Archive for the 'Riwayat Hidup Fasa 3' Category

26
Jan
12

Cuti-cuti Tahun Baru Cina 2012

Percutian kami sekelurga (bertiga je) pada kali ini sebenarnya adalah untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan anak abang aku Ibrahim@Pak Mat Jerangau iaitu Rozaimah.

Majlis ini akan berlangsung di Felda Jerangau Trengganu.  Oleh kerana cuti umun Tahun Baru Cina pada 23 dan 24 Jan (Isnin, Selasa), maka bagi  negeri Kedah yang cuti mingguan persekolahan pada hari Jumaat maka sempat untuk kami membuat perjalanan di banyak tempat.  Justeru kami membuat keputusan untuk membuat perjalanan melalui Lebuh Raya Utara-Selatan yang mana destinasi pertama kami adalah ke Melaka.

Naratif ringkas:

20 Jan 2012 jam 0730(zone H) Jangka masa bertolak (JMB)dari Jitra.

200915H -Berehat untuk sarapan pagi di R&R Gunong Semanggol Perak.

201300H –Ambil susur keluar di Tanjong Malim untuk Solat Jumaat.  Destinasi persinggahan ialah rumah sahabat lama LK1 PPP Latif/Yani (skot 146 dan jiran masa tinggal di Blok A25). Bersolat Jumaat di Mesjid Ar-Rahman Ulu Bernam Selangor yang bersempadan dengan rumah Latif.

 201430H. Meneruskan perjalanan.  Bermula di sini PAPAGO (GPS) menjadi pemandu jalan .

Aplikasi GPS PAPAGO banyak membantu memberi petunjuk jalan

1700H- Mengambil susur keluar tol Air Kroh.  Bekas PW1 STN(L) Azmi memandu jalan untuk ke rumahnya di Bukit Larang Pernu .  Bermalam di rumah Azmi.  Jiran semasa bermastautin di Block A-24 Kuarter TLDM yang masih berhubung dan saling mengunjung walaupun sudah membawa haluan masing-masing setelah tamat perkhidmatan.

Cantik....Rumah Azmi di Bukit Larang Melaka

210900H- Azmi dan Sariah isterinya membawa kami melawat sekitar Melaka Bandaraya Bersejarah .  Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Batu Pahat dan keluar susur Air Hitam.

A Famosa

Dah berpuluh tahun tidak menjejaki bumi Johor...

211300H-  Kami tiba di rumah bekas BK PJT Abdul Ghani/Samsiah di no 18 Taman Manis Parit Raja Batu Pahat Johor.  Sebenarnya kami gagal menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan kedatangan kami kerana Ghani telah menukar no telefonnya.  Nasib baik samsiah ada di rumah. Ghani tiada di rumah kerana bekerja.  Ghani telah menamatkan perkhidmatan sekitar tahun 2002 dan sejak itu kami telah terputus hubungan.

Diorang ni bila jumpa geng lama, sembang bagai nak runtuh bangunan...

211400H- Meninggalkan  Parit Raja dan menggunakankan lebuh raya PLUS kembali ke Melaka.

211700H- Tiba kembali di rumah Azmi dan bermalam.

220800H- Meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya iaitu Felda Jerangau Trengganu.  PAPAGO memberi perkhidmatan terbaik memandu kami melalui Jasin-Tangkak-Segamat.  Tiba di segamat jam 1000H dan melalui Muadzam Shah kami singgah di rumah anak saudara di Felda Lepar Hilir 3 Gambang pada jam 1300H untuk Zohor dan makan tengahari.

Rumah kakitangan Felda Lepar Hilir 3

221430H- Destinasi kedua di Pahang ialah menziarah ibu angkat Wan Besah di Sungai Karang Darat.  Jam 1530 tiba di rumah beliau dan 1600H menuju destinasi ke3 untuk tea time di Restoran Tunas Samudera kepunyaan sahabat seperkhidmatan di Balok.  Tapi malangnya  Nik Adib tidak berniaga pada hari tersebut dan masa agak suntuk untuk bertandang ke rumah beliau.  Justeru kami meneruskan perjalanan ke Jerangau melalui Jalan Jabor.  Jam 1740H berhenti minum di R&R Bandar Almuktafibillah Shah.  Jam 1830H selamat tiba di Felda Jerangau dan bermalam di rumah abang (Pakmat Jerangau).

23 Jan 2012-  Rozaimah selamat diijabkabul dengan pasangannya Rashid dan majlis kenduri kesyukuran diadakan pada hari tersebut.  Rashid adalah orang Juru Pulau Pinang menjadikan menantu Pakmat yang ke 4 dari tanah Pulau Mutiara.  Dua orang lagi menantu Pakmat adalah warga Felda itu sendiri dan Selangor.  Keenam-enam anak Abang Mat dan Kak Nisah sudah berumahtangga yang akhirnya  hanya tinggal mereka berdua sahaja yang akan meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki di rumah yang bernombor 612 Jalan Nussery Felda Jerangau Ulu Trengganu.

Selamat Pengantin Baharu ema dan rasyid

Rombongan keluarga pengantin lelaki

Sebahagian drp keluarga sebelah pengantin perempuan

231630H- Semua kaum kerabat dari jauh, Kuala Lumpur, Pahang dan Besut pakat balik,  maka kami pun ikut berangkat meneruskan musafir ke Besut Trengganu.  Bermalam di rumah Abang Meli/kak Yam yang mana bertanggongjawab memelihara seorang ibu tua hajjah Meriam.

Bonda Hjh Meriam- umurnya melebihi 88 tahun

Itulah ibu kandong kami yang sebelum ini dititipkan kepada abang  Jusoh/Kak Sinah untuk penjagaan dan segala keperluannya.  Setelah Abang Jusoh dan Kak Sinah kembali ke Rahmatullah Oktober tahun lalu, maka keluarga Abang Meli yang mengambil alih tugas itu bagi pihak adik beradik lain kerana mereka tinggal berhampiran di kampong Baharu.

240800H- Hari terakhir dalam percutian kali ini, kami bermusafir balik ke Jitra melalui Jalan Raya Timur Barat yang merupakan jalan penghubung antara utara dan Timur Semenanjong yang merakam banyak sejarah perjuangan ATM menentang pengganas Komunis.

241830H- Selamat sampai ke Jitra. Syukur kehadrat Allah (swt) yang telah member i kesihatan dan kekuatan dan memudahkan permusafiran kami  kali ini. Sekian.

Nota:

  • Semua catatan masa adalah anggaran.
  • Fuel RM 300.00 (+-)
  • Tol RM 88.00
12
Dec
11

MALAM APRESIASI 1MINDEF

Tema merah hitam

Balik dari LIMA’11 pada 9 Dis, sempat berehat 2 hari di rumah dan 12 Dis 0900 aku menaiki bas lagi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi jemputan Majlis Makan Malam Apresiasi 1MINDEF yang telah diadakan  di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada jam 2000 pada hari yang sama.

Majlis ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan dan merapatkan hubungan yang sedia terjalin di antara pengamal media yang sering memberikan liputan positif terhadap aktiviti Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis dirasmikan  oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia.  Turut hadir ialah Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zain, Panglima Angkatan Tentera, Para Pegawai Kanan ATM serta Pengarang Kanan media cetak dan elektronik.

Majlis dimulai dengan ucapan YB Menteri Pertahanan dan dituruti dengan persembahan dari Badan Kesenian MinDef serta Kombo Rejimen Renjer Diraja. Majlis turut diceriakan lagi dengan kehadiran pengacara jemputan iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahira.

Bertemakan merah dan hitam, para hadirin turut diserikan dengan persembahan nyanyian dari Marsha dan Nubhan. Dalam pada itu, sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai kejutan hadiah yang lumayan khususnya untuk para pengamal media yang hadir.

Dan aku juga merupakan salah seorang peserta yang ‘bertuah’ pada malam itu. Terima kasih Mindef.

Meja no 7 geng SHP media

Sempat berbual dengan orang kampong-PTU (foto sharul)

09
Dec
11

LIMA 2011

Langkawi Exhibition Maritime and Aerospace 2011 (LIMA’11) datang lagi.  Kali ini berlangsung 6-10 Dis berkonsepkan single hall di bawah satu penganjur HDW LIMA.

Apa yang penting aku berkesempatan mengambil bahagian sekali lagi pada kali ini sponsored by SHP Media yang menyediakan tempat tinggal dan kemudahan asas sepanjang LIMA berlangsung.  Aku berada di Langkawi pada 5 Dis hingga 9 Dis.

Sejarah penglibatan aku dalam LIMA ini adalah 2 kali semasa dalam service (LIMA’99 dan LIMA’01) dan 3 kali selepas service (LIMA ’07, LIMA’ 09 dan LIMA’11) tetapi dalam suasana dan tanggungjawab yang berbeza.

Di dalam helikopter Sikorsky S-92

Di Booth Perajurit/Adj

25
Jul
11

Lama tak naik feri daaaa..

KOMTAR kelihatan dari Butteworth

Kali terakhir sekali aku menggunakan feri ke Pu Pinang adalah pada tahun 1986. Semasa tu aku bertugas di RNO Penang yang mana feri menjadi kenderaan utama kerana jambatan belum dibina. Sejak dari tarikh tersebut seingat  aku hanya 2 kali aku kembali bertandang ke Pu Pinang iaitu pada tahun 2004 dan  pada bulan April tahun ini (2011) yang kedua-duanya melalui jambatan.  Bermakna sudah 25 tahun aku tidak menggunakan feri dan ternyata sudah banyak perubahan yang berlaku di sekitar pangkalan sebelah geogetown dan Butterworth.  Tentunya kedatangan aku bersama keluarga ke Pu Mutiara pada 23 Jul 2011 telah mengembalikan ingatan lampau walaupun aku hanya menyelusuri  tanpa berhenti sehingga sampai ke destinasi kami di Rumah Puspanita di kawasan Penang Free School di mana berlangsungnya majlis perkahwinan cucu kepada ibu angkat kami.

Perkhidmatan feri tetap relevan

Perjalanan dgn feri cuma +- 15 minit

Beberapa ketika berada di majlis tersebut,  kami meneruskan perjalanan untuk mengunjungi rumah anak saudara di Bayan lepas.  Alhamdulillah pemanduan agak lancar walaupun terpaksa menggunakan perkhidmatan signboard semata-mata kerana kepesatan pembanguanan di Pu Mutiara menyukarkan aku  untuk mengecam walaupun kawasan tersebut aku cukup ‘matang’ pada suatu masa dahulu. Layannn je la gambor sebagai halwa mata kome..

Pentas pengantin tersusun indah

Meja VVIP

Kambing golek

 

Majlis dihiburkan oleh pemuzik tradisional tempatan

27
Oct
10

Untuk apa kita datang…

10.10.10 adalah satu tarikh yang ramai orang merakamkan sesuatu yang menjadi kenangan dalam hidup. Dari dijadikan tarikh pertunangan, perkahwinan  sehingga ada yang menjadikan angka itu sebagai wang hantaran perkahwinan dan macam-macam kreativiti yang di reka kepada sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup seseorang.

Aku di antara ribuan warga veteran ATM berhimpun di Bukit Jalil sebagai menyahut seruan PBTM untuk berkumpul bersama Perdana Menteri Malaysia.   Natijahnya hampir 20,000 orang telah menterjemahkan kehadiran mereka dengan impian dan angan-angan yang berbeza.  Ada yang tercapai impian mereka  malah ada yang pulang dengan rasa kecewa….

Apa pun aku suka memetik sebahagian daripada bait-bait puisi yang telah dideklamasikan oleh Pak Nuri Angkasa semasa perhimpunan tersebut…..

“Kita datang dari jauh

Pak Nuri Angkasa

Menongkah arus ribu batu dalam perjalanan berliku datang membawa bersama secebis peristiwa berdarah dari perbatasan bumi di mana rakan kita yang gugur,  gugur kerana bertahan di dada pertiwi dengan peluru dan darah….. dengan keringat yang tumpah! Dan ……. Hari ini dalam denyut nadi ibukota.

Kita veteran diajak ke sini

Di bukit Jalil, bumi bertuah anak bangsa bukan untuk memilih bakal juara sukan negara atau menerima taklimat Operasi Sapu Habis, memburu pengganas komunis di lokasi hutan simpan Hulu Bendul pun tidak lagi ada CO Parade sabtu depan…..

Tapi kita dipanggil ada pesan dari sejarah silam ada berita penting dari bumi perbatasan Gubir, Gua Musang, Pulai, Padang Tenku, Tanjong Tualang, Sungai Ruan, Tanjong Kunyit , Lundu, Kalabakan danberbilang ratusan lagi bumi yang hangus dibakar api peperangan….

Justeru kawanku wira veteran, kita di sini diajak mengingati saat-saat getir dalam perjuangan berdarah ketika menentang keganasan pengganas komunis, kita diajak mengingati detik-detik sayu rakan-rakan wira yang gugur kerana menjulang sejarah, maruah anak bangsa menjulang maruah Angkatan Tentera kita

maruah yang sudah sebati tertanam dalam tubuh yang sudah bersarang, seribu luka dari kesan tembakan

tubuh yang masih tinggal Cuma sekepal daging membungkus tulang

masih dapat bertahan buat mengisi tugas bakti dalam satu lagi pengembaraan menghabiskan sisa-sisa hidup yang terus berbangga TERCAPAINYA KEMERDEKAAN NEGARA TANPA TUMPAH SETITIK DARAH !!

tapi…. hendaknya sejarah tidak lupa tentang perjuangan berdarah kami di perbatasan demi kemerdekaan negara….”

Zul.. wakil dari Penang

antara skot-skot yang sempat berjumpa

20
Oct
10

Catatan sebuah perjalanan

Perjalanan: Kuala Lumpur ke Jitra

Tarikh: 11 Oktober 2010

Masa: 0830-1730

Zon Masa- HOTEL

Pelancaran Electrik Train System (ETS) perjalanan dua hala Kuala Lumpur-Ipoh pada Ogos lalu membuatkan aku teruja untuk mencuba perkhidmatan ini.  Tambang ETS yang masih melalui fasa percubaan KL-Ipoh-KL dengan harga promosi RM30.00.  Berlepas dari KL Sentral pada jam 0830 dan tiba tepat pada jam 10.47 (+-) di stesen Ipoh seperti mana tercatit di dalam tiket penumpang.   Dengan kelajuan maksima mencecah 145 km/jam telah memberi penjimatan masa perjalanan  dan memberi keselesaan yang sebenar untuk sesuatu perjalanan jauh.

Di KL Sentral sebelum memulakan perjalanan

Rancangan awal untuk meneruskan perjalanan  dari Ipoh ke Jitra dengan bas Ekspres tidak menjadi kenyataan sebaliknya aku menggunakan satu lagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTM) dari Ipoh ke Butterworth.  Bertolak dari Ipoh pada jam 1105 dan tiba di Butterworth pada jam 1445.  Perjalanan dengan SINAR UTARA  (kalau tak silap) ini memakan masa hampir 4 jam kerana kerap berhenti dan kelajuannya yang rendah.  Menilai stesen-stesen di sepanjang jalan, aku dapat merasakan bahawa pembangunan prasarana stesen-stesen kecil  KTM tidak banyak berubah  seolah-olah berada di zaman 60an seperti mana yang sering aku tonton filem-filem di zaman itu.  Kali terakhir aku menggunakan perkhidmatan KTM ini 29 tahun yang lalu iaitu pada bulan September 1981 dari Kuala Krai Kelantan ke Ipoh Perak  untuk melapur diri ke Pusat Latihan Rekrut TLDM Lumut .

Perkhidmatan KTM perlu sentuhan moden

Pemandangan di dalam koc Sinar Utara

Untuk mengakhiri  sebuah perjalanan pada kali ini, aku menaiki bas dari Butterworth ke Alor Star dan tukar bas sekali lagi untuk ke Jitra.

Konklusi dari sebuah  perjalanan sehari bersama perkhidmatan kenderaan awam  di wilayah utara  cuma ingin memfokuskan kepada  relevansi  perkhidmatan  keretapi kepada sebuah perjalanan.

Seperti mana Express Rail Link ( ERL), Komuter, LRT, Monorail,  ETS adalah satu lagi usaha penambahbaikan ketara terhadap perhubungan antara negeri dalam Malaysia .  Ianya bukan sahaja  menjimatkan masa malah keselesaan maksima boleh dirasai di samping  kenyakinan keselamatan yang tinggi berbanding perkhidmatan bas ekspres yang sering menghantui keyakinan pengguna.  Walaupun kemungkinan harga tambangnya lebih tinggi namun kepuasan dapat menafikan hakikat itu.   Menunggu 2011 yang menjangkakan ETS  Ipoh –Perlis  siap dibina dan beroperasi  untuk satu lagi alternatif yang mungkin merubah senario perkhidamtan awam dalam negara.  Perkhidmatan KTM patut diberi suntikan penambahbaikan untuk menukar selera pelanggan yang kini ternyata agak kurang mendapat sambutan kepada pelanggan biasa.  Untuk memudahkan kesinambungan perjalanan penumpang pada pendapat saya stesen keretapi, bas dan teksi MESTI berada dalam satu kawasan.

@Ekspresi

06
Oct
10

Sejenak Bersama KD KELANTAN

  • NURI TUDM

    Penerbang burung besi

    Air quater master

  •  

    Rakan media dan VIP

     

     

     

     

     

    Tetamu KDK

    KD KELANTAN adalah diantara kapal yang terlibat di dalam Eksesais ANGSA5/2010 sedang melaksanakan latihan bersama kapal lain  25 batu notika ke selatan Pulau Langkawi menjadi platform kepada sebahagaian wartawan kawasan Utara dan VIP tempatan untuk menyaksikan sebahagian daripada scenario latihan tersebut di medan sebenar.

    senario eks angsa
    Suasana di Anjungan

    Walaupun aku tidak mempunyai kelayakan sebagai Helicopter Approach Controller (HAC) semasa dalam perkhidmatan  namun sebagai sebahagian daripada CIC krew  yang bertanggung jawab sebagai Radar detector, sequence dan procedure untuk menerima kehadiran sesebuah heli sudah boleh di ‘hafal’ sifirnya bagi menggambarkan kekerapan operasi ini dilakukan.  NURI, Allouttte, Wasp sudah terlalu familiar dengan  pendaratan di atas  geladak kapal.  Kebanyakan helicopter generasi dulu tidak dilengkapi dengan radar jadi pihak kapal akan memandu mereka sebelum mereka dapat mengecam lokasi atau kapal mana yang akan mereka mendarat.

    Bermula dari detection on Radar dan memandu ke gate, green deck seterusnya mendarat dan lashing ianya berlaku dengan selamat walaupun geladak penerbangan cuma ‘sekangkang kera’.  Itulah gambaran yang boleh aku berikan terhadap kepakaran pilot helicopter ATM yang tidak pernah menolak segala tugasan yang diberi melainkan sebab-sebab teknikal.

    Walaupun aku tahu tanggongjawab ini sangat berisiko namun dengan kemahiran yang dipamirkan oleh jurupandu pesawat menjadikan operasi ini ‘kelihatan ‘ tidak berisiko.

    Malah HAC sendiri juga suatu tugas berisiko tetapi tidak menerima apa-apa elaun sebagai menyokong moral operatornya walaupun sudah berkajang kertas kerja di majukan untuk perhatian kerajaan.

    Lain pula rasanya bila aku sendiri berada di dalam pesawat heli dan akan mendarat di atas kapal.  Gementar juga rasannya terutama sewaktu take off dalam cuaca buruk.  Fikiran ini teringat macam-macam tambahan pula NURI sering kali kita dengar mengalami kemalangan yang melibatkan nyawa dan juga airport Langkawi juga sering dilanda angin kuat yang tidak disangka-sangka.  Apa pun bertolak daripada konsep tawakkal dan pengalaman mengawal pendaratan heli di kapal dan performance NURI itu sendiri sepanjang perkhidmatan di dalam ATM, maka perasaan kurang enak dapat diisi dengan keyakinan.

    Mendarat dan berlepas di KD KELANTAN dengan selamat.  Dibina di Limbungan Bousted Naval Shipyard Lumut Perak bermula 16 Jul 2002.

    KD KELANTAN kapal ke 5 yang baru sahaja berada dalam inventori TLDM adalah di antara 6 buah New Generation Patrol Craf (NGPV) bac 1 yang berkonsepkan fitted for but not with (FFBNW) yang memberi kelebihan dalam peningkatan keupayaan peperangan apabila diperlukan.

    Sistem dan peralatan yang sedia ada boleh diintergrasikan tanpa melalui proses modofikasi yang kompleks.  Bac ini diiktiraf sebagai salah satu daripada  best new corvette in the world kerana versaliti dalam memenuhi keperluan strategic semasa dan akan datang juga  rekaan tempatan yang mesra pengguna yang mengutamakan keselesaan penghuninya.

    Surveilanve and Nav radar antenna

    Secara asasnya NGPV dibina untuk menggantikan Kapal Ronda Kelas Keris dan Sabah yang kini diserap ke dalam perkhidmatan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).

    EX-KD SRI KELANTAN sendiri telah diserahkan kepada University Kuala Lumpur – Malaysian Institut of Marine Engineering Technology(UniKL MIMET) pada 23 Mei 2007 bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan. Sungguh pun kapal ini tidak dilengkapi dengan persenjataan yang sewajarnya namun masih bercirikan teknologi terkini.

     

    Foxl KD KELANTAN

     

    Spesifikasi

    Displacement 1650 tons, Lenghts 91.1m,  Draught 3.4m,  Main Machinery 2 x Cartepillar 3616 (5450kw each), Speed 22 knot, Endurance 6000nm @ 12knot,  Complement 10 officer + 58 other rank,  Guns 76mm – OTO Melara dan 30mm gun OTO Breda,  Combat system STN AtlasCosys 110 M1.

    18
    Jul
    10

    Teringat Kawan Sekolah

    Dah agak lama aku tidak mengemaskinikan blog peribadi . Sebenarnya banyak kekangan yang menjadikan mood aku tidak begitu stabil untuk berkarya dengan sempurna.  Kebetulannya artikel untuk isu Ogos sudah pun dihantar ke meja editor Majalah Perajurit, maka ruang untuk memberi tumpuan berkarya agak terluang tetapi masanya yang sesuai adalah di sebelah malam kerana tiada gangguan dengan tugas-tugas hakiki seharian.  Isu Ogos juga merupakan kesinambunagn kepada Misi Merentas Waktu 1 yang sudah menemui pembaca pada bulan Julai.  MMW2 juga masih memberi focus yang sama yakni berkisar kepada Battles of Jitra.  Kepada anak-anak muda yang ingin mengikuti aktiviti Misi Merentas Waktu siri-siri akan dating, boleh mendaftarkan diri ke dalam komuniti Forum Panggilan Pertiwi  (http://panggilanpertiwi.forumotion.net/) dan boleh dapatkan maklumat dari sana.

    Berbalik kepada tajuk, tidak semena-mena fikiran aku teringat rakan-rakan sepersekolahan dahulu. Aku menduduki persekolahan menengah rendah di Sekolah Nasiruddin Shah Besut Trengganu pada 1974 hingga 1978. Dari tingkatan 1 hingga 3 aku berada dalam aliran Perdagangan (Tingkatan 1B-3B). Tingkatan 4-5 aku berada dalam kelas aliran sastera.  Di antara rakan-rakan yang akrab ialah:

    - Arifin Kerandang (sekarang IO di IPK Ampang) pernah date dengan dia 2 tahun lepas di Kampong Raja.

    - Mat Copong (Renjer Perhutanan). Last sekali jumpa masa dia ikut Saleem Iklim masuk pertandingan di Dewan Sg Pinang Pulau Pinang awal 80an. Masa tu akau bertugas di RNO Penang area Padang Kota Lama.

    - Mazlan Pengawas . Last jumpa masa aku buat dokumentasi akhir di JRP Mindef pada akhir 2003. Rupanya dia masuk askar selepas gagal mendapatkan pekerjaan tetap dan bertugas di JRP. Itu pu aku yang tegur dia dulu.  Dia haram tak ingat aku…

    - Zahari Seberang Jerteh – yang Cuma joint kami semasa di tingkatan 4 juga di antara sahabat yang sama-sama bersusah senang.  Tapi membawa hal masing-masing setelah membina kerjaya masing-masing.

    Yazid Ngah.  Dia Join pegawai Tentera Darat,  last jumpa dia kat Jalan tuanku Abdul Rahman KL. Masa tu akau baru habis rekrut TLDM dan dia baru abis Kadet TD sekitar lewat 1981.

    Ada beberapa orang yang sama-sama ‘tercampak’ ke Lubuk TLDM malah ada yang sampai ke penghujung perkhidmatan dan ada juga yang tersadong di tengah jalan.

    Ramai lagi yang aku masih ingat nama-nama mereka seperti Zakaria Abdullah, Mahasan, Latif, Deraman Yong, Tuan Ali, Rashidi dan lain-lain termasuk kawan-kawan dari biasiswa Yayasan Sabah seperti Bandar Andawai, Rahman, Lusiau Lantarah, Lamigan Amat, Ramlan dan lain-lain.

    Manakala kawan-kawan wanita pula seperti Wan Nisah dan kakaknya Wan Hazimah, Zainab, Rohani, Azizan, Saadiah Mokhtar dan ramai lagi yang dah blurrr nama-nama mereka. Cuma Wan Kuntum dan Saleha sahaja yang pernah aku jumpa kerana mereka ini berniaga dan senang dikunjungi di Jerteh dan Kampong Raja. Aku yakin ramai yang berkerjaya hebat dan cemerlang dalam hidup .

    Tidak mudah untuk bertemu mereka kerana sudah mempunyai kerjaya dan ntah berada di mana-mana.  Sedangkan Wan Ali kawan sekampong pun sukar untuk bertemu walaupun aku selalu balik kampong.  Apatah lagi kawan-kawan wanita yang sudah bersuami tentunya sukar untuk bertemu dan kalau berselisih pun sudah berubah fizikalnya.

    Apa pun gerak hati ini terlalu kuat untuk bertemu mereka walau pun sekadar bertanya kabar.  Kenangan-kenangan semasa di Asrama A kembali mengundang nostalgia. Di denda warden kerana merokok, ponteng sekolah dan segala aktiviti yang sihat dan kurang sihat semasa berada di rumah sewa. Namun ‘kenakalan’ kami tidak pernah sampai ke peringkat apa yang dikatakan vandalisma maupun jenayah yang menggangu gugat keselamatan negara.

    Ingatan kepada kawan-kawan dan peristiwa-peristiwa lama ini hakikatnya telah menyedarkan aku betapa ‘kenakalan’ zaman remaja dengan mengabaikan peluang-peluang akademik telah mentakdirkan aku tidak berjaya dalam akademik sekali gus mencampakkan aku kepada suatu kerjaya yang aku minati sedangkan semasa di sekolah dahulu, untuk terpilih sebagai anggota kadet sekolah pun aku tidak layak.

    Aku bersyukur dengan takdir ini dan menjadi sebahagian daripada warga ATM selama 22 tahun telah mematangkan aku erti kehidupan.

    Kepada kawan-kawan yang membaca coretan ini dan masih mengingati aku, harap dapat memberi respon untuk silaturrahim.

    18
    May
    10

    Pangkor War- Nostalgia Dalam CIC

    Sesuatu yang mengujakan aku ialah bila sesekali dapat kembali berjumpa dengan kawan-kawan seperjuangan yang pernah mengenali antara satu sama lain samada secara tidak langsung atau pernah sama-sama berkhidmat dalam satu unit suatu ketika dahulu. Bila bertemu berbagai persoalan diperbualkan terutamanya perkembangan perihal diri masing-masing samada yang masih dalam perkhidmatan maupun yang sudah bersara.

    anak-anak buah semuanya sudah berpangkat malah sudah mengambil alih jawatan2 penting yang memacu TLDM ke arah kecemerlangan

    Lt Shahril – 2nd PRO Markas Armada yang banyak membantu petugas media

    Pada 28 April lalu sekali lagi aku berkesempatan menjejak kaki ke dalam Pangkalan TLDM Lumut.  Ternyata kelihatan persekitaran di dalam Pangkalan semakin canggih dan cantik.  Ini menunjukan TLDM masih sinonim dengan kecantikan dan kebersihan.

    Pada jam 1330H aku di antara warga media tempatan yang dijemput oleh TLDM untuk program Hari Bersama Media 2010 telah belayar bersama KD LEKIU, KD SRI INDERA SAKTI dan KD KEDAH dalam satu siri latihan Perang Pangkor 6/2010.

    RS Jafri- generasi 815 yang kini bertanggungjawab mencorak kewibawaan generasi milenia untuk meneruskan kesinambungan perjuangan TLDM

    Selain daripada air attack, beberapa siri latihan NBCD, demo PASKAL, Jackstay Transfer telah dipertontonkan kepada warga media yang berada di atas LEKIU dan Sri INDERA SAKTI. 

    KD SIS- Ibarat seekor unta yang sudah tua menjadi teras pengangkutan. Perolehan MPSS masih menjadi tandatanya.

    Superlynx- Generasi ke 2 Pasukan Udara TLDM yang menggantikan Skn Wasp.  RAJAWALI masih mendambakan  asetnya yang baru yang mampu bersilat di arena ASW.  Bila kah anggan2 ini akan termakbul?

    Walaupun sudah ‘bercerai hidup’ dengan TLDM, namun bila bekas anak buah RDP iaitu John Bosco yang ikut sama sebagai staf penilai Markas Armada berbisik , “ Hasil kerja tangan encik dulu, kami masih gunakan”. Apa yang dimaksud oleh beliau ialah pamphlet reporting procedure yang sering diguna oleh anggota RDP masih tercatat nama aku sebagai compiler.  Tanpa ‘tangkal’ yang dimaksudkan, budak-budak RDP teraba-raba kerana malas nak menghafal procedure yang semuanya dalam bahasa inggeris.

    Jackstay transfer- Sebagai kapal pembekal peralatan, banyak gerak kerja yang harus dipersiapkan sebelum evolusi bermula.

    Aktiviti ini mengimbau nostalgia aku sepanjang 21 tahun dalam TLDM.  Acara nya tetap sama walaupun nama latihan dipelbagaikan baik intra maupun dengan tentera laut asing.

    Dipendekkan cerita, kapal kembali merapat ke jeti pada 290130H.  Oleh kerana tak larat nak drive balik ke Jitra malam-malam buta, aku dan Azri ( jurugambar projek khas) mengambil keputusan untuk bermalam di mess Bintara.  Bilik 109 Blok B menjadi bilik penginapan kami pada kali ini.  Apa yang perlu aku sebutkan ialah Mess Bintara Lumut agak banyak berubah.  Aksesori bilik dan kebersihan mempunyai perubahan berbanding 5/6 tahun dahulu.

    Keesokan pagi kami bersarapan di pasar Rumah Keluarga TLDM. Nasi berlauk, nasi kerabu tetap menjadi igauan. Apa yang boleh dikatakan, Pangkalan TLDM Lumut merupakan satu pangkalan yang serba lengkap untuk sebuah kehidupan berkeluarga dan Pekan sekitar seperti Lumut dan Manjung sebagai pelengkap kepada kewujudan sebuah Pangkalan Tentera yang menjadi lubuk perniagaan yang serba menjadi kepada pengusahanya.  Oleh sebab itu ramai pesara TLDM bermastautin di kawasan sekitar walaupun telah bersara dengan TLDM.  Bermakna jika tersadung di Lumut, masih boleh tidur berbantal dan tidak akan kebulur, yang penting tidak segan untuk info teman-teman yang bila-bila masa saja sudi membantu. Terima kasih TLDM khusus untuk warga Perhubungan Raya Markas Armada. Sekian.

    13
    May
    10

    Aku dan Jubli Intan TLDM

    15 April 2009 sekali lagi aku dijemput untuk merakam suatu peristiwa sempena Jubli Intan (75 tahun) TLDM. Sebelah pagi membuat liputan di Perasmian KD PANGLIMA HITAM.

    Di sebelah petang kami di bawa belayar mengelilingi pu pangkor. Aku menaiki KD LEKIR. CO masa tu adalah Kdr Asmayatim (GO masa aku ORS di KD KASTURI).

    Acara menembak onboard lekir. GI CPO Basir

    Di sebelah malam, kami diraikan di Wardroom . Dihadiri oleh PTL dan pegawai2 Kanan yang mana kebanyakan dari mereka pernah bekerja dalam satu unit dahulu.  Dinner dihiburkan oleh Band Gelombang Biru TLDM.  Keesokan pagi kami sekali lagi di’jamu’ sarapan pagi di ward room.  Dulu aku tak merasa nak makan di Mess pegawai ni. Dah berhenti baru dapat peluang. Inilah yang dikatakan takdir.

    13
    May
    10

    Hari Armada 2008

    Pada 26 dan 27 April 2008, aku berpeluang untuk merakam detik-detik kemeriahan Hari Armada dalam konteks  riwayat hidup aku setelah bersara dari TLDM bermakna setelah 5 tahun aku bersara wajib dan sepanjang tempoh itu aku tidak menjejak kaki lagi di pekan yang mendewasakan aku, dan ketiga-tiga anak-anak  akau yang membesar dan bersekolah di sini. Sehingga aku menemui satu bidang yang membawa aku kembali ‘hidup’ dalam khalayak yang mengajar aku erti perjuangan.

    Di sebelah pagi 27 April, aku dan aneep membuat liputan di perbarisan istiadat di Padang Kawad KDP.  Aku pun malas nak bercerita panjang, mungkin beberapa keeping gambar yang dikepilkan dan artikel ini dapat member gambaran apa yang berlaku. Layannnn….

    Fajar Samudera…. hotel penginapan kami. Kebetulan jugak, CPO RDP Rohaizad (anak buah) yang jadi Coxn kat situ…tambah menyenangkan le…

    ….kalau dulu aku jadi skipper bot, kebetulan pulak anak buah yang membawa kami bersiar-siar.

    Superlynx beraksi dalam misi anti keganasan

    Siisteri yang baru mendirikan rumahtangga menunggu kepulangan suami yang belayar jauh merentasi benua…

    Satu peristiwa penting juga berlaku pada hari tersebut ialah sambutan kepulangan KLD Tunas Samudera dari misi mengelilingi dunia dalam projek poland.

    03
    Apr
    10

    Dusk To Dawn TD 2008

    Sekadar berkongsi saat-saat yang turut menjadi kenangan di dalam hidup meskipun sudah meninggalkan perkhidmatan. Galeri ini dirakam sewaktu mengikuti program Dusk to Dawn bersamaTentera Darat pada April 2008.

    Sebelum ‘ambush’ ke penempatan musuh kami pun kena camo jugak.

    Sebelum memulakan operasi kami diberi taklimat untuk mengatur strategi serangan ke lokasi musuh

    Meredah malam gelap dengan  kereta kebal ADNAN mengambil masa lebih 1 jam sebelum tiba ke kawasan pertempuran.

    ADNAN masih ampuh mengabdi sebagai aset pertahanan negara.

    Perlu ada wartawan bebas yang sanggup mati seperti ini semasa operasi sebenar untuk merakam operasi-operasi ATM.

    Di OP1 PT-91M  mempamirkan persembahan menakjubkan.

    Serentak dengan itu PTD Jen. Tan Seri Muhammad Ismail menamakan kereta Kebal terbaru negara dengan PENDEKAR.

    Di TLDM,  helikopter approach control adalah sebahagian dari tugas  Radar Plotter namun tidak pernah diberi peluang untuk terbang dengan wasp maupun Lynx tetapi tidak terduga pulak dapat terbang bersama LOH-109 PUTD.

    anggota PARA melapah monyet

    Adegan yang meloyakan ialah pertandingan memakan makanan ikhtiar hidup. Ulat hidup-hidup, ikan mentah dan ular sawa bakar hahaha.

    PW Zhahar merupakan legasi RSM TD yang juga masih berhubung rapat dengan RSM TD pertama iaitu Pak Mat Joe sewaktu beliau masih hidup.

    Akhir kalam kami meninggalkan Kem Sirajudin Gemas dengan seribu kenangan. Syabas TD

    31
    Jul
    09

    Alam Pencen – aku jadi jaga

    Jadi Jaga pun Tak Apa Janji Rezki Halal

    Jaga pun ada internet

    Jaga pun ada internet

    Bila sudah merasakan kantung sudah kering, baru terasa nak mencari kerja. Nak cari kerja yang sesuai dengan minat, umur, kudrat, kemahiran adalah sangat sukar di persekitaran jitra.  Jika  hendak sesuaikan dengan kemahiran semasa di dalam tentera, maka terpaksa berhijrah sekali lagi ke lain-lain tempat. Ini tidak memungkin aku berbuat demikian kerana sudah jemu berjauhan dari keluarga.

    Ayob - akhirnya skiper bot pelancong Pu. Payar

    Ayob - akhirnya skiper bot pelancong Pu. Payar

     Dalam pada itu seorang sahabat iaitu bekas PW2 PBS Ayob Che Ros mempelawa aku menjadi partnernya sebagai pengawal keselamatan di Kolej Komuniti Bandar Darulaman Jitra.  Tanpa berfikir panjang, aku terima je la (maklumla simpanan tinggal serdak je lagi).  Gajinya tak sampai pun RM 20.00 sehari (12 jam) tapi suasana persekitaran dengan kakitangan yang boleh bertolak ansur menjadikan aku terasa sayang dengan kerja ini (sebenarnya bukan kerja itu tetapi tempat itu). 

    20 Jul 2005 – Masuk kekuatan anggota (MKA)  Syarikat Indah Security yang majoriti pegawai-pegawainya adalah bekas ATM.  Aku tidak mempunyai apa-apa masalah tentang kerja cuma merasa jengkel bila bekerja di bawah supervisi seorang pegawai yang bukan dari kalangan bekas tentera.  Kejengkelan aku bukan kerana dia orang awam, tetapi tahap disiplin dan amalan  hidup yang kurang baik di samping tahap pemikiran yang kurang matang dan bersikap seperti musang berbulu ayam.

    Pada pandangan aku, pengawal keselamatan boleh dijadikan kerjaya ke 2 kepada bekas-bekas ATM (yang berpencen) namun beberapa aspek-aspek mesti dinaik taraf oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan pekerjaan ini supaya ianya kelihatan lebih sesuai untuk dijawatkan kepada Bekas-bekas tentera berpencen yang kebanyakan mereka pernah menyandang pangkat tertinggi (LLP) semasa perkhidmatan.

    Aku semakin teruja bekerja di KK ini kerana di dalam pos pengawal pun diberi akses internet. Ini adalah kerana kepercayaan pegawai teknikal KK yang memberi kepercayaan untuk aku mengendalikan CCTV.  Bila ada akses internet maka berjalan la sikit otak aku. Aku melanggan internet di rumah adalah sejak dari dalam service lagi. Waktu tu tak ramai yang ada internet di rumah waima computer cabuk sekali pun. Namun bila pindah rumah terpaksa diputuskan sementara.

    Aku jadi jaga ni pun takde niat lain melainkan nak tambah pendapatan je. Walaupun begitu soal amanah dan tanggungjawab kerja aku tidak abaikan dan tidak berkompromi langsung.  Itu memang perinsip semula jadi aku kerja kat mana-mana pun yang akan cuba sedaya upaya menjaga nama baik majikan.

    Di sebalik kerja jaga yang tidak glamer langsung ini sebenarnya ada hikmah di sebaliknya yang hanya Allah saja yang tau.  Dengan kemudahan akses internet di sini, aku banyak mengunjungi ruang- ruang forum perbincangan tentang dunia pertahanan. Dari aktif di forum Tentera darat (kini dah tutup), aku diperkenalkan dengan forum gempurwira yang mana dari sini baru aku tahu rupa-rupanya masyarakat awam dari kalangan professional dari pelbagai bidang banyak mengambil tahu soal pertahanan negara. 

    Dari sini lah aku banyak berkenalan dengan rakan-rakan forum yang sudah mempunyai nama besar dalam masyarakat. Di sini juga aku telah disunting oleh sebuah penerbitan majalah pertahanan negara untuk memberi sumbangan dalam bentuk penulisan untuk dimuatkan dalam majalah tersebut.  Pada peringkat awalnya nama aku tercatit sebagai penulis tamu, dan ‘dinaikkan pangkat’ kepada koresponden mungkin kerana konsistensi aku menghantar artikel… hahahaha… glamer… glamer.

    Sebenarnya aku tidak berniat untuk berada di dalam dunia pengawalan ini terlalu lama justeru itu beberapa kali aku menolak tawaran untuk kenaikan pangkat. Aku mengambil keputusan untuk berhenti setelah syarikat gagal menyambung kontrak dengan KKBD untuk perkhidmatan seterusnya.  Setelah kontrak pengawalan di KKBD tamat pada 31 jan 2007 maka dengan rasminya aku juga meletak jawatan dari syarikat ini pada 01 feb 2007.

    Inilah yang dikatakan hikmah di sebalik sesuatu kejadian.  Apa yang penting ialah sesuatu peluang yang baik itu dimanfaatkan sepenuhnya.  Pada 6 mac 2007 aku dan isteri memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuka sebuah warung dan kedai runcit mini untuk keperluan terdesak masyarakat sekitar.  Sehingga kini perniagaan masih menjadi pekerjaan utama keluarga di samping meneruskan penulisan sebagai kerja sambilan yang turut menyumbang pendapatan dan yang lebih penting ialah menjana minat.  Walaupun ‘kerjaya’ kedua ini tidak menyumbang pendapatan sebanyak mana, yang penting ialah aku sekeluarga tidak meminta-minta dan kelaparan.

    30
    Jul
    09

    balik kampong gud bye navy

    Bermula kehidupan sebagai orang awam

    Bulan Oktober 2003, bermodalkan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan ganjaran perkhidmatan, saya telah membina sebuah rumah banglo yang berukuran 30 x 70 kaki di atas sebidang tanah yang juga dibeli sendiri di
    Jitra Kedah

    Berpindah dari Pangkalan TLDM Lumut pada bulan Disember 2003 dan balik ke kampong untuk memulakan penghidupan baru. Walaupun rumah yang dibina tidak siap sepenuhnya, tetapi sudah boleh didiami dengan selesa. Berbekalkan wang pencen perkhidmatan dan tambahan pencen hilang upaya, saya bersyukur ke hadrat Ilahi, walaupun sekarang ini tidak mempunyai pekerjaan tetap namun dengan bantuan isteri yang tak pernah jemu berusaha untuk mencari rezki tambahan, kami sekeluarga boleh meneruskan kelangsungan hidup seperti orang lain.

    Setelah memohon beberapa kali pekerjaan dengan agensi kerajaan bersandarkan pengalaman dan kemahiran yang ada, namun mungkin masih belum ada rezki, saya tetap redha dan membuat kesimpulan bahawa pesara tentera sebenarnya tidak diperlukan lagi dalam perkhidmatan kerajaan waima untuk menyertai PSSTLDM sekalipun.

    Dengan umur di awal 40an dan berbekalkan kudrat yang berbaki, saya perlukan sesuatu pekerjaan untuk mengisi kekosongan masa dan perlu menyokong pendapatan yang ada untuk memenuhi keperluan hidup dan pelajaran anak-anak yang masih memerlukan perhatian. Saya yakin, jika Allah mengurniakan kesihatan, insyaalah saya akan melakukan sesuatu yang positif.

    Sebelum mengakhiri pengkisahan pengalaman sebelum, semasa dan selepas perkhidmatan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada ATM amnya dan TLDM khususnya kerana memberi peluang kepada saya yang dulunya serba kekurangan dan berjaya menamatkan perkhidmatan tanpa menghadapi sebarang masalah besar. Asam garam kehidupan dalam dunia ketenteraan banyak mengajar saya erti kesabaran dan toleransi.




    Hijrah Untuk Kesejahteraan

    Kalendar Kehidupan

    June 2012
    M T W T F S S
    « Apr    
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    252627282930  

    Tetamu dihati

    • 23,849 hits

    Facebook

    Online

    Pencapaian

    Surat Khabar


    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.