Archive for the 'Gelagat Komuniti' Category

22
Nov
11

Kenduri- Tak Tumbuh Tak Melata…

Gambar Hiasan

19 Nov- Kalau nak diikutkan hari ini ada 4 kad jemputan kenduri kahwin yang aku terima.  Satu daripadanya sememang daripada orang yang aku kenal rapat dan Alhamdulillah aku sekeluarga telah menunaikan jemputannya atas lebih kurang jam 2.30 petang.

Manakala 3 lagi jemputan diterima dari wakil empunya kenduri dan 2 daripadanya aku sendiri tidak kenal dan aku mengambil keputusan untuk tidak akan menunaikan jemputan tersebut kerana kesuntukan masa.

Yang aku ingin kongsi dalam ekspresi kali ini ialah sikap tuan punya kenduri yang seorang ini yang aku kenal walupun jemputannya melalui wakil.  Aku hadir dalam majlis kendurinya sekitar jam 4 petang (selepas kenduri pertama).  Setiba aku di khemah kenduri, tetamu sudah berkurang.  Kelihatan tuan punya kenduri sedang berbual di sudut khemah memandang kepada ku dan sekadar tersenyum dan mengangguk dan meneruskan perbualan dengan kawannya tanpa menghiraukan aku dan beberapa orang tetamu lain yang baru datang.  Aku kira sikap itu kurang sopan dan tidak pandai bersosial.

Sebenarnya aku rasa kecewa dengan sikapnya yang melayan tetamu sebegitu ditambah lagi juadah buffet yang tidak terurus.  Cawan nak minum pun tak ada sehinggakan aku sendiri ambil cawan terpakai dan basuh sendiri untuk digunakan.

Fahamlah aku semua petugas  kepenatan tapi itu tidak bermakna kita layan endah tak endah tetamu yang kita/wakil jemput.  Kalau tidak bersedia untuk berhadapan dengan situasi sebegitu, jangan jemput orang datang.  Buatlah kenduri sekadar mampu.  Dalam musim banyak kenduri, bukan semua orang suka dijemput.  Maknanya jika tetamu bersusah payah datang meraikan kenduri kita, tetamu itu menghargai jemputan kita. Patutkah tuan punya kenduri melayan tetamu sambil lewa?

Begitulah lazimnya yang berlaku di dalam komuniti di persekitaran permastautinan ku.  Tapi itu tidak menjadi masalah, jika ada kelapangan dan tidak banyak clash majlis kenduri, aku hadiri juga majlis itu atas dasar ‘mengambil hati’ wakil yang menjemput yang memang rapat persahabatan.

Budaya wakil mewakil ini tidak salah kerana memang dibenarkan dan ada dibincang di dalam bab Munakahat.  Secara positifnya amalan wakil mewakil ini juga bagus, di samping meringankan beban tuan punya kenduri, ianya juga boleh mencetus suatu perkenalan baharu jika sebelum ini kita belum mengenalinya secara dekat dengan cara menghadiri majlis kenduri yang dianjurkannya.

Namun, apa yang sering aku alami, sesuatu yang positif dan baik dari sudut ugama ini tidak diadaptasikan dengan sebaik-baiknya kerana ‘biasanya’ dari apa yang aku sering alami bila berjumpa/bersalam dengan tuan punya kenduri, ‘kemesraan’ itu tidak wujud.  Maklumlah tidak kenal siapa diri kita yang wakilnya menjemput.  Bersalam pun mata pandang ke lain.  Biasanya perkenalan di situ tidak berkesinambungan di masa-masa lain selepas kenduri. Itulah hakikatnya.

Kesimpulannya, kenduri elok dibuat hanya untuk kenalan dan saudara mara jauh dan dekat sahaja dan mampu kita ‘bertemu mata’ dengan menjemputnya sendiri. Tak guna jemput sampai habis satu daerah sedangkan kita sendiri tidak tahu siapa jemputan kita dan tak larat pula nak melayaninya.  Fikir-fikirkan lah.

03
Nov
11

Bila mai musim haji

Musim haji telah tiba lagi.  Siapa yang telah mendaftar dengan Tabung Haji dan jika ‘bertuah’ dapat  menunaikan haji tahun ini. Alhamdulillah, syukur kerana nama anda sudah terpilih yang pada hakikatnya Allah ‘menghendaki’ kita berada dalam khalayak jutaan umat Islam di seluruh dunia di Makkatul Mukarramah.

Pada Ahad 6 Nov 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432H semua umat Islam di Malaysia khususnya akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau juga dikenali dengan Hari Raya Qurban.

Tuntutan Qurban mempunyai sejarah yang panjang bermula sejak nabi Allah Adam lagi di mana pengorbanan yang dilakukan oleh kedua-dua anaknya Habil dan Qabil.  Nabi Allah Ibrahim dan isterinya Siti Hajar diperintahkan oleh Allah (swt) supaya berkorban dengan menyembelihkan anaknya Nabi Ismail.  Apabila dilihat keikhlasan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga beranak ini di dalam berabdi kepada perintah Allah sehingga ke  peringkat perlaksanaannya, maka Allah (swt) telah menggantikan jasad Ismail dengan seekor kibas.

Nilai satu bahagian korban bergantung kepada saiz binatang yang akan dijadikan korban

Apa yang saya ingin ekspreskan pada entri kali ini ialah ‘keghairahan’ umat-umat Islam melaksanakan ibadat Qurban yang sangat dituntut (Sunat Muakkad) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.  Bagi yang berada buatlah setiap tahun pun tak apa asalkan faham akan tuntutannya supaya ibadat ini betul-betul memberi manfaat pahala kepada yang melakukan dan memberi kegembiraan kepada ‘yang tiada’ menikmati habuan yang diagih-agihkan.

Samada sekali atau banyak kali, itu bukan persoalannya. Asalkan niat sebenar adalah jitu kerana Allah.   Tiada sekutu baginya dalam melaksanakan ibadat ini.

Persoalannya, ke manakah daging-daging qurban itu diagihkan samada daging mentah atau bermasak, apakah wang untuk melaksanakan ibadat ini betul-betul dari sumber yang halal dan lain-lain.  Pada ekspresi saya, perkara ini sangat penting tapi ianya juga bukan persoalan sebenar.  So?…apa yang sebenarnya?

Persoalan yang selalu bermain-main dan menari dalam kepala saya ialah sikap/perangai mereka-mereka yang berkorban itu pada (bukan semua) ada kala terlepas pandang atau sengaja atau  atau  atau…

Nak berkorban tu elok lah amalan tu cuma diam-diam je lah… tak usah dok heboh-heboh kerana konsep berkorban ini adalah sedekah.  Sebolehnya tangan kanan menghulur biar tangan kiri tak tahu.  Kalau dok heboh-heboh nanti  jadi  riak la pulakk.

Satu peel lagi sejenis manusia yang membesar-besarkan amalan Qurban yang sunat tu walhal ada perkara WAJIB yang perlu dilunasi seperti hutang yakni  wajib melaksanakan mengikut  KEUTAMAAN yang mana dahulu bila melibatkan wang kerana wang yang akan dijadikan belanja untuk melaksanakan ibadat korban itu ada orang lain yang lebih berhak yakni sipiutang.  Maka, kata ulama’  korban itu sah namun pahalanya tergantung.

Maksudnya bukan jenis hutang beli kereta, beli rumah dan seumpamanya tapi jenis hutang kawan-kawan, contohnya: hutang buat rumah, hutang kedai runcit dan macam-macam jenis lagi la dalam bab kaki suka berhutang ni… Kena tanya lah yang arif apakah hukumnya bila berhadapan dengan situasi tuntutan yang SUNAT dengan yang WAJIB.

Petugas melapah adalah penting untuk kelicinan ibadat ini

Moral of the story ekspresi saya pada kesempatan ini ialah, buatlah ibadat sebanyak-banyaknya dan semampu-mampunya tentang perkara-perkara sunat TAPI jangan lupa yang wajib kena langsaikan dulu. Wassalam.

P/s: raya pertama dan kedua dah banyak jemputan makan free. Alhamdulillah.

Imej: sony erricson/experia neo 2.3.3

14
Sep
11

Selamat Hari Raya 1432/2011

Biarlah gambar yang menceritakan segalanya… Malas nak mengarang cuma seperti biasa raya pertama hidangan laksam dan cookies (tahun ni beli je) dan laksa penang pada raya ketiga… sapa datang daptla makan. Gambar-gambar yang ada ni cuma sebahagian yang sempat dirakam…

errrgh... kenyang dah

 

Berselera selepas sebulan menahan lapar dan dahaga

Keluarga rohana/azhar

sila ...tambah- tambah

Hari Raya menjana Semangat kejiranan

Keluarga Rosmadi dari Bitterworth

Rakan Kelab Veteran ATM pun mari..

Singapore mari

06
Aug
11

Gotong Royong

Jumaat 29 julai 2011 lalu iaitu 2 hari menjelang puasa, komuniti Kampong Paya Cegar Jitra bergotong rotong membersih jalan laluan ke kubur di Kampong Tanah Merah Dalam.

Lebih kurang 30 orang yang hadir meluangkan masa menjalankan aktiviti sukarela sebagai persiapan menjelang Hari raya Aidilfitri nanti.

Biasanya di pagi Hari Raya ramai waris-waris yang akan mengunjungi Tanah Perkuburan yang menempatkan jasad ibu/ayah maupun saudara mara yang terlebih dahulu kembali ke  rahmatullah.

Usaha-usaha pembersihan laluan dan tanah perkuburan sekali gus memberi kemudahan kepada kepada pelawat-pelawat yang menggunakan laluan ini.

Budaya Gotong Royong tidak lagi menjadi amalan di zaman ini

Tiada tajaan mana-mana pihak

Tanah perkuburan Tanah Merah Dalam

04
May
11

Kitaran Beras

Ekspresi bergambar ini hanya sekadar merakam dan mempamir aktiviti semasa komuniti penanam padi yang menjana beras yang seluruh rakyat Malaysia makan setiap hari sebagai makanan ruji.

Walaubagaimanapun topik Kitaran Beras ini tidaklah merangkumi semua gerak kerja penanaman padi semusim penuh.  Mungkin akan ditambah gambar-gambar bila ada peluang.

Membajak kali kedua (membalik)

Operator jentera pembajak tidak memerlukan kelulusan akademik tetapi menuntut komitmen yang tinggi.

Kubota selain menjadi pembajak sekunder malah ia berfungsi sebagai perata tanah.

Kerja sebegini bukan sahaja dari golongan petani malah menjana pendapatan sampingan orang berkerjaya tetap.

Meratakan tanah walaupun nampak tidak begitu penting tetapi sudah menjadi rutin supaya benih yang ditabur dapat tumbuh sekata.  Selepas membadai, biasanya mereka akan menyembur racun Gondang Emas untuk mengekang kemaraan dari merosakkan anak padi dalam lingkungan 10 hari. Penggunaan racun yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kematian ikan-ikan air tawar yang berada di dalam bendang.

benih yang berkualiti menghasilkan pulangan yang tinggi

Pemilihan biji benih yang baik akan memberi pulangan hasil padi yang bermutu.  Banyak benih padi di pasaran yang masing-masing menggunakan formula yang tersendiri berdasarkan kajian dan testimonial hasil yang lepas.  Hasil yang berkualiti adalah menghasilkan beras yang panjang dan berat timbangan sekaligus mengberi pulangan wang yang bertambah kepada petani.

Buat kerja bendang perlukan stamina

Padi benih dimasukkan ke dalam injin penabur

Menabur benih juga memerlukan kemahiran...

Kehijauan bila berintraksi dengan alam

Padi di peringkat ini masih perlu penjagaan rapi ...

Masalah Padi

Bena Perang

Bena perang-gambar pertanian selangor

Bena perang (Nilaparvata lugens) merupakan perosak penting bagi tanaman padi yang mengakibatkan kerugian besar kepada petani. Sejak serangga ini menjadi perosak utama di sawah padi di seluruh dunia, pelbagai jenis racun diperkenalkan bagi mengawal serangan perosak ini. Bena perang juga dilabel sebagai “perosak Revolusi Hijau” pada tahun 1977. Gambar kiri : kesan serangan bena perang yang dikenali sebagai “hopperburn”.

Bagi mengawal serangan bena, insektisid jenis phenylpyrazole seperti fipronil dan ethiprole, carbamate seperti aldicarb, carbofuran, carbaryl, BPMC dan MIPC, neonicotinoid seperti imidacloprid, thiamethoxam dan clothianidin, pyrethroid seperti allethrin, cypermethrin, permethrin dan prallethrin dan organophosphate seperti acephate, monocrotophos, diazinon, disulfoton dan malathion digunakan sejak sekian di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Asia Timur. Namun begitu, kerintangan kepada racun perosak ini mula dikesan di beberapa buah negara setelah beberapa tahun diperkenalkan. Bermula dengan kerintangan kepada malathion, fenitrothion dan carbaryl pada sekitar 1970-an di beberapa buah negara, bena perang terus menerus berevolusi untuk menghadapi tekanan racun perosak. Kerintangan kepada abamectin dan cypermethrin menyebabkan kesan serangan menjadi buruk sebaik sahaja disembur dikenali sebagai outbreak-causing insecticide. Terdapat juga laporan yang menyatakan bena perang telah membina kerintangan silang (cross-resistance) terhadap racun imidacloprid dan thiamethoxam. sambung bacaan…

Bahana Bena Perang (BOM)

Hasil padi yang berkualiti mampu meningkatkan pendapatan petani

Menuai cara moden pantas dan menjimatkan

Benih disemai hasil dituai

Fakta Penanaman Padi

Menanam padi sememangnya memerlukan  komitmen yang tinggi jika mahu mendapat hasil yang lumayan.  Bagi petani yang mengerjakan tanah sendiri, mendapat kelebihan kerana tidak perlu membayar sewa dan sebaliknya bagi petani yang menyewa tanah orang.  Pendapatan dalam jadual di bawah adalah termasuk subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan.  Jika subsidi dihapuskan, bermakna harga beras akan menjadi lebih tinggi dalam pasaran.

Perbelanjaan dan Pendapatan Untuk Serelong (+/-)
Sewa Tanah RM 400.00
Upah Membajak Tanah RM 130.00
Biji Benih RM 60.00
Upah Menabur RM 20.00
Beli Racun RM 200.00
Upah Meracun RM 60.00
Upah Membaja RM 60.00
Upah Mesen Menuai RM 110.00
JUMLAH PERBELANJAAN SEMUSIM RM 1,040
JUALAN SEMUSIM RM 2000.00
02
Apr
11

kaya kaya kaya !!!!

Sekadar nak berkongsi dengan masyarakat di sebalik kesenangan dunia maya ini, ada bermacam–macam tipu helah untuk menjerat mangsa.  Sebelum ini aku pernah menerima emel dengan modus operandi yang serupa tapi malas nak layan.  Rasanya elok dikongsi pengalaman ini supaya pembaca tidak mudah kelabu mata bila ada tawaran duit.  Cuma anda perlu berfikir dan tanya kepada kewarasan ” SAPA NAK BAGI DUIT SENANG-SENANG KAT HANGPA?”
Assalammuailaikum,
Saya ingin merpenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Puan Suhana binti Ramli from Malaysia. Untuk makluman saya penghidap kanser di tahap yang serius. Dan doktor telah mengesahkan bahawa saya tidak akan dapat bertahan hidup lebih lama. Dengan murah hati nya saya ingin mendermakan  segala yang saya miliki dan ini adalah keinginan yang saya dan arwah suami saya telah rancang sebelum ini. Memandangkan kami tiada di kurniakan cahaya mata.
Dengan murah hati nya dan keikhlasan hati saya dan arwah suami saya. Dan saya percaya allah maha mengetahui niat saya ini. Dengan ini, saya menghulurkan atau menyumbangkan sejumlah wang sebanyak £6,000.000.00 (Enam Juta Paun) kepada anda. Dalam memudahkan semua urusan antara saya dan anda, saya akan meminta peguam saya menyediakan segala dokumen yang berkenaan. Dan dengan izin allah semua urusan akan berjalan dengan lebih lancar, dan pindah hak milik di antara kita tidak akan bermasalah. Semoga allah memberkati segala kerjasama dari anda dan gunakan lah pemberian saya ini dengan bijaksana.
Salam,
Puan Suhana binti Ramli.
04
Mar
11

Ambil gambar tak salah kottt….

Perkahwinan atau pernikahan menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.  (Wikipedia)

Semua orang dah tau kan!!!…maka bukan itu yang aku ingin ekspreskan dalam entri kali.  Cuma ada sedikit kaitan bilamana aku diberitahu bahawa sianu tu tidak membenarkan orang mengambil/merakam gambar di majlis pernikahan anaknya yang berlangsung di mesjid. Maklumlah sianu ni agak alim-alim kucing sket dalam bab-bab agama.  Tak apa lah !!.. itu hak dia.  Namun apa alasan dia tak tahu la pulak…

Banyak jugak aku pernah hadir majlis pernikahan yang seumpama.  Seperti biasa la sebahagian ruang mesjid akan ‘dihiasi’ dengan bedak dan gincu ahli rombongan kedua-dua belah pihak dan jurugambar upahan pulak  ‘tekun’ menjalankan tanggungjawab dia merakam setiap sudut peristiwa bersejarah yang pada sesetengah orang sekali seumur hidup.  Tapi tak ada pulak tok imam atau pegawai-pegawai mesjid melarang untuk mengambil gambar.  Bagi sesetengah golongan situasi ini telah menyesakkan dada mereka.

Maka bertanyalah aku pada insan-insan yang arif lagi bijaksana dalam bab hukum hakam ugama tentang pandangan syariat dalam perkara gambar bergambar semasa upacara akad nikah dalam mesjid ni.  Ada yang memerlukan masa untuk merujuk kepada suatu sumber yang jelas dan ada yang terus menjawab mengambil faham bersumberkan nasihat guru-guru mursyid yang menyatakan kalau ingin bersyariat yang betul sememangnya tidak elok diamalkan kerana perkara asas larangannya ialah bukan masalah bergambar tetapi adab-adab hadirin yang hadir ke dalam mesjid.

Almaklumlah datang nak tengok orang bernikah…. terutamanya kaum hawa lah!!!.  Mekapnya setengah inci, bau-bauannya mengisi ruang seluruh mesjid.  Ada yang berpakaian buka-bukaan sana sini.  Pun dikira masih bagus  jika yang datang itu semuanya ‘suci’ zahir dan batin. Dipendekkan cerita kebanyakan yang datang tu (kaum hawa la) tidak tahu untuk menjaga adab-adab ketika berada di dalam mesjid.  Jauh sekali la dalam keadaan macam tu diorang nak bertahiyyatul mesjid kan?                Pastu pulak biasanya sebaik selesai akad nikah, pasangan ini biasanya tak sabar-sabar nak ‘membatal air sembahyang’ dan depan-depan tu jugakla depa buat upacara tu dan tentunya saat-saat penting perlu dirakam.  Jadi pada sesetengah orang gelagat itu memalukan dan tidak beradab di dalam mesjid.

Jadi natijah kepada ekspresi ini adalah masih berkisar kepada persoalan adakah trend berakad nikad di mesjid ini wajar diteruskan atau lebih molek kalau Jurunikad itu sahaja yang wajar ke rumah pengantin?.  Pada pendapat aku, untuk memenangi dan memenuhi keperluan semua pihak dan syariat maka wajar upacara berakad nikah ini dibuat sahaja di rumah pengantin.

Walaupun tok imam terpaksa bekerja keras tapi semua persoalan dapat dirungkai tanpa menafikan keinginan mana-mana pihak dalam bab yang diharuskan oleh syarak ini…  Sebelum ini pun tren bernikah di rumah sudah lama menjadi amalan tetapi akhir-akhir ini juru nikah menjadi lebih laris di pasaran terutama di musim-musim cuti sekolah.  Yang request nak bernikah bersusun dalam senarai tok imam maka agak kelam kabut jugaklah tok imam nak kesana kemari maka katanya lebih senang tok imam yang menunggu di mesjid.  Itulah fenomenanya.  Tapi zaman sekarang bukan seperti zaman tok imam naik gerek(basikal).  Tok imam sekarang memandu kereta canggih-canggih dahhh…. So tak la susah mana pun kannn….upah pun ada dan yang penting peranan beliau telah menghalalkan yang haram. Besar pahala di sisi ugama tu…

Fikir-fikirkan lah…

25
Feb
11

Assalamualaikum YB

Dah hampir 2 bulan 2011 menjengah namun permulaan tahun yang agak busy sekali gus mengekang aku dari berekspresi dari apa yang aku pandang, dengar dan rasa tentang apa yang telah berlaku di persekitaran kehidupan.

Barisan pemimpin masyarakat

Petang ini aku telah dijemput untuk sama-sama menghadiri satu Majlis Wakil Rakyat Bersama Warga Kampong yang rasanya belum pernah aku lakukan sebelum ini kerana aku bukanlah ahli kepada mana-mana parti politik.  Atas dasar dijemput dan berlapang dada dengan keakraban kami sekampong maka aku turut sama dalam majlis tersebut. Warga kampong yang terdiri dari berlainan parti (bukan UMNO sahaja) sama-sama memberi komitmen menyerikan majlis. Apa yang lebih menarik lagi ialah bekas ketua kampong (PAS) diminta membacakan doa selamat.  Ini adalah satu contoh perpaduan yang harus wujud dalam negara daripada bersengketa sesama bangsa kerana berlainan idealogi politik sempit.

Apa yang aku ingin kongsi dengan pembaca yang terkebetulan membaca blog ini ialah beberapa ekspresi ADUN Jitra YB Datuk Saad Man terhadap hadirin ialah amanat PM supaya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tanpa memilih bulu samada dari parti lawan, ugama dan bangsa.  Rakyat juga perlu sedar dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan kebajikan kepada rakyat sebagai agenda utama .  “Tidak ada negara dalam dunia ini yang memberi rumah percuma (PPRT), bantuan banjir dan lain-lain kepada rakyatnya”. katanya

Sesekali mendapat kesempatan tidak dilepaskan oleh rakyat untuk berdepan dengan wakil rakyat

Tambah beliau adalah menjadi tanggungjawab warga negara supaya mendaftar sebagai pemilih untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi menentukan masa depan negara.

Menziarah warga tua

Di akhir majlis YB memberi ruang kepada hadirin untuk  mengadu sebarang masalah untuk diselesaikan. Pada pemerhatian aku, ada beberapa masalah dalam kampong dijangka dapat diselesaikan hasil dengan pertemuan ini.  Inilah hasilnya jika YB sendiri yang turun padang berbanding mengharapkan JKKKP  yang kelihatan tidak mampu membawa banyak perubahan dalam kampong samada dalam bentuk kebajikan  maupun  prasarana dan kemudahan dan kesempurnaan asas dalam kampong.   Ekspresi.


27
Dec
10

lagi pasal banjir…

Kesinambungan daripada coretan penulis dalam entri yang lepas tentang gelagat komuniti dalam persekitaran daerah Kubang Pasu berkisar banjir yang melanda daerah ini akhir November lalu mungkin mencapai klimak sehingga penghujung bulan ini setelah pihak kerajaan mula melunaskan janji dengan membayar Bantuan Wang Ehsan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Ucapan oleh Dato Saad Man (ADUN Jitra)

Minggu lepas pembayaran telah dilakukan kepada kelumpok penanam padi dan minggu ini pembayaran Bantuan Wang Ehsan sebanyak RM500.00 kepada setiap keluarga yang terlibat.  Dalam semingu dua ini telinga penulis ‘tersumbat’ dengan polemik pembayaran dua kategori ini.

Dalam kategori padi, ramai yang merungut lapor sekian hektar tetapi dapat sekian yang mana terkurang dari amaun yang sepatutnya yang dijanjikan.  Ada yang tidak dapat langsung kerana tidak mendaftar tentang kemusnahan tanaman.  Dari sumber yang boleh dipercayai punca kekurangan amaun dibayar adalah disebabkan ketidakselarian bancian oleh pihak MADA dengan tuntutan oleh pihak petani.  Ada petani yang belum pun menanam tetapi menuntut kerugian.

Justeru, untuk tidak menghampakan petani, peyelarasan dibuat oleh pihak MADA dengan menampong kekuranan peruntukan bajet kerajaan dengan mengurangkan sedikit amaun dari petani yang memperolehi amaun yang besar untuk diagih juga kepada petani yang ‘menipu’.

