16
Nov
09

Takut hantu wahabi

ADA beberapa orang mencadangkan saya menyentuh sedikit apa yang disebut minggu lepas oleh seorang aktivis tarekat yang menulis mengenai penangkapan saya.

Bagi saya, adalah perkara biasa untuk ahli tarekat tidak selesa dengan saya kerana beberapa artikel saya sebelum ini turut mengkritik budaya meminggirkan rasional atau budaya taklid buta yang sering berlaku dalam banyak tarekat sehingga pengikut melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh ‘syeikh’ mereka tanpa bertanya lagi dalilnya.

Namun persoalan besar yang sering ditimbulkan siapakah ahli sunah wal jamaah? Oleh kerana jenama ini begitu laku, bahkan ia juga sering dijadikan senjata, maka banyak pihak mengisytiharkan jenama ini milik mutlak mereka dan sesiapa yang menentang mereka bererti terkeluar dari ahli sunah wal jamaah.

Mereka ini mengingatkan kita kepada Napoleon Banaparte yang berkata: “I am France and France is me“. Maka ramailah orang mendakwa ahli sunah wal jamaah, walaupun jika ditanya mereka apakah itu ahli sunah wal jamaah mereka meraba dan terpinga mencari jawapannya.

Atau jika diberikan jawapan, ia mempunyai kepentingan yang tersendiri. Sehingga kelompok tarekat yang sering mencetuskan dakwaan berbagai-bagai termasuk konsep ‘wahdatul ujud’ (kesatuan tuhan dengan makhluk) yang dilaungkan oleh Ibn ‘Arabi juga mendakwa mereka ahli sunah wal Jamaah.

Lebih sedih lagi, ada yang mendakwa “ahli sunah hanya yang ikut mazhab Syafie”. Kalau demikian, habislah terkeluar imam-imam lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad daripada kalangan ahli sunah wal Jamaah. Sehinggakan mereka yang tidak qunut pun dikeluarkan daripada ahli sunah wal Jamaah. Maka barangkali tiga perempat dari umat Islam ini terkeluar daripada ahli sunah wal Jamaah.

Padahal istilah sunah di sini merujuk sunah Nabi Muhammad SAW yang merangkumi penghayatan al-Quran dan sunah, maka ahli sunah ialah mereka yang menghayati hakikat ini. Sementara perkataan jamaah merujuk kepada para sahabat Nabi SAW dalam erti kata lain menghayati al-Quran dan sunah seiring dengan jalan yang ditunjukkan oleh generasi agung Islam iaitu para sahabat.

Sesiapa yang yakin bahawa al-Quran dan sunah adalah pegangan mereka sementara penghayatan para sahabat adalah panduan mereka, maka mereka adalah ahli sunah wal Jamaah (lihat: al-Mausu’at al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah, 40-54, WAMY). Maka dengan itu berbagai mazhab fikah sekalipun ada perbezaan pandangan mereka tidak dikeluarkan daripada ahli sunah wal jamaah.

Ini seperti kata ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 429H): “Maka termasuk dalam golongan ini mereka yang mengikut al-Imam Malik, al-Imam Syafi’i, al-Auza’i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Ahmad bin Hanbal, Ahli Zahir dan sekelian yang beriktikad dalam bab yang menggunakan akal berdasarkan prinsip-prinsip tauhid sifat. Mereka tidak mencampur-adukkan sedikit pun dengan bida’ah ahli hawa nafsu dan sesat”(al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, m.s 314-315, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Jika kita lihat di sini, mazhab Zahiri yang hanya berpegang kepada zahir nas sahaja dikategorikan sebagai ahli sunah, apakah tidak qunut, letak tangan atas dada ketika solat, tidak berwirid beramai-ramai selepas selepas solat terkeluar daripada ahli sunah?

Tauhid

Wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu wawancara menyebut antara ciri sesat itu mereka yang membicarakan pecahan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma dan Sifat. Namun dalam ciri-ciri ahli sunah wal Jamaah yang dikeluarkan oleh WAMY, bahkan sukatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sukatan sekolah negara kita dan kebanyakan universiti di dunia ini, itulah ciri manhaj kefahaman tauhid ahli sunah yang diajar.

Sejak saya sekolah rendah, dalam usrah, dalam buku akidah Presiden Pas, dalam buku sekolah kerajaan UMNO dan di negara-negara Arab, di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah itulah bentuk perbahasan akidah ahli sunah yang diajar. Hari ini wakil JAIS menyatakan itu bukan akidah ahli sunah bahkan dikaitkan dengan akidah penyembah berhala. Akhirnya, dikaitkan dengan wahabi. Kalau begitu telah lamalah kita semua wahabi.

Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah. Izinkan sekali lagi saya menyebut perkataan Prof. Hamka: “Kadang-kala dikatakan kaum muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah”. (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 66).

Daripada cerita tauliah pergi ke cerita wahabi. Setiap yang berbeza pendapat dengan mereka yang memegang kuasa agama dilabelkan wahabi.

Minggu lepas Pengarah JAIS menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid kerana mereka bagaikan wanita haid. Dalam keadaan ramai bukan muslim salah faham terhadap Islam, fatwa seperti ini dikeluarkan. Padahal pada zaman Nabi SAW para perwakilan muslim dan bukan muslim sama ada Yahudi, Kristian dan selain mereka masuk berjumpa Nabi SAW dalam masjid.

Mereka memahami Islam dari masjid dan berurusan dengan kerajaan Islam dalam masjid. Ini disebut dalam banyak hadis. Jika Pengarah JAIS itu memilih pendapat yang saya anggap tidak kukuh dan merugikan Islam di Malaysia dan saya memilih pendapat para ulama yang menyatakan bukan muslim boleh masuk ke masjid jika ada keperluan, adakah saya telah menjadi wahabi dan sesat?

Apakah pula jika satu hari Allah takdirkan saya berada di tampuk kuasa, maka pendapat beliau pula akan dihukum wahabi dan sesat? Rosaklah agama jika menjadi mainan hawa nafsu dan kepentingan!

Saya bukan peminat karangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115H). Saya suka dengan Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan jiwanya begitu dekat Ibn Taimiyyah (meninggal 728H). Begitulah juga saya. Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini.

Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan. Sekalipun saya bukan pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatah lagi, kesannya besar.

Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat wahabi ini akan mengheret Arab Saudi secara khusus dan beberapa negara Arab lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di Lebanon dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat. Ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang.

Baru-baru ini UIAM meraikan kedatangan tokoh ilmuwan terkenal ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki, Setiausaha Agung, Muslim World League dalam International Conference on Jurisprudence of Minorities in the Light of Maqasid al-Shariah.

Tokoh ini dalam tulisannya Mujmal I’tikad Aimmah al-Salaf memuji akidah dan perjuangan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, antaranya beliau menyebut: “Berterusanlah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab menyeru kepada akidah yang bersih dan bersinar. Dengan tauhid, beliau menentang syirik, dengan ilmu beliau menentang khurafat” (m.s. 105, Beirut: Muasasah al-Risalah).

Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menyebut dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: “Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah menjadi keutamaannya memelihara benteng tauhid daripada syirik yang mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya.

Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).

Seorang lagi tokoh fekah yang terkenal di zaman ini, yang banyak pandangannya dirujuk, Dr. Wahhab al-Zulaili menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya): “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikan), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.

Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih.” (Rujukan: Dr. Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Sekali lagi, seperti yang pernah saya tanya dahulu, apakah mereka semuanya wahabi kerana memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Apakah mereka jika berceramah di negara ini akan ditangkap kerana tiada tauliah dan tauliah pun tidak boleh diberikan kepada mereka kerana mereka ada unsur wahabi?

Dalam sejarah, akibat permainan golongan agama seperti ini al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah dijatuhkan hukuman oleh ulama pemerintah pada zamannya, al-Imam al-Bukhari juga sama. Wahabi telah menjelma bagaikan istilah hantu yang digunakan oleh orang tua-tua dulu untuk menakutkan budak-budak.

Maka, tidak pentinglah sama ada hantu itu wujud atau tidak di situ, tidaklah penting sama ada orang tua-tua itu pernah melihatnya atau tidak, tidaklah penting apa rupanya, yang penting kanak-kanak menjadi takut dan orang tua-tua dapat duduk selesa bersembang di meja kopi dengan gelak ketawa sampai ke pagi.


0 Responses to “Takut hantu wahabi”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: