12
Sep
09

Puasa dulu-dulu

Catatan Memori Berpuasa Di Zaman Kanak-kanak

Di bulan puasa sebegini (catatan 22 Ramadhan 1403 hijriah), teringat kenangan semasa di kampong. Kampong Pasir Rambutan (Besut Trengganu) adalah tempat lahirku.  Penduduknya ada lebih kurang 20 buah rumah asalnya dan makin berkurang dan masuk tahun 1970an, semua sekali dah berpindah ke kampong persekitaran yang mempunyai kemudahan asas seperti letrik dan jalan raya.  Kampong yang kaya dengan buah-buahan dan kebun tanaman komoditi berada di tepi Sungai Besut. Berjiran dengan Kampong Baharu,  Kampong Gong Surau, Kampong Paya dan  Kampong Amir yang dipisahkan oleh sungai.  Kebanyakan penduduk di kampong-kampong yang disebutkan adalah asalnya bersaudara dan saling mengenali antara satu sama lain di kalangan generasi tua-tua.

Di tahun 2000an, kemajuan dan pembangunan agak ketara.  Walaupun Kampong Pasir Rambutan masih tidak berpenghuni namun jalan bertar sudah pun dibina untuk kemudahan perkebunan.  Rumah-rumah kediaman sudah mula dibina di tepi jalan menuju ke Kampong tersebut.

Apa sebenarnya yang ingin saya kongsikan ialah, suasana di bulan puasa.  Ada satu majlis yang saban tahun mesti diadakan di antara 10 malam terakhir berpuasa.  Majlis itu dipanggil ‘NNAMAT’ (dialek kelantan) atau mungkin perkataan sebenar adalah ‘PENAMAT’ iaitu merujuk kepada tamatnya atau khatamnya penduduk sesebuah surau/mesjid bertadarrus Alquran samada berkumpulan atau berseorangan.

Majlis ini adalah berupa jamuan berbuka puasa di Surau/Mesjid yang berkenaan secara hidangan beramai-ramai.  Setiap rumah akan dikehendaki membawa satu hidangan (boleh lebih kepada yang mampu) dan menghantarnya ke Suaru/Mesjid.  Manakala tetamunya adalah penduduk itu sendiri dan jemputan dari kampong-kampong di sekitarnya cuma untuk kaum lelaki sahaja.  Bagi kaum wanita jika dijemput, mereka akan berbuka di rumah orang yang menjemput mereka sahaja. ‘Budaya’ ini adalah sangat baik untuk silaturrahim.

Pendek kata di 10 malam terakhir berpuasa, kaum lelaki lebih banyak berbuka di ‘luar’ dari bersama keluarga di rumah.  Hidangan di luar biasanya lebih enak dan lengkap (almaklum lah untuk diberi makan kepada orang) jika dibanding dengan hidangan di rumah yang sekadarnya kerana pada zaman 60an hingga 80an, insan marhain di kampong-kampong tidak semewah seperti hari ini. 

Isi kandungan hidangan juga berbeza di antara hidangan-hidangan yang lain bergantung kepada ‘kemampuan’ seseorang. Jika terkena hidangan yang lazat, maka kepuasan pemakan akan diterjemahkan dengan puji-pujian (kelaziman manusia).  Kalau berlauk ayam/itik, 100% ayamnya adalah ayam kampong yang dipelihara sendiri demikian juga dengan daging yang juga daging fresh yang disembelih setiap hari. Zaman itu belum ada daging import atau daging beku.  Peti ais pun belum ada yang mampu beli.  Kalau pun ada yang mampu beli, bekalan elektrik pulak yang tak ada.  Semua bahan mentah adalah bebas kimia.

Walaupun di Kampong Pasir Rambutan ini tidak ramai penduduknya, namun kerajaan membina juga sebuah sebuah surau (orang kampong sebut Balai Sah merujuk kepada madrasah) untuk kegunaan orang-orang kampong berjemaah.  Di Madrasah ini lah kami  bertarawih. Boleh dikatakan semua isi penduduk turun mengimarakkan madarasah dengan tarawih 20 rakaat.  Di akhir witir kami akan dihidangkan dengan ‘moreh’ (tapi kami tak sebut moreh) yang di bawa oleh individu-individu yang berniat sedekah.

Suasana berjemaah di bulan puasa terasa lebih meriah kerana kalau hari-hari biasa, madrasah cuma diterangi oleh pelita minyak tanah tetapi di bulan puasa lampu gasoline mengambil peranan.  Tiada siapa yang tinggal di rumah pada masa itu, kerana ‘hiburan’ ada di Surau. Bukan seperti sekarang, televisyen menjadi ‘dadah’ kepada silaturrahim dalam masyarakat.

Hidup di kampong masa zaman kanak-kanak sangat menarik.  Kami bebas menebang buluh duri untuk membuat meriam buluh.  Lepas je 15 hari berpuasa, kami akan serikan suasana kampong dengan dentuman meriam buluh. Orang orang tua tidak melarang.  Malah di depan surau pun kami ‘letupkan’.  Masa tu orang tua marah la… menggangu jemaah. Itulah hiburan kami kerana semua orang berkumpul di situ.

Meriam buluh kami cuma guna minyak tanah (tak guna karbait) dan dibakar di bawahnya.  Kalau pun buluh itu pecah, ianya tidak membahaya kerana ia cuma retak.  Masa itu mercun pun sudah ada dijual tapi guna masa hari raya.  Budak-budak masa dulu tidak semerah sekarang untuk berhabis duit dengan membeli mercun.  Mercun masa dulu pun bahaya jugak tetapi larangan belum ada seperti sekarang.

Dah berpuluh tahun berlalu, zaman dah banyak berubah, silaturrahin hanya tingal pada perkataan, penghayatan sudah hilang bukan kerana tidak ada kesedaran tetapi ancaman hiburan, politik dan pengaruh persekitaran telah merengut semuanya. Tidak perlu menyalahkan sesiapa. Hidangan sudah digantikan dengan buffet kerana orang tua-tua sudah malas dan merenyahkan.  Budak-budak tidak lagi suka menolong dan mengekori orang tua kerana mereka sudah lalai dengan SMS dan serba aneka hiburan di telivisyen. 

Hari Raya tida lagi ziarah menziarahi.  Kanak-kanak datang untuk mengambil wang.  Tuan rumah pun lebih suka kerana malas nak melayan budak-budak.  Nak tutup pintu nanti orang akan mengumpat dan mengutuk kerana yang datang adalah anak jiran-jiran. Kalau di Bandar boleh tutup pintu… duduk diam-diam dalam rumah. Tulis kat pintu “ Acik balik kampong”.  Tiada siapa nak kisah.


1 Response to “Puasa dulu-dulu”


  1. 1 cikgu eaizan
    16/09/2009 at 10:14 pm

    kenangan beraya suasana kampung macam en.hamzah memang takda la. tapi kenangan raya dalam kem memang masih segar diingatan…suasana lebih kurang, cuma tempat sahaja yang berbeza. Malam-malam tetap ke masjid dalam kem – adakalanya memang solat, tapi kebanyakannya lebih kepada berkumpul dengan kawan-kawan sambil main mercun. Dan adakalanya dikejar tok siak…hehehe. bila hari raya pula, pergi dari rumah ke rumah secara berkumpulan. bayangkanlah masa tu kat kem lok kawi…ada berapa banyak blok kelamin dalam kem tu…tapi mampu disapu semuanya.

    betul…anak-anak sekarang lebih leka melayan tv dan bersms walaupun ada sedara mara/tetamu yang datang. nak dibawa berjalan ke rumah sedara mara? kadang sampai dipaksa baru nak mengikut. salah asuhan? entahlah…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: