20
Jan
09

Selamat Tinggal Kampong Halaman

Pada tahun 1981 saya juga telah memohon menyertai konstabel PDRM. Semua temuduga telah pun lulus Cuma menunggu panggilan untuk latihan sahaja. Beberapa ketika selepas itu pengambilan rekrut TLDM sedang berlangsung di seluruh negara. Saya bersama teman rapat saya Rosdi Mohamad (berkembar meja semasa di sekolah rendah) telah menghadiri temuduga di Sekolah Menengah Kamil Pasir Putih Kelantan. Pada masa itu kami agak bernasib baik yang kebetulannya TLDM memerlukan ramai anggota baru maka kami dikecualikan daripada membuat ujian bertulis. Kami berdua telah melepasi pemeriksaan fizikal dan perubatan dan lulus dalam pemilihan awal dan kami diberi tiket waren supaya melapor diri di Pusat Latihan TLDM KD PELANDOK Lumut sekitar pertengahan bulan September 1981.

Bermulanya satu perjalanan

Berbekalkan doa ibubapa dan orang kampong dalam majlis doa selamat yang diadakan mengikut kebiasaan masyarakat kampong, saya dan Rosdi dan ada seorang lagi kawan sekampong iaitu Mohd Nor bin Jusoh (tapi dia tak menyertai kami berdua) memulakan perjalanan dengan menaiki keretapi Tanah Melayu di Stesen Wakaf Baru Kelantan. Saya dan Rosdi bersetuju untuk menambah sedikit wang untuk membolehkan kami tidur selesa dalam koc kelas pertama yang pada asalnya tiket waren kelas 3.

Setelah sampai di Kuala Lumpur kami terkejut beruk bila bangun dari tidur pada jam 0700 kerana mendapati dalam keretapi dah tak ada kawan-kawan yang lain. Rupa-rupanya dia orang dah tukar koc untuk ke utara. Koc yang tadi akan ke Johor Bharu. Setelah semua bakal-bakal rekrut dari seluruh semenanjong tiba di Stesen keretapi Ipoh, kami di angkut dengan trak 3 ton untuk dibawa ke Lumut.

Di Lumut, kami ditempatkan sementara di Blok Keluarga A16 yang mana baru selesai pembinaan dan belum diduduki. Kebanyakan prasarana sedang dalam proses pembinaan. Kalau tak silap usahasama dengan syarikat Jerman dengan pemindahan teknologi bangunan pasang siap. Di situlah buat pertama kalinya kami bertemu dengan bermacam ragam manusia dari setiap pelusuk negeri dengan satu tekad nak menjadi seorang anggota tentera laut.

Semangat untuk jadi pelaut.

Semangat untuk jadi pelaut.

Di penempatan sementara Blok A16 , bakal-bakal rekrut dibuat pemilihan terakhir dengan melalui beberapa pemeriksaan fizikal dan kesihatan di samping taklimat-taklimat yang berkaitan sebelum membuat pemilihan cawangan yang merupakan kerjaya sebenar sebagai anggota TLDM.

Di sini kami diberi 3 pilihan cawangan sebagai kerjaya tetap sepanjang perkhidmatan. Saya dan Rosdi (dia ni ikut semua apa yang saya buat) telah meletakkan pilihan 1 Radar Plotter(RDP) Ship qualification (SQ) macam sarang labah, pilihan ke 2 Peperangan permukaan Persenjataan (PPP) SQ adalah gun salute bersilang dan pilihan ke 3 Pemandu Kenderaan Bermotor (PKM) SQ dia lambang mercedez. Dipendekkan cerita, maka dapatlah cawangan RDP. Pilihan ini banyak dipengaruhi oleh keinginan nak belayar….

Semasa kami di penempatan ada juga ‘orang-orang lama’ (biasalah semangat orang kelantan, dia akan datang untuk bantu puak dia) memberi kaunseling supaya tidak menyesal jika tersalah pilih cawangan. Satu perkara yang ingin saya kongsi dengan para pembaca sekelian iaitu sikap orang-orang Kelantan bila mereka bertemu di perantauan. Mereka akan tukar loghat percakapan serta merta dan mudah mesra dan dan sedia membantu sesama mereka. Senior-senior walau apa cara sekali pun tidak akan ‘torture’ sesama mereka melainkan dalam kumpulan yang bercampur. Mereka saling membantu sesama mereka walau di mana mereka berada. Ini adalah satu sikap yang pada pendapat saya patut wujud dan melekat menjadi satu amalan kepada orang-orang melayu keseluruhannya dalam konteks semangat kekitaan sesama melayu bila berhadapan dengan sesuatu perkara.

Saya juga bernasib baik kerana walaupun saya orang Terengganu tapi daerah Besut bahasa percakapan warga di sana ialah loghat Kelantan 100%. Bukan itu sahaja, semangat warga Besut juga adalah bersemangat Kelantan pada suatu ketika dahulu sehinggakan mereka akan berkata “kito ore Kelate” bila setiap kali memperkenalkan diri kepada orang luar. Juga perasaan anti Terengganu menebal di kalangan orang-orang Besut. Ini ada kaitan dengan daulat sumpahan raja-raja dahulu yang kata orang tua-tua Daerah Besut asalnya sebahagian dari jajahan taklok negeri Kelantan tetapi tergadai dalam perjudian sabung ayam yang memihak kepada ‘pasukan’ Trengganu dan banyak lagi kisah-kisah yang mengaitkan kebenaran sejarah ini yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu. ‘Semangat’ ini telah pudar bersama arus pembangunan di era 90an.

Pemilihan cawangan ini penting kerana jika silap boleh membuatkan kita merana seumur hidup. Akhir sekali kami ditemuduga. Salah seorang panel penemuduga yang saya ingat ialah Pegawai Memerintah KD PELANDOK iaitu KDR Engku Zainal bin Engku Ngah TLDM (sekarang dah bersara. Pangkat terakhir beliau ialah Laksma kalau tak silap).

Satu perkara yang saya masih ingat semasa temuduga ialah saya cuba minta tukar pilihan cawangan pertama RDP kepada PPP kerana saya terpengaruh dengan orang-orang lama yang mengatakan bahawa RDP ni mesti bagus Bahasa Inggeris. Hati saya mula kecut kerana bahasa Inggeris saya kantoi.

“Tuan, saya nak tukar cawangan kepada PPP tuan” pinta saya. “Kenapa?”. Tanya Kdr Engku pantas. “ Saya tak tahu bahasa Inggeris tuan” saya buat muka sedih. Lantas satu artikel pendek diberi kepada saya untuk dibaca. Bila selesai membaca saya ditegur oleh oleh salah seorang ahli panel. “Hah tu bagus tu kamu baca?”. “Saya cuma boleh baca saja tuan tapi tak faham” saya cuba memberi keyakinan disambut gelak ketawa oleh ahli-ahli panel. Lepas tu saya disuruh menterjemahkan maksud artikel tersebut. Dalam kesukaran itu saya cuba juga terjemah setakat mana yang saya faham. “Uh kira boleh lah tu.” kata Kdr Engku yang secara muktamat meletakkan saya dalam cawangan Radar Plotter. No. Tentera saya ialah 811515 dan no tentera kawan saya Rosdi ialah 811525. Angka 0 dan 5 terakhir adalah yang menentukan kompeni mana kami di tempatkan.

811515 RDP Rosdi

811525 RDP Rosdi

Bermakna saya dan Rosdi dalam kompeni yang sama iaitu kompeni Handalan dan tinggal dalam satu bilik dan satu ‘double decker’. Dia di atas, saya di bawah.


3 Responses to “Selamat Tinggal Kampong Halaman”


  1. 03/05/2013 at 12:51 pm

    Hi there, everything is going fine here and ofcourse every one is
    sharing facts, that’s actually fine, keep up writing.

  2. 23/10/2014 at 12:14 pm

    saya nk tanya.. time pemilihan awal prajurit TLDM akan ada ujian dan aktiviti ape yea..???

    • 3 hamzah
      29/01/2015 at 4:31 pm

      sdri Hana…biasanya pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan kesihatan, ujian bertulis dan ujian kecergasan.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: