03
Nov
09

Wartakan segera fatwa haram merokok

Sumber: Utusan

Oleh: Dr. Irfan Mohamad

Pensyarah Kanan Perubatan ORL

Pusat Pengajian Sains Perubatan

Universiti Sains Malaysia

SECARA teorinya 1 Januari ini akan bermulalah langkah terbaru kerajaan bagi mengekang tabiat buruk yang kian bersarang dan bercambah dalam kalangan masyarakat iaitu merokok.

Ketika ini, banyak saranan disuarakan bagi menyokong usaha berkenaan. Antaranya, menaikkan harga rokok sehingga menjadi RM30 sekotak.

Walaupun mendapat banyak bantahan, cadangan itu dilihat sebagai satu lagi usaha bersungguh-sungguh untuk memberitahu rakyat mengenai bahaya rokok.

Apa yang nyata, sungguh sukar untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rokok. Ramai yang tahu tetapi buat-buat tidak tahu akan bahaya merokok.

Tanggapan bahawa “merokok pun bukannya kena apa-apa” merupakan suatu pernyataan yang angkuh dan cuba mendustakan kebenaran.

Hatta bagi seorang yang ‘pakar’ merokok pun tidak boleh menafikan bahaya tabiat ini. Bahkan ia lebih tidak berperi kemanusiaan kerana sanggup ‘berseronok’ sendirian dan membiarkan kesannya ditanggung oleh orang-orang di sekitar. Kesan perokok pasif ini telah dibuktikan dengan begitu meluas dalam jurnal-jurnal perubatan antarabangsa.

Statistik semasa menunjukkan angka yang kian membimbangkan walaupun pelbagai usaha berterusan diterapkan dalam masyarakat. Contohnya, kajian yang dijalankan di sebuah negeri di Malaysia menunjukkan 15 peratus daripada 1.1 juta penduduknya adalah perokok.

Angka ini bersamaan dengan 167,100 orang dan apa yang lebih menakutkan ialah peningkatan yang agak tinggi dikenal pasti dalam kalangan mereka yang berumur 13 hingga 18 tahun.

Dan kita percaya angka-angka yang sama juga ditunjukkan di negeri-negeri lain jika kajian dibuat.

Seperkara yang mungkin paling berkesan yang belum dilakukan oleh kerajaan ialah mewartakan fatwa haram merokok seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan 1995.

Walaupun ia dilihat sebagai berat dan mempunyai pelbagai implikasi ekonomi dan perundangan, namun alternatifnya pasti ada. Pewartaan ini menggambarkan kesepakatan semua pihak yang merasakan adalah menjadi tanggungjawab bersama membasmi tabiat merokok. Ia bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan yang bermati-matian memeranginya sedangkan tidak dipedulikan oleh pihak lain.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat termasuk juga golongan berilmu yang berselindung di sebalik ‘makruhnya’ hukum merokok sedangkan kenyataan tersebut merupakan suatu yang telah tamat tempohnya.

Juga para penjual yang tidak nampak salahnya menjual rokok kerana pengharamannya tidak diwartakan.

Entah dari mana perkataan makruh merokok ini diperoleh pun tidak diketahui melainkan diwarisi secara turun-temurun oleh mereka yang mencari alasan untuk terus kekal dengan tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini.

Walhal, jelas sekali berdasarkan fakta dan kajian terkini terbukti akan mudaratnya bukan sahaja mengatasi manfaat bahkan ia tiada sedikit pun manfaat selain khayalan-khayalan yang boleh direka-reka.

Kesepakatan antara penemuan-penemuan perubatan serta prinsip-prinsip dalam agama yang menjadi panduan dan membawa kesejahteraan umatnya sewajarnya menjadi paksi yang lebih kukuh berbanding alasan-alasan berdasarkan tanggapan yang langsung tiada meritnya dalam apa jua bidang ilmu.

Persepsi merupakan suatu yang penting dalam menggalak atau mencegah sesuatu perlakuan.

Jika hanya sekelompok masyarakat yang menganggap perbuatan merokok ini menjijik dan merosakkan tetapi majoriti masih belum menukar paradigma lama yang menganggap ia adalah masalah individu, maka selama itulah ia akan berlarutan sebagai masalah kronik dalam masyarakat.

Dengan pewartaan haramnya merokok dan disebarkan melalui media secara lebih terbuka dan berkesan, persepsi akan mula diubah dengan lebih mudah berbanding dengan kaedah-kaedah berlembut seperti menaikkan harga sedikit demi sedikit, menambah senarai kawasan larangan merokok dan kempen-kempen yang selama ini dijalankan.

Mereka yang menghisap rokok akan dilihat sebagai melibatkan diri dengan perbuatan haram yang terang-terangan.

Penjual di kedai-kedai akan mengawal jualan atau menutup ruangan menjual rokok di premis-premis mereka.

Guru-guru, pensyarah dan ustaz akan lebih mudah mengkategorikannya dan secara jelas mengubah persepsi masyarakat betapa salahnya merokok kerana kemudaratannya bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan lebih parah pada orang lain. Maka apakah lagi halangannya, wartakan sahaja.

Atau adakah kita masih mahu berhati-hati dan tidak mahu dilihat ekstrem agama kerana menggunakan halal dan haram bagi mengubah tabiat manusia?

Isu yang memudaratkan orang ramai ini sebenarnya bukan isu agama semata-mata. Apa kata tambahkan lagi kawasan larangan merokok daripada senarai sedia ada kepada seluruh tempat yang ada dalam lingkungan peta Malaysia.

 


4 Responses to “Wartakan segera fatwa haram merokok”


  1. 1 lamandhati
    03/11/2009 at 1:07 pm

    Saya sokong pendekatan yang diutarakan oleh Dr Irfan dan ini bukanlah satu cadangan yang pertama kali dipolemikkan.

    Saya sering mendengar sindiran seorang ustaz tasauf dalam hukum merokok terhadap murid-muridnya, Kata ustaz , saban waktu kita berdoa supaya Allah jauhkan diri kita dari dari sambaran api neraka tetapi selepas berdoa kita ambil bunga-bunga api neraka dan bawa ke mulut (merokok).

    Di sekeliling saya, ramai yang merokok termasuk lebai, haji, lebai-lebai pengajian pondok, tetapi bila ada orang kata ‘merokok itu haram’, masing-masing akan mempertahankan ‘kemakruhannya’. Kalau setakat fatwa ulama’ depa tak pakai. Mereka kata takkan nak tolak apa yang nabi kata. Mereka lupa untkk merujuk kepada sumber hukum ijmak ulamak yang juga adalah wajib untuk dipatuhi demi kemaslahatan umat selepas nabi wafat.

    Itu lah masalahnya. haram perkara yang dia tak suka. halal bila dia suka.

  2. 04/11/2009 at 7:37 pm

    Salam..

    Pu3 menyokong penuh dengan apa yang telah diutarakan tersebut..malangnya, sekarang ni makin ramai pula yang “Menghalalkan yang HARAM , dan mengharamkan yang HALAL” salah siapa?

  3. 3 lamandhati
    08/11/2009 at 10:41 am

    Tan Sri Mazlan Nordin
    Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
    Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm

    Perdebatan mengenai rokok tidak pernah selesai

    SEKALI-sekala debat pro dan kontra merokok terbit dalam akhbar-akhbar pelbagai negara. Seperti yang terbit dalam akhbar Kompas, Jakarta baru-baru ini. Beginilah bunyinya:

    “Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), Indonesia menduduki peringkat nombor tiga di dunia sebagai konsumen rokok (lebih dari 60 juta orang – data YLKI).

    ”Peraturan daerah Pemerintah Provinsi DKI tidak berhasil untuk setidaknya membatasi tempat merokok yang dapat mengganggu orang yang tidak merokok.

    ”Apa lagi berbagai kegiatan olahraga dan hiburan yang disponsor merek rokok tertentu. Hasil survey yang telah dilakukan kepada keluarga miskin di Indonesia menunjukkan bahawa pengeluaran untuk membeli rokok menempati peringkat tertinggi (22 persen) dibandingkan dengan untuk membeli beras (19 persen).

    ”Kewajipan untuk menayangkan bahaya merokok yang hanya sedetik (membacanya pun tidak sempat) tidak memberi pengaruh kepada masyarakat.

    ”Harapan saat ini ditujukan kepada Komisi Penyiaran Indonesia. Mudah-mudahan generasi muda dan kaum miskin kita dapat diselamatkan dari bahaya yang diakibatkan oleh rokok. Dari Supriyo, Jalan Amonia 1, Beji, Kota Depok, Jawa Barat.”

    Barulah kita ketahui bilangan merokok di Indonesia lebih 60 juta orang, iaitu lebih ramai daripada jumlah penduduk sesetengah negara.

    Sementara itu di Turki sebilangan ramai yang merokok membantah tindakan pihak berkuasa melipat-ganda bilangan kawasan-kawasan larangan merokok, termasuk dalam bangunan-bangunan tempat kerja dan kedai-kedai serta tempat membeli-belah. Ini membatasi kebebasan kami, menurut mereka lagi.

    Di samping itu, di Malaysia terbit berita mengenai sebuah negeri mahu mengharamkan merokok jika disokong oleh negeri-negeri lain, namun, tiada reaksi dari negeri yang lain.

    Mengharamkan

    Pada suatu masa lalu seorang lelaki mengumumkan “fatwa” dirinya sendiri yang mengharamkan seseorang perokok menjadi saksi upacara perkahwinan, pun tiada sambutan.

    Masalahnya ialah tiada negara-negara Islam lain mengumumkan fatwa seperti itu, iaitu di Asia Barat, termasuk Arab Saudi yang birokrasi institusi-institusi keagamaan begitu lengkap.

    Mesir juga tidak mengharamkan merokok. Ada antara para imam dan bilal serta menteri-menteri pun menghisap rokok, curut dan hookah. Jelas bahawa debat pro dan kontra merokok terus menerus berlaku di mana juga.

    Lalu akhbar Times, London pernah menyiarkan pendapat dengan tajuk berbunyi: Di mana ada asap rokok, di situlah timbulnya prasangka.

    Ulasan tersebut disiarkan setelah satu pihak yang diketuai oleh seorang doktor mengesyorkan supaya pasangan suami isteri yang merokok diharamkan mengambil anak angkat.

    Seorang penulis pojok akhbar berkenaan, Bernard Levin membangkitkan masalah merebaknya kegiatan Cigarette Police. Beliau sendiri tidak merokok. Antara lain disentuh peranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang pernah mengumumkan bahawa “Seorang dari tiga orang yang merokok akan mati akibatnya” berdasarkan data yang diperolehi. Levin berhujah bahawa ini bererti kira-kira 250 juta akan maut di negara-negara membangun kerana ramai bilangan rakyatnya merokok.

    Sebelum itu WHO pernah meramalkan bahawa menjelang tahun 1990, bilangan pesakit HIV akan meningkat hingga 100 juta, termasuk sejuta di Britain. Tahun tersebut berlalu dan bilangan sebenarnya hanya 5,500 orang di Britain dan di seluruh dunia antara lapan hingga sepuluh juta, bukan 100 juta.

    Sementara itu akhbar Telegraph, London menyiarkan kenyataan seorang kaki rokok: “Sebagaimana lain-lain manusia yang ditindas, jika lebih ramai mengawasi saya dan membuli saya, maka jiwa saya akan lebih memberontak.”

    Wajar dicatat ialah kenyataan Bernard Levin: “Saya tahu bahawa banyak kematian berlaku kerana merokok, walaupun bukan semuanya secara langsung. Tembakau adalah racun berbahaya, tetapi berbeza dari lain-lain racun dan kerana itu berjuta-juta perokok tidak menderita.”

    Propaganda

    Beliau menyebut mengenai satu kajian oleh Profesor Eysenk dari Universiti Heidelberg. Kajiannya meliputi dua golongan, satu yang terdedah kepada propaganda media massa terhadap yang merokok, satu lagi yang dibiarkan sahaja dan tidak diganggu.

    Beliau mendapati bahawa bilangan kematian golongan yang menjadi sasaran propaganda tiga kali ganda lebih ramai dari golongan yang dibiarkan saja.

    Sesuatu yang ternyata dewasa ini ialah ramainya para belia merokok. Ada yang terpengaruh bila melihat bintang-bintang filem merokok. Antara yang disebut nama-nama ialah Gary Coaper, Humphrey Bogart dan Seniwati Lauren Bacoll serta Tallulah Bankhead. Lain-lain nama, Johnny Deep dan Kate Moss.

    Satu kenyataan daripada seorang belia yang merokok menjelaskan sikap mereka: “Para muda-mudi merokok kerana memberontak. Lagi mereka digesa supaya menghentikannya lagi-lagi mereka melakukannya”.

    Demikian juga kenyataan seorang pemuda lain: “Lagi harga rokok naik, lagi-lagi ia diingini”.

    Disiarkan oleh akhbar-akhbar ialah laporan editor jurusan Sains: “Sering dikatakan bahawa sesetengah orang kita minum (arak) untuk melupakan hal. Para saintis telah membuktikan bahawa bahan yang aktif dalam rokok mencerdaskan daya ingatan”.

    Namun, menjadi ingatan kepada perokok ialah nasihat: “Kita tidak boleh lari dari apa yang kita lakukan”.

    Berupa catatan ialah hal-hal masa lampau. Antara yang kerap disiarkan gambar mereka yang merokok ialah Pengerusi Parti Komunis China, Mao Tse-Tung (gambar rokok kotak merah), Winston Churchill dengan curutnya dan Presiden Roosevelt dengan rokok di mulutnya.

  4. 4 hamzah
    20/01/2010 at 9:12 pm

    Satu lagi gesaan supaya haram merokok di fatwakan.
    Sumber:Rencana Utusan

    MERUJUK artikel ruangan rencana Utusan Malaysia 19 Januari 2010, sememangnya sudah sampai ke tahap di mana memujuk dan merayu bagi memberhentikan tabiat merokok tidak lagi berkesan.

    Bahkan ia dilihat sebagai suatu pembaziran sumber tatkala berhadapan dengan mereka yang kalis nasihat ini. Sekarang sudah tiba ketikanya segala penguatkuasaan yang diwartakan dikotakan dengan perbuatan denda dan hukuman.

    ‘Perokok Malaysia tidak makan nasihat’ serta artikel-artikel lain seumpamanya yang pernah diterbitkan di merata-rata media. Saya menyokong penuh sikap dan pandangan yang diutarakan oleh mufti dan ulama serata dunia, yang menunjukkan kesepakatan telah wujud dalam memperjuangkan isu ini. Bukan hanya para petugas sektor kesihatan yang bermati-matian mengelakkan para pesakitnya mati akibat merokok, sekurang-kurangnya suara daripada agensi lain telah membuktikan semangat 1Malaysia harus diguna pakai dalam kesepakatan kita memerangi tabiat buruk ini.

    Malah pewartaan di semua negeri perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelak lebih banyak pembaziran wang bukan sahaja wang perokok, bahkan wang kerajaan dalam bajet yang terhad dewasa ini.

    Wang kerajaan banyak dibazirkan bukan sahaja dalam konteks membuat promosi kesihatan dan program pendidikan, bahkan kos- kos perubatan akibat penyakit yang berkait rapat dengan rokok juga bukanlah satu jumlah yang sedikit.

    Bermula daripada kanser yang pelbagai seperti kanser paru-paru, peti suara, mulut, tekak dan namakanlah apa sahaja sehinggalah kepada masalah kerosakan paru-paru akibat iritasi bahan berbahaya dalam rokok sudah cukup untuk memberikan kos rawatan yang nilainya amatlah banyak bagi seseorang pesakit.

    Jika didarabkan dengan jumlah pesakit yang menderita penyakit akibat rokok di Malaysia ini, angkanya begitu mudah mencecah berbilion ringgit.

    Selagi ia tidak diwartakan maka selagi itulah mereka akan berselindung di sebalik bayang makruh yang entah dari mana asal-usul hukumnya ini. Kenapa kita masih ingin menggunakan pandangan yang tidak ‘updated’ sedangkan dalam hal-hal yang lain, semuanya mahu ‘up-to-date’?

    Sekarang, pakar-pakar perubatan sepakat berdasarkan hasil kajian dalam jurnal berimpak tinggi, ulama muktabar seluruh dunia termasuklah para mufti di Malaysia juga telah memutuskannya dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKBHEAI) Kali ke-37 pada 1995 bahawa tabiat merokok adalah haram menurut pandangan Islam. Jadi, apakah lagi yang ditunggu.

    Namun sehingga hari ini, hanya dua negeri sahaja yang mewartakannya. Lupakanlah dahulu soal penguatkuasaan, hendak mewartakannya pun memakan masa hampir 15 tahun.

    Penangguhan pewartaan ini atas apa juga alasan akan memberikan imej buruk kepada semua termasuklah agama, bangsa dan negara Malaysia.

    Di Israel sekalipun, jumlah perokok berumur lebih 18 tahun hanya 27 peratus ( petikan artikel ‘Israel bans smoking from almost all public places’, British Medical Journal 2001). Di negara itu, peruntukan undang-undang antimerokok telah dilaksanakan dengan begitu intensif sehinggakan pada tahun 2008, kajian menunjukkan hasil jualan produk rokok mencatatkan kejatuhan dan trend ini diramalkan akan semakin berterusan dengan langkah-langkah susulan dan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. Tidak malukah kita?

    Pusat Pengajian Sains Perubatan
    Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan”>


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: