Tag Archives: Hidup adalah perjuangan

Askar Wataniah mabuk

Kisah di Pulau Bidong

Laut China Selatan di musim monsun timur laut iaitu antara bulan Okt hingga Mac setiap tahun tidak pernah mungkir janji.  Walau sebesar mana pun gelora, PC14 tidak pernah undur atau ‘madah berhelah’ dengan arahan operasi.  Perinsip TLDM adalah tidak akan lari dari menghadapi gelombang tetapi berusaha untuk memanipulasikan gelombang tersebut supaya ianya tidak merbahaya.

Pulau Bidong di perairan Trengganu adalah sebuah pulau yang dijadikan transit di negara ke2 sebagai penempatan sementara kepada pelarian Vietnam semasa negara mereka dilanda sengketa.  Setelah pemindahan mereka ke negara ke 3, pulau Bidong dikosongkan dan di jaga oleh anggota wataniah secara bergilir-gilir dari kalangan AW siri 300.

Pulau yang baru ditinggalkan ini masih menyimpan bekas-bekas peninggalan pelarian yang berupa tanaman seperti betik, kelapa  yang mana masih berbuah dengan baik.  Apa yang menarik yang pada masa itu masih meninggalkan kesan ialah tugu yang mereka bina sendiri dan telaga-telaga yang digali untuk keperluan air semasa mereka berkampong di situ. 

Apa yang saya ingin kongsikan adalah ‘kepakaran’ orang Vietnam ini membina telaga di lereng-lereng bukit untuk mendapatkan air tawar.  Yang anehnya ialah telaga yang digali adalah sempit (muat-muat timba) tetapi agak dalam ke bawah (telaga atas bukit).  Dari situ saya dapat gambarkan kenapa tentera US tidak boleh menang ketika berperang dengan Vietnam yang salah satu taktik mereka adalah berkubu di bawah tanah seperti ‘lubang tikus’.  Lubang yang kelihatan sempit di permukaan sebenarnya mempunyai rangkaian terowong bawah tanah yang boleh didiami dan melakukan taktikal untuk menyerang tentera Amerika.

Kehabisan Bekalan

Berbalik kepada kisah AW yang berkawal di Pulau ini selama 2 bulan bergilir-bergilir.  Transport untuk membawa trup mereka pergi dan balik ke Pulau itu adalah PC14 Tanjong Gelang yang akan mengambil/memulang mereka di Jeti Perikanan Chendering dan merapat di Pontoon Pu Bidong yang bukan sahaja kedalamannya agak selesa untuk PC merapat malah lokasinya yang sheltered dari alun dan angin Timur Laut.

Pada suatu hari di musim tengkujuh, SRI SARAWAK yang sedang beroperasi di kawasan tersebut ditugaskan untuk membawa pulang trup AW ke Chendering kerana giliran mereka sudah tamat.  Segala bekalan makanan yang mereka bawa untuk tempoh itu telah kehabisan dan akan diganti oleh trup baru.

Pada petang yang dijadualkan, kami berlepas seperti biasa walaupun keadaan gelora yang sedang mengganas.  Jangkamasa pelayaran dari Pulau Bidong ke Chendering sepatutnya cuma memerlukan 2 jam sahaja untuk sampai.  Setengah jam pelayaran, CO kapal (Lt Kdr Arif Osman) menggambarkan pelayaran ini sangat merbahaya untuk diteruskan kerana kelajuan angin dan ketinggian ombak yang boleh menukar keadaan menjadi tragedi.  Keputusan drastik CO adalah menukar haluan dan kembali berteduh di Pu. Bidong dan mengambil keputusan menunggu sehingga gelombang reda.

Sebenarnya Sri Sarawak juga pada masa itu berada di hujung operasi, bermakna ration yang dibawa juga hampir kehabisan.  Jika di campur dengan anggota AW, maka kekuatan anggota sudah menjadi lebih kurang 50 orang. Walaubagaimanapun lebihan ration masih mampu untuk mengalas perut kami.  Dalam masa yang sama juga, aktiviti memancing dan menggeledah hasil bukit (betik, kelapa muda dan tumbuh-tumbuhan) dapat menampung kekurangan lauk dalam tempoh 3 hari tersadung di Pulau tersebut.

Askar Wataniah Mabuk Laut

Setelah keadaan laut agak reda, pada jam 1500H kami meneruskan pelayaran ke Chendering yang jangkamasanya 2 atau 3 jam kerana gelora masih rakus dan hujan yang berterusan.  ‘Penumpang’ berbaju hijau masing-masing melayani khayal dan mabuk free hadiah dari TLDM.  Kami yang dah biasa pun mabuk juga tetapi di depan tetamu kami terpaksa control macho.

Tiba di muara pelabuhan Chendering pada jam  18++H yang mana cuaca agak gelap dan hentaman gelora masih kuat, CO tidak berani mengambil risiko untuk entering harbour pada petang tersebut.  Suka atau tidak, kapal terpaksa bersauh di sekitar Pulau Kapas yang tidak cukup shelter apatah lagi lokasi yang agak selesa untuk bersauh sudah dipenuhi oleh bot-bot lain.  Dalam keadaan arus laut yang deras juga agak merbahaya jika bersauh terlalu hampir dengan pantai.

Keputusan bersauh ini sangat mengecewakan semua orang kerana kami terpaksa ‘berkhayal’ lagi 15 jam menunggu esok pagi.  Krew kapal seperti biasa meneruskan tugas-tugas walaupun dalam keadaan ‘pening lalat’.  Sebenarnya PC terlalu kecil untuk menampung penumpang yang agak ramai. Jadi semua AW akan mencari keselesaan masing-masing (mana tempat pun tak selesa).  Ada yang berteduh di passage way, bawah gun dan ada yang ‘terjelepuk’(hampir pensan) di mana-mana sudut geladak atas bermandikan hujan sejak dari mula kapal belayar lagi.  Seluruh persekitaran bertaburan kesan muntah dengan bau yang boleh membuatkan orang tidak mabuk pun ikut muntah.

Esoknya kapal selamat merapat di jeti Perikanan Chendering.  Pemunggahan barang dan anggota trup AW berjalan lancar. Buah tangan dari Bidong (buah betik baka baik) untuk keluarga ditinggalkan di atas kapal. 

Saya bertanya kepada mereka. “ Bang, kenapa buah betik ni tak bawa balik?”   

Salah seorang menjawab. “ Korang ambik je la… kami tengok betik pun dah mual”. 

Dalam pada itu saya sempat bertanya mereka. “Sekarang mana lebih seronok, navy atau darat?”

“Tobat dah aku tak mau naik kapal navy. Kami buat operasi panjat tiga atau empat bukit satu hari pun tak apa, kalau penat kami berhenti, makan lalu tidur lena. Ini baru tak sampai satu hari dah macam ayam berak kapur. Makan tak lalu, tidur langsung tak boleh lena semalam.  Perut dah takdak isi langsung. Segala sendi lemah longlai, memang tak berdaya dah!. Kalu musuh datang aku takleh wat apa dah!”. …. seorang lagi menjawab.

Saya cuma mampu ketawa dan sempat memberi kesimpualan kepada mereka (AW) bahawa hakikatnya inilah tanggungan berat yang kami pikul sebagai tentera laut.  Di sebalik ‘keindahan’ yang orang luar tengok, sebenarnya dugaan untuk kami datang dari pelbagai sudut. Belum pun lagi betul-betul berperang…

mengaji tak pandai cuma layak jadi askar

Saya dilahirkan pada 12 Ogos 1961 di kampong Pasir Rambutan, Mukim Bukit Puteri Besut Trengganu. Sebuah kampong yang terpencil yang tidak mempunyai apa-apa kemudahan asas seperti letrik dan air paip. Penduduk yang pada asalnya mempunyai 20 buah keluarga dari sejak merdeka dan kini kampong tersebut sudah tidak berpenghuni langsung kerana telah berpindah ke kampong-kampong berhampiran seperti kampong Baharu dan kampong Amir. Kampong Baharu terletak bersempadan dengan Pangkalan Udara Gong Kedak di sebelah Bukit Puteri.

Kampong ini geografinya yang berada di pesisir Sungai Besut yang menjadikan air sungai sebagai sumber minuman dan seluruh kehidupan dan pertanian. Sungai ini juga kini turut mati dan lesu dan tiada lagi kejernihan disebabkan pembinaan empangan di Hulu Besut. Sumber ekonomi penduduk adalah berasaskan pertanian. Seluruh kampong ini saban tahun akan ditenggelami banjir bila setiap kali limpahan air sungai berlaku.

Zaman persekolahan

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampong Baharu sehingga darjah 6. Berulang alik ke sekolah yang jaraknya 5 km dengan berbasikal dan kadang kalanya berjalan kaki.

Seterusnya mendapat pendidikan di Sekolah Nasiruddin Shah (SNS) yang mana di antara sekolah menengah yang paling popular di daerah Besut. Sekolah ini yang lokasinya di kampong Alor Lintang Besut. Saya terpaksa berjalan kaki ke sekolah kerana kampong saya dipisahkan oleh Sungai Besut dengan melintasi Kampong Amir sebelum sampai ke sekolah yang mana jaraknya lebih kurang 6 km. Walaupun begitu sukar bila dikenangkan tapi masa tu bak kata perpatah “alah bisa tegal biasa”.

Satu perkara yang tak pernah saya fikirkan sebelum ini telah berlaku revolusi mental kepada semua penduduk kampong Pasir Rambutan iaitu keputusan untuk berhijrah keluar dari kampong tersebut dan masing-masing membuat perancangan untuk membina penempatan baru yang majoritinya di Kampong Baharu yang mana sebahagian keluarga saya menetap sekarang.

Maka tinggallah kenangan Kampong Pasir Rambutan yang dulunya ada sejarah melahirkan perajurit-perajurit negara dan kini meninggalkan bekas dan dikunjungi semasa musim buah kerana di kampong tersebut memang kaya dengan buah rambutan dan durian yang menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk.

Menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan 5 Sastera. Walaupun saya tidak berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1978 namun saya tidak pernah menunding jari kepada sesiapa malahan saya sedar tentang kecuaian dan sikap tidak mahu belajar bersungguh -sungguh.

Saya berada dalam kelompok pelajar-pelajar yang agak nakal walupun tidak jahat. Satu perkara yang saya tidak suka buat walaupun saya berada di kalangan pelajar-pelajar nakal ialah ponteng sekolah atau ponteng kelas kerana rasa patuh dan hormat saya pada guru. Juga kerja-kerja sekolah yang guru arahkan saya siapkan sedaya mungkin. Cuma kelemahan saya ialah tak minat dan cepat mengantuk bila baca buku. Saya akui semasa berada di tingkatan 5, saya langsung tak baca buku dan ianya diluar pengetahuan dan kawalan ibubapa saya kerana saya tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan.. Saya sebenarnya tidak bercita-cita untuk belajar ke peringkat tertinggi kerana saya berazam untuk memasuki tentera bila tiba masanya. Saya pun tak tahu kenapa minat saya ke arah itu.

Saya mengakui bahawa faktor ekonomi keluarga juga mendorong untuk saya mencebur diri ke alam pekerjaan seawal mungkin. Di zaman remaja saya sudah mahir dengan kerja-kerja petani seperti menanam padi, menoreh getah dan sebagainya kerana banyak menolong ibu bapa semasa cuti persekolahan. Tamat persekolahan saya membuat bermacam-macam kerja di sekitar kampong seperti menoreh getah, kerja kilang papan untuk menampong perbelanjaan harian sementara menunggu kerja tetap. Saya pernah merancang untuk mengikut kawan-kawan bekerja kontrak di Singapura yang pada masa itu sedang rancak pembangunannya tapi ibu tidak mengizinkan dan hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Pada dasar nya ibu bapa saya tidak bersetuju jika saya masuk tentera kerana mereka tidak mahu anak bongsu mereka juga mengikut jejak langkah abang-abangnya yang meninggalkan kampong halaman. Semasa di tingkatan 5 iaitu pada bulan julai, saya telah menghadiri pemilihan TLDM buat pertama kalinya tapi gagal kerana belum cukup umur 18 tahun. Balik, saya dimarahi ibu bapa saya kerana pergi tanpa pengetahuan mereka.