08
Nov
09

Agama bukan hak eksklusif ulama: Dr Asri

Oleh Hazirah Che Sab

Sumber: Berita harian

SEHARI sebelum ditahan Jais, Dr mengeluarkan kenyataan mengenai memorandum PGSM membantah pelantikan Dr sebagai Yang Dipertua Yadim. Dr didakwa ada agenda tersendiri kerana turut mendakwa Perdana Menteri yang mahu membuat pelantikan itu.

Kalau ada agenda, ertinya saya juga mengerah berpuluh-puluh polis dan pegawai Jais menangkap saya. Dakwaan itu cuma teori kerana di luar kemampuan saya berbuat demikian. Siapa saya untuk membuat agenda membabitkan pihak keselamatan dan seumpamanya, tetapi saya melihat dari sudut lain, ada hikmah untuk saya dan untuk Malaysia; mengenai kebebasan bersuara, hak untuk bercakap.

Dr ditahan kerana disyaki mengajar agama tanpa tauliah. Perlukah Jais mengeluarkan tauliah, terutama kepada pengajar berkelayakan mengajar agama?

 

Tidak perlu kerana pertama, ia sedikit sebanyak menjejaskan hak bersuara, itu asasnya. Kedua, dari segi Islam, Nabi Muhammad mengajar ‘sampaikan daripada aku walaupun satu ayat.’ Ertinya rakyat Selangor tidak boleh mempraktikkan hadis ini kecuali ada tauliah. Kalau dengar kuliah agama, hendak cerita kepada kawan di rumah apa yang diajar ustaz tak boleh kerana kena dapatkan tauliah dulu.

Apakah maksud pengajaran agama?

Perkataan agama amat umum. Sekarang pengajaran agama ialah kalau kita lihat pensyarah universiti mengajar agama di Selangor dan negeri lain. Cikgu nasihatkan anak murid dalam kelas supaya jaga solat, itu pun pengajaran agama… kena tauliah? Jemaah tabligh yang pergi dari masjid ke masjid, ada minta tauliah? Kadangkala orang jual ubat di tepi jalan pesan baca Bismillah sebelum makan ubat, ada unsur ajaran agama. Apa dimaksudkan dengan pengajaran agama? Itu yang Jais kena takrifkan.

Mengapa pula (perlu tauliah) seseorang yang ada ijazah pertama, sarjana bahkan PhD (doktor falsafah) dalam pengajian Islam sepatutnya sudah layak. Sebahagian besar yang ada PhD ialah pensyarah universiti, mengajar orang yang akan keluar dapat sijil (ijazah), bahkan untuk PhD dan sarjana, tiba-tiba kena dapatkan tauliah, bukan saja untuk mengajar di masjid dan surau tetapi di seluruh Selangor.

Tanpa merujuk kepada Dr, ada pihak membidas sikap ahli agama yang menganggap kebal dan tidak perlu tauliah. Mereka menyifatkan itu takbur?

Saya tidak kata kerana orang sudah kenal saya, saya tidak perlu tauliah. Saya kata saya dikenali, boleh tengok laman web. Itu maksudnya orang sudah tahu saya, jadi tak payahlah takut ada ajaran lain. Saya bukan manusia yang baru muncul untuk kita selidik, itu maksud saya. Saya kata tak perlu (tauliah untuk orang berkelayakan) kerana saya tak bersetuju dengan dasar ini daripada asasnya lagi. Kalau seseorang tiada latar belakang agama, mungkin patut (tauliah). Saya katakan ini untuk semua. Pensyarah universiti ada PhD tak payah disuruh ambil tauliah, cukuplah pengiktirafan universiti yang lebih besar. Yang langsung tiada latar belakang agama, boleh disuruh ambil tauliah.

Dr mendakwa ada tangan ghaib di sebalik kes ditahan Jais. Apa maksudnya dan adakah ia juga berkaitan dengan Yadim. Dr juga dapat publisiti percuma?

Ini (kes tangkapan) bukan perkara kecil kerana cara mereka jalankan operasi membabitkan berpuluh-puluh polis dan pegawai Jais, mungkin mereka nak gari saya kalau tidak dengan perundingan. Saya tidak tahu (puncanya). Sudahlah ditangkap begitu, pergi ke balai polis, siasatan tak buat, esoknya seluruh negara tunggu, tiba-tiba kata belum ada siasatan dan tuduhan. Bayangkan kalau belum ada siasatan dan tuduhan, takkan ada operasi sebesar itu.

Mengenai publisiti percuma, saya tak promosi diri, tak berani cakap lebih, tetapi al-Quran ingatkan kita, kadang-kadang orang rancang tak elok tetapi Allah rancang lain dan Allah sebaik-baik perancang. Kadang-kadang ada orang rancang nak aniaya orang, tetapi berlaku sebaliknya. Saya harap Allah tolong saya.

Adakah Dr rasa ini usaha untuk menyekat fahaman Wahabi yang dikaitkan dengan Dr?

Saya rasa mungkin mereka cuba kaitkan saya dengan Wahabi. Cuma saya nak tanya apa itu Wahabi? Saya kata berulang kali dalam pelbagai media, saya bukan manusia ghaib. Penulisan saya dalam akhbar secara mingguan, ada blog, ceramah dalam televisyen dan ada siaran tetap, saya ada laman web YouTube dalam internet. Boleh ambil dan senaraikan (penulisan dan ceramah) yang dianggap menyanggah prinsip ajaran Islam, jangan buat tuduhan.

Wahabi bukan saja dituduh kepada saya, tetapi juga tokoh pembaharuan sebelum ini. Za’aba pernah dituduh, Prof Hamka juga dituduh dan dalam buku Ayahku, Hamka menceritakan hal ini. Dalam Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, Hamka ceritakan tuduhan seperti ini dan menjawab kes suka menuduh orang Wahabi kerana berbeza beberapa amalan.

Berbicara mengenai Wahabi, Dr didakwa menggalakkan jangan baca qunut serta talkin?

Jika tak mahu baca qunut ketika solat Subuh, adakah dia sesat? Bagaimana orang yang bersembahyang di Masjidil Haram, Masjid Nabi. Bagaimana kawan India Muslim kita yang sembahyang di Masjid India, juga tak baca qunut. Melainkan jika (imam) baca qunut, ada orang lain yang mengikut suruh berhenti, menyebut Subhanallah di belakang, tetapi itu tidak ada, itu (baca qunut) satu hak. Jika nak dijadikan perkara besar, lebih baik besarkan isu mereka yang langsung tak sembahyang Subuh.

Jika saya tengok imam baca qunut, saya akan qunut bersama imam. Jika saya bersolat dalam majoriti makmumnya berqunut, saya berqunut. Saya akui ketika di Perlis tidak ada qunut dalam solat Subuh. Apa yang saya buat menunjukkan keluasan sikap. Adakah Jais nak halang rakyat Selangor sembahyang di Masjidil Haram dan Masjid Nabi?

Talkin pun satu hal. Apa masalah talkin? Macam mana orang yang mati di Madinah dan Makkah yang tak ditalkin. Adakah pernah (di negara kita) orang bertalkin, orang lain pergi ketuk kepala dia, pergi tarik dia, tak ada. Ini satu penyakit kronik sesetengah golongan agama yang pantang ada orang berikan pendapat berbeza, kerakusan membolot bidang kuasa. ‘Saya ustaz, saya tidak boleh dicabar, jangan tanya masalah dalil saya, penghujahan saya, cukuplah tahu saya ustaz, siapa yang banyak bertanya lemahlah imannya’. Begitulah sikapnya, itu tidak betul.

Apakah yang dikatakan itu jadi ikutan kerana ‘fatwa’ dikeluarkan seorang mufti?

Jika saya tak cakap pun, generasi moden sekarang dengan beberapa klik saja mereka boleh masuk internet, boleh baca beribu fatwa, siapa nak halang? Adakah Jais, jabatan agama atau mufti mahu kerajaan buat tapisan internet supaya jangan dibaca melainkan kandungan yang mendapat restu mereka. Dalam dunia teknologi maklumat ini orang boleh menilai, boleh baca, biarlah. Ada orang tidak pandai dalam bidang guaman tetapi kerana banyak membaca di internet, dia pandai. Macam mana kita tiba-tiba nak kata, ‘awak bukan mufti, bukan ustaz… awak tidak akan faham agama, kami saja faham’. Agama tidak eksklusif seperti itu.

