Archive for the 'Riwayat Hidup fasa 1' Category

17
Jun
13

Bersyukurlah kita jadi rakyat Malaysia….

Armada TLDM era pra pembangunan di awal 80an tidak banyak mempunyai aset yang canggih.  Flotila Serang hanya boleh dibanggakan dengan skuadron FAG (G) dan FAC(M) sahaja.  Kapal Frigate cuma ada KD HANG TUAH dan KD RAHMAT manakala Flotilla Bantuan terdiri dari kapal-kapal lama yang dipindah milik seperti KD SERI LANGKAWI, KD BANGI dan  KD RAJA JAROM.

Bertugas di KD HANG TUAH pada waktu itu sudah dikira terbaik kerana kapal ini saja yang sering ditugaskan untuk lawatan operasi  ke luar negara yanga mana negara-negara yang sempat aku lawati ialah Singapura, Indonesia, India, Korea dan Hong Kong yang masih di bawah jajahan British.

Pada 1983, KD HANG TUAH telah membuat lawatan operasinya ke Bombay India selama 5 hari.  Di samping itu juga perancangan telah diatur untuk membaiki Meriam ‘A’ (4 inci) yang sudah sekian lama menjadi ‘tukun darat’ di Foxle  KD HANG TUAH.

DSC_0244-1

Berdiri dari kiri:..Ro Ridzuan, RO Mat Johar, arwah PBS Mazlan, Coxn Ahmad, midshipmen…
Duduk dari kiri:… Midshipmen… , saya dan Midshipman Lee

Bukan kisah A gun HANG TUAH yang aku nak kongsi dalam ekspresi kali ini tetapi satu sketsa kehidupan yang sempat aku rakam dalam memori setelah 30 tahun berlalu.  Kisahnya berkisar kepada seorang tua gelandangan yang merempat di kawasan pelabuhan Bombay tempat kami bertambat.

Beliau berasal dari Indonesia mengikut ibunya ke Bombay setelah berkahwin dengan lelaki warganegara India sejak umurnya  masih kanak-kanak lagi.  Semasa beliau berumur 9 tahun ibunya meninggal dunia dan dia di bela oleh bapa tirinya.  Tak lama selepas itu bapa tirinya pula meninggal dunia.

Maka sebatang karalah orang tua ini meneruskan hidup zaman remajanya dengan bekerja  sekadar untuk mengisi alas perutnya sahaja.  Kadang ada kerja dan banyak masa yang beliau tidak berkerja mengikut ceritanya yang masih boleh bertutur dalam bahasa Indonesia.  Katanya , kalau bekerja pun pendapatan sekadar 5 rupee (RM1.00) sehari pada masa itu.  Begitulah jalan hidupnya melarat sepanjang hayat.

Di pelabuhan Bombay di tempat KD HANG TUAH berlabuh merupakan kawasan rekreasi di tepi laut.  Di gangway  telah disediakan tong sampah crew kapal membuang sampah.  Setiap kali kami turun untuk membuang sampah, ramai gelandangan datang menunggu  untuk menafaatkan sisa-sisa yang dibuang.  Nasi-nasi lebihan yang dibuang bersama sampah lain mereka ambil dan membuat pengasingan.  Nasi itu diayak, diasing dan dibersihkan semula untuk  dikitar semula sebagai makanan pengalas perut.

Terharu kami melihatnya tentang kesusahan dan kemiskinan golongan kasta rendah yang hidup di dalam sebuah negara yang rakyatnya mempunyai kepakaran dan kemahiran teknikal yang tinggi tetapi lemah dari segi pentadbiran.

DSC_0247-1

Kiri: PJT Zainal

Peminta sedekah bermaharajalela di seluruh bandaraya, bayi-bayi yang baru dilahirkan tidak mendapat perlindungan sewajarnya dan kebuluran adalah fenomena biasa .  Ibubapa memanipulasikan anak-anak kecil mereka sebagai bahan penarik kesihan belas orang ramai dengan melakukan pelbagai aktiviti..…

Hakikatnya di negara kita pada zaman yang sama, rakyatnya tiada yang kebuluran dan kanak-kanak  bebas bermain dalam keadaan perut yang kenyang.

Menyedari hakikat ini wahai rakyat Malaysia, mari lah kita bermuhasabah dan membuat perbandingan dan bersyukurlah dengan kemakmuran yang Allah kurniakan kepada kita.  Jangan pula kita jadikan kemakmuran dan keharmonian ini sebagai medan untuk memecahbelahkan perpaduan …..insaflah!!!

Ekspresi

Rumah kasut di Bombay

Rumah kasut di Bombay

08
Jun
13

Baik buruk manusia adalah bukan kerana bangsa…

Tentunya semua masih ingat tentang kejadian pencerobohan lebih 150 orang pengganas dari selatan Filipina yang mendakwa sebagai Askar Diraja Sulu dan berlindung di Kampong Tanduo, Felda Sahabat 17 Lahad Datu Sabah.

Pencerobohan berdarah pengganas di Lahad Datu yang bermula sejak 12 Feb 2013 lalu telah membuka mata banyak pihak terutamanya masyarakat terbanyak dalam negara yang sebelum ini tidak ramai yang  tahu tentang kewujudan etnik atau masyarakat Suluk di Sabah yang mana juga lebih dikenali dengan panggilan Tausug di Selatan Filipina.

Masyarakat Suluk sudah lama bertapak di Sabah dan dipercayai sehingga kini sudah beberapa generasi telah menjadikan Sabah sebagai penempatan yang pada awalnya kehadiran mereka untuk berniaga dan berkahwin dengan warga tempatan dan terus menetap sehingga pembentukan Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia sekaligus menjadi warganegara Malaysia secara automatik. Dianggarkan lebih 300,000 orang masyarakat Suluk yang sudah menjadi warganegara Malaysia di seluruh Malaysia.

Sebenarnya bukan aku nak cerita kisah pencerobohan ini tetapi di sebalik nama-nama kawasan ini seperti Tanjong Labian, Tawau dan Lahad Datu itu sendiri memang pernah aku kunjungi pada suatu ketika dahulu terutamanya semasa bertugas di KD LEMBING pada 1982 dan KD SERI SARAWAK awal 90an.

Terutamanya Tanjong Labian yang waktu itu adalah masih berhutan rimba.  Kami warga skuadron PC TLDM sememangnya tidak asing lagi dengan tempat ini.  Pak Mail menjadi ikon kepada kami sebagai seorang pemburu yang handal.  Pendeknya jika kami ingin makan daging binatang buruan, bersauh je di  Tanjong Labian, keesokan harinya dapatlah habuan.  Biasanya kami guna sistem barter masa berurusan dengan Pak Mail.  Kami beri bahanapi,dan makanan mentah untuk ditukarkan dengan daging seperti rusa, kijang, pelandok dan lain-lain.

Diringkaskan cerita semasa bertugas di KD LEMBING, kapal ini banyak stand off di Tawau.  COnya adalah Lt Hadi Rashid ( sekarang Laksdya Dato FOC ), XOnya ialah Lt Dya Anuwi Hassan (Sekarang Laksda Dato Markas ATM).  Dalam kesempatan yang ada aku dan PPP Rosli Awe (sama-sama OJT) selalu window shopping di Bandar Tawau.  Sebut On Job Training, bermakna aku dan Rosli hanya baru setahun dalam perkhidmatan TLDM termasuk 6 bulan di Latihan Rekrut dan 6 bulan dalam kursus Asas Kepakaran Kelas ll.

Di sebuah kedai sukan, H.Mohamed Sports ada seorang awek cun bernama Siti Rokiah (namun aku tidak begitu pasti Siti Rokiah ini dari keturunan Suluk atau tidak). Datuknya berasal dari selatan Filipina dan bapanya juga kelahiran Filipina tetapi sudah berhijrah ke Tawau sejak dari kecil mengikut bapanya.  Mereka tinggal di Perkampongan Air di Tawau yang mana kebanyakan penduduk di Perkampongan ini adalah berketurunan dari selatan Filipina (mungkin Suluk?)

DSC_0231

1982-Sudah menunjukkan ciri2 wanita moden

Terkebetulannya oleh kerana kami terlalu kerap ke kedai Sport tersebut maka secara tidak langsung kami ‘bersahabat’ baik dengan Siti Rokiah.  Sehinggakan pada suatu masa aku saja berseloroh untuk bertandang ke rumahnya dan tidak ku sangka telah mendapat respon positif.

Akhirnya jadi jugak aku dan Rosli bertandang ke rumah Siti Rokiah di Perkampongan air tersebut pada jam 5.00 petang selepas habis waktu kerja Siti Rokiah.  Masa tu tengah darah muda, bukan ingat takut atau seumpamanya walaupun kami faham sentimen orang Sabah yang tidak sukakan orang Semenanjong masih lagi menebal.  Perinsip aku ialah kita tak perlu takut jika kita tidak membuat apa-apa kesalahan dengan orang…

Dalam perjalanan masuk ke Perkampungan Air  tersebut yang berupa titian penghubung antara jalan masuk dan antara satu rumah ke satu rumah.  Kami perasan ada sekumpulan anak-anak muda berkumpul di laluan masuk sedang memerhati kami namun oleh kerana kami masuk dengan mengekori Siti Rokiah, maka tidaklah rasa begitu cuak sangat.

Semasa bertamu, kami berdua ditemani oleh Datuk dan bapa saudara Siti Rokiah. Datuknya merupakan seorang ahli agama dan tentunya sangat disegani oleh komuniti di situ.  Layanan mereka dalam pertemuan singkat pertama kali itu memberi gambaran kepada aku bahawa keluarga ini adalah orang baik-baik.

Dalam bersembang sambil minum petang itu bapa saudara Rokiah telah memberi tahu yang kelmarin ada satu kejadian pertumpahan darah berlaku di kampong tersebut. Dua orang pemuda bergaduh dan seorangnya parah ditikam kerna berebut seorang wanita.  Mengikut cerita bapa saudara Rokiah lagi, di kawasan itu sering berlaku pergaduhan.  Siti Rokiah yang duduk di sebelahku berbisik…. “Pergaduhan itu sebenarnya adalah berpunca kerana berebut dirinya”….. Hatiku berkata…”Tak hairanlah kerana Siti Rokiah memang seorang wanita yang agak cantik”..

Aku memandang Rosli, kerana waktu sudah lebih kurang jam 6.30 petang bermakna sudah masuk waktu maghrib.  Rosli yang terkelu tidak berkata apa-apa dan mengia saja bila aku mengajak pulang.  Bapa saudara Siti Rokiah menenangkan kami bila melihat riak kami yang agak suspen dengan penjelasannya dan meminta Siti Rokiah menemani kami keluar dari perkampungan supaya ‘keselamatan’ kami lebih terjamin.   Alhamdulillah kami keluar dengan selamat…

Setelah 30 tahun berlalu, kisah ini tersimpan dan baru terasa ianya mempunyai nilai yang tersendiri setelah bermacam-macam kisah yang tersiar di media-media berkaitan keperibadian orang-orang Suluk ekoran peristiwa pencerobohan di Lahad Datu.

Jika ada sesiapa yang terbaca coretan ini yang mengenali Siti Rokiah yang saya maksudkan…sampaikan salam takzim saya untuknya. Sebuah nostalgia yang mendewasakan kehidupan kami sebagai perantau.  Sesungguhnya umat islam itu bersaudara. Allahuallam.

26
May
13

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang…

DSC_0020

Mesjid ini sudah banyak berubah

Aku masuk navy pada 01 Oktober 1981 yang mana setelah Pusat Latihan Rekrut sudah pun berpindah ke Teluk Muruh Lumut Perak yang sebelum ini berpusat di Sembawang Singapura.  Pada masa itu bangunan kuarters TLDM (Blok A dan lain-lain prasarana) masih dalam pembinaan cuma sebahagian saja yang sudah diduduki.

Apa yang aku nak kongsi bukan pasal pangkalan TLDM tapi sedikit nostalgia tentang sebuah Mesjid di Telok Muruh. Namanya Mesjid Sultan Idris Shah ll.  Mesjid ini dibina adalah khas untuk anak-anak kariah Telok Muruh sahaja untuk aktiviti ibadat harian.  Oleh kerana jumlah penduduk Teluk Muruh tidaklah begitu ramai maka tidak hairanlah kalau Mesjid ini tidaklah begitu besar.

Hanya sesuai untuk penduduk Telok Muroh yang kebanyakannya terdiri daripada nelayan pantai sebagai mata pencarian.  Tentunya mereka-mereka ini rata-rata berada dalam golongan orang susah.  Nelayan lah katakan.

Setelah Pangkalan TLDM mula dibina dan anggota TLDM mula dipindahkan, Telok Muroh telah mula berubah wajah.  Ramai penduduk mula menukar profesyen nelayan kepada perniagaan.

Sehingga kunjungan terakhir saya ke Teluk Muroh pada awal 2013 mendapati kampong Teluk Muroh telah membangun dengan pesatnya. Termasuklah Mesjid ini walaupun strukturnya tidak banyak berubah namun dari segi keselesaan telah beranjak kepada satu suasana yang memberangsangkan.

Banyak tanah-tanah persendirian telah dijadikan bangunan komersial termasuk tebus guna tanah bagi membina Marina Island yang menjadi mercu tanda pembangunan serta model pelancongan kawasan setempat.

Berbalik kepada Mesjid Sultan Idris Shah yang mengabadikan nama Sultan Perak ini  mempunyai nostalgia tersendiri kepada kami rekrut-rekrut TLDM terutamanya beberapa siri pengambilan awal 1980an(dari intake 143 hingga intake 148 kalau tak silap) yang mana pada masa itu Mesjid An-Nur Pangkalan TLDM masih dalam peringkat pembinaan.

Seminggu sekali kami akan menunaikan fardhu Jumaat di Mesjid Sultan Idris Shah ll ini yang jaraknya lebih kurang 2.5 km dari tempat penginapan kami di Blok D3 dan D4 KDPELANDOK.

Nama pun rekrut, kami tidaklah diberi layanan baik sentiasa.  Adakalanya kami disediakan trak 3 ton untuk berjumaat, adakalanya kami terpaksa menapak berbaris berjalan kaki di tengahari rembang dengan baju Mufti (baju melayu putih TLDM issued) sejauh 2.5 km, anda fahamlah sendiri.  Sampai di Mesjid, basah baju dialiri peluh.

Satu bab lagi, ramai rekrut yang datang ke Mesjid itu bukan kerana ‘beriman’ kepada rukun Islam itu tetapi lebih kepada kerana takut didenda oleh jurulatih yang bertugas.  Maka fenomenanya ramai yang berkeliaran di kedai-kedai di kawasan sekitar Mesjid malah ada yang kepenatan terlena di kawasan Mesjid tanpa rasa segan silu dengan jemaah-jemaah lain.

Pernah pada satu hari waktu Jumaat, Komandan KD PELANDOK  sendiri iaitu Kdr Haji Zainal Abidin (bersara Laksdya) membuat spot check bagi menangkap rekrut-rekrut yang pura-pura datang ke Mesjid tetapi tidak bersolat. Spot check yang dibuat di kala jemaah lain sedang bersolat itu memang berjaya menangkap rekrut-rekrut yang kaki ponteng solat.  Yang pastinya mereka yang tertangkap akan menerima habuan yang sangat setimpal….

Fenomena di dalam Mesjid lain pula ceritanya.  Rekrut-rekrut ini biasanya akan menghidap sindrom batuk-batuk mungkin kerana meminum air paip yang tidak bermasak setelah penat ‘dilanyak’ jurulatih semasa pembelajaran kawad dan sebagainya.  Jadi suasana di dalam Mesjid akan bersahut-sahutan lah dengan batuk-batuk seperti irama katak memanggil hujan.

Namun apa nak dikatakan, begitulah suasana sebenar para rekrut yang datang dari pelbagai pelusuk negeri dengan latar belakang kehidupan lampau yang pelbagai mempunyai seribu satu macam perangai yang tidak terjangkau oleh fikiran memikirkannya.  Datang dan berkumpul selama 6 bulan dengan satu tujuan untuk menjadi anggota TLDM.

Saya yakin rekrut perkhidmatan lain seperti TUDM, TDM malah PDRM juga mengalami sindrom yang sama yang mana mental mereka ini (kami) diuji dari pelbagai sudut bagi menukar karakter seorang pemuda awam menjadi seorang pemuda harapan bangsa dan Negara….mungkin anda tidak pernah terfikir….

27
Feb
12

Sekolah Aku Dulu

LAGU SEKOLAH

BERUSAHA SETIA BERJASA

Sekolah Nasiruddin Shah
Memperjuang kemajuan
Pelajaran asas kejayaan
Kita junjung bersama

Cita-cita yang mulia
Kita sematkan di dada
Curahkan jasa kepada Negara
Berusaha Setia Berjasa

Cita-cita yang mulia
Kita sematkan di dada
Curahkan jasa kepada Negara
Berusaha Setia Berjasa

Lirik dan Lagu asal : Abdul Halim/Anuar Md Nor
Abd Halim Mukri
Ubahsuai lirik : Wan Zahari Ali/Abas Said
Ubah lagu : Wan Rosli Su/Yahya Mat Isa

SEJARAH RINGKAS

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NASIRUDDIN SHAH, BESUT

Sejarah sekolah ini bermula pada 1 April 1962 apabila dua buah kelas aliran Melayu(Malay Medium) dibuka di Sekolah Tengku Mahmud. Pada masa yang sama Sekolah Menengah Lanjutan Besut (Secondary Continuation School) dibuka dengan rasminya .Bermula dengan dua buah kelas tingkatan satu-80 orang murid yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah bertambah kepada lima kelas aliran Melayu dan satu kelas aliran Inggeris dengan keramaian murid-190 orang-148 lelaki dan 42 perempuan. Murid-murid kelas ini menumpang belajar pada waktu petang di Sekolah Tengku Mahmud Besut. Seramai lapan orang guru dan seorang pekerja pejabat memulakan operasi sekolah ini.

Pada 20 Mei 1963 Sekolah Menengah Lanjutan ini telah berpindah ke bangunan barunya (bangunan PKG Raja dan SK Pendidikan Khas Besut sekarang). Selain mata pelajaran akademik biasa mata pelajaran vokasional seperti ilmu jahitan dan sains pertanian juga diajar di sekolah ini. Mulai 1 Ogos 1962, semua murid diwajibkan memakai uniform sekolah iaitu seluar pendek warna biru tua dan kemeja putih berlengan pendek bagi murid- murid lelaki dan warna biru tua dan ‘blouse’; putih berlengan bagi murid- murid perempuan. Lencana sekolah dengan cogan kata “Berilmu Untuk Berjasa” juga dipakai. Murid-murid sulung sekolah ini menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pertamanya pada tahun 1964.

Bagi memenuhi hasrat Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menyediakan kemudahan pelajaran kepada semua murid lepasan sekolah rendah supaya menyambung pelajaran ke sekolah menengah dengan pengantar bahasa Melayu, maka sebuah sekolah menengah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Besut telah diwujudkan di daerah Besut pada 1 Januari, 1965. Semua pelajar aliran Melayu dari Sekolah Menengah Lanjutan Besut telah diambil alih dan berpindah ke sekolah ini mulai 10 Januari 1965 sekaligus menjadi sekolah menengah aliran Melayu pertama serta terawal di daerah Besut.

Pada permulaan operasi, sekolah ini mengandungi sembilan kelas dari tingkatan dua hingga empat dengan keramaian murid 277 orang. Pada masa yang sama juga seramai 433 orang murid tingkatan satu (10 kelas) telah mendaftar diri. Bilanagan guru pada tahun pertama ialah 41 orang termasuk 15 orang guru sementara. Encik Abdul Aziz bin Haji Abdul Hadi adalah guru besar (pengetua) pertama. Pada 29 September 1965 Istiadat Pembukaan Rasmi bangunan baru sekolah di kawasan seluas 23 ekar telah disempurnakan oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia, Encik Mohd Khir bin Johari. Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Besut juga telah ditukar kepada Sekolah Nasiruddin Shah Besut iaitu mengambil sempena nama DYMM Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-marhum Sultan Zainal Abidin yang ketika itu menjadi Yang Di Pertuan Agong Malaysia Keempat.

Tarikh-tarikh penting tentang sekolah ini :

1 . 11 Februari 1965 – Perjumpaan dan penubuhan ‘Persatuan Penjaga Kanak-Kanak dan Guru’;
(sekarang Persatuan Ibu- Bapa Guru-PIBG) Pengerusi pertamanya ialah
Encik Wan Zakaria bin Said.
2. 13 Mei 1965 – Kejohanan Merentas Desa Antara Rumah Kali Pertama.
3. 10& 11 Jun 1965 – Kejohanan Sukan(Olahraga) Sekolah Kali Pertama. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YAM Tengku Zaleha Putri Ibn Al-Sultan Ismail Nashiruddin Shah, isteri Tengku Pegawai Daerah Besut.
4. 25 Okt-2 Nov 1965 – Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP) pertama di sekolah ini.
5. 14 November 1966 -Seramai 64 orang pelajar sulung menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia buat pertama kalinya.

Pada 16 Januari 1966, sekali lagi sekolah ini mengalami perubahan iaitu murid murid dari petempatan bahagian hulu Besut dipindahkan ke Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan, Besut (kemudian diberi nama Sekolah Indera Segara) yang baru diwujudkan dengan menggunakan sebahagian bangunan bekas Sekolah Menengah Lanjutan Besut. Manakala murid murid yang belajar di sekolah ini datangnya dari bahagian pantai daerah Besut.

Pada 17 Januari 1967 sekolah ini berpindah ke bangunan baru sepenuhnya ( bangunan pejabat sekarang) yang berharga RM 490 ribu termasuk dua bilik makmal sains dan sebuah asrama di atas kawasan seluas 23 ekar. Pada 24 Jun 1968, buat pertama kalinya sekolah telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan pameran hasil kerja tangan murid.
Berikutan dengan dasar kerajaan hendak meningkatkan pelajaran sains dan matematik di sekolah- sekolah menengah Melayu, pada tahun 1968, guru guru dari Indonesia diambil berkhidmat di Malaysia. Pada 3 Mac 1969, Guru Siswazah Indonesia, Drs. Sukardjono mula bertugas di sini dan mengajar pelajaran Matematik.

Bagaimanapun pada tahun 1970, dua buah sekolah menengah aliran Melayu di Alor Lintang, Besut iaitu Sekolah Nasiruddin Shah dan Sekolah Indera Segara telah digabungkan kembali di bawah satu pengurusan atas nama Sekolah Nasiruddin Shah. Percantuman ini berlaku kerana wujudnya sekolah menengah Melayu lain di Besut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jerteh (SMK Seri Nering) dan Sekolah Menengah Kampung Buloh (SMK Tengku Ibrahim, Setiu).
Pada tahun 1995, sekolah ini buat pertama kalinya menerima pelajar sulung tingkatan enam rendah dan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) sebagai calon pertama tahun 1996. SMK Nasiruddin Shah terus memahat sejarah dengan mencipta beberapa kejayaan dan pembaharuan samada pendidikan dan fizikal dalam usaha meningkatkan pendidikan negara.

Dalam tempoh itu, SMK Nasiruddin Shah telah ditadbir oleh dua belas orang pengetua(guru besar)-lihat lampiran. Sesungguhnya kelahiran sekolah ini telah banyak menabur bakti dan jasa kepada negeri dan Negara. Antara tokoh tokoh yang boleh dibanggakan ialah :

1) YB Dato’Haji Che Mat bin Jusoh – Speaker Dewan Undangan Negeri
2) Profesor Husin Mohamad – Jabatan Antopologi dan Sosiologi
Universiti Malaya.
3) Y. Bhg Dato’ Haji Mohamed Che Hamid – Bekas Pengarah Pelajaran Negeri
Terengganu.
4) Prof. Abdullah Zakaria Ghazali – Pensyarah Universiti Malaya.
5) Tuan Haji Wan Ahmad Abdullah – Pegawai Pelajaran Daerah Besut

Semoga pada masa akan datang SMK Nasiruddin Shah, Besut akan menjadi sebuah sekolah yang boleh dibanggakan dan menjadi sekolah contoh dalam pelbagai bidang.

‘BERUSAHA SETIA BERJASA’

Pertamanya aku nak rakamkan ucapan terima kasih dan memohon keizinan  daripada admin website   http://smkns.tripod.com/id1.html  untuk berkongsi segala maklumat di atas seperti lencana, lagu sekolah dan sejarah sekolah aku copy dan paste untuk entri aku kali ini.

Sebenarnya maklumat di atas sangat berharga yang merupakan kompilasi kenangan dan nostalgia sepanjang jalan kedewasaan ku.  Aku menjadi pelajar SNS (SMKNS tak sedap sebutan baru ni) dari tahun 1974-1978 yang mana dalam fasa menengah rendah (tingkatan 1 -3) aku dalam kelas Asas Perdagangan manakala dalam fasa menengah atas dalam kelas 4 sastera 1 dan menjunam ke 5 sastera 3.

Sungguhpun aku rajin ke sekolah namun aku kurang minat membaca maka tak hairanlah pelajaran aku merosot.  Semua tu kenangan lama.  Dalam entri yang lalu aku ada sebut sekadar beberapa nama  kawan-kawan yang mewarnai ‘kegagalan’  aku dalam pelajaran.  Bukan salah mereka tetapi lebih kepada pilihan dan kecenderungan aku sendiri yang terlalu kurang motivasi baik di rumah maupun di sekolah.

Walaubagaimana pun Allah memakbulkan cita-cita aku untuk jadi tentera.  Dengan keputusan SRP 28 agregate tidak sukar untuk aku mencapai impian pada masa itu.  1981 aku join TLDM.  Rupa-rupanya dalam TLDM aku terpaksa mentelaah lebih tekun berbandin di SNS.  Kalau aku belajar setekun itu di SNS, rasanya keputusan akademik aku tak seburuk yang aku dapat.  Heehehehe… tak baik berburuk sangka dengan takdir.  Nabi (SAW) berpesan dalam kitab mustika hadis yang mana maksudnya tidak seharusnya kita ‘berkalau-kalau’ kepada perkara-perkara yang lepas dikuatiri syaitan akan mengambil kesempatan membisikkan rasa tidak puas hati kita kepada takdir Allah. Astaghfirullahal’azim.

Apa pun hikmahnya aku redho berada di tahap hari ini  dan kenangan-kenangan lama seperti ini banyak memberi petunjuk  dan membenarkan maksud kalimah Bismillahirrahmaanirrahimm.

03
Aug
10

Rejimen Keselamatan

Perintah pertukaran anggota telah di terima. Pada bulan Julai 1985, dari kursus Kelas 1 KD PELANDOK, aku ditukarkan ke Rejimen Keselamatan yang sekali lagi menumpang di Blok A2 setelah Lumut Garisen berpindah ke bangunan baru 6.2 sekali gus telah mengguna pakai nama asal KD MALAYA setelah berlaku perpindahan secara menyeluruh dari Woodlands. Ramai mempertikaikan kenapa aku boleh bertukar ke unit ini yang tiada kena mengena langsung dengan kepakaran Radar Plotter (RDP). Aku terima dengan hati terbuka kerana tempat ini juga boleh memberi satu pengalaman baru yang mendewasakan aku dalam melaksanakan kepelbagaian tugas.

Rejimen Keselamatan (sekarang Probos Tentera Laut (PROTELA)) ini adalah satu unit yang bertanggung jawab di dalam pengendalian keselamatan  pintu-pintu gerbang dan pos-pos strategic Pangkalan TLDM di seluruh Malaysia. Keseluruhan anggota-anggota terdiri dari anggota Cawangan Kelasi yang didominasikan oleh kepakaran Peperangan Permukaan Persenjataan (PPP).  Staf-staf sokongan adalah merupakan minoriti yang membantu kerja-kerja perkeranian.  Unit ini juga mempunyai sel pertukarannya sendiri yang mana bertanggongjawab untuk mengatur dan menyelaras penugasan anggota di semua penempatan. Pegawai Memerintahnya pada masa itu ialah Kdr Abu Hassan TLDM (telah bersara dan pernah bertanding sebagai ADUN Lumut atas tiket Semangat 46). Hampir di semua pos-pos atau pintu gerbang yang ada di Lumut telah aku rasai bertugas dalam suasana yang berbeza.

Lokasi Nyaman TLDM

Kitaran kedua iaitu pada 1985/1986 aku telah dihantar  bertugas di RNO Penang (Resident Naval Officer) yang terletak bersebelahan dengan Padang Kota  atau Fort Cornwallis atau Esplanade.

Pulau Pinang merupakan satu destinasi pelancongan walaupun ianya tidaklah seindah mana tapi ramai pelancong singgah di situ.  Lokasinya menghadap laut, Selat Butterworth agak  terkenal di Pulau Mutiara ini.  Ini adalah kerana Fort Cornwalis mempunyai kaitan dengan pendudukan Inggeris di tanah Melayu suatu ketika dahulu.  Padang kota adalah petempatan awal penduduk Pulau Pinang. Kapten Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di Port Cornwallis.  Kubu pertahanan telah dibina di Padang Kota dan beberapa meriam di bina.

Muncung meriam ini mensasarkan bot dan kapal yang melalui Selat Butterworth. Di Selekohnya terdapat sebuah rumah api yang sangat tinggi sebagai pedoman kepada kapal-kapal yang memasuki terusan ini. Padang kota menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati makanan popular Pulau Pinang iaitu nasi kandar ,pasembor dan cendol. Benteng dibina di tepi laut bagi menghalang hakisan ombak dan tidak sesuai untuk mandi manda.

Apa yang aku nak fokuskan sebenarnya adalah, bersambung dengan benteng dan menghala ke kawasan Pelabuhan, terdapat komuniti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertanggung jawab sebagai duta kecil TLDM di sebelah utara kepada kapal-kapal tentera laut asing yang berkungjung di Pulau Pinang.  Tempat ini dipanggil Resident Naval Officer (RNO) Penang.  Komposisinya 1 x pegawai sebagai RNO bersama keluarga dan beberapa orang anggotanya dari semua peringkat pangkat LLP, kerani awam,  penjaga stor senjata dan pemandu.  Di samping itu juga, terdapat anggota tambahan seramai 5 orang yang didatang khas dari Rejimen Keselamatan yang bertugas sebagai Kuarter Master secara giliran setiap hari (12 jam dan 1 hari off).

PPP Aspari, PPP Kamarudin, PPP Harizan, PPP Raanin (mereka berkhidmat cuma 13 tahun) dan aku yang agak luar kebiasaan dari kepakaran RDP bertugas sebagai anggota Rejimen Keselamatan.  Kami dari kalangan sekuriti ni kurang disenangi oleh warga sebenar RNO kerana kami tidak termasuk dalam komplimen mereka dan ‘tindak tanduk’ kami agak sukar dikawal oleh mereka.  Pada dasarnya kami tetap mengikut segala arahan dan Perintah Tetap RNO seperti mereka juga.  Punca kami jadi begitu adalah kami selalu di salahgunakan di dalam beberapa penugasan sedangkan kami di situ sebagai sekuriti tetapi disuruh akur segala budaya semasa di situ walaupun ianya agak bertentangan dengan konsep sekuriti yang sebenar.

RNO pada masa itu ialah Lt Kdr Tygarajah yang juga tinggal dalam kawasan tersebut.  Mungkin di atas faktor budaya kaum menjadikan kami tidak ‘ngam’ dengan mereka maka bermula lah episod yang berupa ‘sikap’ penentangan.  Perkara ini juga berlaku kepada krew tetap tetapi oleh kerana mereka merasa ‘nyaman’ bertugas di situ maka mereka lebih senang bersikap ‘pak turut’ (angguk sahaja, geleng tiada) kerana jika banyak songel nanti jangka hayat bertugas di kampong halaman sendiri (majoriti orang penang) tidak sempat cukup haul akan di tukar ke tempat lain.

Kelab Mabuk Arak

Di RNO Penang pada masa itu terdapat dua Kelab iaitu Kelab Ekslusif yang ahli-ahlinya terdiri dari orang-orang ternama dari golongan ahli-ahli perniagaan dan sebagainya.  Kebanyakan mereka dari kaum Cina dan India dan sering mabuk-mabuk setiap kali ada aktiviti clubbing.  Keahlian dan aktiviti ini juga mungkin dipengaruhi oleh RNO yang berbangsa India.

Satu lagi kelab ialah untuk kasta bawahan (kaum India) yang setiap malam datang dan mabuk-mabuk di bar yang tersedia.  Yang sedihnya penjaga bar adalah anggota yang beragama Islam sendiri. Yang jadi barua adalah kami sebagai sekuriti terpaksa buka pintu untuk mereka kerana ‘dasar RNO’ yang mendapat habuan dari jualan arak. Walaupun I/C mereka kami pegang, itu cuma sebagai syarat sahaja.  Sebab itu kami jadi budak ‘kurang ajar’ kerana tidak senang dengan aktiviti ini.  Harizan ‘dihantar pulang’ ke unit asal kerana banyak songel dengan menunjukkan sikap membantah dengan fenomena ini dan beberapa perkara lain.

Suka Duka

Dalam benci, ada juga seronoknya bertugas di RNO ni.  Sambil bertugas pun kami boleh cuci mata kerana ramai orang awam/pelancong yang lalu depan kami.  Kalau hari minggu tempat ini akan dipenuhi oleh pengunjung foreigner dan domestic.  Di luar  tembok pagar  adalah lot parkir.  Sebelah malam (kalau murah rezki) terserempak dengan adegan teruna dan dara yang berasmaradana dalam kereta. Dalam tempoh ini,  aku menaiki jinjang pelamin. Kami diijabkabul pada 2 Feb 1986. Kemudian pada hujung 1986 kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki .   Dalam pada seronok bertugas di sini,  2 kali juga di ‘charge’ di atas kesalahan melanggar disiplin.   Walaubagaimanapun hukumannya tidaklah sebesar mana.

Tempoh penugasan aku di sini lebih kurang 6 bulan sebelum dihantar kembali ke Ibu Pejabat Rejimen Keselamatan Lumut mengikut kitaran pertukaran semasa.

Selepas beberapa ketika aku kembali ke Lumut, aku sekali lagi digerakkan ke Pos luar kawasan.  Kali ini penugasan aku di bawah Rejimen Keselamatan ialah Stesen Komunikasi Parit. Pergerakan kali ini juga merupakan pilihan aku sendiri.  Lokasinya adalah di Tronoh yang pada masa itu belum ada apa-apa pembangunan.  Persekitaran yang masih dihutani belantara dan beberapa lokasi sedang dikenalpasti akan dibangunkan sebagai pusat pengajian.

Semasa bertugas di sini juga aku telah kehilangan bapa yang dikasihi kerana sakit. Oleh kerana perkhidmatan bas melalui lebuhraya timur barat sekali sehari, maka aku sekeluarga berkesempatan balik menziarahi sehari selepas jenazah dikebumikan. Al faatihah….

Sep 1987, anak aku yang pertama sudah berumur hampir 1 tahun tapi masih dihantui sawan tangisnya.  Dalam kesusahan aku dan isteri mencari penyelesaian, aku menerima kawat bertukar keluar ke KD KASTURI.  Seketika aku tidak dapat bayangkan bagaimana isteri aku akan berhadapan dengan keadaan sukar untuk menghadapi masalah seorang diri di satu lokasi yang serba jauh dari segala kemudahan.  Demi tugas, aku terpaksa akur dan patuh.

Pelancong juga suka datang bersembang...layannn

Mohammad Awang.  Rakan sekolah yang bertandang ke Padang Kota


Saleem Iklim (masa ni dia belum jadi recording artis lagi)

12
Sep
09

Puasa dulu-dulu

Catatan Memori Berpuasa Di Zaman Kanak-kanak

Di bulan puasa sebegini (catatan 22 Ramadhan 1403 hijriah), teringat kenangan semasa di kampong. Kampong Pasir Rambutan (Besut Trengganu) adalah tempat lahirku.  Penduduknya ada lebih kurang 20 buah rumah asalnya dan makin berkurang dan masuk tahun 1970an, semua sekali dah berpindah ke kampong persekitaran yang mempunyai kemudahan asas seperti letrik dan jalan raya.  Kampong yang kaya dengan buah-buahan dan kebun tanaman komoditi berada di tepi Sungai Besut. Berjiran dengan Kampong Baharu,  Kampong Gong Surau, Kampong Paya dan  Kampong Amir yang dipisahkan oleh sungai.  Kebanyakan penduduk di kampong-kampong yang disebutkan adalah asalnya bersaudara dan saling mengenali antara satu sama lain di kalangan generasi tua-tua.

Di tahun 2000an, kemajuan dan pembangunan agak ketara.  Walaupun Kampong Pasir Rambutan masih tidak berpenghuni namun jalan bertar sudah pun dibina untuk kemudahan perkebunan.  Rumah-rumah kediaman sudah mula dibina di tepi jalan menuju ke Kampong tersebut.

Apa sebenarnya yang ingin saya kongsikan ialah, suasana di bulan puasa.  Ada satu majlis yang saban tahun mesti diadakan di antara 10 malam terakhir berpuasa.  Majlis itu dipanggil ‘NNAMAT’ (dialek kelantan) atau mungkin perkataan sebenar adalah ‘PENAMAT’ iaitu merujuk kepada tamatnya atau khatamnya penduduk sesebuah surau/mesjid bertadarrus Alquran samada berkumpulan atau berseorangan.

Majlis ini adalah berupa jamuan berbuka puasa di Surau/Mesjid yang berkenaan secara hidangan beramai-ramai.  Setiap rumah akan dikehendaki membawa satu hidangan (boleh lebih kepada yang mampu) dan menghantarnya ke Suaru/Mesjid.  Manakala tetamunya adalah penduduk itu sendiri dan jemputan dari kampong-kampong di sekitarnya cuma untuk kaum lelaki sahaja.  Bagi kaum wanita jika dijemput, mereka akan berbuka di rumah orang yang menjemput mereka sahaja. ‘Budaya’ ini adalah sangat baik untuk silaturrahim.

Pendek kata di 10 malam terakhir berpuasa, kaum lelaki lebih banyak berbuka di ‘luar’ dari bersama keluarga di rumah.  Hidangan di luar biasanya lebih enak dan lengkap (almaklum lah untuk diberi makan kepada orang) jika dibanding dengan hidangan di rumah yang sekadarnya kerana pada zaman 60an hingga 80an, insan marhain di kampong-kampong tidak semewah seperti hari ini. 

Isi kandungan hidangan juga berbeza di antara hidangan-hidangan yang lain bergantung kepada ‘kemampuan’ seseorang. Jika terkena hidangan yang lazat, maka kepuasan pemakan akan diterjemahkan dengan puji-pujian (kelaziman manusia).  Kalau berlauk ayam/itik, 100% ayamnya adalah ayam kampong yang dipelihara sendiri demikian juga dengan daging yang juga daging fresh yang disembelih setiap hari. Zaman itu belum ada daging import atau daging beku.  Peti ais pun belum ada yang mampu beli.  Kalau pun ada yang mampu beli, bekalan elektrik pulak yang tak ada.  Semua bahan mentah adalah bebas kimia.

Walaupun di Kampong Pasir Rambutan ini tidak ramai penduduknya, namun kerajaan membina juga sebuah sebuah surau (orang kampong sebut Balai Sah merujuk kepada madrasah) untuk kegunaan orang-orang kampong berjemaah.  Di Madrasah ini lah kami  bertarawih. Boleh dikatakan semua isi penduduk turun mengimarakkan madarasah dengan tarawih 20 rakaat.  Di akhir witir kami akan dihidangkan dengan ‘moreh’ (tapi kami tak sebut moreh) yang di bawa oleh individu-individu yang berniat sedekah.

Suasana berjemaah di bulan puasa terasa lebih meriah kerana kalau hari-hari biasa, madrasah cuma diterangi oleh pelita minyak tanah tetapi di bulan puasa lampu gasoline mengambil peranan.  Tiada siapa yang tinggal di rumah pada masa itu, kerana ‘hiburan’ ada di Surau. Bukan seperti sekarang, televisyen menjadi ‘dadah’ kepada silaturrahim dalam masyarakat.

Hidup di kampong masa zaman kanak-kanak sangat menarik.  Kami bebas menebang buluh duri untuk membuat meriam buluh.  Lepas je 15 hari berpuasa, kami akan serikan suasana kampong dengan dentuman meriam buluh. Orang orang tua tidak melarang.  Malah di depan surau pun kami ‘letupkan’.  Masa tu orang tua marah la… menggangu jemaah. Itulah hiburan kami kerana semua orang berkumpul di situ.

Meriam buluh kami cuma guna minyak tanah (tak guna karbait) dan dibakar di bawahnya.  Kalau pun buluh itu pecah, ianya tidak membahaya kerana ia cuma retak.  Masa itu mercun pun sudah ada dijual tapi guna masa hari raya.  Budak-budak masa dulu tidak semerah sekarang untuk berhabis duit dengan membeli mercun.  Mercun masa dulu pun bahaya jugak tetapi larangan belum ada seperti sekarang.

Dah berpuluh tahun berlalu, zaman dah banyak berubah, silaturrahin hanya tingal pada perkataan, penghayatan sudah hilang bukan kerana tidak ada kesedaran tetapi ancaman hiburan, politik dan pengaruh persekitaran telah merengut semuanya. Tidak perlu menyalahkan sesiapa. Hidangan sudah digantikan dengan buffet kerana orang tua-tua sudah malas dan merenyahkan.  Budak-budak tidak lagi suka menolong dan mengekori orang tua kerana mereka sudah lalai dengan SMS dan serba aneka hiburan di telivisyen. 

Hari Raya tida lagi ziarah menziarahi.  Kanak-kanak datang untuk mengambil wang.  Tuan rumah pun lebih suka kerana malas nak melayan budak-budak.  Nak tutup pintu nanti orang akan mengumpat dan mengutuk kerana yang datang adalah anak jiran-jiran. Kalau di Bandar boleh tutup pintu… duduk diam-diam dalam rumah. Tulis kat pintu “ Acik balik kampong”.  Tiada siapa nak kisah.

30
Mar
09

kursus laskar kelas satu

Kursus Laskar Kelas 1 RDP (LK 1 RDP)

Bermula 7 Jan 1985 sehingga 15 Jul 1985, Kami anggota-anggota RDP pengambilan 146 berkampong kembali di Sekolah Navigasi KD Plandok untuk menjalani kursus peningkatan dalam bidang yang sama iaitu navigation dan Action Information Organisation (AIO). Kalau dulu semasa kelas 2 seramai 40 orang, sekarang telah berkurangan kerana ada yang telah menamatkan perkhidmatan dengan alasan dan masalah tersendiri. Dengan lulusnya kursus ini, kami telah layak untuk dikomplimen dan layak menerima gaji sebagai LK 1 RDP. Gaji pokok saya pada masa itu ialah RM 720.00 sebulan. Dengan gaji sebanyak ini, belum mampu lagi untuk beli motosikal kerana pada masa itu tiada kemudahan ke arah itu. Navy sekarang dengan pangkat LK1, sudah mampu beli kereta kerana banyak kemudahan sudah disediakan oleh semua pihak hasil ledakan pembangunan.

25
Mar
09

kd hang tuah merantau jauh

Disember 1983 aku bertukar ke KD HangTuah (F76). Sebuah kapal lama yang tidak begitu seles a mendudukinya kerana maklumlah ‘barang lama’ dan banyak peralatan yang tidak berfungsi. Dalam konteks anggota junior RDP, tak banyak perkara yang aku dapat pelajari di sini selain dari menjaga (senggaraan ship husbandry) “part of ship” sepanjang hari. Latihan berkala AIO dan Navigasi masih diteruskan. Bertugas di bawah 2 orang Pegawai Memerintah iaitu Kdr Udin bin Ujud dan Kdr Anwar bin Mohamad Nor (PAT sekarang). Kdr Anwar yang saya kenali bukan sahaja handal bermain hoki malah pandai bermain drum yang mana sering berlatih bersama anggota pancaragam kapal.  Seorang lagi individu yang menjadi kebangaan aku ialah Pegawai Navigasi Lt Ahmad Kamaruzzman (kini  Laksdya Dato Seri -Panglima Armada)

Peristiwa besar yang menjadi kenangan semasa bertugas di sini ialah peristiwa tenggelamnya KD Sri Perak pada 8 januari 1983. Dalam pelayaran KD Hang Tuah bersama KD Sri Perak dan KD Sri Trengganu ke Malaysia Timur, menempuh gelombang besar yang berterusan. Kami membuat ‘monitoring’ kedua-dua kapal PC ini dengan ‘lookout’ dan radar juga perhubungan melalui radio komunikasi. Kedua-kedua PC ini kelihatan tenggelam timbul melalui teropong menggambarkan cabaran dan penderitaan yang ditanggong oleh rakan seperjuangan tapi apakan daya, kami tidak dapat melakukan apa-apa di laut terbuka sedemikian melainkan meneruskan perjalanan menuju ke pulau-pulau berhampiran. Kalau tak silap saya, hari ke 3 pelayaran, barulah kelibat kepulauan Anabas kelihatan dan Pemerintah mengambil keputusan untuk membuat ‘recovery’ terhadap kedua-dua PC setelah bersauh. Setelah menentukan semuanya selamat yang mana 2 orang krew Sri Trengganu yang sakit dipindahkan ke ‘mother ship’ untuk menerima rawatan dan saya dengan rasa terharu ingin mengambil kesempatan di sini untuk memberi ‘tabik’ kepada rakan aku Lk 1 PBS Md Zain dan seorang lagi aku lupa yang telah secara sukarela menggantikan krew Sri Trengganu yang sakit. Mereka berdua ini yang meneruskan memandu kapal hingga ke Labuan. , kami meneruskan perjalanan menuju ke Labuan. Keesokan harinya kami dimaklumkan oleh pemerintah bahawa KD Sri Perak telah hilang dan tidak dapat dihubungi. Operasi SAR secara besar-besaran telah digerakkan.

Menyingkap peristiwa itu, telah mengorbankan 2 orang midshipmen. Mereka gagal berenang untuk mendapatkan rakit keselamatan yang dah terbuka. Mereka-mereka yang terselamat berasak-asak dalam rakit tersebut yang sepatutnya boleh diisi bukan untuk jumlah itu. Namun Tuhan menyelamatkan mereka setelah sebuah kapal dagang melalui laluan tersebut.

KD SRI PERAK-sehari sebelum terkubur di dasar lautan

KD SRI PERAK-sehari sebelum terkubur di dasar lautan

PM KD PERAK adalah Lt Chandran telah turunkan senioriti 6 bulan akibat daripada kejadian tersebut. Juragan PO Wahab Kelantan (kalau tak silap). Mazlan RDP (affat) skot aku tidak menyambung perkhidmatan kerana fobia.

Lawatan Operasi ke luar negara

Sepanjang bertugas di kapal ini, sempat mengikuti pelayaran ke Bangkok iaitu menyusuri Mae Nam Chao Phraya dan satu lagi yang bertaraf sungai yang pernah KD Hang Tuah menyusuri ialah Sungai Rajang menuju ke Sibu. Sungai yang sempit sangat menguji keupayaan Pegawai Panduarah dalam mengemudikan kapal Frigate yang tidak mempunyai banyak fasilitas.

Disergah Destroyer Taiwan Navy

Satu peristiwa lain sewaktu pelayaran pulang dari Korea Selatan dan Hong Kong, kami dikejut oleh laporan MEO yang mengatakan kapal kekurangan minyak dan terpaksa memperlahankan kelajuan kapal untuk membolehkan tiba di Perairan Malaysia dengan selamat. Pegawai Navigasi juga telah memilih untuk menggunakan laluan yang dekat dengan perairan Taiwan untuk memendekkan perjalanan. Apa yang terjadi selepas itu ialah sebuah kapal Destroyer Taiwan telah datang menyoal siasat kami. Apa pun tiada apa yang berlaku setelah berpuas hati dengan penerangan pemerintah KD Hang Tuah.

Sebenarnya peristiwa ini, jika difikirkan agak mustahil berlaku tetapi sebagai makhluk yang bersifat baharu ianya boleh berlaku walaupun manusia diberi anugerah kecerdikan dan kepandaian di dalam mengendalikan sesuatu perkara.

Apa yang aku cuba ceritakan ini adalah sepandai mana sekalipun manusia, ada kalanya ia lemah dan lalai yang dalam keadaan-keadaan tertentu boleh memalukan organisasi malah mungkin lebih buruk daripada itu.

Sebagai sebuah kapal perang tentunya sangat memalukan jika kita memberitahu bahawa kapal kita tidak mencukupi minyak untuk sampai ke destinasi. Di dalam pelayaran pulang dari Hongkong ke Labuan Sabah, kami dimaklumkan oleh MEO (Mechanical Engineering Officer) bahawa kesilapan pengiraan bahan bakar (minyak diesel) telah berlaku dimana jumlah yang diisi semasa di pelabuhan sebelum belayar adalah tidak mencukupi untuk sampai ke Labuan dengan selamat.  Perkara ini disedari semasa dalam perjalanan.  Jika meneruskan pelayaran dengan laluan yang dibuat oleh pegawai panduarah melalui laut antarabangsa, kemungkinan kapal akan kehabisan minyak di tengah jalan.  Sebagai alternatif, Pegawai Memerintah telah mengarahkan supaya kelajuan dikurangkan dan mengubah haluan dengan menggunakan laluan coastal yang mana ianya lebih dekat tetapi risikonya akan mengundang prejudis negara terbabit iaitu Taiwan  kerana melalui perairan mereka tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Malam itu aku bertugas first watch (2000 hingga 2359)sebagai radar watch keeper.  Pada masa itu KD Hang Tuah menggunakan radar jenis Racca Decca 1226C (kalau tak silap).  Itu pun sudah dikira terbaik pada zaman yang belum ada lagi Radar yang canggih-canggih seperti sekarang.

Pada satu ketika kami berselisih dengan satu kontek yang CPAnya (Clossest point approach) yang agak jauh di sebelah Starboard dan tidak merbahaya kepada risiko perlanggaran .  Selepas kontek tersebut melepasi buritan kapal,aku perhatikan kontek itu berpatah balik dengan kelajuan yang luar biasa(18 knots).  Perubahan pergerakan kontek tersebut, aku laporkan kepada OOW dengan mengklasifikasikan sebagai warship berdasarkan karakter dan kelajuannya.

Memang benar apa yang aku jangkakan kerana beberapa ketika sebuah kapal perang menghimpit dan mencabar kami.  Sebuah kapal destroyer Taiwan Navy menyuluh kami dengan search light mungkin bertujuan untuk membaca nombor pennant dan sebagainya.  Walaupun kehadiran mereka nampak jelas dalam keadaan siap sedia menghadapi kemungkinan, namun CO telah mengarahkan kami jangan menunjukkan reaksi ofensif terhadap mereka.

Setelah mereka menyoal siasat dengan pelbagai soalan melalui radio komunikasi, akhinya mereka yakin dengan jawapan yang kami berikan walaupun pada mulanya CO diorang tidak percaya yang pada mereka, karakter KD Hang Tuah sedang mencuri maklumat negara mereka.  Untuk beberapa ketika Destroyer tersebut mengekori kami dan membiarkan KD Hang Tuah belayar ke destinasi yang dirancang.

Lawatan Operasi ke Bombay mencatatkan satu ukuran sejauh mana kemahiran teknikal rakyat Malaysia berbanding rakyat India pada masa itu. ‘A gun’ (type xxxx) KD Hang Tuah mengalami kerosakan dan dikenal pasti tiada pakar dari Malaysia yang boleh membaikinya. Hanya 2 hari sahaja masa yang di ambil oleh pakar-pakar yang terdiri dari veteran Indian Navy membaiki siap dengan ujian penembakan dan sukses. Nak menunjukkan betapa mereka begitu yakin dengan kerja mereka, sewaktu ujian penembakan, teknisyen mereka tidak berganjak pun daripada kawasan ‘A’ gun ketika mana pengumuman dibuat dari anjungan supaya anak-anak kapal menjauhi kawasan tersebut semasa penembakan.

20
Mar
09

sepak takraw

Penglibatan  dalam  Sepak Takraw

Sebagai orang bujang, waktu petang saya banyak menghabiskan masa dengan bermain sepak takraw di tingkat bawah blok A2 pada tahun 1983. Masa tu makan tak lalu tidur tak lena kalau tak dapat main takraw.  Bulan puasa pun kami bermain seperti biasa. Minat saya cukup mendalam dalam sukan tradisional ini.  Rata-rata di pangkalan TLDM Lumut orang main takraw yang mana tempat latihan mereka di semua blok bujang dan blok-blok kelamin dan tempat bermain ini juga mempunyai ratingnya yang tersendiri. Grup ‘star’ ada tempatnya sendiri dan pastinya ramai peminat yang menonton persembahan kami.

Saya bermain di posisi apit kiri. Rupa-rupanya permainan saya setiap hari diperhatikan oleh seorang bintara. Pada suatu petang saya dipelawa oleh BM KNA Jaafar untuk membawa saya ke latihan pusat di Woodland sebagai persiapan untuk Kejohanan Sukan Mini Olimpik TLDM yang diadakan dwi tahunan. Inilah peluang yang saya tunggu-tunggu untuk terus mengembangkan bakat saya.

Kejohanan Sukan Mini Olimpik TLDM adalah satu kejohanan yang paling berprestij dalam TLDM yang banyak melahirkan jaguh-jaguh sukan TLDM. Pertandingan di antara 4 formasi iaitu Fleet Operation Command (FOC), Fleet Materiel Command (FMC), Armada dan KD Pelandok. Lumut Garisen adalah unit di bawah FMC dan Tim sepak Takraw FMC berlatih di TLDM Woodland di bawah kelolaan Ismail Atan (bekas pemain Malaysia dan sekarang beliau menjadi Jurulatih Sepaktakraw negara Brunei). Rosnan Rasul (juga bekas pemain Malaysia) yang sedang mencipta nama waktu itu juga merupakan rakan sepelatih yang bekerja di unit Teknikal Logistik TLDM Woodlands sebelum dipindahkan sepenuhnya ke Lumut.

Semasa bertugas di Pangkalan, banyak masa yang boleh ditumpukan dalam memahirkan skill sebagai seorang pemain apit kanan(killer). Kesinambungan dari kejayaan 1988, boleh dikatakan setiap tahun, banyak kejayaan yang menyebelahi regu saya. Yang mendukacitakan saya ialah dalam pertandingan inter regu, jika saya mewakili pasukan Kelab TLDM, saya tidak akan mendapat kejayaan kerana pada hemat saya adalah faktor pasangan yang tak sesuai yang pihak pengurusan gandingkan dengan saya. Kerana pemain tidak diberi pilihan untuk memilih.

Apa yang bagusnya menjadi sebahagian pemain sukan ini adalah, kita ‘dikenali’ ramai. maka natijahnya segala urusan perkhidmatan ramai kawan yang sudi menolong bagi ‘memudahkan’ (tanpa rasuah pun) urusan walau di pangkalan mana pun saya bertukar kerana permainan ini menjadikan saya ramai ‘kawan’ yang menjadikan urusan gaji, setor pakaian malah logistik atas urusan kerja sangat memudahkan tanpa birokrasi.

Kalau nak stori pasal takraw ni pun panjang jugak… dipendekkan cerita saya mengalami rawan haus (miniscus tear)  dan terpaksa gantung kasut di usia 30an. Tak sempat nak bermain untuk veteran pun. Walau apapun saya bangga la jugak kerana persaraan saya dalam sukan yang sangat kawe minati ni ketika berada di kemuncak prestasi walaupun jika diimbas di peringkat awal penglibatan tidaklah sebaik mana tetapi usaha dan komitmen menunjukkan sedikit sebanyak perubahan.

Sukan ini juga berakhir dengan penglibatan saya sebagai pengadil selepas ‘bersara’ dari bermain tetapi bidang ini tidak begitu menarik minat saya seperti bermain sendiri.

 

masa aktif

masa aktif

 

 

 

 
sebagai killer harus mahir pelbagai skill

sebagai killer harus mahir pelbagai skill

libasan terkhir mini olimpik TLDM 2003
libasan terkhir mini olimpik TLDM 2003
pengadil perak

pengadil perak

 

 

 

 

 

 

 

ps:/ Sayangnya era mutakhir takraw sudah tidak lagi menjadi permainan kegemaran anggota TLDM. Gelanggang yang begitu banyak dan moden di pangkalan lumut terbiar tanpa pemain.

01
Mar
09

tukang kebun lumut garisen

Tukang Kebun dan pekerja am alam sekitar

April 1983 adalah merupakan bulan pembebasan dari belenggu edah laskar dalam latihan kerana bermula dari rekrut sampai tamat OJT usia perkhidmatan saya sudah 1 tahun 6 bulan dan bergelar Laskar kelas 2 atau Junior Able RDP. Anggota yang membuat OJT semuanya ditukarkan ke darat dan beberapa orang anggota RDP kembali bertemu di unit baru iaitu LUMUT GARISEN. Asalnya unit ini adalah KD MALAYA yang baru berpindah dari Woodlands dan ditumpang sementara di Blok Keluarga A2. Pejabat di tingkat 1 dan 2 dan penempatan anggota bujang dari tingkat 3 hingga tingkat 10.

Pegawai Memerintahnya ialah Kept Abdul Wahid bin Anang. Keistimewaan beliau ialah beliau dikenali dan ditakuti oleh segenap lapisan warga TLDM termasuk kanak-kanak di Pangkalan Lumut. Beliau adalah seorang autokrat berkebajikan yang mana pangkalan TLDM Lumut adalah di bawah pemerintahan beliau.

Kepten Abdul Wahid digandingkan dengan Kdr Zainal bin Mohd Dali yang baru ditukarkan ke Lumut Garisen dan mewujudkan satu pos baru sebagai Timbalan Komander Lumut Garisen sementara menunggu perbicaraan kejadian KD RAJA JAROM berlanggar di Selat Melaka. Satu pengenalan yang saya masih ingat ialah beliau memakai cincin perak permata biru dan sehingga ke akhir perkhidmatan beliau yang menjawat Panglima Bantuan beliau masih memakainya. Beliau menamatkan perkhidmatan pada tahun 2003 sebagai Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan.

Di Lumut Garisen, sebelum saya bekerja di pejabat Komander Garisen sebagai budak pejabat, saya bekerja di bawah jabatan Perkhidmatan Barek yang bertanggong jawab menjaga hal ehwal kebersihan dan kesempurnaan alam sekitar pangkalan yang di bawah naungan Lumut Garisen. Selama 6 bulan saya tak ubah seperti tukang kebun atau pekerja am yang membuat segala macam kerja dari mengorek longkang sehingga menyapu jalan.

Semasa bekerja sebagai budak pejabat, saya mengambil peluang untuk belajar selok belok perkeranian, persuratan dan sistem fail yang mana tiada kena mengena langsung dengan kerjaya Radar Plotter. Banyak keistimewaanya bekerja sebagai budak pejabat Komander Garisen. Di antaranya ialah tidak terlibat dengan bertugas dalam 4 awasan (special duty). Sebagai anak buah Komander Garisen, saya sering mendapat layanan istimewa dari warga senaungan dan memperolehi apa saja keperluan selagi ada dalam simpanan. Faktor ini banyak membantu saya menjadikan kerja saya jadi mudah.

Satu pengajaran dari satu sketsa kehidupan yang saya masih ingat sampai sekarang ialah suatu hari di mana Komander Garisen meminta saya membawa pemadam pensel. Sebenarnya pada itu dalam pejabat saya langsung tiada pemadam cuma tinggal yang saya sedang guna sebesar hujung jari kelingking, Saya pernah buat ‘demand” di Stor Am tapi sememangnya tiada stok dan stok yang baru belum sampai. Saya membawa pemadam tersebut kepada beliau. Bila tengok saja pemadam sebesar itu, beliau naik angin dan membaling pemadam tersebut ke dinding seraya memanggil setiausahanya yang berpangkat Lt Dya wanita dan menyeranahnya di depan saya. Perkara itu tidak habis begitu saja, malah Pegawai Stor Am (Lt Kdr) juga turut dipanggil mengadap. Beberapa ketika PSA datang mengadap Komander. “Ada apa tuan panggil saya?” Tanya PSA. “Takkan sebesar-besar stor kamu satu pemadam pun tak ada”? tengking Komander Garisen. “Eh! Ada tuan, ada tuan, nanti saya bawa tuan” pantas PSA menjawab. Ekoran daripada drama pendek tersebut, di luar pejabat Komander, puan setiausaha tidak dapat menahan sebak, beliau menangis berjurai air mata tanpa malu didepan saya. Setelah tangisan reda, saya memohon maaf atas kejadian tersebut dan dia terus berkata kepada saya. “Saya terkilan dan sedih yang amat sangat dengan jawapan PSA tadi. Benda yang memang tak ada menjadi ada bila di depan bos” jelasnya. Pengajaran yang saya perolehi ialah kehipokritan manusia akan terserlah bila berhadapan dengan orang yang memiliki kuasa.

26
Feb
09

Navy the sailorman

Pelayaran pertama dalam hidup

KD LEMBING telah ditugaskan bersama-sama KD SRI PERLIS membuat rondaan ke Malaysia Timur. Bila kapal memasuki Laut China Selatan, saya dah mula tak berdaya menahan gelombang. Muntah setiap setengah jam sekali dan akhirnya tak bangun-bangun sehingga kapal sampai di Labuan. Sepatutnya saya sebagai OJT akan membuat ‘duty radar watch’ dan sesekali akan ditugaskan sebagai ‘wheeler’ dalam konteks untuk memberi pendedahan asas sebagai anggota kelasi. Walhal tugas saya sebenar ialah sebagai ‘radar watch keeper.

Kami anggota OJT Selain daripada belajar tentang kerjaya sendiri, kami juga diwajibkan membuat kerja-kerja ‘ship husbandry’ yang mana dikelolakan oleh ‘Buffer’ (serang) . Rutin harian yang tak boleh dikompromi untuk anggota OJT ialah latihan ‘Damage Control and fire Fighting (DCFF) setiap hari jam 1700 bersama-sama awasan bertugas yang lain. DCFF ialah satu latihan praktikal yang dibuat berterusan di mana-mana unit samada di darat atau di kapal dalam TLDM kepada awasan bertugas setiap hari jam 1700. Latihan renang diadakan dari masa ke semasa untuk anak-anak kapal dan berbekal kemahiran berenang di sungai semasa zaman kanak-kanak telah meluluskan saya dalam ujian renang semasa diuji di Kolam Renang Sembawang Singapura.

Buffer KD LEMBING pada masa tu ialah Leading Jaafar (LK PPP) yang perangainya semua orang tak suka. Tambahan lagi kami yang OJT ni jadi makanan dia lah. Kami OJT tak senang duduk dibuatnya sehinggakan ‘incharge’ saya sendiri dalam bahagian navigasi pun tak mampu nak buat apa. Masa tu lah perasaan menyesal masuk navy terdetik di hati. Tambahan lagi OJT adalah bukan ‘compliment’ kapal, jadi tempat tidur dan loker untuk kami tak ada. Maka merempat lah kami selama 6 bulan. Tidurlah dicelah-celah mana… bawah ‘A’ gun, ‘Y’ gun memang menjadi sarang kami.

Pengalaman pertama kali di Sabah setelah mengharungi pelayaran selama 3 hari yang penuh derita, tanpa mandi dan makan.Pengalaman pertama setiba di Labuan pada waktu itu memang masih bermasalah dengan bekalan air tawar. Di hotel pun tak ada air maka sebagai alternatif kat tepi jeti ada air air-condition, itu pun kira boleh daripada tak mandi langsung. Selama 2 bulan KD LEMBING dan KD SRI PERLIS beroperasi di seluruh perairan hingga ke Sabah Timur. Bersauh di Tanjong Labian adalah satu kemestian bagi kapal-kapal TLDM yang melalui kawasan itu kerana tak sah kalau tak mengunjungi Pak Mail, seorang pemburu yang handal. Pendek kata kalau nak makan daging rusa, kijang atau pelandok, beliau lah tempat mengadu. Pasti tidak menghampakan.

Lt Abd Hadi CO KD Lembing

25
Feb
09

Belajar!! Belajar!! Belajar..

Kursus kepakaran Radar Plotter (LK 2 RDP)

Setelah kami balik dari bercuti selama 2 minggu setamat rekrut, Kami dibahagikan mengikut Sekolah kepakaran masing-masing. Pengambilan 146 seramai 40 orang telah diserapkan ke Cawangan RDP dan kami dibahagikan kepada 2 kelas iaitu kelas alfa dan bravo. Saya dan Rosdi secara kebetulan lagi diletakkan di kelas Bravo dan kami ditempatkan di asrama blok D10. Tingkat 2 dan 3 blok D10 ini adalah diperuntukan kepada anggota-anggota laskarnita.

Kursus Lk 2 RDP ini akan kami pelajari selama 6 bulan. Pelajaran Kawad hanya diperuntukan 2 jam sehari, selebihnya kami akan berada di bilik kuliah untuk penyediaan sebagai seorang Radar Plotter yang mana dibahagikan kepada 2 bahagian:

1. Bahagian Panduarah, kami diberi pendedahan dengan pelajaran asas seperti Principle Radar, Chart work, Rule of the Road, Publication dan lain-lain.

2. Bahagian Action Information Organisation (AIO) yang merangkumi pengkhususan dalam anti air warfare (AAW), Anti sub marine warfare(ASW), Electronic Warfare, Above Warfare.

Jurulatih-jurulatih pada masa dulu boleh dikatakan garang-garang belaka. Tapi apa yang saya dapati ialah di Sekolah Navigasi jurulatih kami ni agak ‘sporting’ dan ‘friendly’. Pegawai Waren Tadbir kami MCPO Hemzah yang berperwatakan kelakar tapi pantang dia kalau menggunakan Paraller Ruler, ,jangan sekali-kali meletakkan secara ‘roll on’ di atas meja. Dapat kat dia, ‘paraller ruler’ tu pasti singgah atas belakang si pelaku. Sebagai peringatan atau pangajaran bila mana kami bertugas di kapal, ‘paraller ruler’ yang diletak secara ‘roll on’ di atas ‘chart table’ pasti bergolek dan jatuh dan boleh mengakibatkan kemalangan kerana kapal tidak duduk dalam keadaan’ steady’ sewaktu di laut .

Secara keseluruhannya semua gerak kerja kedua-dua bahagian di atas adalah menggunakan radar dan semua pembelajaran, nota dan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris. Saya adalah di antara ‘top five’ dari segi markah peperiksaan akhir. Satu perkara yang ditunggu di penghujung sesuatu kursus kepakaran ialah di mana kami akan ditugaskan selepas ini yang tentunya di kapal-kapal sebagai anggota latihan sambil belajar.

Latihan Sambil Belajar (Laskar Muda RDP)
Pada bulan Oktober 1982, saya didrafkan (istilah yang navy guna kepada pertukaran) ke KD LEMBING (PC 40) yang pada masa itu berpangkalan di Malaysia Base Jetty (popular dengan panggilan MBJ) Woodlands Singapura. Masa tu elaun Singapura adalah sebanyak RM50.00 sebulan. Pegawai Memerintah pada masa itu ialah Lt Hadi bin Rashid TLDM (sekarang berpangkat Laksma yang baru-baru ini yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Acheh ketika dilanda tsunami).

Selepas beberapa hari saya melapor bertugas di KD LEMBING, satu kenyataan yang saya kena terima hakikat tentang budaya minum arak di dalam kapal adalah perkara biasa dan tiada paksaan kepada semua orang. Walaupun kami sebagai OJT selalunya jadi mainan ‘ragging’ tapi saya tidak pernah disuruh melakukannya. Sewaktu mengangkat stok minuman ke dalam kapal, sememangnya bilangan kotak arak lebih banyak daripada ‘soft drink’.

30
Jan
09

salam perkenalan rekrut 146

Hari Salam Perkenalan Intake 146

Hari salam perkenalan sudah ditetapkan, kepala pun sudah dibotakkan, iaitu kalau tak silap saya pada akhir bulan Setember 1981 jam 1400H yang mana kami dikehendaki berpindah dari penempatan sementara pemilihan ke bangunan Sekolah Latihan Rekrut di Blok D3 dan D4. Kami sebenarnya tidak tahu berapa jauh perjalanan yang harus ditempuhi. Mengikut Kompeni yang telah diberi, kami dibariskan dan bermulalah satu kejutan sebenar yang tak pernah kami tempuhi. Jurulatih-jurulatih dah mula menunjukkan belang mereka yang sebenar. Beg yang saya bawa dari kampong disuruh junjung yang lebih 30kg beratnya. Bemacam-macam drill yang kami terpaksa buat di sepanjang jalan menuju ke Pularek. Rotan, sepak terajang sudah mula diperkenalkan kepada kami. Saya sebenarnya sudah bersedia mental dan fizikal dan tidak merasa apa-apa masalah dan cuba mengimbangi dan menterjemahkan segala arahan mengikut keadaan supaya boleh bertahan sehingga ke destinasi tanpa mendapat kecederaan. Ada yang menangis, pitam, pensan dan sebagainya. Dalam pengambilan 146 ada lebih kurang 20 orang laskarnita yang juga sama-sama menjalani latihan seperti yang lain. Tiada diskriminasi gender. Kami tiba di Blok Sekolah Latihan Rekrut pada jam 1700H yang mana telah mengharungi liku-liku salam perkenalan sejauh 3 km.

Ship is my home

Sea is my play ground

War is my game

Joint the navy see the world.

Di antara kata-kata yang diabadikan pada T-shirt yang mana telah dijual kepada rekrut untuk kegunaan masa latihan.

Pada minggu tersebut kami di bawa ke Stor pakaian untuk menerima pakaian percuma mengikut skim pakaian TLDM. Semua pakaian yang di beri adalah dari jenis kain ‘cotton’ yang mana mesti dikanji untuk mendapatkan kekemasan yang terbaik. Semua pakaian kotor dihantar ke dobi.

Pakaian harian adalah seluar pendek dan baju lengan pendek biru dipanggil pakaian 2B. Seluar pendek putih dan baju ‘square neck’ putih dipanggil 2A (panggilan famous dalam navy ialah baju saloma). Sejak tahun 1983 seluar pendek telah ditukar kepada seluar panjang seperti yang ada sekarang dan kualiti berubah dari masa ke semasa mengikut perkembangan semasa.

Latihan rekrut yang mana ‘syllabus’nya banyak menekankan asas ketenteraan seperti kawad yang bukan saja mengajar tentera berjalan dengan betul, ianya juga mengajar erti kepatuhan dan disiplin. Aktiviti-aktiviti yang tidak khusus seperti menentukan pakaian dalam keadaan bersih, kasut berkilat, buckle bersinar adalah banyak melatih ketahanan mental rekrut.dan aktiviti sukan banyak membantu rekrut mantap fizikal dan menghilangkan tekanan-tekanan. Selebihnya kami banyak menghabiskan masa latihan dalam bilik kuliah untuk mempelajari asas-asas ilmu kelautan dan penyesuaian diri dengan tugas-tugas sebagai seorang Tentera Laut Diraja Malaysia.

Saya tidak banyak menghadapi masalah sepanjang latihan rekrut kerana saya mengamalkan sikap buat tak tau perkara-perkara yang remeh dan pandai-pandai menjaga diri dan jangan cari masalah. Satu fenomena semasa dalam rekrut ialah staf atau orang lama akan mengambil kesempatan untuk mengacah dan mendera setakat yang dibenarkan kepada rekrut. Semasa mengambil makanan di galley selalu ada rekrut diberi ‘punishment’ spontan oleh chef-chef bertugas kerana perangai rekrut yang suka mengambil makanan lebih dari sepatutnya. Bila tertangkap, malu boleh sakit boleh.

Kepala otak masing-masing dok membilang hari bila nak habis rekrut. Sebab banyak orang faham, dalam tentera ni masa rekrut adalah masa yang paling susah tapi hakikatnya tidak begitu. Sebelum tamat latihan, rekrut membuat latihan ‘passing out parade’ (POP) selama 2 minggu. Berkawat di padang kawat amat mencabar mental dan fizikal kerana bukan sahaja penat melakukan ‘rehearsil’ berjalan lalu berulang-ulang malah sakit hati dengan sumpah seranah ‘gunnery Instructors’ (GI). Pernah satu kejadian, kami yang tersangat kehausan berebur-rebut nak minum, GI datang dia curah semua minuman tersebut dalam longkang. Allahuakbar tuhan saja yang tahu perasaan kami masa tu.

Kami intake 146 seramai hampir 500 anggota menamatkan rekrut dengan jayanya. Elaun rekrut RM 150.00 sebulan berakhir dan bermula dengan gaji pokok RM 500.00 ++. Gelaran generasi lapan sekupang tidak lekang daripada mulut anggota-anggota senior sebagai memperlekehkan kami sebagai orang baru. bersambung…

 

 

20
Jan
09

selamat tinggal kampong halaman

Pada tahun 1981 saya juga telah memohon menyertai konstabel PDRM. Semua temuduga telah pun lulus Cuma menunggu panggilan untuk latihan sahaja. Beberapa ketika selepas itu pengambilan rekrut TLDM sedang berlangsung di seluruh negara. Saya bersama teman rapat saya Rosdi Mohamad (berkembar meja semasa di sekolah rendah) telah menghadiri temuduga di Sekolah Menengah Kamil Pasir Putih Kelantan. Pada masa itu kami agak bernasib baik yang kebetulannya TLDM memerlukan ramai anggota baru maka kami dikecualikan daripada membuat ujian bertulis. Kami berdua telah melepasi pemeriksaan fizikal dan perubatan dan lulus dalam pemilihan awal dan kami diberi tiket waren supaya melapor diri di Pusat Latihan TLDM KD PELANDOK Lumut sekitar pertengahan bulan September 1981.

Bermulanya satu perjalanan

Berbekalkan doa ibubapa dan orang kampong dalam majlis doa selamat yang diadakan mengikut kebiasaan masyarakat kampong, saya dan Rosdi dan ada seorang lagi kawan sekampong iaitu Mohd Nor bin Jusoh (tapi dia tak menyertai kami berdua) memulakan perjalanan dengan menaiki keretapi Tanah Melayu di Stesen Wakaf Baru Kelantan. Saya dan Rosdi bersetuju untuk menambah sedikit wang untuk membolehkan kami tidur selesa dalam koc kelas pertama yang pada asalnya tiket waren kelas 3.

Setelah sampai di Kuala Lumpur kami terkejut beruk bila bangun dari tidur pada jam 0700 kerana mendapati dalam keretapi dah tak ada kawan-kawan yang lain. Rupa-rupanya dia orang dah tukar koc untuk ke utara. Koc yang tadi akan ke Johor Bharu. Setelah semua bakal-bakal rekrut dari seluruh semenanjong tiba di Stesen keretapi Ipoh, kami di angkut dengan trak 3 ton untuk dibawa ke Lumut.

Di Lumut, kami ditempatkan sementara di Blok Keluarga A16 yang mana baru selesai pembinaan dan belum diduduki. Kebanyakan prasarana sedang dalam proses pembinaan. Kalau tak silap usahasama dengan syarikat Jerman dengan pemindahan teknologi bangunan pasang siap. Di situlah buat pertama kalinya kami bertemu dengan bermacam ragam manusia dari setiap pelusuk negeri dengan satu tekad nak menjadi seorang anggota tentera laut.

Di penempatan sementara Blok A16 , bakal-bakal rekrut dibuat pemilihan terakhir dengan melalui beberapa pemeriksaan fizikal dan kesihatan di samping taklimat-taklimat yang berkaitan sebelum membuat pemilihan cawangan yang merupakan kerjaya sebenar sebagai anggota TLDM.

Di sini kami diberi 3 pilihan cawangan sebagai kerjaya tetap sepanjang perkhidmatan. Saya dan Rosdi (dia ni ikut semua apa yang saya buat) telah meletakkan pilihan 1 Radar Plotter(RDP) Ship qualification (SQ) macam sarang labah, pilihan ke 2 Peperangan permukaan Persenjataan (PPP) SQ adalah gun salute bersilang dan pilihan ke 3 Pemandu Kenderaan Bermotor (PKM) SQ dia lambang mercedez. Dipendekkan cerita, maka dapatlah cawangan RDP. Pilihan ini banyak dipengaruhi oleh keinginan nak belayar….

Semasa kami di penempatan ada juga ‘orang-orang lama’ (biasalah semangat orang kelantan, dia akan datang untuk bantu puak dia) memberi kaunseling supaya tidak menyesal jika tersalah pilih cawangan. Satu perkara yang ingin saya kongsi dengan para pembaca sekelian iaitu sikap orang-orang Kelantan bila mereka bertemu di perantauan. Mereka akan tukar loghat percakapan serta merta dan mudah mesra dan dan sedia membantu sesama mereka. Senior-senior walau apa cara sekali pun tidak akan ‘torture’ sesama mereka melainkan dalam kumpulan yang bercampur. Mereka saling membantu sesama mereka walau di mana mereka berada. Ini adalah satu sikap yang pada pendapat saya patut wujud dan melekat menjadi satu amalan kepada orang-orang melayu keseluruhannya dalam konteks semangat kekitaan sesama melayu bila berhadapan dengan sesuatu perkara.

Saya juga bernasib baik kerana walaupun saya orang Terengganu tapi daerah Besut bahasa percakapan warga di sana ialah loghat Kelantan 100%. Bukan itu sahaja, semangat warga Besut juga adalah bersemangat Kelantan pada suatu ketika dahulu sehinggakan mereka akan berkata “kito ore Kelate” bila setiap kali memperkenalkan diri kepada orang luar. Juga perasaan anti Terengganu menebal di kalangan orang-orang Besut. Ini ada kaitan dengan daulat sumpahan raja-raja dahulu yang kata orang tua-tua Daerah Besut asalnya sebahagian dari jajahan taklok negeri Kelantan tetapi tergadai dalam perjudian sabung ayam yang memihak kepada ‘pasukan’ Trengganu dan banyak lagi kisah-kisah yang mengaitkan kebenaran sejarah ini yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu. ‘Semangat’ ini telah pudar bersama arus pembangunan di era 90an.

Pemilihan cawangan ini penting kerana jika silap boleh membuatkan kita merana seumur hidup. Akhir sekali kami ditemuduga. Salah seorang panel penemuduga yang saya ingat ialah Pegawai Memerintah KD PELANDOK iaitu KDR Engku Zainal bin Engku Ngah TLDM (sekarang dah bersara. Pangkat terakhir beliau ialah Laksma kalau tak silap).

Satu perkara yang saya masih ingat semasa temuduga ialah saya cuba minta tukar pilihan cawangan pertama RDP kepada PPP kerana saya terpengaruh dengan orang-orang lama yang mengatakan bahawa RDP ni mesti bagus Bahasa Inggeris. Hati saya mula kecut kerana bahasa Inggeris saya kantoi.

“Tuan, saya nak tukar cawangan kepada PPP tuan” pinta saya. “Kenapa?”. Tanya Kdr Engku pantas. “ Saya tak tahu bahasa Inggeris tuan” saya buat muka sedih. Lantas satu artikel pendek diberi kepada saya untuk dibaca. Bila selesai membaca saya ditegur oleh oleh salah seorang ahli panel. “Hah tu bagus tu kamu baca?”. “Saya cuma boleh baca saja tuan tapi tak faham” saya cuba memberi keyakinan disambut gelak ketawa oleh ahli-ahli panel. Lepas tu saya disuruh menterjemahkan maksud artikel tersebut. Dalam kesukaran itu saya cuba juga terjemah setakat mana yang saya faham. “Uh kira boleh lah tu.” kata Kdr Engku yang secara muktamat meletakkan saya dalam cawangan Radar Plotter. No. Tentera saya ialah 811515 dan no tentera kawan saya Rosdi ialah 811525. Angka 0 dan 5 terakhir adalah yang menentukan kompeni mana kami di tempatkan. Bermakna saya dan Rosdi dalam kompeni yang sama iaitu kompeni Handalan dan tinggal dalam satu bilik dan satu ‘double decker’. Dia di atas, saya di bawah.

15
Jan
09

mengaji tak pandai cuma layak jadi askar

Saya dilahirkan pada 12 Ogos 1961 di kampong Pasir Rambutan, Mukim Bukit Puteri Besut Trengganu. Sebuah kampong yang terpencil yang tidak mempunyai apa-apa kemudahan asas seperti letrik dan air paip. Penduduk yang pada asalnya mempunyai 20 buah keluarga dari sejak merdeka dan kini kampong tersebut sudah tidak berpenghuni langsung kerana telah berpindah ke kampong-kampong berhampiran seperti kampong Baharu dan kampong Amir. Kampong Baharu terletak bersempadan dengan Pangkalan Udara Gong Kedak di sebelah Bukit Puteri.

Kampong ini geografinya yang berada di pesisir Sungai Besut yang menjadikan air sungai sebagai sumber minuman dan seluruh kehidupan dan pertanian. Sungai ini juga kini turut mati dan lesu dan tiada lagi kejernihan disebabkan pembinaan empangan di Hulu Besut. Sumber ekonomi penduduk adalah berasaskan pertanian. Seluruh kampong ini saban tahun akan ditenggelami banjir bila setiap kali limpahan air sungai berlaku.

Zaman persekolahan

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampong Baharu sehingga darjah 6. Berulang alik ke sekolah yang jaraknya 5 km dengan berbasikal dan kadang kalanya berjalan kaki.

Seterusnya mendapat pendidikan di Sekolah Nasiruddin Shah (SNS) yang mana di antara sekolah menengah yang paling popular di daerah Besut. Sekolah ini yang lokasinya di kampong Alor Lintang Besut. Saya terpaksa berjalan kaki ke sekolah kerana kampong saya dipisahkan oleh Sungai Besut dengan melintasi Kampong Amir sebelum sampai ke sekolah yang mana jaraknya lebih kurang 6 km. Walaupun begitu sukar bila dikenangkan tapi masa tu bak kata perpatah “alah bisa tegal biasa”.

Satu perkara yang tak pernah saya fikirkan sebelum ini telah berlaku revolusi mental kepada semua penduduk kampong Pasir Rambutan iaitu keputusan untuk berhijrah keluar dari kampong tersebut dan masing-masing membuat perancangan untuk membina penempatan baru yang majoritinya di Kampong Baharu yang mana sebahagian keluarga saya menetap sekarang.

Maka tinggallah kenangan Kampong Pasir Rambutan yang dulunya ada sejarah melahirkan perajurit-perajurit negara dan kini meninggalkan bekas dan dikunjungi semasa musim buah kerana di kampong tersebut memang kaya dengan buah rambutan dan durian yang menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk.

Menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan 5 Sastera. Walaupun saya tidak berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1978 namun saya tidak pernah menunding jari kepada sesiapa malahan saya sedar tentang kecuaian dan sikap tidak mahu belajar bersungguh -sungguh.

Saya berada dalam kelompok pelajar-pelajar yang agak nakal walupun tidak jahat. Satu perkara yang saya tidak suka buat walaupun saya berada di kalangan pelajar-pelajar nakal ialah ponteng sekolah atau ponteng kelas kerana rasa patuh dan hormat saya pada guru. Juga kerja-kerja sekolah yang guru arahkan saya siapkan sedaya mungkin. Cuma kelemahan saya ialah tak minat dan cepat mengantuk bila baca buku. Saya akui semasa berada di tingkatan 5, saya langsung tak baca buku dan ianya diluar pengetahuan dan kawalan ibubapa saya kerana saya tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan.. Saya sebenarnya tidak bercita-cita untuk belajar ke peringkat tertinggi kerana saya berazam untuk memasuki tentera bila tiba masanya. Saya pun tak tahu kenapa minat saya ke arah itu.

Saya mengakui bahawa faktor ekonomi keluarga juga mendorong untuk saya mencebur diri ke alam pekerjaan seawal mungkin. Di zaman remaja saya sudah mahir dengan kerja-kerja petani seperti menanam padi, menoreh getah dan sebagainya kerana banyak menolong ibu bapa semasa cuti persekolahan. Tamat persekolahan saya membuat bermacam-macam kerja di sekitar kampong seperti menoreh getah, kerja kilang papan untuk menampong perbelanjaan harian sementara menunggu kerja tetap. Saya pernah merancang untuk mengikut kawan-kawan bekerja kontrak di Singapura yang pada masa itu sedang rancak pembangunannya tapi ibu tidak mengizinkan dan hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Pada dasar nya ibu bapa saya tidak bersetuju jika saya masuk tentera kerana mereka tidak mahu anak bongsu mereka juga mengikut jejak langkah abang-abangnya yang meninggalkan kampong halaman. Semasa di tingkatan 5 iaitu pada bulan julai, saya telah menghadiri pemilihan TLDM buat pertama kalinya tapi gagal kerana belum cukup umur 18 tahun. Balik, saya dimarahi ibu bapa saya kerana pergi tanpa pengetahuan mereka.




Kalendar Kehidupan

April 2014
M T W T F S S
« Nov    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Tetamu dihati

  • 41,754 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 7 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

top

Surat Khabar


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.