Author Archive for hamzah haji dollah

05
Apr
12

Masih ku ingat…

meneropong masa silam

“Man over board!… Man over board!…man over board!!… standby to recover man over board on port side!!… standby to recover man over board on port side.  Away seaboat crew!! …. Away seaboat crew!..”  Kedengaran suara keras melalui main broadcast yang diulang sebutan sebanyak 2 kali supaya arahan sampai kepada pendengaran semua anak-anak kapal KD KASTURI dalam satu pelayaran.  Aku kenal suara itu.  Suara Lt Yusne (Pegawai Panduarah) yang baru close-up duty Officer of the watch (OOW) untuk awasan fist dog (1800-2000).

Aku pun faham dengan jelas arahan itu dan seharusnya waktu itu aku kena faham kerana aku juga baru close-up awasan first dog sebagai Bintara watch on deck (WOD) yang bertanggung jawab untuk melaksanakan apa-apa tindakan jika sesuatu perkara buruk berlaku dan juga melaksanakan penyeliaan terhadap petugas-petugas cawangan kelasi dalam awasan tersebut.

Tanpa berfikir panjang aku terus bergegas ke geladak bot di mana ‘seaboat’ tergantung rapi di boat Davit.  Dalam masa beberapa minit semua bot krew sudah merapat dan aku sebagai penyelia awasan terus memberi arahan kepada anggota-anggota sokongan menurunkan boat ke deck level. Dalam masa yang sama arahan untuk boat crew supaya in plug tetapi sebaliknya apa yang berlaku boat crew kena out plug untuk mengeluarkan air dari dalam bilges.

“Boat lowered to deck lever sir!” Aku membuat laporan kepada OOW situasi semasa bot yang akan diturunkan untuk menyelamatkan orang jatuh laut. Dalam masa tidak sampai 10 minit sebenarnya bot sudah berada di deck level menunggu arahan OOW untuk menghidupkan enjin.

Malangnya enjin tidak berjaya dihidupkan kerana sebahagian enjinnya ditenggelami air dan proses mengeluarkan air dari bilges agak memakan masa.  Bilges bot penuh dengan air hujan yang turun 2 hari lepas.  Latihan evolusi menyelamat orang jatuh laut gagal sama sekali. 

Sebagai Bintara WOD aku bertanggung jawab sepenuhnya di atas kegagalan evolusi ini kerana gagal menentukan keadaan bot sedia untuk digunakan pada ‘tempoh itu’. Klimak dari kegagalan evolusi ini, OOW yang juga aku punya divisional officer telah membawa kes ini ke Meja Pegawai Memerintah.  Aku dipertuduhkan.  Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, beberapa orang menasihati aku supaya mengaku bersalah. 

Di meja Pertuduhan Pegawai Memerintah aku terus mengaku bersalah sebaik sahaja mendengar pertuduhan terhadapku.  Pegawai Memerintah Kdr Rosland menjatuhkan hukuman 1 hari tahanan cuti terhadapku. Aku akur dan redha dengan hukuman itu walaupun ianya ‘ringan’ namun aku merasakan reputasi aku sebagai Ops Room Supervisor (ORS ) kapal  perang sedikit tercalar dengan hukuman yang pada hakikatnya bukan aku yang seharusnya menerima hukuman itu.  Habis!…siapa?

Hakikatnya Seaboat KD KASTURI dan geladak sekitarnya adalah di bawah tanggungjawab Bahagian Kelasi Peperangan Bawah Permukaan (PBS).  Jika anggota bahagian PBS membuat daily routine check tentunya tidak timbul masalah ini.  Kegagalan yang paling ketara bahagian ini ialah gagal menanggalkan plug bilges semasa bot secured for sea bertujuan supaya air tidak bertakung jika berlaku hujan. 

Jika hujan yang berlaku 2 hari lepas, bermakna semua awasan (selepas hujan sehingga hari evolusi dilakukan) telah tidak memastikan kesiagaan seaboat tersebut berada dalam keadaan sedia guna (termasuk awasan aku ekekeke) tetapi mereka semua bernasib baik kerana evolusi tersebut diadakan pada kitaran awasan aku kembali bertugas.  (Memang rezki aku le)…

Meskipun aku juga boleh menyalahkan dan ‘charge’ Laskar Kanan Awasan kerana gagal melaksanakan tugas dengan berkesan namun aku berpendapat sebagai pemimpin peringkat pertengahan aku harus mengambil risiko ini dan sikap suka menyalahkan orang lain juga adalah suatu sikap yang aku benci dan tidak harus aku amalkan.  Namun aku juga tidak mendendami sesiapa dalam senario ini malah redha dengan ketentuan ini yang berpunca dari kelalaian semua pihak.

Maknanya jika latihan ini dilakukan bukan pada awasan aku, maka bintara WOD lain yang terlibat samada Bintara dari Bahagian PBS sendiri atau Bahagian Peperangan Permukaan (PPP) akan mendapat ‘habuan’ ini.

 Semua dah jadi kenangan….. kisah ini berlaku 24 tahun yang lalu semasa aku berkhidmat di KD KASTURI (1987-1989) sebagai ORS.  Moral daripada kisah ini, bila sebut sahaja kesiapsiagaan ianya mesti bermula dari sikap dan tanggungjawab yang tidak harus dibuat dengan sambil lewa kerana sikap ini akan menyusahkan orang lain. Allahuallam.

27
Feb
12

Sekolah Aku Dulu

LAGU SEKOLAH

BERUSAHA SETIA BERJASA

Sekolah Nasiruddin Shah
Memperjuang kemajuan
Pelajaran asas kejayaan
Kita junjung bersama

Cita-cita yang mulia
Kita sematkan di dada
Curahkan jasa kepada Negara
Berusaha Setia Berjasa

Cita-cita yang mulia
Kita sematkan di dada
Curahkan jasa kepada Negara
Berusaha Setia Berjasa

Lirik dan Lagu asal : Abdul Halim/Anuar Md Nor
Abd Halim Mukri
Ubahsuai lirik : Wan Zahari Ali/Abas Said
Ubah lagu : Wan Rosli Su/Yahya Mat Isa

SEJARAH RINGKAS

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NASIRUDDIN SHAH, BESUT

Sejarah sekolah ini bermula pada 1 April 1962 apabila dua buah kelas aliran Melayu(Malay Medium) dibuka di Sekolah Tengku Mahmud. Pada masa yang sama Sekolah Menengah Lanjutan Besut (Secondary Continuation School) dibuka dengan rasminya .Bermula dengan dua buah kelas tingkatan satu-80 orang murid yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah bertambah kepada lima kelas aliran Melayu dan satu kelas aliran Inggeris dengan keramaian murid-190 orang-148 lelaki dan 42 perempuan. Murid-murid kelas ini menumpang belajar pada waktu petang di Sekolah Tengku Mahmud Besut. Seramai lapan orang guru dan seorang pekerja pejabat memulakan operasi sekolah ini.

Pada 20 Mei 1963 Sekolah Menengah Lanjutan ini telah berpindah ke bangunan barunya (bangunan PKG Raja dan SK Pendidikan Khas Besut sekarang). Selain mata pelajaran akademik biasa mata pelajaran vokasional seperti ilmu jahitan dan sains pertanian juga diajar di sekolah ini. Mulai 1 Ogos 1962, semua murid diwajibkan memakai uniform sekolah iaitu seluar pendek warna biru tua dan kemeja putih berlengan pendek bagi murid- murid lelaki dan warna biru tua dan ‘blouse’; putih berlengan bagi murid- murid perempuan. Lencana sekolah dengan cogan kata “Berilmu Untuk Berjasa” juga dipakai. Murid-murid sulung sekolah ini menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pertamanya pada tahun 1964.

Bagi memenuhi hasrat Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menyediakan kemudahan pelajaran kepada semua murid lepasan sekolah rendah supaya menyambung pelajaran ke sekolah menengah dengan pengantar bahasa Melayu, maka sebuah sekolah menengah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Besut telah diwujudkan di daerah Besut pada 1 Januari, 1965. Semua pelajar aliran Melayu dari Sekolah Menengah Lanjutan Besut telah diambil alih dan berpindah ke sekolah ini mulai 10 Januari 1965 sekaligus menjadi sekolah menengah aliran Melayu pertama serta terawal di daerah Besut.

Pada permulaan operasi, sekolah ini mengandungi sembilan kelas dari tingkatan dua hingga empat dengan keramaian murid 277 orang. Pada masa yang sama juga seramai 433 orang murid tingkatan satu (10 kelas) telah mendaftar diri. Bilanagan guru pada tahun pertama ialah 41 orang termasuk 15 orang guru sementara. Encik Abdul Aziz bin Haji Abdul Hadi adalah guru besar (pengetua) pertama. Pada 29 September 1965 Istiadat Pembukaan Rasmi bangunan baru sekolah di kawasan seluas 23 ekar telah disempurnakan oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia, Encik Mohd Khir bin Johari. Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Besut juga telah ditukar kepada Sekolah Nasiruddin Shah Besut iaitu mengambil sempena nama DYMM Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-marhum Sultan Zainal Abidin yang ketika itu menjadi Yang Di Pertuan Agong Malaysia Keempat.

Tarikh-tarikh penting tentang sekolah ini :

1 . 11 Februari 1965 – Perjumpaan dan penubuhan ‘Persatuan Penjaga Kanak-Kanak dan Guru’;
(sekarang Persatuan Ibu- Bapa Guru-PIBG) Pengerusi pertamanya ialah
Encik Wan Zakaria bin Said.
2. 13 Mei 1965 – Kejohanan Merentas Desa Antara Rumah Kali Pertama.
3. 10& 11 Jun 1965 – Kejohanan Sukan(Olahraga) Sekolah Kali Pertama. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YAM Tengku Zaleha Putri Ibn Al-Sultan Ismail Nashiruddin Shah, isteri Tengku Pegawai Daerah Besut.
4. 25 Okt-2 Nov 1965 – Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP) pertama di sekolah ini.
5. 14 November 1966 -Seramai 64 orang pelajar sulung menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia buat pertama kalinya.

Pada 16 Januari 1966, sekali lagi sekolah ini mengalami perubahan iaitu murid murid dari petempatan bahagian hulu Besut dipindahkan ke Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan, Besut (kemudian diberi nama Sekolah Indera Segara) yang baru diwujudkan dengan menggunakan sebahagian bangunan bekas Sekolah Menengah Lanjutan Besut. Manakala murid murid yang belajar di sekolah ini datangnya dari bahagian pantai daerah Besut.

Pada 17 Januari 1967 sekolah ini berpindah ke bangunan baru sepenuhnya ( bangunan pejabat sekarang) yang berharga RM 490 ribu termasuk dua bilik makmal sains dan sebuah asrama di atas kawasan seluas 23 ekar. Pada 24 Jun 1968, buat pertama kalinya sekolah telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan pameran hasil kerja tangan murid.
Berikutan dengan dasar kerajaan hendak meningkatkan pelajaran sains dan matematik di sekolah- sekolah menengah Melayu, pada tahun 1968, guru guru dari Indonesia diambil berkhidmat di Malaysia. Pada 3 Mac 1969, Guru Siswazah Indonesia, Drs. Sukardjono mula bertugas di sini dan mengajar pelajaran Matematik.

Bagaimanapun pada tahun 1970, dua buah sekolah menengah aliran Melayu di Alor Lintang, Besut iaitu Sekolah Nasiruddin Shah dan Sekolah Indera Segara telah digabungkan kembali di bawah satu pengurusan atas nama Sekolah Nasiruddin Shah. Percantuman ini berlaku kerana wujudnya sekolah menengah Melayu lain di Besut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jerteh (SMK Seri Nering) dan Sekolah Menengah Kampung Buloh (SMK Tengku Ibrahim, Setiu).
Pada tahun 1995, sekolah ini buat pertama kalinya menerima pelajar sulung tingkatan enam rendah dan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) sebagai calon pertama tahun 1996. SMK Nasiruddin Shah terus memahat sejarah dengan mencipta beberapa kejayaan dan pembaharuan samada pendidikan dan fizikal dalam usaha meningkatkan pendidikan negara.

Dalam tempoh itu, SMK Nasiruddin Shah telah ditadbir oleh dua belas orang pengetua(guru besar)-lihat lampiran. Sesungguhnya kelahiran sekolah ini telah banyak menabur bakti dan jasa kepada negeri dan Negara. Antara tokoh tokoh yang boleh dibanggakan ialah :

1) YB Dato’Haji Che Mat bin Jusoh – Speaker Dewan Undangan Negeri
2) Profesor Husin Mohamad – Jabatan Antopologi dan Sosiologi
Universiti Malaya.
3) Y. Bhg Dato’ Haji Mohamed Che Hamid – Bekas Pengarah Pelajaran Negeri
Terengganu.
4) Prof. Abdullah Zakaria Ghazali – Pensyarah Universiti Malaya.
5) Tuan Haji Wan Ahmad Abdullah – Pegawai Pelajaran Daerah Besut

Semoga pada masa akan datang SMK Nasiruddin Shah, Besut akan menjadi sebuah sekolah yang boleh dibanggakan dan menjadi sekolah contoh dalam pelbagai bidang.

‘BERUSAHA SETIA BERJASA’

Pertamanya aku nak rakamkan ucapan terima kasih dan memohon keizinan  daripada admin website   http://smkns.tripod.com/id1.html  untuk berkongsi segala maklumat di atas seperti lencana, lagu sekolah dan sejarah sekolah aku copy dan paste untuk entri aku kali ini.

Sebenarnya maklumat di atas sangat berharga yang merupakan kompilasi kenangan dan nostalgia sepanjang jalan kedewasaan ku.  Aku menjadi pelajar SNS (SMKNS tak sedap sebutan baru ni) dari tahun 1974-1978 yang mana dalam fasa menengah rendah (tingkatan 1 -3) aku dalam kelas Asas Perdagangan manakala dalam fasa menengah atas dalam kelas 4 sastera 1 dan menjunam ke 5 sastera 3.

Sungguhpun aku rajin ke sekolah namun aku kurang minat membaca maka tak hairanlah pelajaran aku merosot.  Semua tu kenangan lama.  Dalam entri yang lalu aku ada sebut sekadar beberapa nama  kawan-kawan yang mewarnai ‘kegagalan’  aku dalam pelajaran.  Bukan salah mereka tetapi lebih kepada pilihan dan kecenderungan aku sendiri yang terlalu kurang motivasi baik di rumah maupun di sekolah.

Walaubagaimana pun Allah memakbulkan cita-cita aku untuk jadi tentera.  Dengan keputusan SRP 28 agregate tidak sukar untuk aku mencapai impian pada masa itu.  1981 aku join TLDM.  Rupa-rupanya dalam TLDM aku terpaksa mentelaah lebih tekun berbandin di SNS.  Kalau aku belajar setekun itu di SNS, rasanya keputusan akademik aku tak seburuk yang aku dapat.  Heehehehe… tak baik berburuk sangka dengan takdir.  Nabi (SAW) berpesan dalam kitab mustika hadis yang mana maksudnya tidak seharusnya kita ‘berkalau-kalau’ kepada perkara-perkara yang lepas dikuatiri syaitan akan mengambil kesempatan membisikkan rasa tidak puas hati kita kepada takdir Allah. Astaghfirullahal’azim.

Apa pun hikmahnya aku redho berada di tahap hari ini  dan kenangan-kenangan lama seperti ini banyak memberi petunjuk  dan membenarkan maksud kalimah Bismillahirrahmaanirrahimm.

08
Feb
12

Jom Tengok Tinju

Lama tak tengok orang bertinju. Dah kebetulan ada kejohanan di Jitra Mall maka aku cuba luangkan masa bersantai untuk acara ini yang bermula pada jam 2015H. Sambil menonton tu aku upload secara live  beberapa keping gambar acara ini melalui experia neo yang juga ada menyediakan aplikasi wordpress bagi membolehkan aku mengemaskinikan Ekspresi secara mobiliti.  Terima kasih juga kepada penyedia-penyedia wifi percuma di sekitar Jitra Mall yang membolehkan aku membuat liputan secara live.

Malam ini adalah malam  final Kejohanan Tinju Terbuka Kedah 2012 yang telah berlangsung sejak 4 Feb lalu yang mana tertunda dari perencanaan asal yang dirancang untuk tahun 2011.

Sekadar menyebut beberapa pasukan partisipasi seperti Singapura, Kedah, Pahang, Trengganu, Perlis, Sabah, Perak dan pasukan-pasukan feberet dari ATM seperti TLDM dan 2  Bgd PARA.

Seramai 5 orang Petinju TLDM bertanding di peringkat akhir dalam pelbagai kategori.  Sementara Pasukan negeri Perak, Kedah, Pahang, PARA, Perlis, Singapura dan Sabah turut layak ke  peringkat ini.

Perlawanan tamat pada jam 2230H yang menyaksikan petinju-petinju TLDM mengungguli kejohanan ini.

image

Perak vs Kedah-perak menang

image

Singapura vs TLDM- Singapura Menang

TLDM vs Sabah- TLDM menang

PW PPP Prem selaku coach TLDM dan Perak. Sepanjang perkhidamtan beliau menghambakan diri dalam pembangunan sukan Tinju TLDM

26
Jan
12

Cuti-cuti Tahun Baru Cina 2012

Percutian kami sekelurga (bertiga je) pada kali ini sebenarnya adalah untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan anak abang aku Ibrahim@Pak Mat Jerangau iaitu Rozaimah.

Majlis ini akan berlangsung di Felda Jerangau Trengganu.  Oleh kerana cuti umun Tahun Baru Cina pada 23 dan 24 Jan (Isnin, Selasa), maka bagi  negeri Kedah yang cuti mingguan persekolahan pada hari Jumaat maka sempat untuk kami membuat perjalanan di banyak tempat.  Justeru kami membuat keputusan untuk membuat perjalanan melalui Lebuh Raya Utara-Selatan yang mana destinasi pertama kami adalah ke Melaka.

Naratif ringkas:

20 Jan 2012 jam 0730(zone H) Jangka masa bertolak (JMB)dari Jitra.

200915H -Berehat untuk sarapan pagi di R&R Gunong Semanggol Perak.

201300H –Ambil susur keluar di Tanjong Malim untuk Solat Jumaat.  Destinasi persinggahan ialah rumah sahabat lama LK1 PPP Latif/Yani (skot 146 dan jiran masa tinggal di Blok A25). Bersolat Jumaat di Mesjid Ar-Rahman Ulu Bernam Selangor yang bersempadan dengan rumah Latif.

 201430H. Meneruskan perjalanan.  Bermula di sini PAPAGO (GPS) menjadi pemandu jalan .

Aplikasi GPS PAPAGO banyak membantu memberi petunjuk jalan

1700H- Mengambil susur keluar tol Air Kroh.  Bekas PW1 STN(L) Azmi memandu jalan untuk ke rumahnya di Bukit Larang Pernu .  Bermalam di rumah Azmi.  Jiran semasa bermastautin di Block A-24 Kuarter TLDM yang masih berhubung dan saling mengunjung walaupun sudah membawa haluan masing-masing setelah tamat perkhidmatan.

Cantik....Rumah Azmi di Bukit Larang Melaka

210900H- Azmi dan Sariah isterinya membawa kami melawat sekitar Melaka Bandaraya Bersejarah .  Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Batu Pahat dan keluar susur Air Hitam.

A Famosa

Dah berpuluh tahun tidak menjejaki bumi Johor...

211300H-  Kami tiba di rumah bekas BK PJT Abdul Ghani/Samsiah di no 18 Taman Manis Parit Raja Batu Pahat Johor.  Sebenarnya kami gagal menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan kedatangan kami kerana Ghani telah menukar no telefonnya.  Nasib baik samsiah ada di rumah. Ghani tiada di rumah kerana bekerja.  Ghani telah menamatkan perkhidmatan sekitar tahun 2002 dan sejak itu kami telah terputus hubungan.

Diorang ni bila jumpa geng lama, sembang bagai nak runtuh bangunan...

211400H- Meninggalkan  Parit Raja dan menggunakankan lebuh raya PLUS kembali ke Melaka.

211700H- Tiba kembali di rumah Azmi dan bermalam.

220800H- Meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya iaitu Felda Jerangau Trengganu.  PAPAGO memberi perkhidmatan terbaik memandu kami melalui Jasin-Tangkak-Segamat.  Tiba di segamat jam 1000H dan melalui Muadzam Shah kami singgah di rumah anak saudara di Felda Lepar Hilir 3 Gambang pada jam 1300H untuk Zohor dan makan tengahari.

Rumah kakitangan Felda Lepar Hilir 3

221430H- Destinasi kedua di Pahang ialah menziarah ibu angkat Wan Besah di Sungai Karang Darat.  Jam 1530 tiba di rumah beliau dan 1600H menuju destinasi ke3 untuk tea time di Restoran Tunas Samudera kepunyaan sahabat seperkhidmatan di Balok.  Tapi malangnya  Nik Adib tidak berniaga pada hari tersebut dan masa agak suntuk untuk bertandang ke rumah beliau.  Justeru kami meneruskan perjalanan ke Jerangau melalui Jalan Jabor.  Jam 1740H berhenti minum di R&R Bandar Almuktafibillah Shah.  Jam 1830H selamat tiba di Felda Jerangau dan bermalam di rumah abang (Pakmat Jerangau).

23 Jan 2012-  Rozaimah selamat diijabkabul dengan pasangannya Rashid dan majlis kenduri kesyukuran diadakan pada hari tersebut.  Rashid adalah orang Juru Pulau Pinang menjadikan menantu Pakmat yang ke 4 dari tanah Pulau Mutiara.  Dua orang lagi menantu Pakmat adalah warga Felda itu sendiri dan Selangor.  Keenam-enam anak Abang Mat dan Kak Nisah sudah berumahtangga yang akhirnya  hanya tinggal mereka berdua sahaja yang akan meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki di rumah yang bernombor 612 Jalan Nussery Felda Jerangau Ulu Trengganu.

Selamat Pengantin Baharu ema dan rasyid

Rombongan keluarga pengantin lelaki

Sebahagian drp keluarga sebelah pengantin perempuan

231630H- Semua kaum kerabat dari jauh, Kuala Lumpur, Pahang dan Besut pakat balik,  maka kami pun ikut berangkat meneruskan musafir ke Besut Trengganu.  Bermalam di rumah Abang Meli/kak Yam yang mana bertanggongjawab memelihara seorang ibu tua hajjah Meriam.

Bonda Hjh Meriam- umurnya melebihi 88 tahun

Itulah ibu kandong kami yang sebelum ini dititipkan kepada abang  Jusoh/Kak Sinah untuk penjagaan dan segala keperluannya.  Setelah Abang Jusoh dan Kak Sinah kembali ke Rahmatullah Oktober tahun lalu, maka keluarga Abang Meli yang mengambil alih tugas itu bagi pihak adik beradik lain kerana mereka tinggal berhampiran di kampong Baharu.

240800H- Hari terakhir dalam percutian kali ini, kami bermusafir balik ke Jitra melalui Jalan Raya Timur Barat yang merupakan jalan penghubung antara utara dan Timur Semenanjong yang merakam banyak sejarah perjuangan ATM menentang pengganas Komunis.

241830H- Selamat sampai ke Jitra. Syukur kehadrat Allah (swt) yang telah member i kesihatan dan kekuatan dan memudahkan permusafiran kami  kali ini. Sekian.

Nota:

  • Semua catatan masa adalah anggaran.
  • Fuel RM 300.00 (+-)
  • Tol RM 88.00
12
Dec
11

MALAM APRESIASI 1MINDEF

Tema merah hitam

Balik dari LIMA’11 pada 9 Dis, sempat berehat 2 hari di rumah dan 12 Dis 0900 aku menaiki bas lagi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi jemputan Majlis Makan Malam Apresiasi 1MINDEF yang telah diadakan  di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada jam 2000 pada hari yang sama.

Majlis ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan dan merapatkan hubungan yang sedia terjalin di antara pengamal media yang sering memberikan liputan positif terhadap aktiviti Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis dirasmikan  oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia.  Turut hadir ialah Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zain, Panglima Angkatan Tentera, Para Pegawai Kanan ATM serta Pengarang Kanan media cetak dan elektronik.

Majlis dimulai dengan ucapan YB Menteri Pertahanan dan dituruti dengan persembahan dari Badan Kesenian MinDef serta Kombo Rejimen Renjer Diraja. Majlis turut diceriakan lagi dengan kehadiran pengacara jemputan iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahira.

Bertemakan merah dan hitam, para hadirin turut diserikan dengan persembahan nyanyian dari Marsha dan Nubhan. Dalam pada itu, sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai kejutan hadiah yang lumayan khususnya untuk para pengamal media yang hadir.

Dan aku juga merupakan salah seorang peserta yang ‘bertuah’ pada malam itu. Terima kasih Mindef.

Meja no 7 geng SHP media

Sempat berbual dengan orang kampong-PTU (foto sharul)

09
Dec
11

LIMA 2011

Langkawi Exhibition Maritime and Aerospace 2011 (LIMA’11) datang lagi.  Kali ini berlangsung 6-10 Dis berkonsepkan single hall di bawah satu penganjur HDW LIMA.

Apa yang penting aku berkesempatan mengambil bahagian sekali lagi pada kali ini sponsored by SHP Media yang menyediakan tempat tinggal dan kemudahan asas sepanjang LIMA berlangsung.  Aku berada di Langkawi pada 5 Dis hingga 9 Dis.

Sejarah penglibatan aku dalam LIMA ini adalah 2 kali semasa dalam service (LIMA’99 dan LIMA’01) dan 3 kali selepas service (LIMA ’07, LIMA’ 09 dan LIMA’11) tetapi dalam suasana dan tanggungjawab yang berbeza.

Di dalam helikopter Sikorsky S-92

Di Booth Perajurit/Adj

02
Dec
11

Mengambil berkat orang balik haji

Sumber utusan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

AMBIL berkat orang balik haji.” Benarkah para jemaah haji yang mula pulang ke tanah air ada membawa berkat? Berkat dari Tanah Suci Mekah al Mukaramah?

Bagaimanakah yang dikatakan mengambil berkat dari ahli keluarga, saudara mara dan handai taulan yang baru pulang dari haji itu?

Adakah dengan sekadar minum air zamzam sebagai buah tangan dari Tanah Suci itu dikatakan mengambil berkat? Adakah para jemaah haji yang baru pulang itu layak diambil berkat daripada mereka?

Pelbagai persoalan timbul dengan istilah mengambil berkat dari para jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji itu.

Namun, bagaimana sebenarnya kita atau Islam itu melihat fenomena mengambil berkat tersebut supaya tidak terjebak dengan sebarang fenomena yang boleh membawa kepada kesesatan dan khurafa?

Umumnya, berkat atau barakah adalah memohon restu Allah SWT agar dikurniakan kebaikan yang berkembang, kesejahteraan berpanjangan, kesihatan yang berkekalan sehinggalah berjaya dalam pekerjaan, soal jodoh dan sebagainya.

Barakah ini adalah dengan keizinan Allah. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah kehendaki, Dia akan memberi barakah kepada seseorang itu.

Permohonan berkat ada disebutkan dalam al Quran. Ini sebagaimana kata-kata Nabi Allah Isa a.s dalam firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada. (al-Maryam: 31).

Maka Allah adalah al-Mubaarik, pemberi restu atau barakah dan hamba-hamba-Nya adalah al-Mubaarak yang bermakna seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Sifat memberi barakah hanyalah milik Allah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekelian alam. (al-A’raaf: 54)

Barakah Allah adalah di mana-mana sahaja Dia letakkan di alam maya ini, firman-Nya yang bermaksud: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya). (Qaaf: 9)

Apatah lagi dari Tanah Suci Mekah dan Madinah di mana tidak semua umat Islam berpeluang dan mampu ke sana!

Bekas Pengurus Besar Kanan Haji, Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Dr. Azmi Ahmad berkata, jemaah haji adalah tetamu Allah yang Allah pilih menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah, melihat rumah Allah, Baitullil Haram, bangunan tertua di dunia yang penuh dengan keberkatan dan menziarahi makam Rasulullah dan para sahabat.

Maka, katanya, apabila mereka pulang dengan haji yang mabrur, bermakna tiada balasan yang lain dijanjikan oleh Allah kecuali syurga.

“Apabila dijanjikan syurga bermakna para jemaah yang pulang ini adalah bakal penghuni syurga. Jadi, ambil berkat dan doa daripada bakal penghuni syurga adalah sangat digalakkan kerana pasti doa dari mereka akan dimakbulkan oleh Allah.

“Tetapi janganlah dek kerana hendak ambil berkat ini kita datang berbas-bas. Sanggup bertunggu tangga di lapangan terbang semata-mata untuk mendapatkan berkat daripada jemaah yang Allah janjikan sebagai penghuni syurga itu,” katanya.

Sepanjang pengalaman bertugas selama 26 tahun di Tabung Haji beliau yakin setiap jemaah yang selamat pulang ke tanah air membawa pelbagai keberkatan dari Tanah Suci.

“Oleh kerana terlalu berkat, saya amat menggalakkan agar jemaah lelaki yang baru balik dari haji eloklah dilantik menjadi imam sekurang-kurangnya untuk 40 hari di masjid-masjid atau surau-surau.

“Ini kerana kita hendak mengambil berkat daripada doa mereka. Jadi kita mintalah yang balik haji ini doakan untuk jemaah masjid dan surau.

“Doakan agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh, rumah tangga kita aman damai dan sebagainya. Insya-Allah dapatlah juga tempias-tempias berkat daripada orang yang balik haji ini,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Namun menurut Dr. Azmi, umumnya masyarakat tidak boleh menghakimi haji seseorang itu mabrur atau tidak. Semua itu adalah dalam rahsia dan pengetahuan Allah.

“Sebab itu, jangan pula kita tidak pergi ziarah apabila mendengar kononnya haji seseorang itu ditolak.

“Walhal kita digalakkan menziarahi jemaah haji bagi pelbagai tujuan murni yang lain termasuk mengambil pengajaran dengan apa yang terjadi sepanjang di tanah suci,” katanya.

 

22
Nov
11

Kenduri- Tak Tumbuh Tak Melata…

Gambar Hiasan

19 Nov- Kalau nak diikutkan hari ini ada 4 kad jemputan kenduri kahwin yang aku terima.  Satu daripadanya sememang daripada orang yang aku kenal rapat dan Alhamdulillah aku sekeluarga telah menunaikan jemputannya atas lebih kurang jam 2.30 petang.

Manakala 3 lagi jemputan diterima dari wakil empunya kenduri dan 2 daripadanya aku sendiri tidak kenal dan aku mengambil keputusan untuk tidak akan menunaikan jemputan tersebut kerana kesuntukan masa.

Yang aku ingin kongsi dalam ekspresi kali ini ialah sikap tuan punya kenduri yang seorang ini yang aku kenal walupun jemputannya melalui wakil.  Aku hadir dalam majlis kendurinya sekitar jam 4 petang (selepas kenduri pertama).  Setiba aku di khemah kenduri, tetamu sudah berkurang.  Kelihatan tuan punya kenduri sedang berbual di sudut khemah memandang kepada ku dan sekadar tersenyum dan mengangguk dan meneruskan perbualan dengan kawannya tanpa menghiraukan aku dan beberapa orang tetamu lain yang baru datang.  Aku kira sikap itu kurang sopan dan tidak pandai bersosial.

Sebenarnya aku rasa kecewa dengan sikapnya yang melayan tetamu sebegitu ditambah lagi juadah buffet yang tidak terurus.  Cawan nak minum pun tak ada sehinggakan aku sendiri ambil cawan terpakai dan basuh sendiri untuk digunakan.

Fahamlah aku semua petugas  kepenatan tapi itu tidak bermakna kita layan endah tak endah tetamu yang kita/wakil jemput.  Kalau tidak bersedia untuk berhadapan dengan situasi sebegitu, jangan jemput orang datang.  Buatlah kenduri sekadar mampu.  Dalam musim banyak kenduri, bukan semua orang suka dijemput.  Maknanya jika tetamu bersusah payah datang meraikan kenduri kita, tetamu itu menghargai jemputan kita. Patutkah tuan punya kenduri melayan tetamu sambil lewa?

Begitulah lazimnya yang berlaku di dalam komuniti di persekitaran permastautinan ku.  Tapi itu tidak menjadi masalah, jika ada kelapangan dan tidak banyak clash majlis kenduri, aku hadiri juga majlis itu atas dasar ‘mengambil hati’ wakil yang menjemput yang memang rapat persahabatan.

Budaya wakil mewakil ini tidak salah kerana memang dibenarkan dan ada dibincang di dalam bab Munakahat.  Secara positifnya amalan wakil mewakil ini juga bagus, di samping meringankan beban tuan punya kenduri, ianya juga boleh mencetus suatu perkenalan baharu jika sebelum ini kita belum mengenalinya secara dekat dengan cara menghadiri majlis kenduri yang dianjurkannya.

Namun, apa yang sering aku alami, sesuatu yang positif dan baik dari sudut ugama ini tidak diadaptasikan dengan sebaik-baiknya kerana ‘biasanya’ dari apa yang aku sering alami bila berjumpa/bersalam dengan tuan punya kenduri, ‘kemesraan’ itu tidak wujud.  Maklumlah tidak kenal siapa diri kita yang wakilnya menjemput.  Bersalam pun mata pandang ke lain.  Biasanya perkenalan di situ tidak berkesinambungan di masa-masa lain selepas kenduri. Itulah hakikatnya.

Kesimpulannya, kenduri elok dibuat hanya untuk kenalan dan saudara mara jauh dan dekat sahaja dan mampu kita ‘bertemu mata’ dengan menjemputnya sendiri. Tak guna jemput sampai habis satu daerah sedangkan kita sendiri tidak tahu siapa jemputan kita dan tak larat pula nak melayaninya.  Fikir-fikirkan lah.

03
Nov
11

Bila mai musim haji

Musim haji telah tiba lagi.  Siapa yang telah mendaftar dengan Tabung Haji dan jika ‘bertuah’ dapat  menunaikan haji tahun ini. Alhamdulillah, syukur kerana nama anda sudah terpilih yang pada hakikatnya Allah ‘menghendaki’ kita berada dalam khalayak jutaan umat Islam di seluruh dunia di Makkatul Mukarramah.

Pada Ahad 6 Nov 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432H semua umat Islam di Malaysia khususnya akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau juga dikenali dengan Hari Raya Qurban.

Tuntutan Qurban mempunyai sejarah yang panjang bermula sejak nabi Allah Adam lagi di mana pengorbanan yang dilakukan oleh kedua-dua anaknya Habil dan Qabil.  Nabi Allah Ibrahim dan isterinya Siti Hajar diperintahkan oleh Allah (swt) supaya berkorban dengan menyembelihkan anaknya Nabi Ismail.  Apabila dilihat keikhlasan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga beranak ini di dalam berabdi kepada perintah Allah sehingga ke  peringkat perlaksanaannya, maka Allah (swt) telah menggantikan jasad Ismail dengan seekor kibas.

Nilai satu bahagian korban bergantung kepada saiz binatang yang akan dijadikan korban

Apa yang saya ingin ekspreskan pada entri kali ini ialah ‘keghairahan’ umat-umat Islam melaksanakan ibadat Qurban yang sangat dituntut (Sunat Muakkad) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.  Bagi yang berada buatlah setiap tahun pun tak apa asalkan faham akan tuntutannya supaya ibadat ini betul-betul memberi manfaat pahala kepada yang melakukan dan memberi kegembiraan kepada ‘yang tiada’ menikmati habuan yang diagih-agihkan.

Samada sekali atau banyak kali, itu bukan persoalannya. Asalkan niat sebenar adalah jitu kerana Allah.   Tiada sekutu baginya dalam melaksanakan ibadat ini.

Persoalannya, ke manakah daging-daging qurban itu diagihkan samada daging mentah atau bermasak, apakah wang untuk melaksanakan ibadat ini betul-betul dari sumber yang halal dan lain-lain.  Pada ekspresi saya, perkara ini sangat penting tapi ianya juga bukan persoalan sebenar.  So?…apa yang sebenarnya?

Persoalan yang selalu bermain-main dan menari dalam kepala saya ialah sikap/perangai mereka-mereka yang berkorban itu pada (bukan semua) ada kala terlepas pandang atau sengaja atau  atau  atau…

Nak berkorban tu elok lah amalan tu cuma diam-diam je lah… tak usah dok heboh-heboh kerana konsep berkorban ini adalah sedekah.  Sebolehnya tangan kanan menghulur biar tangan kiri tak tahu.  Kalau dok heboh-heboh nanti  jadi  riak la pulakk.

Satu peel lagi sejenis manusia yang membesar-besarkan amalan Qurban yang sunat tu walhal ada perkara WAJIB yang perlu dilunasi seperti hutang yakni  wajib melaksanakan mengikut  KEUTAMAAN yang mana dahulu bila melibatkan wang kerana wang yang akan dijadikan belanja untuk melaksanakan ibadat korban itu ada orang lain yang lebih berhak yakni sipiutang.  Maka, kata ulama’  korban itu sah namun pahalanya tergantung.

Maksudnya bukan jenis hutang beli kereta, beli rumah dan seumpamanya tapi jenis hutang kawan-kawan, contohnya: hutang buat rumah, hutang kedai runcit dan macam-macam jenis lagi la dalam bab kaki suka berhutang ni… Kena tanya lah yang arif apakah hukumnya bila berhadapan dengan situasi tuntutan yang SUNAT dengan yang WAJIB.

Petugas melapah adalah penting untuk kelicinan ibadat ini

Moral of the story ekspresi saya pada kesempatan ini ialah, buatlah ibadat sebanyak-banyaknya dan semampu-mampunya tentang perkara-perkara sunat TAPI jangan lupa yang wajib kena langsaikan dulu. Wassalam.

P/s: raya pertama dan kedua dah banyak jemputan makan free. Alhamdulillah.

Imej: sony erricson/experia neo 2.3.3

02
Oct
11

Bila Ajal sudah tiba….

Pagi 28 Sep 2011, aku menerima panggilan talipon dari anak saudaraku Zaini di Kampong Baharu Besut Trengganu mengatakan ibunya yakni kakak iparku telah meninggal dunia .  Arwah yang sebelum ini tidak mempunyai apa-apa komplikasi  yang serius melainkan darah tinggi telah diwadkan dihospital Jerteh selama seminggu kerana sakit dalam perut.  Lebih kurang jam 0600 beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 61 tahun.

Aku tidak dapat balik pada hari kematiannya kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  Namun keesokan harinya baru dapat bersama-sama keluarga di kampong.  Berada di kampong sehingga selesai tahlil arwah untuk hari ketiga.  Keesokan harinya aku bercadang untuk balik ke Jitra bersama isteri dan anak perempuan ku.

Lebih kurang jam 0400 pagi 1 Okt 2011, telingaku seakan terdengar seseorang memanggil dari bilik sebelah di rumah abangku itu.  Pada mulanya aku menyangka abang Jusoh/Rani mengigau.  Maklumlah beliau masih dalam mood kesedihan setelah pemergian isterinya kak Sinah.  Setelah aku peramati, panggilan itu berterusan seperti memerlukan pertolongan.  Lantas aku bangun menuju ke biliknya mendapati dia sedang menghadapi komplikasi sesak nafas.

Aku membangunkan anak-anaknya yang semuanya masih berada di rumah, memberi  rawatan kecemasan  seberapa mampu dan membawa nya ke hospital  Jerteh pada jam 0430. Namun bila ajal sudah sampai tiada siapa yang boleh menghalang.  Dalam suasana keheningan azan subuh di mesjid berhampiran hospital,  abangku pula menghembuskan nafas terakhir.

Ramai yang terkejut kerana tidak menyangka arwah yang semalamnya masih boleh berbicara dan melawak bersama-sama tetamu yang bertahlil malam ketiga untuk isterinya pula meninggal dunia.

Dalam usia 64 tahun abang Jusoh, sejak setahun dua terakhir ini beliau sememangnya sudah kurang sihat kerana ada tanda-tanda sakit jantung namun tiada siapa yang menduga beliau pergi begitu cepat.

Pelan aku untuk balik Jitra pada hari itu terpaksa ditangguhkan dan majlil tahlil di rumah itu bersambung 3 hari lagi.  Aku Cuma mampu membuat perancangan tetapi perancangan Allah adalah yang tepat dan mutakhir.

Abdul Rani bin Abdullah adalah bekas askar jurutera Tentera darat yang bernombor 302020.  Nombor itu seolah-olah tertulis dan dalam ingatanku sehingga sekarang.  Walaupun beliau hanya berkhidmat 16 tahun namun  zaman beliau menjadi tentera adalah penuh dengan pertempuran menentang pengganas komunis. Alfaatihah.

Abd Rani pejuang zaman insurgensi

14
Sep
11

Selamat Hari Raya 1432/2011

Biarlah gambar yang menceritakan segalanya… Malas nak mengarang cuma seperti biasa raya pertama hidangan laksam dan cookies (tahun ni beli je) dan laksa penang pada raya ketiga… sapa datang daptla makan. Gambar-gambar yang ada ni cuma sebahagian yang sempat dirakam…

errrgh... kenyang dah

 

Berselera selepas sebulan menahan lapar dan dahaga

Keluarga rohana/azhar

sila ...tambah- tambah

Hari Raya menjana Semangat kejiranan

Keluarga Rosmadi dari Bitterworth

Rakan Kelab Veteran ATM pun mari..

Singapore mari

08
Aug
11

Bebas sakit lutut

sumber utusan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SECARA umumnya, tanda-tanda seseorang mengalami koyakan pada meniskus selepas sesuatu kecederaan adalah kesakitan pada sendi lutut , kebengkakan pada lutut (mungkin tidak ketara pada peringkat awal) dan kesukaran melakukan pergerakan penuh pada lutut tersebut.

Osteoartritis ditakrifkan sebagai kerosakan atau degenerasi pada permukaan rawan pada sendi – sendi yang mengalami proses penipisan rawan.

Permukaan rawan yang nipis ini lama-kelamaan akan merekah dan membentuk lurah-lurah dan pada waktu ini geseran permukaan sendi akan bertambah menghasilkan bunyi getaran atau krepitus (bunyi meretih) dari sendi tersebut.

Tanda-tanda yang dialami merupakan kesakitan terutamanya apabila bergerak atau berjalan, kebengkakan yang datang dan pergi, dan kekakuan atau kesukaran menggerakkan sendi lutut sepenuhnya seperti kesukaran melakukan solat secara sempurna (duduk di atas lantai).

Rawatan diklasifikasikan sebagai rawatan konservatif dan rawatan pembedahan . Rawatan secara konservatif termasuklah:

* Mengelakkan pergerakan berlebihan pada lutut , atau rehatkan lutut (sementara)

* Menggunakan ais untuk membantu mengurangkan kesakitan dan kebengkakan

* Mengambil ubat penahan sakit sekiranya tiada kontraindikasi

* Mengambil ubatan glucosamines dan chondroitin bagi membantu memulihkan kondisi rawan (tetapi ia tertakluk kepada tahap kerosakan rawan tersebut)

* Fisioterapi bagi menguatkan otot-otot paha dan betis, dan menyelaraskan pergerakan lutut

* Menggunakan tongkat bagi mengurangkan impak ke atas lutut yang cedera

* Menyuntik ke dalam lutut dengan pelincir tiruan atau hyaluronic acid sebanyak tiga hingga lima kali, bagi membantu melincirkan kembali lutut .

Rawatan seterusnya adalah rawatan pembedahan yang dicadangkan kepada pesakit setelah rawatan konservatif tidak memberikan kesan yang positif.

Pembedahan yang dimaksudkan adalah pembedahan secara artroskopi ke dalam lutut menggunakan teleskop dan sistem kamera untuk meneropong ke dalam lutut untuk melihat segala patologi atau kerosakan lutut seperti yang digambarkan di atas.

Bagi meniskus yang koyak, (bergantung kepada keadaan koyakan tersebut) meniskus yang koyak sedikit, boleh dijahit semula. Akan tetapi untuk koyakan yang kompleks atau koyakan secara degenerasi perlu dinipiskan menggunakan alatan mudah secara artroskopi tanpa perlu pembedahan luka yang besar.

Proses pembedahan ini dianggarkan boleh mengambil masa setengah jam hingga satu jam mengikut keseriusan kecederaan.

Pada masa yang sama permukaan rawan pada tulang boleh juga dilihat dengan jelas melalui kamera artroskopi dan rawatan sementara bagi memperlahankan proses kerosakan rawan boleh dijalankan.

Pembedahan artroskopi adalah amat mudah sehinggakan ia dijalankan secara ‘Daycare’ di beberapa hospital tertentu, dan bius perlu digunakan bagi memudahkan pembedahan ini dijalankan.

Harus difahami bahawa proses degenerasi adalah satu proses yang berterusan selagi sendi terus digunakan, oleh itu rawatan-rawatan yang tersebut di atas merupakan rawatan pemulihan sementara dan memperlahankan proses kerosakan rawan.

Penjagaan berterusan diperlukan agar tidak berlaku kerosakan pada tahap kritikal yang mana pada tahap ini, hanya rawatan pembedahan major boleh memulihkan sendi semula contohnya pembedahan penggantian sendi lutut secara total.

Jenis sakit lutut

* Artritis degeneratif

Pergerakan lutut yang kerap akan menyebabkan kerosakan progresif pada tulang, tendon dan rawan lutut . Kemerosotan sendi boleh mengakibatkan permukaan tulang yang terletak bersebelahan bergesel lalu menyebabkan sakit yang amat sangat.

Rawatan tanpa pembedahan yang paling berkesan untuk memulihkan penyakit osteoartritis ialah manipulasi kiropraktik di bahagian lutut , pinggul dan tulang belakang, senaman menguatkan tulang dan otot dan mengambil makanan tambahan yang dikenal sebagai glukosamina sulfat.

* Ligamen terseliuh

Ligamen yang koyak sedikit dan koyak sederhana dapat dirawat dengan berkesan melalui kaedah konservatif (gabungan rawatan kiropraktik dan fisioterapi).

Dalam kes ligamen yang koyak teruk, pembedahan kadangkala perlu dilakukan di samping rawatan kiropraktik dan fisioterapi.

* Bursitis dan tendenitis

Penggunaan lutut secara berlebihan melalui senaman memusing, menendang atau membengkokkan kaki boleh menyebabkan bursa (kantung berisi cecair yang berfungsi sebagai kusyen) dan tendon lutut mengalami radang dan menyebabkan berlakunya bursitis dan tendinitis.

Rehat, senaman menguatkan otot dan tulang serta rawatan kiropraktik dapat memulihkan keradangan pada bursa dan tendon lutut dengan cepat.

* Meniskus koyak

Pergerakan memusing dan pemampatan lutut yang berulang-ulang dan tiba- tiba boleh menyebabkan meniskus koyak. Melompat atau menaiki tangga akan menyebabkan lutut anda sakit sekiranya anda menghadapi masalah meniskus koyak. Bahagian meniskus tidak mempunyai saluran darah yang cukup dan oleh yang demikian, bahagian ini lambat pulih. Pembedahan biasanya perlu dilakukan untuk memulihkan meniskus yang rosak.

06
Aug
11

Gotong Royong

Jumaat 29 julai 2011 lalu iaitu 2 hari menjelang puasa, komuniti Kampong Paya Cegar Jitra bergotong rotong membersih jalan laluan ke kubur di Kampong Tanah Merah Dalam.

Lebih kurang 30 orang yang hadir meluangkan masa menjalankan aktiviti sukarela sebagai persiapan menjelang Hari raya Aidilfitri nanti.

Biasanya di pagi Hari Raya ramai waris-waris yang akan mengunjungi Tanah Perkuburan yang menempatkan jasad ibu/ayah maupun saudara mara yang terlebih dahulu kembali ke  rahmatullah.

Usaha-usaha pembersihan laluan dan tanah perkuburan sekali gus memberi kemudahan kepada kepada pelawat-pelawat yang menggunakan laluan ini.

Budaya Gotong Royong tidak lagi menjadi amalan di zaman ini

Tiada tajaan mana-mana pihak

Tanah perkuburan Tanah Merah Dalam

25
Jul
11

Lama tak naik feri daaaa..

KOMTAR kelihatan dari Butteworth

Kali terakhir sekali aku menggunakan feri ke Pu Pinang adalah pada tahun 1986. Semasa tu aku bertugas di RNO Penang yang mana feri menjadi kenderaan utama kerana jambatan belum dibina. Sejak dari tarikh tersebut seingat  aku hanya 2 kali aku kembali bertandang ke Pu Pinang iaitu pada tahun 2004 dan  pada bulan April tahun ini (2011) yang kedua-duanya melalui jambatan.  Bermakna sudah 25 tahun aku tidak menggunakan feri dan ternyata sudah banyak perubahan yang berlaku di sekitar pangkalan sebelah geogetown dan Butterworth.  Tentunya kedatangan aku bersama keluarga ke Pu Mutiara pada 23 Jul 2011 telah mengembalikan ingatan lampau walaupun aku hanya menyelusuri  tanpa berhenti sehingga sampai ke destinasi kami di Rumah Puspanita di kawasan Penang Free School di mana berlangsungnya majlis perkahwinan cucu kepada ibu angkat kami.

Perkhidmatan feri tetap relevan

Perjalanan dgn feri cuma +- 15 minit

Beberapa ketika berada di majlis tersebut,  kami meneruskan perjalanan untuk mengunjungi rumah anak saudara di Bayan lepas.  Alhamdulillah pemanduan agak lancar walaupun terpaksa menggunakan perkhidmatan signboard semata-mata kerana kepesatan pembanguanan di Pu Mutiara menyukarkan aku  untuk mengecam walaupun kawasan tersebut aku cukup ‘matang’ pada suatu masa dahulu. Layannn je la gambor sebagai halwa mata kome..

Pentas pengantin tersusun indah

Meja VVIP

Kambing golek

 

Majlis dihiburkan oleh pemuzik tradisional tempatan

04
May
11

Kitaran Beras

Ekspresi bergambar ini hanya sekadar merakam dan mempamir aktiviti semasa komuniti penanam padi yang menjana beras yang seluruh rakyat Malaysia makan setiap hari sebagai makanan ruji.

Walaubagaimanapun topik Kitaran Beras ini tidaklah merangkumi semua gerak kerja penanaman padi semusim penuh.  Mungkin akan ditambah gambar-gambar bila ada peluang.

Membajak kali kedua (membalik)

Operator jentera pembajak tidak memerlukan kelulusan akademik tetapi menuntut komitmen yang tinggi.

Kubota selain menjadi pembajak sekunder malah ia berfungsi sebagai perata tanah.

Kerja sebegini bukan sahaja dari golongan petani malah menjana pendapatan sampingan orang berkerjaya tetap.

Meratakan tanah walaupun nampak tidak begitu penting tetapi sudah menjadi rutin supaya benih yang ditabur dapat tumbuh sekata.  Selepas membadai, biasanya mereka akan menyembur racun Gondang Emas untuk mengekang kemaraan dari merosakkan anak padi dalam lingkungan 10 hari. Penggunaan racun yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kematian ikan-ikan air tawar yang berada di dalam bendang.

benih yang berkualiti menghasilkan pulangan yang tinggi

Pemilihan biji benih yang baik akan memberi pulangan hasil padi yang bermutu.  Banyak benih padi di pasaran yang masing-masing menggunakan formula yang tersendiri berdasarkan kajian dan testimonial hasil yang lepas.  Hasil yang berkualiti adalah menghasilkan beras yang panjang dan berat timbangan sekaligus mengberi pulangan wang yang bertambah kepada petani.

Buat kerja bendang perlukan stamina

Padi benih dimasukkan ke dalam injin penabur

Menabur benih juga memerlukan kemahiran...

Kehijauan bila berintraksi dengan alam

Padi di peringkat ini masih perlu penjagaan rapi ...

Masalah Padi

Bena Perang

Bena perang-gambar pertanian selangor

Bena perang (Nilaparvata lugens) merupakan perosak penting bagi tanaman padi yang mengakibatkan kerugian besar kepada petani. Sejak serangga ini menjadi perosak utama di sawah padi di seluruh dunia, pelbagai jenis racun diperkenalkan bagi mengawal serangan perosak ini. Bena perang juga dilabel sebagai “perosak Revolusi Hijau” pada tahun 1977. Gambar kiri : kesan serangan bena perang yang dikenali sebagai “hopperburn”.

Bagi mengawal serangan bena, insektisid jenis phenylpyrazole seperti fipronil dan ethiprole, carbamate seperti aldicarb, carbofuran, carbaryl, BPMC dan MIPC, neonicotinoid seperti imidacloprid, thiamethoxam dan clothianidin, pyrethroid seperti allethrin, cypermethrin, permethrin dan prallethrin dan organophosphate seperti acephate, monocrotophos, diazinon, disulfoton dan malathion digunakan sejak sekian di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Asia Timur. Namun begitu, kerintangan kepada racun perosak ini mula dikesan di beberapa buah negara setelah beberapa tahun diperkenalkan. Bermula dengan kerintangan kepada malathion, fenitrothion dan carbaryl pada sekitar 1970-an di beberapa buah negara, bena perang terus menerus berevolusi untuk menghadapi tekanan racun perosak. Kerintangan kepada abamectin dan cypermethrin menyebabkan kesan serangan menjadi buruk sebaik sahaja disembur dikenali sebagai outbreak-causing insecticide. Terdapat juga laporan yang menyatakan bena perang telah membina kerintangan silang (cross-resistance) terhadap racun imidacloprid dan thiamethoxam. sambung bacaan…

Bahana Bena Perang (BOM)

Hasil padi yang berkualiti mampu meningkatkan pendapatan petani

Menuai cara moden pantas dan menjimatkan

Benih disemai hasil dituai

Fakta Penanaman Padi

Menanam padi sememangnya memerlukan  komitmen yang tinggi jika mahu mendapat hasil yang lumayan.  Bagi petani yang mengerjakan tanah sendiri, mendapat kelebihan kerana tidak perlu membayar sewa dan sebaliknya bagi petani yang menyewa tanah orang.  Pendapatan dalam jadual di bawah adalah termasuk subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan.  Jika subsidi dihapuskan, bermakna harga beras akan menjadi lebih tinggi dalam pasaran.

Perbelanjaan dan Pendapatan Untuk Serelong (+/-)
Sewa Tanah RM 400.00
Upah Membajak Tanah RM 130.00
Biji Benih RM 60.00
Upah Menabur RM 20.00
Beli Racun RM 200.00
Upah Meracun RM 60.00
Upah Membaja RM 60.00
Upah Mesen Menuai RM 110.00
JUMLAH PERBELANJAAN SEMUSIM RM 1,040
JUALAN SEMUSIM RM 2000.00



Hijrah Untuk Kesejahteraan

Kalendar Kehidupan

June 2012
M T W T F S S
« Apr    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Tetamu dihati

  • 23,849 hits

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.