mengaji tak pandai cuma layak jadi askar

Saya dilahirkan pada 12 Ogos 1961 di kampong Pasir Rambutan, Mukim Bukit Puteri Besut Trengganu. Sebuah kampong yang terpencil yang tidak mempunyai apa-apa kemudahan asas seperti letrik dan air paip. Penduduk yang pada asalnya mempunyai 20 buah keluarga dari sejak merdeka dan kini kampong tersebut sudah tidak berpenghuni langsung kerana telah berpindah ke kampong-kampong berhampiran seperti kampong Baharu dan kampong Amir. Kampong Baharu terletak bersempadan dengan Pangkalan Udara Gong Kedak di sebelah Bukit Puteri.

Kampong ini geografinya yang berada di pesisir Sungai Besut yang menjadikan air sungai sebagai sumber minuman dan seluruh kehidupan dan pertanian. Sungai ini juga kini turut mati dan lesu dan tiada lagi kejernihan disebabkan pembinaan empangan di Hulu Besut. Sumber ekonomi penduduk adalah berasaskan pertanian. Seluruh kampong ini saban tahun akan ditenggelami banjir bila setiap kali limpahan air sungai berlaku.

Zaman persekolahan

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampong Baharu sehingga darjah 6. Berulang alik ke sekolah yang jaraknya 5 km dengan berbasikal dan kadang kalanya berjalan kaki.

Seterusnya mendapat pendidikan di Sekolah Nasiruddin Shah (SNS) yang mana di antara sekolah menengah yang paling popular di daerah Besut. Sekolah ini yang lokasinya di kampong Alor Lintang Besut. Saya terpaksa berjalan kaki ke sekolah kerana kampong saya dipisahkan oleh Sungai Besut dengan melintasi Kampong Amir sebelum sampai ke sekolah yang mana jaraknya lebih kurang 6 km. Walaupun begitu sukar bila dikenangkan tapi masa tu bak kata perpatah “alah bisa tegal biasa”.

Satu perkara yang tak pernah saya fikirkan sebelum ini telah berlaku revolusi mental kepada semua penduduk kampong Pasir Rambutan iaitu keputusan untuk berhijrah keluar dari kampong tersebut dan masing-masing membuat perancangan untuk membina penempatan baru yang majoritinya di Kampong Baharu yang mana sebahagian keluarga saya menetap sekarang.

Maka tinggallah kenangan Kampong Pasir Rambutan yang dulunya ada sejarah melahirkan perajurit-perajurit negara dan kini meninggalkan bekas dan dikunjungi semasa musim buah kerana di kampong tersebut memang kaya dengan buah rambutan dan durian yang menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk.

Menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan 5 Sastera. Walaupun saya tidak berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1978 namun saya tidak pernah menunding jari kepada sesiapa malahan saya sedar tentang kecuaian dan sikap tidak mahu belajar bersungguh -sungguh.

Saya berada dalam kelompok pelajar-pelajar yang agak nakal walupun tidak jahat. Satu perkara yang saya tidak suka buat walaupun saya berada di kalangan pelajar-pelajar nakal ialah ponteng sekolah atau ponteng kelas kerana rasa patuh dan hormat saya pada guru. Juga kerja-kerja sekolah yang guru arahkan saya siapkan sedaya mungkin. Cuma kelemahan saya ialah tak minat dan cepat mengantuk bila baca buku. Saya akui semasa berada di tingkatan 5, saya langsung tak baca buku dan ianya diluar pengetahuan dan kawalan ibubapa saya kerana saya tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan.. Saya sebenarnya tidak bercita-cita untuk belajar ke peringkat tertinggi kerana saya berazam untuk memasuki tentera bila tiba masanya. Saya pun tak tahu kenapa minat saya ke arah itu.

Saya mengakui bahawa faktor ekonomi keluarga juga mendorong untuk saya mencebur diri ke alam pekerjaan seawal mungkin. Di zaman remaja saya sudah mahir dengan kerja-kerja petani seperti menanam padi, menoreh getah dan sebagainya kerana banyak menolong ibu bapa semasa cuti persekolahan. Tamat persekolahan saya membuat bermacam-macam kerja di sekitar kampong seperti menoreh getah, kerja kilang papan untuk menampong perbelanjaan harian sementara menunggu kerja tetap. Saya pernah merancang untuk mengikut kawan-kawan bekerja kontrak di Singapura yang pada masa itu sedang rancak pembangunannya tapi ibu tidak mengizinkan dan hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Pada dasar nya ibu bapa saya tidak bersetuju jika saya masuk tentera kerana mereka tidak mahu anak bongsu mereka juga mengikut jejak langkah abang-abangnya yang meninggalkan kampong halaman. Semasa di tingkatan 5 iaitu pada bulan julai, saya telah menghadiri pemilihan TLDM buat pertama kalinya tapi gagal kerana belum cukup umur 18 tahun. Balik, saya dimarahi ibu bapa saya kerana pergi tanpa pengetahuan mereka.

2 thoughts on “mengaji tak pandai cuma layak jadi askar”

Leave a comment