Di manakah tempat saya larang orang baca qunut di Selangor? Pada pandangan saya, pendapat lebih kuat ialah Subuh tidak (perlu) qunut, tetapi jika anda ikut imam yang baca qunut, hendaklah qunut. Jika imam tidak qunut, jangan qunut kerana hormati imam. Sebab itu orang kita pergi Makkah kena hormat imam (tidak baca qunut). Ini yang saya kata penyakit kronik, membolot ‘apa saja yang kami buat tak boleh langsung dipertikaikan’.

Apabila mereka (penguat kuasa agama) tahan orang kerana dituduh khalwat padahal suami isteri dan dibawa ke balai polis, bahkan dikurung dalam lokap kerana tak bawa surat nikah, esoknya dibawa surat nikah dan ditunjukkan, mereka dibebaskan begitu saja. Tidak pula minta maaf, sebabnya ‘saya ustaz, saya tak boleh minta maaf, awak kena hormat saya.’

Mengenai PGSM mendakwa Dr memperbesarkan cerita memorandum itu kerana apa yang berlaku cuma kesilapan teknikal?

Apakah kesilapan teknikal jika letak dalam laman web tuduh saya cerca Imam Nawawi, cerca sembahyang hajat menyebabkan kegelisahan seluruh negara. Saya tak tahu sejauh mana saya sebabkan kegelisahan itu kerana apabila ke seluruh negara, Alhamdulillah! Kalau tidak ribuan, ratusan rakyat sambut saya. Jadi, saya tidak tahu kegelisahan apa? Ini semua tuduhan besar dan bukan petisyen yang disimpan di bawah bantal, ia dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Kemudian (PGSM) kata ini benda kecil, inikah mentaliti peguam syarie? Saya tahu bukan semua peguam syarie begitu, ramai juga telefon saya menyatakan bantahan terhadap tindakan kurang bertamadun itu.

Dalam hal membabitkan Dr, adakah kerana pertembungan ulama tradisional dan muda?

Saya menyatakan supaya golongan muda menghormati ulama, tetapi pada masa sama jangan gugurkan hak anda untuk bertanya, minta penjelasan, ulasan dan penghujahan. Ulama juga perlu ada perasaan kasih sayang kepada orang awam, jangan jadikan agama hak mutlak sehingga mereka tidak boleh dipersoal dan ditanya alasan atas apa yang mereka kata dan buat. Agama berdasarkan al-Quran dan sunnah, bukan berdasarkan apa orang kata.

Kalau ulama Pas kata lain, ulama Umno kata lain, ulama PKR kata lain, kita nak pakai yang mana, ulama Perlis kata lain, Perak kata lain.

Walaupun kadang-kadang mereka kata semua sama tetapi banyak benda juga mereka berbeza pandangan. Bukan semua tradisionalis setuju dengan fatwa Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) mengenai kes wanita melacur umpamanya.

Apakah pertembungan ulama muda yang lebih terbuka pemikirannya dengan ulama tradisional boleh memecah-belahkan umat Islam?

Kena takrifkan apa maksud memecah-belah? Pernahkah orang muda pergi tumbuk ulama, adakah ulama muda kacau orang baca kitab? Tidak ada. Pertembungan dalam politik lebih serius dan ramai ulama tradisional ada dalam politik.

Saya tidak nampak ada pertembungan. Ia istilah yang selalu dikeluarkan apabila ada orang berbeza pandangan dengan mereka kerana menganggap mereka di pihak atas. Begitu juga dengan tindakan sebahagian pemimpin kerajaan apabila rakyat berbeza pendapat, dikatakan rakyat menderhaka, sedangkan pandangan mereka sebenarnya minoriti, pandangan rakyat adalah majoriti.

Dalam kes saya, saya rasa mereka tidak boleh berkata pandangan pembaharuan ini mewakili minoriti kerana ia kelihatan kalau tidak majoriti pun, suaranya agak sama kuat. Majoriti senyap belum tentu menyokong ulama tradisional, mereka juga mahu perubahan dan mungkin mereka tak bercakap sebelum ini.

Saya rasa ramai wanita sokong apabila saya kata tak boleh tangguhkan kes cerai di mahkamah sehingga bertahun-tahun, ia menzalimi mereka. Kakitangan pejabat agama kena hormat apabila pergi sana (mahkamah), tak boleh berkasar walaupun (wanita dalam kes cerai) tak pakai tudung, hormati dia, hormati hak dia menuntut keadilan, jangan lihat pemakaiannya.


0 Responses to “Agama bukan hak eksklusif ulama: Dr Asri”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: