Pakatan Kenduri

Dalam entri yang lalu (Perniagaan kenduri) ada menyentuh tentang komitmen komuniti setempat apabila sesuatu kenduri diadakan. Entri kali ini mungkin lebih khusus kepada penglibatan jiran tetangga dan sahabat handai untuk menjayakan sesuatu majlis kenduri yang akan diadakan.

Tanpa pertolongan mereka-mereka ini, amat mustahil untuk menjadikan majlis ini berjalan lancar dan berkesan melainkan tuan rumah menggunakan khidmat cattering yang hampir 2 kali ganda penambahan kos.

Kumpulan ini dinamakan PAKAT atau PAKATAN yang mana satu kumpulan individu atau keluarga dalam komuniti setempat seakan berpesatuan berfungsi sebagai tenaga kerja untuk meringankan beban ahli-ahli semasa mengadakan kenduri samada kenduri kahwin, berkhatan atau pun kenduri kesyukuran yang bersekala besar.

Bukan sekadar tenaga yang berkonsepkan gotong royong ini sahaja diaplikasikan malah, ada PAKATAN yang mensyaratkan yuran dengan sesuatu jumlah tertentu dan diberikan kepada tuan kenduri pada masa tersebut.

Dalam kalangan ahli PAKATAN ini juga mengenakan sejumlah yuran untuk khairat kematian yang mana dikutip setiap kali berlaku kematian ‘di rumah’ ahli-ahli.  Kutipan ini bukan sahaja dikutip bila berlaku kematian dalam keluarga ahli malah sesiapa sahaja yang meninggal di dalam rumah ahli akan diberi sumbangan khairat ini untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh ahli-ahli untuk pengurusan jenazah.

Koordinasi tugas memang telah ditetapkan dengan perlantikan ahli jawatankuasa kerja semasa mesyuarat agong yang diadakan pada setiap tahun.  Pengagihan tugas ini adalah seperti Tukang masak nasi, Tuakang masak lauk, penyambut tetamu, tukang basuh pinggan dan mengurus semua persiapan seperti balai, khemah dan sebagainya.

Aturcara ini bermula sehari sebelum kenduri, hari kenduri dan selepas kenduri. Dari kerja-kerja menyembelih, melapah  daging dan penyediaan lauk-pauk lain, semuanya dilakukan secara bergotong royong dalam suasana yang penuh harmoni dan semangat muhibbah.  Pendek kata dalam majlis ini semua kerja akan dikelolakan oleh ahli-ahli PAKATAN.

Hari ketiga adalah hari mencuci segala perlalatan dan memulangkan balik ke dalam setor PAKATAN dengan jumlah yang mencukupi dan dalam keadaan bersih. Semua kerosakan akan ditangung dan mesti diganti oleh tuan punya  kenduri.

Semua peralatan kenduri adalah kepunyaan PAKATAN dan tidak dikenakan bayaran kepada ahli-ahli.

Natijahnya, walaupun sekarang ini trend cattering sudah mulai mengambil tempat, namun khidmat PAKATAN masih diperlukan terutamanya bagi ahli-ahli yang mementingkan penjimatan dan semangat ukhuwah dan silaturrahim yang kian pudar di dalam masyarakat.  Kebanyakan negeri  sudah luput semangat ini tetapi bagi komuniti di negeri Kedah, semangat ini masih dipertahankan.  Allahua’llam.

 

Kaum lelaki menyiang daging di awal pagi
Menetak tulang perlu konsentrasi dan kemahiran khusus
Peranan kaum ibu tunggak keberhasilan sesuatu majlis kenduri
salah satu menu yang hampir masak.
Gulai kawah
Salah satu menu daging segar yang siap dimasak
Nasi kukus Apollo memang sedap dimakan
Kaedah kukus ini nasinya lebih sedap
Tim basuh pinggan sedang bertugas

Leave a comment