Untuk ini manusia sanggup buat apa saja

Dalam kategori bantuan Wang Ehsan, polemiknya agak ‘panas’ kerana ramai mangsa yang terlibat tercicir namanya dari senarai penerima bantuan walaupun masing-masing telah mengisi 3 borang yang diberi.  Langkah penyelesaian, pihak terbabit cuba mencari penyelesaian untuk tidak menafikan hak mangsa-mangsa yang terbabit.  Namun begitu adat mulut manusia, tidak akan terlepas dari tuduhan dan buruk sangka.  Dapat atau tidak, hanya masa yang menentukan.

Hari ini 27 Dis 2010,  penulis meninjau tempat pembayaran bantuan Wang Ehsan sumbangan Kerajaan Persekutuan Malaysia bertempat di Sekolah Menengah  Bandar Darul Aman Jitra .  Majlis disempurnakan oleh ADUN Jitra dan Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Sabar menunggu saat

Apa yang menarik perhatian penulis ialah sikap ‘manusia’  bila berdepan dengan duit.  Berasak-asak, berebut untuk mendapat tempat pertama samada di kaunter pengesahan apatah lagi semasa penyampaian envelop wang.  Semua ruang kosong depan di dalam dewan dipenuhi walaupun arahan tidak membenarkan.  Lain benar suasananya berbanding  Mesyuarat Agong PIBG atau majlis seumpamanya.   Sehingga habis mesyuarat pun kerusi di depan tiada siapa yang sudi memenuhi walaupun pengerusi berbuih mulut mengarahkannya.  Itulah gambaran fenomena masyarakat kita dengan duit.  Ekspresi

19
Dec
10

Banjir- Antara kerugian dan habuan

 

Banjir di sebelah utara semenanjong dah pun sebulan setengah berlalu dan mengikut ramalan meterologi akan ada gelombang kedua akan melanda sekali lagi.  Jika meneliti cuaca di sebelah utara ini pun saban hari hujan turun cuma dalam sekala yang kecil namun untuk menjangkakan kebenaran akan datang banjir gelombang kedua ini adalah hanya Allah yang maha mengetahui.

Di kedai-kedai kopi, post mortem banjir versi kedai kopi  masih belum tamat  seolah-olah peristiwa duka (sebenarnya ada yang bergembira) ini baru semalam berlaku.  Sebenarnya ekspresi pasca banjir lebih kalut berbanding  dengan kekalutan semasa banjir.  Cuma bezanya kekalutan semasa banjir adalah masing-masing menumpukan usaha menentukan diri dan keluarga selamat samada berpindah ke pusat pemindahan banjir atau pun tidak.

Namun dalam kekalutan itu ada juga tanda-tanda keseronokan bermain atau melihat fenomena yang jarang sekali berlaku di kawasan ini walaupun ada yang kediaman mereka memang parah ditenggelami air yang merosakan segala macam isi kandungan rumah yang terlibat. Kerugiannya memang ternyata.  Ramai juga yang membuat kalut walaupun kediaman mereka tidak ditenggelami dan tidak mengalami kerugian apa-apa.

Kekalutan dalam post mortem versi kedai kopi, seperti biasa  salah menyalahkan terutamanaya ‘kerajaan-kerajaan’ dan agensi-agensi di bawahnya menjadi bualan hangat.  Yang menjadikan lebih panas telinga adalah  semangat kepartian sering menjadikan pihak lawannya sebagai kambing hitam.  Orang ini menuduh pasukan ini tidak cakna dan orang ini pula menuduh orang dari parti ini tidak cakna dalam menangani  masalah rakyat.  Kalut dan riuh rendah…..Itulah gambarannya sehingga keluar tuduh menuduh ini dalam media elektronik dan cetak.  Yang melakukan gimiki ini adalah semuanya pemimpin-pemimpin  masyarakat yang masing-masing menjadikan kumpulan mereka juara untuk saham politik.

Kekalutan yang mungkin sudah memasuki fasa akhir post mortem versi kedai kopi adalah untuk menerima ‘habuan’ dari ‘kerajaan-kerajaan’ yang menjanjikan untuk memberi bantuan. Kerajaan ‘Bumi’ telah pun memberi telor ayam dan beras sekadar mampu yang pada mulanya khusus untuk ‘orang-orang’nya sahaja.  Namun di atas kebijaksanaan kepala kampong yang mementingkan silaturrahim dari terguris, maka semua aliran diberi sama rata sama rasa.

Demi menjaga kredibiliti, maka kumpulan parti langit pula memberikan anak kariahnya (orang yang sama juga) sebuah dapor gas setiap satu keluarga yang kampongnya ditenggelami air.  Dengarnya ada lagi bantuan yang akan diberi (dengar katanya tilam dan wang) yang mana sesetengah tempat sudah dapat .

Bagi pesawah-pesawah yang telah melaporkan (padi rosak atau tidak, itu belakang kira) jadual pembayaran sudah pun dikeluarkan.  Berbunga hati masing-masing kerana durian runtuh ini bukan selalu nak dapat.  Dalam hati masing-masing dok berkira berapa jumlah yang akan dapat dari kerajaan langit (anggaran bantuan RM 600-RM800 sehektar kalau tak silap)

Rahmat banjir, padi menjadi lebih subur dan kurang ancaman..

Alhamdulillah rezki Allah Taala.  Jujur atau tidak itu lain cerita kerana yang nyatanya anak padi yang tenggelam segar bugar selepas banjir dan bakal menerima hasil yang lebih lumayan daripada biasa kesan banjir ‘rahmat’ yang memberi kesuburan dan kurang penyakit kepada kepada padi yang ditanam.  Mereka kata… “ duit orang nak bagi, kita sapu la”… Bagi yang tidak dapat selagi tidak diberi selagi itulah suara-suara sumbing ini akan terus berbunyi mungkin sampai banjir yang akan datang

Natijahnya banjir ini ada rahmatnya kerana selain kerajaan-kerajaan yang perihatin, badan-badan berkanun, NGOs, Yayasan-yayasan dan orang perseorangan  masih sudi menghulur bantuan tanpa memilih bulu tetapi adakalanya tapisan di peringkat akhir yang cuba ‘mendahulukan’ kaum mereka.

Maka bersyukurlah menjadi rakyat Malaysia, yang jika dibandingkan dengan rakyat Negara lain yang kebulur tak makan bila ditimpa sesuatu bencana.

Dalam keadaan begini perlu ada kawalan kampong untuk menghalang aktiviti pecah rumah

Cuma apa yang perlu diperbaiki, Ketua-ketua Masyarakat setempat (tanpa mengira parti) perlu ada kontijensi plan untuk menghadapi  sesuatu musibah atau bencana yang boleh dijangka seumpama banjir.  Sediakan sampan bagi setiap kampong supaya  urusan perpindahan, urusan ulang bekal dan sekuriti kampong  semasa kecemasan dapat dilakukan dengan sempurna sebelum mendapat bantuan dari luar yang akan tiba agak lewat.

Mereka yang tidak berpindah perlukan makanan berterusan..

Dengan cara itu sesuatu keperluan seperti makanan, pakaian, tilam dan sebagainya boleh diuruskan oleh bilik gerakan bencana terus kepada sasaran semasa keadaan yang betul-betul memerlukan bukannya MEMBERI BANTUAN MAKANAN SEBULAN SELEPAS KEJADIAN.

Allahuallam.

25
Nov
10

Pakatan Kenduri

Dalam entri yang lalu (Perniagaan kenduri) ada menyentuh tentang komitmen komuniti setempat apabila sesuatu kenduri diadakan. Entri kali ini mungkin lebih khusus kepada penglibatan jiran tetangga dan sahabat handai untuk menjayakan sesuatu majlis kenduri yang akan diadakan.

Tanpa pertolongan mereka-mereka ini, amat mustahil untuk menjadikan majlis ini berjalan lancar dan berkesan melainkan tuan rumah menggunakan khidmat cattering yang hampir 2 kali ganda penambahan kos.

Kumpulan ini dinamakan PAKAT atau PAKATAN yang mana satu kumpulan individu atau keluarga dalam komuniti setempat seakan berpesatuan berfungsi sebagai tenaga kerja untuk meringankan beban ahli-ahli semasa mengadakan kenduri samada kenduri kahwin, berkhatan atau pun kenduri kesyukuran yang bersekala besar.

Bukan sekadar tenaga yang berkonsepkan gotong royong ini sahaja diaplikasikan malah, ada PAKATAN yang mensyaratkan yuran dengan sesuatu jumlah tertentu dan diberikan kepada tuan kenduri pada masa tersebut.

Dalam kalangan ahli PAKATAN ini juga mengenakan sejumlah yuran untuk khairat kematian yang mana dikutip setiap kali berlaku kematian ‘di rumah’ ahli-ahli.  Kutipan ini bukan sahaja dikutip bila berlaku kematian dalam keluarga ahli malah sesiapa sahaja yang meninggal di dalam rumah ahli akan diberi sumbangan khairat ini untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh ahli-ahli untuk pengurusan jenazah.

Koordinasi tugas memang telah ditetapkan dengan perlantikan ahli jawatankuasa kerja semasa mesyuarat agong yang diadakan pada setiap tahun.  Pengagihan tugas ini adalah seperti Tukang masak nasi, Tuakang masak lauk, penyambut tetamu, tukang basuh pinggan dan mengurus semua persiapan seperti balai, khemah dan sebagainya.

Aturcara ini bermula sehari sebelum kenduri, hari kenduri dan selepas kenduri. Dari kerja-kerja menyembelih, melapah  daging dan penyediaan lauk-pauk lain, semuanya dilakukan secara bergotong royong dalam suasana yang penuh harmoni dan semangat muhibbah.  Pendek kata dalam majlis ini semua kerja akan dikelolakan oleh ahli-ahli PAKATAN.

Hari ketiga adalah hari mencuci segala perlalatan dan memulangkan balik ke dalam setor PAKATAN dengan jumlah yang mencukupi dan dalam keadaan bersih. Semua kerosakan akan ditangung dan mesti diganti oleh tuan punya  kenduri.

Semua peralatan kenduri adalah kepunyaan PAKATAN dan tidak dikenakan bayaran kepada ahli-ahli.

Natijahnya, walaupun sekarang ini trend cattering sudah mulai mengambil tempat, namun khidmat PAKATAN masih diperlukan terutamanya bagi ahli-ahli yang mementingkan penjimatan dan semangat ukhuwah dan silaturrahim yang kian pudar di dalam masyarakat.  Kebanyakan negeri  sudah luput semangat ini tetapi bagi komuniti di negeri Kedah, semangat ini masih dipertahankan.  Allahua’llam.

 

Kaum lelaki menyiang daging di awal pagi

Menetak tulang perlu konsentrasi dan kemahiran khusus

Peranan kaum ibu tunggak keberhasilan sesuatu majlis kenduri

salah satu menu yang hampir masak.

Gulai kawah

Salah satu menu daging segar yang siap dimasak

Nasi kukus Apollo memang sedap dimakan

Kaedah kukus ini nasinya lebih sedap

Tim basuh pinggan sedang bertugas

16
Nov
10

Hari terbuka TUDM Butterworth 2010

Pada 6 Nov 2010 yang lalu, Pangkalan TUDM Butterworth telah mengadakan Hari Terbuka untuk pelawat-pelawat awam.

Tapak pameran telah dibuka seawal jam 0900 sehingga jam 1700 telah mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang dianggarkan mencecah 20,000 orang.

Sebagai entiti yang mengambil berat tentang pertahanan negara, aku juga tidak melepaskan peluang menghadirinya di samping membantu mempromosikan Majalah Perajurit pengeluaran Syed Husin Production (SHP Media) kepada pengunjung-pengunjung. Gambar-gambar sekitar pameran yang sempat dirakam.

beli satu percuma tiga khusus utk orang utara.

Rakan-rakan forum sanggup datang dari pelusuk Malaysia.

Shukhoi turut dipamerkan

semua aset TUDM di pamerkan

RAkyat pembayar cukai patut tahu aset pertahanan negara

Hercules

13
Sep
10

Raya Datang lagi

1 Syawal 1431bersamaan10 Sept 2010 hijrah menjelma lagi.  Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah (swt) kerana masih memberi peluang untuk merakam detik-detik ini dalam kesihatan yang baik seisi keluarga.  Raya pertama ini aku cuma mampu mengunjungi beberapa buah rumah tetangga kerana masanya yang agak suntuk untuk memberi  laluan persiapan  solat Jumaat nanti.  Maka aku habiskan masa terluang ini dengan berada di rumah sambil melayan tetamu-tetamu yang datang.

Seperti tahun sudah, orang rumah menyediakan menu yang lain daripada kebiasaan komuniti di sini iaitu Laksam yang diadaptasi dari juadah negeri-negeri Pantai Timur.  Walaupun bergelut dengan masa persiaapan yang singkat, namun beliau masih sempat lagi bercokies dengan sentuhan baru TAT LEMPUK DURIAN (TLD)yang menampilkan kelaianan rasa dari kebiasaan yang mana perisa ini boleh dikomersialkan bagi menfaatkan hasil durian yang adakalanya tidak laku di pasaran.  Aku yakin jika Chef Wan sendiri yang merasai kelazatan rasa TLD ini sudah pasti pasarannya akan lebih meluas sebagaimana yang kebiasaan yang kita makan iaitu TAT NENAS.

Secara keseluruhannya persiapan makanan bagi  raya tahun ini masih tidak berkurang dengan penampilan tradisional ketupat palas dan serunding daging segar dari ladang, ketupat nasi dengan rendang daging segar dari ladang dan kuah kacang. Dua jenis cookies hand made dan kerepek industri kecil dan sederhana (IKS) yang banyak terdapat di pasaran.

Pendek kata raya tahun ini tidak ada apa yang kurang tambahan lagi anak-anak yang merantau turut sama beraya di kampong sekali gus meringankan beban persiapan.

Hangpa layan la dulu sebahagian dari gambar-gambar yang sempat dirakam.

Juadah tersedia seawal pagi menunggu tetamu

Laksam

Tanpa kehadiran kanak-kanak hari raya tidak berseri

Tetamu paling jauh, Sg Petani, Sarawak dan Temerloh pun datang

Haziq Daniel

Apa pun sambutan yang melibatkan hidangan juadah samada aidilfitri, aidiladha maupun kenduri kahwin atau sebagainya, tetamu adalah merupakan aset kepada keberjayaan kepada sesuatu majlis.  Tanpa kehadiran mereka, apalah maknanya kenduri atau pun perayaan.  Terima kasih kepada semua rakan taulan, jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara yang menjadikan raya tahun ini lebih bermakna.

11
Sep
10

Ekspresi Aidilfitri

Dah lama rasanya aku tak berekspresi , almaklumlah banyak kekangan yang menghalang minda aku dari berkarya  secara natural.  Setelah sebulan menghayati Ramadhan al-mubarak  kini tiba Syawal yang dinanti  oleh semua umat islam untuk meraya dan menzahirkan kegembiraan di atas kemenangan berjihad melawan hawa nafsu.  Sebenarnya di kala umat Islam di muka bumi bergembira merayakan kemenangan ini,  penghuni kubur menangisi pemergian Ramadhan kerana  dengan kehadiran Syawal bermakna  bagi mereka-mereka yang tidak tergolong di dalam mereka-mereka yang terpilih akan dihimpit oleh seksaan kubur.

Tahun ini aku mengambil keputusan untuk bersolat aidil fitri di mesjid yang aku selalu bertarawih yang mana tahun-tahun yang lepas aku tidak memilih mesjid ini kerana melewatkan solat.  Tahun ini perlaksanaanya juga tidak  berubah malah para jemaah yang sebahagiannya adalah yang balik bercuti terpaksa berlapang dada dengan celoteh pengerusi  Mesjid yang agak panjang meleret  yang mengambil kesempatan mengumumkan beberapa perkara yang beliau fikirkan perlu termasuk mengumumkan nama-nama individu penderma yang hakikat sebolehnya  mereka tidak mahu tangan kiri tahu yang tangan kanannya menderma.

Di antara intisari pengumuman  yang  agak membuatkan minda aku ligat berpusing ialah jumlah wang simpanan bersih ialah sebanyak  RM 300,000.00 lebih dan pada hemat aku Mesjid yang terkaya di Malaysia.   Kaitannya ialah walaupun  wang Mesjid ini banyak tetapi aktiviti seperti majlis Ilmunya sangat kurang.  Kalau ada pun seminggu sekali itu pun tidak begitu memukau kehadiran.  Untuk menjaga kebersihan Mesjid yang besar ini juga semata-semata mengharapkan AJK Mesjid walhal dengan jumlah simpanan, kutipan mingguan dan infak individu,  Mesjid ini mampu menggaji pekerja kebersihan secara tetap  bagi menentukan kebersihan secara total mengikut tuntutan syariat.  Sebaliknya  kualiti kebersihan Mesjid yang sering menjadi singgahan musafir ini adalah tiada bezanya dengan Mesjid yang daif dengan tandasnya yang kotor dan karpetnya yang tidak menyerlah kebersihannya.

Satu lagi pengumuman ialah tentang penolakan tawaran terhadap seorang insan yang ingin menjariahkan hartanya  untuk membina semula Mesjid ini dengan Mesjid yang baru dengan alasan jika diizinkan monopoli  itu, penderma yang lain tidak berpeluang untuk  mendapat infak pahala dari Allah Subhanahuwataala.

Akhirnya jam 1015 baru selesai solat aidilfitri setelah mendengar pesanan intisari khutbah yang juga agak panjang.  Kesan daripada ketidakpandaian pengurusan masa, kelihatan ramai jemaah yang tidak sabar untuk meneruskan agenda lain dengan meninggalkan Mesjid tanpa mendengar khutbah aidilfitri.  Allahuallam.

24
Jul
10

Hidup perlu sabarrrr

Dah lama teman tidak berurusan dengan kaunter bank.  Kelmarin teman pergi  ke  sebuah bank utama di Jitra untuk urusan ASB.  Selalunya teman transfer melalui perbankan internet  je tapi entah apa penyakitnya  akaun nak kena aktifkan balik. Teman  pun bukan pandai sangat takut salah input nanti hilang terus duit yang tak seberapa banyak dalam bank tu.

Lepas isi borang aku terus ambil nombor giliran.  Dah ada 10 orang dihadapan teman yang menunggu perkhidmatan.  Ramai pulok hari ini yang menggunakan kaunter ASB.  Dua kaunter diguna untuk  ASB.  Itu pun agak slow pergerakan  dan cecah 40 minit jugaklah teman menunggu.  Apapun tak kisahlah, itu perkara biasa.

Cuma apa yang teman nak cerita adalah semasa teman dok menunggu giliran tu (masih ada 2 nombor lagi dihadapan teman) teman perasan ada brader  tu terus meluru ke kaunter pada hal tiada nombor dipanggil lagi pada masa tu dan memang 2 kaunter tu sedang ada orang berurusan.  Kalau dia booking nombor dari semalam kot tak tau la pulok teman. Teman tak kisah pun kerana teman kenal brader tu walaupun dia tak kenal teman.  Maklum lah dia somebody jugak dalam masyarakat.

“ Abang yang besar tu tak dipanggil lagi kan?” Seorang anak muda di sebelah teman bertanya…

“Ye kot”. Jawab teman ringkas.

“Mana boleh macam tu”. Anak muda yang agak educated jugak pada tafsiran teman  terus  merungut.

“Emmm biasa la orang politik.  Orang kuat wakil rakyat tu”.  Teman sengaja nak tengok reaksi anak muda tu.

“ Ye ke?… sepatutnya orang yang macam ni la yang patut tunjuk contoh yang baik .  Kalau tak boleh ikut peraturan yang dah ada susah la macam ni…   Ini lah masalahnya orang besar-besar dalam negara kita….kalau kat luar negara, menteri pun beratur !!”.  Anak muda masih tak puas hati dan membandingkan suasana yang sama di luar negara.  Negara mana yang dimaksudkan tu teman tak usul pulok sebab teman pun setuju dengan kenyataan anak muda tadi.  Ye lah, teman pun banyak negara jugak  telah bertandang tapi tak pernah terserempak pun dengan menteri deme beratur kat kaunter awam sebab teman pun tak pernah kenal mana-mana menteri deme pun..

Teman bergegas meluru ke kaunter no 2 setelah giliran teman sudah sampai.  3 minit je urusan selesai.  Kat lobi bank teman jumpa lagi dengan brader  tadi.  Dia nak masuk kereta.  Parking kereta pun tak masuk lot yang betul.  Pakai letak je depan pintu bank (bawah papan tanda no parking pulak tu)… Mungkin dia nak cepat atau memang tabiat orang kita kot.  Memang kereta dia pun besor juga. Teman pun malas nak ambil ‘port’ tentang hal ini sebab teman pun dah masak dengan lumrah ni.

Urusan seterusnya teman ke bank CIMB kerana nak bayor ansuran kereta.  Mesen tu pulak buat hal…. Nak selesaikan ansuran RM 450 tu pun hampir 20 kali teman kena ulang kerana mesen tu tak nak telan duit.  Duit baru note RM50 tu agak licin pastu sensor setting tu kurang sensitive le gamaknya.  Last sekali ada mamat sebelah tu kasi note 50 lama 100 henggit, baru selesai.  Perkara ni dah lama berlaku pada 2 mesen deposit tu.  Haram tak dibuat alignment apa yang patut. Kesian orang belakang  teman le kena tunggu lama.  Tapi bukan salah teman ponggg!!…

Tergerak pulak hati nak tanya baki pembiayaan kat kaunter lantas teman terus sua resit tadi kat mek kerani tu.  Dia pun tulis baki RM 24,717.70.  Nilai semasa kereta teman sekarang mungkin dalam RM15,000 sebab masa teman beli dulu harga kereta Malaysia tengah mahal.   Lepas 4/5 bualn teman beli, harga bedebuk jatuh .    Huwaaa huwaaaa…  4 tahun lagi baru habis.  Masa tu nilai kereta teman mungkin hanya tinggal RM 3 atau 4 ribu je…..

Keluar bank ada pulok kawan tu jual calendar(calendar islam la …. Calendar kuda tak pernah pulok ada orang jual).  Teman tak beli tapi seluk poket masuk tabung anak yatim yang juga dok tunggu kat luar.  (Betul ke tipu tu deme punya pasal.  Asalkan teman jujur memberi).

Niat dihati tu nak jenguk la kejap pejabat Persatuan Bekas Tentera (PBTM) Kubang Pasu.  Sampai depan pintu tengok mangga besor lengan.  Notis kat situ tulis “ BUKA PADA HARI JUMAAT DARI JAM 9.30 HINGGA 11.30 PAGI.  Teman tengok jam baru pukul 11.00 pagi.  Dalam hati teman kata “ini lah cakap tak serupa bikin”.  Apapun teman tetap bersangka baik,  mungkin deme buka kejap je atau tak bukak terus pasal banyak hal yang lebih besor.  Lagipun teman pun takde kerja penting pun nak buat.  Teman pun balik le …tunggu apa lagi….

Kesimpulan yang boleh teman buat untuk sketsa teman dalam masa 2 jam dalam masyarakat ialah:

  1. Bila berhadapan dengan peraturan selalunya manusia tidak sabar dan sering menganggap diri ‘istimewa’ yang boleh overruled peraturan yang orang buat.  Malah ada kalanya tiada siapa yang ‘sanggup’ menegur.  Malas nak kisah, malu alah dan sebagainya.  Jika sikap ini tidak boleh diubah, rasanya lebih baik sesebuah organisasi berkaunter menyediakan lorong/kaunter  khas untuk orang-orang  istimewa/VIP  supaya rakyat marhaen tidak kecil hati.
  1. Sekarang kita terpaksa guna teknologi dalam urusan seharian tapi penyedia perkhidmatan masih menganggap small error adalah perkara remeh.  Sebab tu orang tua-tua lebih suka simpan wang bawah bantal.  Nak tekan computer tak reti katanya…  Yang reti pun kadang kala berpeluh ketiak dibuatnya.
  1. Dalam bab berpesatuan,  AJK biasanya berkhidmat secara percuma.  Terpaksa kena bahagi masa untuk peribadi dan persatuan.  Walaubagaimana pun jadual mesti dipatuhi supaya kredibiliti persatuan tidak diragui oleh ahli-ahli.  Kadang-kadang ahli yang bermasalah datang dari jauh untuk berurusan tetapi kecewa kerana urusan tidak boleh diselesaikan dek kerana pejabat persatuan tidak dibuka.  Dahlah masa berurusan seminggu sekali.  Bermakna perkara-perkara urgent akan menjadi out dated untuk menunggu minggu-minggu berikutnya.



Hijrah Untuk Kesejahteraan

Kalendar Kehidupan

June 2012
M T W T F S S
« Apr    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Tetamu dihati

  • 23,849 hits

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.