08
Nov
09

Waspada ‘tajdid’ Wahhabi

Sumber: Utusan

re_02.1MALAYSIA adalah negara yang mengamalkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Shafie.

Walaupun aliran ini dominan namun, terdapat juga cubaan menyebar fahaman lain dalam kalangan umat Islam. Antaranya adalah aliran Wahhabi.

Benarlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Demi diri Muhammad yang berada di tangan-Nya, pasti akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka”. Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Mereka adalah al-Jamaah”. (riwayat Ibn Majah)

Aliran Wahhabi ini pula bukanlah baru kerana

ia sudah menjadi bualan masyarakat Islam di Malaysia sejak 1940-an lagi.

Selain dikenali dengan aliran Wahhabi, ia juga kenali sebagai Aliran Kaum Muda pada sekitar tahun 30-an.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahfuz Muhammad bagi mengupas isu ini.

Beliau banyak mengkaji tentang fahaman Wahhabi sejak usia belasan tahun. Kajiannya lebih teliti apabila menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1990-1997 dalam bidang bahasa Arab.

Mahfuz kemudiannya menyambung pelajaran Diploma dalam bidang Fatwa di Dar al-Ifta Mesir pada 2000 hingga 2001.

APAKAH PENGERTIAN GOLONGAN WAHHABI?

Golongan ini adalah satu aliran yang diasaskan oleh Muhammad Abd. Wahhab pada kurun ke-12 Hijrah di Najd Jazirah Arabiah.

Fahaman ini dikenali juga sebagai Aliran Kaum Muda di Malaya dan Indonesia pada 1930-an, hingga 1950-an.

Aliran ini dinisbahkan kepada bapa beliau yang merupakan seorang ulama mazhab Hanbali. Telah menjadi adat kaum Arab menisbahkan sesuatu itu kepada bapa, datuk dan ke atas.

Mazhab Shafie juga dinisbahkan kepada moyangnya sedangkan nama pengasas sebenar ialah Muhammad bin Idris.

Walaupun begitu mereka yang berpegang dengan aliran ini tidak selesa dengan gelaran Wahhabi sebaliknya mendakwa mereka dari golongan kaum Salaf atau kaum Ahli Sunah.

Kenapakah begitu? Ini kerana istilah Wahhabi pada hari ini mula diketahui ramai akan kesesatan dalam akidah dan cabang lain.

Oleh kerana itu harus berhati-hati dengan kaum ini kerana mereka kadang-kadang menggunakan nama Ahli Sunah, Salaf dan pelbagai istilah baik-baik. Semuanya untuk mengaburi orang awam daripada mencium kesesatan pegangan mereka.

ADAKAH AJARAN WAHHABI INI TURUT MELIBATKAN AKIDAH ATAU BAB FIKAH SAHAJA?

Ramai orang merasakan golongan ini hanya pembawa bidaah dalam masalah-masalah furu’ (cabang) semata-mata.

Kerana itu ramai dari kalangan pihak berwajib, ulama dan pendakwah merasakan perkara ini tidak ada keutamaan untuk ditangani dengan sungguh-sungguh.

Sedangkan sebenarnya Wahhabi ini membawa sebesar-besar bidaah dalam masalah akidah!

Antara ajaran yang bertentangan dengan akidah ASWJ adalah menolak dan merendah-rendahkan pengajian Sifat 20. Sebaliknya mereka membawa kaedah tauhid yang baru iaitu pembahagian tauhid yang tiga.

Definasi tauhid tiga di sisi Wahhabi ialah:

Pertama, Tauhid Rububiah.

Tauhid bagi mereka yang menyembah berhala. Kononnya mereka menyembah berhala untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sementara berhala merupakan pengantara antara hamba dan Tuhannya.

Kedua, Tauhid Uluhiah.

Tauhid bagi mereka yang beribadah hanya kepada Allah semata-mata dengan tiada sebarang perantara makhluk.

Ketiga, Tauhid Asma wa Sifat.

Beriman dengan ayat-ayat mutasybihat secara zahirnya. Seperti dikatakan Allah itu bersemayam di atas Arasy dan lain-lain lagi.

Bagaimana mungkin tauhid itu terbahagi kepada tiga? Sedangkan tauhid itu hanya satu iaitu mengesakan Allah dan tidak sama sekali membeza-bezakan tauhid.

Dengan menerima konsep tauhid rububiah dan uluhiah mengikut pentafsiran seperti ini maka banyak amalan yang diperakui baik, menjadi sesat dan membawa syirik kepada pelakunya.

Contohnya, amalan Maulid Nabi SAW, marhaban, berdiri sewaktu selawat, tabarruk (ambil berkat), tawassul (berwasilah), ziarah makam nabi-nabi, rasul-rasul, aulia dan solehin.

Sementara tauhid asma wa sifat pula membawa implikasi menjisimkan (visual) dan mentasbihkan (menyamakan) zat Allah SWT dengan makhluk. Seperti menyifatkan Allah dengan tempat dan anggota (jarihah).

Ini adalah akidah kaum Musyabbihah Mujassimah yang wujud pada kurun ke-4 Hijrah dan dikembangkan semula oleh Ibnu Taimiyyah pada kurun ke-7 Hijrah dan seterusnya dikembangkan pula oleh Muhammad Abd. Wahhab pada kurun ke-12 Hijrah.

ADAKAH KITA BOLEH MENGIKUT SEBAHAGIAN DARIPADA AJARAN ATAU KITA DIMINTA MENINGGALKAN KESELURUHAN AJARAN TERSEBUT?

Pada saya penjelasan tentang akidah dan amalan agama telah jelas dan nyata seperti matahari di siang hari. Para ulama meninggalkan penjelasan agama dengan sejelas-jelasnya dalam semua bidang di dalam kitab-kitab yang sampai kepada kita hari ini.

Kalau begitu tiada keperluan lagi merujuk kepada saranan dan amalan aliran aliran wahhabi.  Sebabnya, telah dibuktikan dalam banyak hal di mana wahhabi ini menyelewengkan ayat-ayat al-quran dan hadis dan pandangan alim ulama silam.

Bahkan telah dibuktikan mereka melakukan pemalsuan terhadap kitab-kitab ulama silam dengan tujuan  supaya dapat mengelirukan umat islam dan mengikut telunjuk mereka.  Berkemungkinan terdapat juga amalan-amalan mereka yang betul.  Tetapi kalaulah kebenaran sudah bercampur baur dengan kebatilan, akan menjadi kesusahan kepada orang awam untuk menentukan yang mana satu betul dan salah!.

Mungkin perkara benar dikatakan salah dan yang salah dikatakan benar dan diamalkan sehingga akhir hayat..  Maka ini akan mengundang kemurkaan Allah di dunia hingga akhirat.  Oleh itu jauhilah ajaran ini dan berpeganglah dengan amalan-amalan yang disepakati ulama, insyaallah kita akan selamat dunia dan akhirat.

APAKAH AKIBAT DARI SEGI AKIDAH, IBADAH DAN SOSIAL KEPADA MASYARAKAT JIKA KITA MENGAMALKAN AJARAN-AJARAN WAHHABI.?

Akibat dari sudut akidah pastinya sangat berbahaya.  Apabila tergelincir seseorang muslim dalam akidah, ia akan membawa kegelinciran dalam soal-soal lain.

Selain itu konsep tauhid rububiah dan uluhiah di sisi kaum wahhabi membawa kepada implikasi syiriknya amalan Maulid Nabi, bacaan berzanji, berdiri ketika selawat, Nabi, marhaban memuji-muji Nabi (SAW) menziarahi kubur Nabi (SAW) amalan tabarruk (ambil berkat) dan lain-lain lagi.

Dari sudut ibadah banyak amalan-amalan baik yang  tergolong di dalam bidaah hasanah yang dianggap sebagai buruk dan seterusnya masyarakat mula meninggalkannya.

Contohnya amalan membaca yasin  malam jumaat adalah merupakan amalan yang baik.  Sekurang-kurangnya kita ada membaca al-quran dalam seminggu. Ini adalah implikasi dari pentakrifan bidaah yanh telah disalahertikan oleh golongan wahhabi.  Mereka   mengatakan pengertian bidaah itu segala amalan yang Nabi SAW tidak lakukan sewaktu hayatnya.

Sedangkan jumhur ulama mentakrifkan dengan segala amalan yang baru yang hanya bertentangan dengan Al-quran , al-sunnah, al-ijmak dan qias sahaja dikatakan sebagai bidaah yang dhalalah (sesat) dan dilarang diamalkan.  Sementara amalan-amalan yang ada sandaran dari dalil-dalil samada dari nas-nas yang bersifat khusus atau umum adalah dianjurkan untuk diamalkan selama mana tidak terdapat nas-nas yang melarang amalan tersebut.

Dari sudut social pula dengan munculnya golongan ini akan memnimbulkan perpecahan, perbal;ahan dalam masyarakat dan perpecahan itu sangat dilarang oleh ugama.  Yang lebih membimbangkan fahaman golongan sudah menjadi kenyataan telah mendorong para pengikutnya kepada islam militan.

BAGAIMANA HUBUNGAN KITA DARI SEGI PERKAHWINAN DAN HUBUNGAN YANG LAIN TERMASUK SAMADA MEREKA BOLEH MENJADI IMAM, PENERIMA ZAKAT DAN SEBAGAINYA?

Selama mana kita tidak mengkafirkan golongan ini maka mereka masih dikategorikan sebagai saudara sesame muslim.  Walaupun begitu adalah tidak wajar mempertemukn perkahwinan  dengan golongan ini kerana berkemungkinan akan membawa perbalahan di dalam rumah tangga.

Sementara dari sudut menjadi imam solat adalah digalakkan kita berimam denagn imam yang betul akidah dan amalan.  Walaupun begitu sekiranya kita terpaksa berimamkan imam dari golongan ini, para ulama mengatakan sah walaupun dianggap makruh.

Sementara sebagai penerima zakat, saya berpandangan hulurkan lah zakat kepada mereka yang bukan tergolong dari kalangan ahli bidaah.

BILAKAH PULA PERKEMBANGAN PERGERAKAN KAUM MUDA/WAHHABI DI KESAN DI MALAYSIA?

Gerakan kaum muda di malaysia sejak 1950an iaitu sebelum merdeka.  Antara tokoh yang menonjolkan gerakan ini ialah Sheikh Abu Bakar Asy’ari dan Ibrahim al-a’qidi.  Abu Bakar menggerakkan gerakan ini di Perlis sementara  Sheikh Ibrahim pula di Pulau Pinang.

Adalah didengar dari orang-orang tua, mereka ini adalah anak murid  kepada Hasan Bandung yang menggerakkan Muhammadiah  di Indonesia.  Gerakan Muhammadiah di Indonesia ialah gerakan yang membawa fahaman wahhabi.

Fahaman Kaum Muda yang berteraskan ajaran wahhabi telah bertapak di Perlis dan beberapa tempat di Pulau Pinang hasil gelombang yang didokong oleh dua tokoh ini.

Para ulama pada masa itu telah bangun dalam menangani golongan ini.  Diantaranya pertemuan dua pihak yang telah dihadiri oleh Sheikh Ghazali Mufti Perak, Sheikh Abu Bakar al-Baqir dan para ulama lain bersama tokoh=tokoh kaum muda termasuk Abu Bakar dan Ibrahim sendiri.

Pertemuan itu berakhir dengan kegagalan Ibrahim Al aqidi menjawab beberapa soalan sehingga beliau jatuh dari kerusi dan meninggal dunia.

Selain itu, penulisan para ulama dalam menjawab serangan golongan ini antaranya ialah tulisan Sheikh Abdul Qadir al-Mindili berjudul SINAR MATAHARI BUAT PENYULUH KESILAPAN ABU BAKAR ASY’ARI  yang dicetak di Mesir pada muharam tahun 1379 hijrah iaitu beberapa tahun selepas kita merdeka.

Begitu juga tulisan Abu Qaniah dan Abu Zahidah bertajuk SENJATA SYARIAH dan dicetak pada 23 julai 1953  telah di tashih oleh Sheikh Abdullah Fahim, Ahmad Tuan Hussin Pokok Sena dan Hj Abdul Rahman Hj Abdullah Merbuk Kedah.

Semua ini adalah bukti betapa wujudnya gelombang Kaum Muda yang berpaksikan ajaran Wahhabi mula tersebar di Malaya sebelum merdeka lagi.  Bahkan dalam surat wasiat Sheikh Abdullah Fahim, Allahyarham juga mengingatkan orang-orang Islam di Malaya  agar berhati-hati dengan golongan Khawarij yang telah memasuki negara.

APAKAH CIRI-CIRI PENGIKUT WAHHABI INI?

Kalau di Mesir pengikut Wahhabi mudah dikenal melalui penampilan di  mana seorang yang kerap menyimpan janggut yang tebal dan dibiarkan tanpa didandan.  Mereka juga memakai jubah senteng iaitu pada separuh paras betis.

Di Negara kita penampilan begini tidak banyak tetapi simtom-simtomnya adalah seperti mengangkat takbir setentang dengan bahu, letak tangan di atas dada, menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tahiyyat, masyhur meninggalkan qunut pada solat subuh, tidak baca Bismillah dengan jahar (kuat), membesarkan kangkang lebih daripada  yang disepakati ulama, mengatakan bidaah untuk melafazkan niat, tidak ada perbezaan solat wanita dan lelaki.

Mereka juga konsisten tidak berwirid dan berdoa selepas solat.  Pengikut wahhabi menolak amalan ini  sebab Nabi (SAW) tidak melakukannya, jadi pada mereka ia adalah bidaah.

TENTANG LAUNGAN TAJDID INI ADAKAH BENAR-BENAR SATU PEMBAHARUAN?

Kerap kita mendengar laungan tajdid, yang berlmakna pembaharuan.  Mereka yang mengatakan apa yang menjadi amalan masyarakat islam adalah lapuk, berkulat dan bercendawan.

Amalan-amalan yang diamalkan sekian lama di Malaysia tidak bersandarkan nas-nas yang jelas daripada Allah dan RasulNYa.  Justeru itu mereka mengatakan perlu dikaji semula segala amalan ini yang disebut sebagai Tajdid!.

Di antara amalan yang disebut sebagai perlu ada tajdid adalah seperti berikut:

Bacaan Yasin di malam Jumaat, Tahlil Arwah, Kenduri Arwah, bacaan Quran di samping jenazah, baca Quran di kubur, bacaan Al-Fatihah bila jenazah keluar dari rumah dan haram membinkan Abdullah bagi mereka yang memeluk Islam.

Selain itu mereka menganjurkan tajdid untuk persoalan boleh memberi dan menjawab salam  daripada orang kafir, daging babi tidak najis, bersentuh dengan perempuan yang ajnabi tidak membatalkan wudhuk.

Wahhabi juga menganggap maulud itu syirik,, berzanji itu syirik, berdiri waktu selawat juga syirik, selawat yang tiada warid itu  dilarang, selawat tafrijiyyah itu syirik dan tahi ayam tidak najis.

Mereka juga menganggap bila bertembung Jumaat dan Hari Raya, gugur solat jumaat, tiada air mustakmal, boleh jamak dan qasar bila-bila masa tanpa mengira dari sudut marhalah selain sifat 20 tiada sunnah dalam mempelajari tauhid.

Tauhid yang sunah itu, tauhid tiga iaitu :

Rububiah, Uluhiah dan asma’ wa sifat.

Taklid pada ulama mujtahid dilarang dan ada yang mengatakan taklid buta.  Mereka juga menuduh Imam Ghazali banyak meletakkan hadis palsu dalam Ihya’ Ulumuddin sementara Ibnu Batutah ialah ahli sejarah yang tidak boleh dipegang dan tawassul dan tabarruk itu syirik serta banyak lagi.

ADAKAH PENGIKUT WAHHABI INI TERMASUK DALAM GOLONGAN MUSYRIK ATAU SEBAGAINYA?

Di dalam akidah ASWJ kita diajar supaya bersikap tidak membudayakan sikap kafir mengkafir.  Walaupun telah jelas para ulama menggolongkan mereka golongan sesat, namun tidak mengkafirkan mereka.

Ramai dari kalangan ulama menggolongkan mereka sebagai ahli bidaah.  Namun Rasulullah (SAW) menegaskan di dalam hadisnya betapa golongan sesat itu dijanjikan neraka dan menjanjikan syurga kepada golongan ASWJ.

Terkadang golongan ini mendabik dada mengaku sebagai Ahli Sunah sedangkan hakikatnya ia satu pembohongan nyata. Telah terbukti aliran ini bertentangan dengan pengajian ASWJ.

Kita menyarankan kepada pengikutgolongan ini agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.


0 Responses to “Waspada ‘tajdid’ Wahhabi”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: