Archive for the 'peristiwa' Category

02
Oct
11

Bila Ajal sudah tiba….

Pagi 28 Sep 2011, aku menerima panggilan talipon dari anak saudaraku Zaini di Kampong Baharu Besut Trengganu mengatakan ibunya yakni kakak iparku telah meninggal dunia .  Arwah yang sebelum ini tidak mempunyai apa-apa komplikasi  yang serius melainkan darah tinggi telah diwadkan dihospital Jerteh selama seminggu kerana sakit dalam perut.  Lebih kurang jam 0600 beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 61 tahun.

Aku tidak dapat balik pada hari kematiannya kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  Namun keesokan harinya baru dapat bersama-sama keluarga di kampong.  Berada di kampong sehingga selesai tahlil arwah untuk hari ketiga.  Keesokan harinya aku bercadang untuk balik ke Jitra bersama isteri dan anak perempuan ku.

Lebih kurang jam 0400 pagi 1 Okt 2011, telingaku seakan terdengar seseorang memanggil dari bilik sebelah di rumah abangku itu.  Pada mulanya aku menyangka abang Jusoh/Rani mengigau.  Maklumlah beliau masih dalam mood kesedihan setelah pemergian isterinya kak Sinah.  Setelah aku peramati, panggilan itu berterusan seperti memerlukan pertolongan.  Lantas aku bangun menuju ke biliknya mendapati dia sedang menghadapi komplikasi sesak nafas.

Aku membangunkan anak-anaknya yang semuanya masih berada di rumah, memberi  rawatan kecemasan  seberapa mampu dan membawa nya ke hospital  Jerteh pada jam 0430. Namun bila ajal sudah sampai tiada siapa yang boleh menghalang.  Dalam suasana keheningan azan subuh di mesjid berhampiran hospital,  abangku pula menghembuskan nafas terakhir.

Ramai yang terkejut kerana tidak menyangka arwah yang semalamnya masih boleh berbicara dan melawak bersama-sama tetamu yang bertahlil malam ketiga untuk isterinya pula meninggal dunia.

Dalam usia 64 tahun abang Jusoh, sejak setahun dua terakhir ini beliau sememangnya sudah kurang sihat kerana ada tanda-tanda sakit jantung namun tiada siapa yang menduga beliau pergi begitu cepat.

Pelan aku untuk balik Jitra pada hari itu terpaksa ditangguhkan dan majlil tahlil di rumah itu bersambung 3 hari lagi.  Aku Cuma mampu membuat perancangan tetapi perancangan Allah adalah yang tepat dan mutakhir.

Abdul Rani bin Abdullah adalah bekas askar jurutera Tentera darat yang bernombor 302020.  Nombor itu seolah-olah tertulis dan dalam ingatanku sehingga sekarang.  Walaupun beliau hanya berkhidmat 16 tahun namun  zaman beliau menjadi tentera adalah penuh dengan pertempuran menentang pengganas komunis. Alfaatihah.

Abd Rani pejuang zaman insurgensi

26
Nov
10

Perasmian IPD Kubang Pasu

 Wajah baharu IPD Kubang Pasu

Tanggal 24 Nov 2010, warga Sang Saka Biru Kubang Pasu menerima IPD baru yang serba lengkap, moden dan sophisticated sesuai dengan keperluan semasa yang menuntut transformasi insfrastruktur dinamik bagi menyokong peningkatan prestasi kerja warganya.

Projek pembinaan telah dimulakan pada 03 Jul 2006 yang melibatkan kos keseluruhan RM 71 juta.  Pembangunan kompleks ini dilaksanakan oleh syarikat Barad Holding Sdn. Bhd dan telah siap dibina dan diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 16 Nov 2009. Manakala pada 01 Jan 2010, IPD yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang selesa dan menarik ini mula beroperasi.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-marhum Sultan Badlishah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Pembesar-pembesar Negeri dan Pemimpin-pemimpin PolitikTempatan.

KDYMM Sultan menandatangani plak perasmian

Memeriksa Kawalan Kehormatan dari FRU Kuala Lumpur.

Kawalan suku

Barisan dif kenamaan

08
Nov
10

Sekali Air Bah…..

Sekali Air Bah, Sekali Pasir Berubah adalah satu peribahasa yang menerangkan tentang sesuatu perubahan pasti berlaku bertitik tolak kepada kejadian sesuatu peristiwa yang mana sedikit sebanyak akan menukar wajah atau keadaan yang berubah dari bentuk asal.

Air bila kecil menjadi kawan, tetapi bila besar ia menjadi lawan juga merupakan satu perumpamaan yang tidak boleh disangkal lagi kebenarannya.  Relevansi dengan ekspresi saya sebelum ini ‘Banjir Jitra 2010’ yang memaparkan detik-detik peristiwa banjir besar yang berlaku baru-baru ini di negeri-negeri utara Kedah dan Perlis khususnya yang berulang selepas 5 tahun yang lalu.

Apa yang terpikir di benak saya ialah apakah banjir besar yang jarang berlaku ini akan menjadi satu fenomena baru kepada penduduk-penduduk di negeri ini yang mempunyai kitaran yang lebih kerap kurang dari 5 tahun  atau mungkin selepas ini akan menjadi lebih kerap seperti rutin tahunan?

Biar masa menentukan persoalan itu. Apa yang ingin saya fokuskan  pada entri kali ini ialah polemik semasa dan polemik pasca banjir Jitra 2010 yang sedang hangat diperkatakan.

Semasa di Pusat Pemindahan SKJ2 Jitra sebagai contoh, peringkat awal ramai yang merungut tentang bantuan ‘seolah-olah’ tidak ada.  “Untuk mendapatkan nasi bungkus yang mentah  pun terpaksa berebut-rebut seperti pelarian “ kata seorang rakan saya yang berada di situ.  Pemimpin-pemimpin masyarakat tidak datang menjenguk untuk bertanya khabar di antara yang dirungutkan.

Pemimpin Parti A kata, Parti B harus ambil berat sebab musibah ini berlaku dalam negeri mereka.  Pemimpin Parti B pula kata, mereka dah organized macam-macam cuma sebelah pihak Parti A saja yang sengaja membesarkan isu.

Tak cukup dengan telatah pemimpin, telatah mangsa-mangsa banjir pun sama. Ahli parti A kata, masa banjir 2004, makanan mewah, mangsa yang tidak berpindah pun dapat habuan. Tapi sekarang depa kata habuk pun tarak!!!.

Telinga penulis mendengar juga rungutan.  Orang-orang yang diamanahkan mengelola bantuan pun tumpang semangkuk. Kata mereka hanya sebahagian sahaja bantuan sampai kepada sasaran.  “Pak-pak Lebai ni pun kemaruk !!!….. dalam dok agih tu sempat lagi ciluk untuk diri sendiri”. Kata sahabat ni yang mengaku dia tengok sendiri cara pengagihan dibuat.

Maka masing-masing mempunyai hujjah sedangkan di kampong saya yang ghuyub dari peta  memang tidak ada seorang pemimpin maupun selebriti yang datang menjenguk bertanya khabar apatah lagi untuk menghulur bantuan kepada mereka-mereka yang tidak berpindah untuk ‘menjaga kampong’ dari diselongkar oleh penyangak-penyangak yang sedang menangguk di air keruh.  Di mana perginya JKKP maupun Jawatan kuasa Syura Rakyat?.

Beberapa hari (setelah air surut), banyak bantuan-bantuan tiba melalui kumpulan masing.  Semuanya dicurah di Pusat Pemindahan.  Mangsa yang tidak berpindah di kesampingkan dari menerima apa-apa bantuan dengan alasan bantuan hanya khusus untuk orang yang berpindah sahaja.  Entah dari mana datangnya justifikasi bantuan yang dipraktikkan, saya pun tak tahu.

Malah kami pun tidak mahu ambil tahu walaupun kami ‘terkepung’ selama beberapa hari namun kami belum kebulur malah kami rasa lebih selesa dan ‘mewah’ dengan saki baki ransum yang  kami simpan ditambah dengan makanan dari tanaman seperti ubi kayu dan sebagainya.

Banjir Surut

Masa rumah belum dinaiki air, kelam kabut masing-masing cuba menyelamatkan barang/pakaian dari ditenggelami.  Selepas banjir lagi penat melihat kemusnahan barang perabut, pakaian, binatang ternakan dan tanaman yang musnah.

Memunggah barang-barang keluar dan membuang lumpur dan membersih rumah sangat memenatkan jiwa dan raga.  Penat fikiran memikirkan kerugian yang ditanggung dan penat badan untuk membersihakan segala sisa-sisa banjir di rumah masing-masing.

Polemik bantuan yang bakal diberi oleh kerajaan masih hangat diperkatakan.  Dapat atau tidak hanya masa yang akan menentukan.

Justifikasi apa yang akan dipakai nanti sama-sama kita tunggu dan lihat.  Cuma nasihat penulis sebagai mengakhiri coretan ini ialah:

  1. Tak usahlah berpolitik dalam suasana begini. Menghulur dan membantu biar ikhlas dan nanti masyarakat akan menilai keiklasan anda atau kumpulan anda yang akan diterjemahkan melalui kertas undi.
  1. Selagi dinamakan mangsa banjir, berpindah atau tidak, mereka tetap mangsa. Jangan diskriminasikan mereka kerana mereka secara tidak langsung telah berperanan sebagai mata telinga bagi menghalang penyangak-penyangak dari mengambil kesempatan.
  1. Pemimpin-pemimpin  masyarakat perlu ada kontijensi plan dan laksanakan perancangan mengikut plan yang dirancang dan bertindak awal sebaik menerima amaran dari pihak meteorology.

Sekian semuga semua mendapat manfaat.  Setiap apa yang berlaku ada hikmah dari Allah (s.w.t) . Yang tersurat dapat dinilai dan banyak yang tersirat hanya Allah yang maha mengetahui.

 

Dah angkat bagi tinggi tapi tenggelam jugak..

Preparation sedaya mampu untuk mengelak kemusnahan

banyak yang musnah

Kerja pembersihan memenatkan

Kerugian dalam sekelip mata
Banyak jalan2 mini musnah. Kerajaan mana akan membaiki nanti?
02
Nov
10

Banjir Jitra 2010

Lokasi Liputan: Kampong Paya Cegar Jitra.

Mungkin sejarah banjir besar Dis 2004 berulang?  Petang Khamis 28 Nov hujan mulai turun dengan lebat tetapi masih ada selangnya.

Mulai Ahad 31 Nov hujan tanpa henti sehingga 02 Nov.  Keadaan Sungai Chegar menampakkan perubahan pertambahan air di awal pagi 01 Nov. Menjelang malam beberapa rumah telah dimasuki air dan air mula melimpah jalan ke sawah.  Persiapan masing-masing dilakukan untuk menghadapi segala kemungkinan.

Awal pagi 02 Nov, beberapa keluarga telah mula berpindah ke Pusat Pemindahan Sekolah Jitra 2.  Motokar dipindahkan ditempat tinggi kerana sebentar lagi jalan dijangka tidak boleh dilalui.

imej pada jam 0345

Penduduk berkumpul memantau situasi pada jam 0345

imej pada jam 0435. air sudah menenggelami lantai bawah kedai

Sehingga jam 0450 hujan masih turun, air masih naik menutupi jalan masuk ke kampong Paya Chegar Jitra dan semua kenderaan tidak boleh melaluinya.

update: 020740 Nov

Air masih terus naik walaubagaimanapun keadaan masih terkawal.  Rumah-rumah yang berada di tempat agak tinggi masih berpenghuni.   Sewaktu update ini ditulis, bekalan elektrik dan telefon masih boleh digunakan.

suasana di awal pagi

Daratan sudah menjadi laut

Seronok main banjir

Updated 021400 Nov

Momentum banjir sudah menunjukkan pengurangan kerana hujan sudah berhenti sejak  pagi.   Warga Kampong Paya Chegar masih ramai yang tidak berpindah walaupun kebanyakan rumah-rumah mereka digenangi air.  Alasan mereka, lebih senang berada di rumah sendiri di samping dapat menjaga keselamatan rumah dan lebih selesa berbanding di Pusat Perpindahan yang mempunyai pelbagai masalah.

Anak-anak galak bermain banjir sementara yang dewasa mengawasi keselamatan mereka.  Sesekali banjir seperti ini terasa semacam pesta bermain air bagi kanak-kanak yang tidak memikirkan musibah bencana ini jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

Masih ramai yang tidak berpindah

Sesekali jumpa banjir kan!!!

Walaupun kampong dibanjiri namun perhubungan dengan dunia luar tidak menjadi masalah.

Apa yang diingat hanya kegembiraan

Hidup perlu diteruskan...

Banjir tahun ini lebih kecil berbanding 2004

wanita ini memasak makanan secara sukarela untuk warga kampong yang lalu lalang.

hangpa ni tak takut lintah ke!!!

Mesyuarat dalam banjir

Ubi kayu juadah masa banjir...sedap woo

Updated 030745 Nov 2010

Air telah surut tetapi penurunan agak perlahan, besar kemungkinan berbetulan dengan air laut yang sedang pasang.  Jalan perhubungan telah boleh dilalui.

satu pemandangan di awal pagi

kenderaan masih belum boleh dilalui kerana permukaan jalan tidak boleh dilihat dengan jelas.

Di pekan Jitra banyak kereta terperangkap.

Banjir dah surut pun.

04 Nov, banjir di kawasan Jitra beransur pulih.  Walaubagaimana pun masih ramai yang berada di pusat pemindahan.  Manakala banjir baru sedang tertumpu di kawasan Alor Setar. Apa yang boleh di lihat adalah banyak kemusnahan kepada peralatan rumah spt perabut, pakaian dan sebagainya.

Apapun syukur alhamdulillah, kampong Paya Cegar tidak berakhir dengan tragedi.  Sekian liputan untuk topik ini.

26
Aug
09

rumah naik air

Dalam keghairahan kita menjalani kehidupan seharian, kita tidak boleh lari dari mengalami peristiwa atau kejadian yang mana telah membawa akibat dan perubahan pada diri kita, keluarga, sahabat malah harta benda juga.

Yang pentingnya bagaimana kita menghadapi nya saat itu dan redha dengan apa yang telah ditakdirkan…… Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di sebaliknya.Sabar itu sebahagian daripada iman.

Banjir buruk di kedah pada pertengahan dis 2005. titipan gambar kenangan rumah dinaiki air pada 18 dis 2005.

 

 

103_1873103_1878103_1888103_1883

Pekan Jitra

Pekan Jitra

 

tak sempat nak berbuat apa-apa

tak sempat nak berbuat apa-apa

kuasa Allah tak ada sapa boleh menduga

kuasa Allah tak ada sapa boleh menduga




Hijrah Untuk Kesejahteraan

Kalendar Kehidupan

June 2012
M T W T F S S
« Apr    
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Tetamu dihati

  • 23,849 hits

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.