03
Aug
10

Rejimen Keselamatan

Perintah pertukaran anggota telah di terima. Pada bulan Julai 1985, dari kursus Kelas 1 KD PELANDOK, aku ditukarkan ke Rejimen Keselamatan yang sekali lagi menumpang di Blok A2 setelah Lumut Garisen berpindah ke bangunan baru 6.2 sekali gus telah mengguna pakai nama asal KD MALAYA setelah berlaku perpindahan secara menyeluruh dari Woodlands. Ramai mempertikaikan kenapa aku boleh bertukar ke unit ini yang tiada kena mengena langsung dengan kepakaran Radar Plotter (RDP). Aku terima dengan hati terbuka kerana tempat ini juga boleh memberi satu pengalaman baru yang mendewasakan aku dalam melaksanakan kepelbagaian tugas.

Rejimen Keselamatan (sekarang Probos Tentera Laut (PROTELA)) ini adalah satu unit yang bertanggung jawab di dalam pengendalian keselamatan  pintu-pintu gerbang dan pos-pos strategic Pangkalan TLDM di seluruh Malaysia. Keseluruhan anggota-anggota terdiri dari anggota Cawangan Kelasi yang didominasikan oleh kepakaran Peperangan Permukaan Persenjataan (PPP).  Staf-staf sokongan adalah merupakan minoriti yang membantu kerja-kerja perkeranian.  Unit ini juga mempunyai sel pertukarannya sendiri yang mana bertanggongjawab untuk mengatur dan menyelaras penugasan anggota di semua penempatan. Pegawai Memerintahnya pada masa itu ialah Kdr Abu Hassan TLDM (telah bersara dan pernah bertanding sebagai ADUN Lumut atas tiket Semangat 46). Hampir di semua pos-pos atau pintu gerbang yang ada di Lumut telah aku rasai bertugas dalam suasana yang berbeza.

Lokasi Nyaman TLDM

Kitaran kedua iaitu pada 1985/1986 aku telah dihantar  bertugas di RNO Penang (Resident Naval Officer) yang terletak bersebelahan dengan Padang Kota  atau Fort Cornwallis atau Esplanade.

Pulau Pinang merupakan satu destinasi pelancongan walaupun ianya tidaklah seindah mana tapi ramai pelancong singgah di situ.  Lokasinya menghadap laut, Selat Butterworth agak  terkenal di Pulau Mutiara ini.  Ini adalah kerana Fort Cornwalis mempunyai kaitan dengan pendudukan Inggeris di tanah Melayu suatu ketika dahulu.  Padang kota adalah petempatan awal penduduk Pulau Pinang. Kapten Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di Port Cornwallis.  Kubu pertahanan telah dibina di Padang Kota dan beberapa meriam di bina.

Muncung meriam ini mensasarkan bot dan kapal yang melalui Selat Butterworth. Di Selekohnya terdapat sebuah rumah api yang sangat tinggi sebagai pedoman kepada kapal-kapal yang memasuki terusan ini. Padang kota menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati makanan popular Pulau Pinang iaitu nasi kandar ,pasembor dan cendol. Benteng dibina di tepi laut bagi menghalang hakisan ombak dan tidak sesuai untuk mandi manda.

Apa yang aku nak fokuskan sebenarnya adalah, bersambung dengan benteng dan menghala ke kawasan Pelabuhan, terdapat komuniti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertanggung jawab sebagai duta kecil TLDM di sebelah utara kepada kapal-kapal tentera laut asing yang berkungjung di Pulau Pinang.  Tempat ini dipanggil Resident Naval Officer (RNO) Penang.  Komposisinya 1 x pegawai sebagai RNO bersama keluarga dan beberapa orang anggotanya dari semua peringkat pangkat LLP, kerani awam,  penjaga stor senjata dan pemandu.  Di samping itu juga, terdapat anggota tambahan seramai 5 orang yang didatang khas dari Rejimen Keselamatan yang bertugas sebagai Kuarter Master secara giliran setiap hari (12 jam dan 1 hari off).

PPP Aspari, PPP Kamarudin, PPP Harizan, PPP Raanin (mereka berkhidmat cuma 13 tahun) dan aku yang agak luar kebiasaan dari kepakaran RDP bertugas sebagai anggota Rejimen Keselamatan.  Kami dari kalangan sekuriti ni kurang disenangi oleh warga sebenar RNO kerana kami tidak termasuk dalam komplimen mereka dan ‘tindak tanduk’ kami agak sukar dikawal oleh mereka.  Pada dasarnya kami tetap mengikut segala arahan dan Perintah Tetap RNO seperti mereka juga.  Punca kami jadi begitu adalah kami selalu di salahgunakan di dalam beberapa penugasan sedangkan kami di situ sebagai sekuriti tetapi disuruh akur segala budaya semasa di situ walaupun ianya agak bertentangan dengan konsep sekuriti yang sebenar.

RNO pada masa itu ialah Lt Kdr Tygarajah yang juga tinggal dalam kawasan tersebut.  Mungkin di atas faktor budaya kaum menjadikan kami tidak ‘ngam’ dengan mereka maka bermula lah episod yang berupa ‘sikap’ penentangan.  Perkara ini juga berlaku kepada krew tetap tetapi oleh kerana mereka merasa ‘nyaman’ bertugas di situ maka mereka lebih senang bersikap ‘pak turut’ (angguk sahaja, geleng tiada) kerana jika banyak songel nanti jangka hayat bertugas di kampong halaman sendiri (majoriti orang penang) tidak sempat cukup haul akan di tukar ke tempat lain.

Kelab Mabuk Arak

Di RNO Penang pada masa itu terdapat dua Kelab iaitu Kelab Ekslusif yang ahli-ahlinya terdiri dari orang-orang ternama dari golongan ahli-ahli perniagaan dan sebagainya.  Kebanyakan mereka dari kaum Cina dan India dan sering mabuk-mabuk setiap kali ada aktiviti clubbing.  Keahlian dan aktiviti ini juga mungkin dipengaruhi oleh RNO yang berbangsa India.

Satu lagi kelab ialah untuk kasta bawahan (kaum India) yang setiap malam datang dan mabuk-mabuk di bar yang tersedia.  Yang sedihnya penjaga bar adalah anggota yang beragama Islam sendiri. Yang jadi barua adalah kami sebagai sekuriti terpaksa buka pintu untuk mereka kerana ‘dasar RNO’ yang mendapat habuan dari jualan arak. Walaupun I/C mereka kami pegang, itu cuma sebagai syarat sahaja.  Sebab itu kami jadi budak ‘kurang ajar’ kerana tidak senang dengan aktiviti ini.  Harizan ‘dihantar pulang’ ke unit asal kerana banyak songel dengan menunjukkan sikap membantah dengan fenomena ini dan beberapa perkara lain.

Suka Duka

Dalam benci, ada juga seronoknya bertugas di RNO ni.  Sambil bertugas pun kami boleh cuci mata kerana ramai orang awam/pelancong yang lalu depan kami.  Kalau hari minggu tempat ini akan dipenuhi oleh pengunjung foreigner dan domestic.  Di luar  tembok pagar  adalah lot parkir.  Sebelah malam (kalau murah rezki) terserempak dengan adegan teruna dan dara yang berasmaradana dalam kereta. Dalam tempoh ini,  aku menaiki jinjang pelamin. Kami diijabkabul pada 2 Feb 1986. Kemudian pada hujung 1986 kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki .   Dalam pada seronok bertugas di sini,  2 kali juga di ‘charge’ di atas kesalahan melanggar disiplin.   Walaubagaimanapun hukumannya tidaklah sebesar mana.

Tempoh penugasan aku di sini lebih kurang 6 bulan sebelum dihantar kembali ke Ibu Pejabat Rejimen Keselamatan Lumut mengikut kitaran pertukaran semasa.

Selepas beberapa ketika aku kembali ke Lumut, aku sekali lagi digerakkan ke Pos luar kawasan.  Kali ini penugasan aku di bawah Rejimen Keselamatan ialah Stesen Komunikasi Parit. Pergerakan kali ini juga merupakan pilihan aku sendiri.  Lokasinya adalah di Tronoh yang pada masa itu belum ada apa-apa pembangunan.  Persekitaran yang masih dihutani belantara dan beberapa lokasi sedang dikenalpasti akan dibangunkan sebagai pusat pengajian.

Semasa bertugas di sini juga aku telah kehilangan bapa yang dikasihi kerana sakit. Oleh kerana perkhidmatan bas melalui lebuhraya timur barat sekali sehari, maka aku sekeluarga berkesempatan balik menziarahi sehari selepas jenazah dikebumikan. Al faatihah….

Sep 1987, anak aku yang pertama sudah berumur hampir 1 tahun tapi masih dihantui sawan tangisnya.  Dalam kesusahan aku dan isteri mencari penyelesaian, aku menerima kawat bertukar keluar ke KD KASTURI.  Seketika aku tidak dapat bayangkan bagaimana isteri aku akan berhadapan dengan keadaan sukar untuk menghadapi masalah seorang diri di satu lokasi yang serba jauh dari segala kemudahan.  Demi tugas, aku terpaksa akur dan patuh.

Pelancong juga suka datang bersembang...layannn

Mohammad Awang.  Rakan sekolah yang bertandang ke Padang Kota


Saleem Iklim (masa ni dia belum jadi recording artis lagi)


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Flickr Photos

IMG-20161114-WA0002

More Photos

Tetamu dihati

  • 67,645 hits

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 8 other followers

Facebook

Online

Pencapaian

Surat Khabar

Top Clicks

  • None

%d bloggers like this: