kepada pesakit setelah rawatan konservatif tidak memberikan kesan yang positif.

Pembedahan yang dimaksudkan adalah pembedahan secara artroskopi ke dalam lutut menggunakan teleskop dan sistem kamera untuk meneropong ke dalam lutut untuk melihat segala patologi atau kerosakan lutut seperti yang digambarkan di atas.

Bagi meniskus yang koyak, (bergantung kepada keadaan koyakan tersebut) meniskus yang koyak sedikit, boleh dijahit semula. Akan tetapi untuk koyakan yang kompleks atau koyakan secara degenerasi perlu dinipiskan menggunakan alatan mudah secara artroskopi tanpa perlu pembedahan luka yang besar.

Proses pembedahan ini dianggarkan boleh mengambil masa setengah jam hingga satu jam mengikut keseriusan kecederaan.

Pada masa yang sama permukaan rawan pada tulang boleh juga dilihat dengan jelas melalui kamera artroskopi dan rawatan sementara bagi memperlahankan proses kerosakan rawan boleh dijalankan.

Pembedahan artroskopi adalah amat mudah sehinggakan ia dijalankan secara ‘Daycare’ di beberapa hospital tertentu, dan bius perlu digunakan bagi memudahkan pembedahan ini dijalankan.

Harus difahami bahawa proses degenerasi adalah satu proses yang berterusan selagi sendi terus digunakan, oleh itu rawatan-rawatan yang tersebut di atas merupakan rawatan pemulihan sementara dan memperlahankan proses kerosakan rawan.

Penjagaan berterusan diperlukan agar tidak berlaku kerosakan pada tahap kritikal yang mana pada tahap ini, hanya rawatan pembedahan major boleh memulihkan sendi semula contohnya pembedahan penggantian sendi lutut secara total.

Jenis sakit lutut

* Artritis degeneratif

Pergerakan lutut yang kerap akan menyebabkan kerosakan progresif pada tulang, tendon dan rawan lutut . Kemerosotan sendi boleh mengakibatkan permukaan tulang yang terletak bersebelahan bergesel lalu menyebabkan sakit yang amat sangat.

Rawatan tanpa pembedahan yang paling berkesan untuk memulihkan penyakit osteoartritis ialah manipulasi kiropraktik di bahagian lutut , pinggul dan tulang belakang, senaman menguatkan tulang dan otot dan mengambil makanan tambahan yang dikenal sebagai glukosamina sulfat.

* Ligamen terseliuh

Ligamen yang koyak sedikit dan koyak sederhana dapat dirawat dengan berkesan melalui kaedah konservatif (gabungan rawatan kiropraktik dan fisioterapi).

Dalam kes ligamen yang koyak teruk, pembedahan kadangkala perlu dilakukan di samping rawatan kiropraktik dan fisioterapi.

* Bursitis dan tendenitis

Penggunaan lutut secara berlebihan melalui senaman memusing, menendang atau membengkokkan kaki boleh menyebabkan bursa (kantung berisi cecair yang berfungsi sebagai kusyen) dan tendon lutut mengalami radang dan menyebabkan berlakunya bursitis dan tendinitis.

Rehat, senaman menguatkan otot dan tulang serta rawatan kiropraktik dapat memulihkan keradangan pada bursa dan tendon lutut dengan cepat.

* Meniskus koyak

Pergerakan memusing dan pemampatan lutut yang berulang-ulang dan tiba- tiba boleh menyebabkan meniskus koyak. Melompat atau menaiki tangga akan menyebabkan lutut anda sakit sekiranya anda menghadapi masalah meniskus koyak. Bahagian meniskus tidak mempunyai saluran darah yang cukup dan oleh yang demikian, bahagian ini lambat pulih. Pembedahan biasanya perlu dilakukan untuk memulihkan meniskus yang rosak.

06
Aug
11

Gotong Royong

Jumaat 29 julai 2011 lalu iaitu 2 hari menjelang puasa, komuniti Kampong Paya Cegar Jitra bergotong rotong membersih jalan laluan ke kubur di Kampong Tanah Merah Dalam.

Lebih kurang 30 orang yang hadir meluangkan masa menjalankan aktiviti sukarela sebagai persiapan menjelang Hari raya Aidilfitri nanti.

Biasanya di pagi Hari Raya ramai waris-waris yang akan mengunjungi Tanah Perkuburan yang menempatkan jasad ibu/ayah maupun saudara mara yang terlebih dahulu kembali ke  rahmatullah.

Usaha-usaha pembersihan laluan dan tanah perkuburan sekali gus memberi kemudahan kepada kepada pelawat-pelawat yang menggunakan laluan ini.

Budaya Gotong Royong tidak lagi menjadi amalan di zaman ini

Tiada tajaan mana-mana pihak

Tanah perkuburan Tanah Merah Dalam

25
Jul
11

Lama tak naik feri daaaa..

KOMTAR kelihatan dari Butteworth

Kali terakhir sekali aku menggunakan feri ke Pu Pinang adalah pada tahun 1986. Semasa tu aku bertugas di RNO Penang yang mana feri menjadi kenderaan utama kerana jambatan belum dibina. Sejak dari tarikh tersebut seingat  aku hanya 2 kali aku kembali bertandang ke Pu Pinang iaitu pada tahun 2004 dan  pada bulan April tahun ini (2011) yang kedua-duanya melalui jambatan.  Bermakna sudah 25 tahun aku tidak menggunakan feri dan ternyata sudah banyak perubahan yang berlaku di sekitar pangkalan sebelah geogetown dan Butterworth.  Tentunya kedatangan aku bersama keluarga ke Pu Mutiara pada 23 Jul 2011 telah mengembalikan ingatan lampau walaupun aku hanya menyelusuri  tanpa berhenti sehingga sampai ke destinasi kami di Rumah Puspanita di kawasan Penang Free School di mana berlangsungnya majlis perkahwinan cucu kepada ibu angkat kami.

Perkhidmatan feri tetap relevan

Perjalanan dgn feri cuma +- 15 minit

Beberapa ketika berada di majlis tersebut,  kami meneruskan perjalanan untuk mengunjungi rumah anak saudara di Bayan lepas.  Alhamdulillah pemanduan agak lancar walaupun terpaksa menggunakan perkhidmatan signboard semata-mata kerana kepesatan pembanguanan di Pu Mutiara menyukarkan aku  untuk mengecam walaupun kawasan tersebut aku cukup ‘matang’ pada suatu masa dahulu. Layannn je la gambor sebagai halwa mata kome..

Pentas pengantin tersusun indah

Meja VVIP

Kambing golek

 

Majlis dihiburkan oleh pemuzik tradisional tempatan

04
May
11

Kitaran Beras

Ekspresi bergambar ini hanya sekadar merakam dan mempamir aktiviti semasa komuniti penanam padi yang menjana beras yang seluruh rakyat Malaysia makan setiap hari sebagai makanan ruji.

Walaubagaimanapun topik Kitaran Beras ini tidaklah merangkumi semua gerak kerja penanaman padi semusim penuh.  Mungkin akan ditambah gambar-gambar bila ada peluang.

Membajak kali kedua (membalik)

Operator jentera pembajak tidak memerlukan kelulusan akademik tetapi menuntut komitmen yang tinggi.

Kubota selain menjadi pembajak sekunder malah ia berfungsi sebagai perata tanah.

Kerja sebegini bukan sahaja dari golongan petani malah menjana pendapatan sampingan orang berkerjaya tetap.

Meratakan tanah walaupun nampak tidak begitu penting tetapi sudah menjadi rutin supaya benih yang ditabur dapat tumbuh sekata.  Selepas membadai, biasanya mereka akan menyembur racun Gondang Emas untuk mengekang kemaraan dari merosakkan anak padi dalam lingkungan 10 hari. Penggunaan racun yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kematian ikan-ikan air tawar yang berada di dalam bendang.

benih yang berkualiti menghasilkan pulangan yang tinggi

Pemilihan biji benih yang baik akan memberi pulangan hasil padi yang bermutu.  Banyak benih padi di pasaran yang masing-masing menggunakan formula yang tersendiri berdasarkan kajian dan testimonial hasil yang lepas.  Hasil yang berkualiti adalah menghasilkan beras yang panjang dan berat timbangan sekaligus mengberi pulangan wang yang bertambah kepada petani.

Buat kerja bendang perlukan stamina

Padi benih dimasukkan ke dalam injin penabur

Menabur benih juga memerlukan kemahiran...

Kehijauan bila berintraksi dengan alam

Padi di peringkat ini masih perlu penjagaan rapi ...

Masalah Padi

Bena Perang

Bena perang-gambar pertanian selangor

Bena perang (Nilaparvata lugens) merupakan perosak penting bagi tanaman padi yang mengakibatkan kerugian besar kepada petani. Sejak serangga ini menjadi perosak utama di sawah padi di seluruh dunia, pelbagai jenis racun diperkenalkan bagi mengawal serangan perosak ini. Bena perang juga dilabel sebagai “perosak Revolusi Hijau” pada tahun 1977. Gambar kiri : kesan serangan bena perang yang dikenali sebagai “hopperburn”.

Bagi mengawal serangan bena, insektisid jenis phenylpyrazole seperti fipronil dan ethiprole, carbamate seperti aldicarb, carbofuran, carbaryl, BPMC dan MIPC, neonicotinoid seperti imidacloprid, thiamethoxam dan clothianidin, pyrethroid seperti allethrin, cypermethrin, permethrin dan prallethrin dan organophosphate seperti acephate, monocrotophos, diazinon, disulfoton dan malathion digunakan sejak sekian di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Asia Timur. Namun begitu, kerintangan kepada racun perosak ini mula dikesan di beberapa buah negara setelah beberapa tahun diperkenalkan. Bermula dengan kerintangan kepada malathion, fenitrothion dan carbaryl pada sekitar 1970-an di beberapa buah negara, bena perang terus menerus berevolusi untuk menghadapi tekanan racun perosak. Kerintangan kepada abamectin dan cypermethrin menyebabkan kesan serangan menjadi buruk sebaik sahaja disembur dikenali sebagai outbreak-causing insecticide. Terdapat juga laporan yang menyatakan bena perang telah membina kerintangan silang (cross-resistance) terhadap racun imidacloprid dan thiamethoxam. sambung bacaan…

Bahana Bena Perang (BOM)

Hasil padi yang berkualiti mampu meningkatkan pendapatan petani

Menuai cara moden pantas dan menjimatkan

Benih disemai hasil dituai

Fakta Penanaman Padi

Menanam padi sememangnya memerlukan  komitmen yang tinggi jika mahu mendapat hasil yang lumayan.  Bagi petani yang mengerjakan tanah sendiri, mendapat kelebihan kerana tidak perlu membayar sewa dan sebaliknya bagi petani yang menyewa tanah orang.  Pendapatan dalam jadual di bawah adalah termasuk subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan.  Jika subsidi dihapuskan, bermakna harga beras akan menjadi lebih tinggi dalam pasaran.

Perbelanjaan dan Pendapatan Untuk Serelong (+/-)
Sewa Tanah RM 400.00
Upah Membajak Tanah RM 130.00
Biji Benih RM 60.00
Upah Menabur RM 20.00
Beli Racun RM 200.00
Upah Meracun RM 60.00
Upah Membaja RM 60.00
Upah Mesen Menuai RM 110.00
JUMLAH PERBELANJAAN SEMUSIM RM 1,040
JUALAN SEMUSIM RM 2000.00
02
Apr
11

kaya kaya kaya !!!!

Sekadar nak berkongsi dengan masyarakat di sebalik kesenangan dunia maya ini, ada bermacam–macam tipu helah untuk menjerat mangsa.  Sebelum ini aku pernah menerima emel dengan modus operandi yang serupa tapi malas nak layan.  Rasanya elok dikongsi pengalaman ini supaya pembaca tidak mudah kelabu mata bila ada tawaran duit.  Cuma anda perlu berfikir dan tanya kepada kewarasan ” SAPA NAK BAGI DUIT SENANG-SENANG KAT HANGPA?”
Assalammuailaikum,
Saya ingin merpenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Puan Suhana binti Ramli from Malaysia. Untuk makluman saya penghidap kanser di tahap yang serius. Dan doktor telah mengesahkan bahawa saya tidak akan dapat bertahan hidup lebih lama. Dengan murah hati nya saya ingin mendermakan  segala yang saya miliki dan ini adalah keinginan yang saya dan arwah suami saya telah rancang sebelum ini. Memandangkan kami tiada di kurniakan cahaya mata.
Dengan murah hati nya dan keikhlasan hati saya dan arwah suami saya. Dan saya percaya allah maha mengetahui niat saya ini. Dengan ini, saya menghulurkan atau menyumbangkan sejumlah wang sebanyak £6,000.000.00 (Enam Juta Paun) kepada anda. Dalam memudahkan semua urusan antara saya dan anda, saya akan meminta peguam saya menyediakan segala dokumen yang berkenaan. Dan dengan izin allah semua urusan akan berjalan dengan lebih lancar, dan pindah hak milik di antara kita tidak akan bermasalah. Semoga allah memberkati segala kerjasama dari anda dan gunakan lah pemberian saya ini dengan bijaksana.
Salam,
Puan Suhana binti Ramli.
15
Mar
11

Apa ada pada bunga

orkid

orkid

Musim berbunga setahun sekali

teratai putih

bunga apa ntah.... melata di sekeling rumah

04
Mar
11

Ambil gambar tak salah kottt….

Perkahwinan atau pernikahan menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.  (Wikipedia)

Semua orang dah tau kan!!!…maka bukan itu yang aku ingin ekspreskan dalam entri kali.  Cuma ada sedikit kaitan bilamana aku diberitahu bahawa sianu tu tidak membenarkan orang mengambil/merakam gambar di majlis pernikahan anaknya yang berlangsung di mesjid. Maklumlah sianu ni agak alim-alim kucing sket dalam bab-bab agama.  Tak apa lah !!.. itu hak dia.  Namun apa alasan dia tak tahu la pulak…

Banyak jugak aku pernah hadir majlis pernikahan yang seumpama.  Seperti biasa la sebahagian ruang mesjid akan ‘dihiasi’ dengan bedak dan gincu ahli rombongan kedua-dua belah pihak dan jurugambar upahan pulak  ‘tekun’ menjalankan tanggungjawab dia merakam setiap sudut peristiwa bersejarah yang pada sesetengah orang sekali seumur hidup.  Tapi tak ada pulak tok imam atau pegawai-pegawai mesjid melarang untuk mengambil gambar.  Bagi sesetengah golongan situasi ini telah menyesakkan dada mereka.

Maka bertanyalah aku pada insan-insan yang arif lagi bijaksana dalam bab hukum hakam ugama tentang pandangan syariat dalam perkara gambar bergambar semasa upacara akad nikah dalam mesjid ni.  Ada yang memerlukan masa untuk merujuk kepada suatu sumber yang jelas dan ada yang terus menjawab mengambil faham bersumberkan nasihat guru-guru mursyid yang menyatakan kalau ingin bersyariat yang betul sememangnya tidak elok diamalkan kerana perkara asas larangannya ialah bukan masalah bergambar tetapi adab-adab hadirin yang hadir ke dalam mesjid.

Almaklumlah datang nak tengok orang bernikah…. terutamanya kaum hawa lah!!!.  Mekapnya setengah inci, bau-bauannya mengisi ruang seluruh mesjid.  Ada yang berpakaian buka-bukaan sana sini.  Pun dikira masih bagus  jika yang datang itu semuanya ‘suci’ zahir dan batin. Dipendekkan cerita kebanyakan yang datang tu (kaum hawa la) tidak tahu untuk menjaga adab-adab ketika berada di dalam mesjid.  Jauh sekali la dalam keadaan macam tu diorang nak bertahiyyatul mesjid kan?                Pastu pulak biasanya sebaik selesai akad nikah, pasangan ini biasanya tak sabar-sabar nak ‘membatal air sembahyang’ dan depan-depan tu jugakla depa buat upacara tu dan tentunya saat-saat penting perlu dirakam.  Jadi pada sesetengah orang gelagat itu memalukan dan tidak beradab di dalam mesjid.

Jadi natijah kepada ekspresi ini adalah masih berkisar kepada persoalan adakah trend berakad nikad di mesjid ini wajar diteruskan atau lebih molek kalau Jurunikad itu sahaja yang wajar ke rumah pengantin?.  Pada pendapat aku, untuk memenangi dan memenuhi keperluan semua pihak dan syariat maka wajar upacara berakad nikah ini dibuat sahaja di rumah pengantin.

Walaupun tok imam terpaksa bekerja keras tapi semua persoalan dapat dirungkai tanpa menafikan keinginan mana-mana pihak dalam bab yang diharuskan oleh syarak ini…  Sebelum ini pun tren bernikah di rumah sudah lama menjadi amalan tetapi akhir-akhir ini juru nikah menjadi lebih laris di pasaran terutama di musim-musim cuti sekolah.  Yang request nak bernikah bersusun dalam senarai tok imam maka agak kelam kabut jugaklah tok imam nak kesana kemari maka katanya lebih senang tok imam yang menunggu di mesjid.  Itulah fenomenanya.  Tapi zaman sekarang bukan seperti zaman tok imam naik gerek(basikal).  Tok imam sekarang memandu kereta canggih-canggih dahhh…. So tak la susah mana pun kannn….upah pun ada dan yang penting peranan beliau telah menghalalkan yang haram. Besar pahala di sisi ugama tu…

Fikir-fikirkan lah…




Hijrah Untuk Kesejahteraan

Kalendar Kehidupan

January 2012
M T W T F S S
« Dec    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Tetamu dihati

  • 18,572 hits

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.