Category Archives: peristiwa

Tragedi karamnya kd sri perak

Meski pun sudah 36 tahun berlalu namun peristiwa tenggelamnya KD SRI PERAK pada 8 Januari 1984 masih menggamit minat penulis membuat catatan untuk tujuan arkib. 

Pada masa itu, penulis sebagai pemerhati radar KD HANG TUAH (KDHT)  dalam misi pelayaran operasi bersama KD SRI PERAK (KDSP) dan KD SRI TRENGGANU (KDST) ke Malaysia Timur, menempuh gelombang besar yang berterusan sebaik saja melepasi Batu Puteh. 

Kami membuat monitoring kedua-dua kapal PC ini dengan lookout dan radar juga perhubungan melalui radio komunikasi. Kedua-kedua PC ini kelihatan tenggelam timbul melalui teropong menggambarkan cabaran dan penderitaan yang ditanggung oleh rakan seperjuangan tapi apakan daya, kami tidak dapat melakukan apa-apa di laut terbuka sedemikian melainkan meneruskan perjalanan menuju ke pulau-pulau berhampiran. 

Kalau tak silap saya, hari ke 3 pelayaran, barulah kelibat kepulauan Anabas kelihatan dan pemerintah mengambil keputusan untuk membuat recovery terhadap kedua-dua PC setelah bersauh. Setelah menentukan semuanya selamat yang mana 2 orang krew KDST yang sakit dipindahkan ke mother ship untuk menerima rawatan.

Sementara KDSP sebelum itu khabarnya telah memohon untuk meneruskan pelayaran ke Labuan secara solo.

Krew KDST yang sakit iaitu LK PPP Zabidi dan seorang lagi diberi rawatan di Sick Bay KDHT sementara krew KDHT LK 1 PBS Md Zain dan seorang lagi yang telah secara sukarela menggantikan krew KDST yang sakit. Mereka berdua ini yang meneruskan duty Quarter Master memandu kapal hingga ke Labuan secara bergilir-gilir.

Kami meneruskan pelayaran menuju ke Labuan. Keesokan harinya kami dimaklumkan oleh pemerintah bahawa KDSP telah hilang dan tidak dapat dihubungi. Operasi SAR secara besar-besaran telah digerakkan.

Situasi KDSP Dari Perspektif Pak Mail

Ismail bin Abd Aziz (Pak Mail) adalah salah seorang krew KDSP yang terselamat menceritakan pengalaman hidup mati di laut yang mana telah mengambil inisiatif membukukan kisah yang dilaluinya bersama teman seperjuangan yang terselamat semasa tragedi tersebut.

Bekas Laskar Kelas 1 komunikasi itu berkata, tragedi yang berlaku pada 08 Jan 1984 adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat.

Walaupun beliau telah meninggalkan dunia ketenteraan pada 1990 namun setiap detik cemas semasa tenggelamnya kapal itu dan pengalaman 78 jam atas pelampung menanti bantuan tiba masih segar dalam ingatan bagaikan baru saja berlaku.

Hari Kejadian

Pelayaran KDSP pada 06 Jan 1984 dari Pangkalan TLDM Lumut konvoi bersama KDST dan KDHT ke Labuan. Pak Mail adalah di antara 29 anggota dan pegawai di atas kapal malang itu dan beliau bertugas sebagai anggota Komunikasi Radio.. 

Menurut Pak Mail, sebahagian daripada anak kapal KDSP adalah muka baru termasuk beliau sendiri yang melapur diri di atas kapal itu pada 25 Dis 1983. KDSP berada dalam keadaan baik untuk melakukan pelayaran kerana  baharu sahaja selesai menjalani penyelenggaraan di limbungan Kuala Terengganu. 

Pada 7 jan 1984, konvoi singgah di Malaysia Base Jetty (MBJ) di Woodland Singapura untuk bermalam sebelum belayar ke Labuan pada keesokannya bagi siri latihan untuk pegawai kadet baru TLDM. 

Namun ketika berada di Laut China Selatan iaitu antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak,  KDST yang berada di belakang KDHT menghadapi masalah teknikal menyebabkan konvoi berpecah dua. 

KDSP yang berada paling belakang diarah menuju ke Labuan secara sendirian sementara KDHT terpaksa mengiringi KDST untuk menghulurkan bantuan. Ketika itu ombak kuat menghempas kapal hingga anak-anak kapal susah untuk beristirehat atau tidur serta jarak pemandangan yang terhad.

Akibat hempasan ombak yang terlalu kuat itu lah dipercayai hatch atau penutup keselamatan atas geladak hadapan kapal renggang menyebabkan air laut memasuki kapal sedikit demi sedikit.

Detik Cemas

Ketika itu tiada siapa pun yang menyedari air laut telah memasuki kapal dan sekitar jam 1630H Pak Mail yang berada di buritan kapal dikejutkan dengan teriakan berkali-kali dari atas geladak yang menyuruh semua anak-anak kapal yang berada di geladak bawah naik ke atas. Kapal berukuran kira-kira 30 meter panjang itu sudah mula tenggelam.

“Saya pergi ke bahagian hadapan dan mendapati air telah naik sehingga paras betis. Saya kembali ke Comcen dan terus menghubungi stesen radio Markas Armada namun tidak berhasil”.  katanya.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memaklumkan apa yang berlaku dan Pak Mail turut mencuba membuat panggilan MAYDAY namun tetap tidak berhasil.

“Dengan dibantu Ibrahim saya terus mencuba untuk berhubung menggunakan radio tetapi tiba-tiba radio GSB 800 kami senyap, kerdipan lampu pada radio terpadam dan radio itu tidak lagi berfungsi”.  Cerita Pak Mail.

Memandangkan haluan kapal semakin tengelam dan keadaan bertambah cemas, pemerintah kapal mengarahkan semua anak kapal berkumpul di geladak buritan. Pelbagai perasaan bermain dalam fikiran Pak Mail pada waktu itu.

Menyedari kapal tidak lagi boleh diselamatkan anak kapal dan pegawai bersiap sedia menerima arahan selanjutnya daripada pemerintah kapal dan mereka diarahkan untuk membawa senjata masing-masing beserta peluru dengan 2 kelopak sahaja setiap anggota bagi kesiagaan mereka ketika berada di dalam pelampung keselamatan di tengah laut. 

Pegawai memerintah memaklum kan satu daripada dua pelampung penyelamat di bahagian haluan telah hilang dipukul ombak.  Atas inisiatif LKRDP Bakar Satiman dan LK 2 Mokhtar mereka memotong tali yang diikat pada pendakap dan mencampakkan pelampung keselamatan ke laut. Haluan kapal ketika itu tenggelam 45 darjah menyebabkan ada anak kapal menggelongsor dan terpaksa berpaut pada mana-mana besi untuk menyelamatkan diri dan ada juga yang terjatuh ke laut. 

“Ia berlaku terlalu pantas dan kami terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri. Pelampung penyelamat yang dicampakkan kelaut terbuka dengan baik dan kami terus  berenang menuju ke pelampung”. Katanya yang sempat melihat kapal itu tenggelam sepenuhnya di tengah lautan pada kira-kira jam 1700H. 

Mayat Rakan Hanyut Di depan Mata

Ismail berkata, ketika berada dalam pelampung mereka melihat tiga daripada rakan dalam air yang langsung tidak bergerak dan berkemungkinan meninggal semasa tergelongsor ke dalam laut.  Mereka ialah Pegawai Laksana Mohd Fuad, LK2 Sharani  dan Mokhtar Amir Nawi.

“Kami teramat sedih melihat mayat rakan yang terapung itu sambil menangis dan mendoakan agar mayat mereka ditemua serta roh mereka ditempatkan bersama orang yang beriman. Kami tidak dapat mengambil mayat mereka kerana muatan pelampung telah tidak mengizinkan”.  

Tambah Pak Mail lagi, keadaan ombak yang kuat dan tinggi menolak pelampung dengan kuat mengikut arah angin sehingga dalam beberapa minit sahaja ketiga-tiga rakan itu hilang dari pandangan. Bersyukur kerana kejadian itu berlaku pada petang kerana masih siang jika malam mungkin lebih ramai lagi yang menjadi korban.

Pelampung penyelamat yang hanya boleh menampung 15 orang kini menampung 26 orang dalam keadaan berhimpit himpit dengan masing- masing berada dalam posisi yang sama sepanjang masa.

Peralatan survival yang terdapat dalam pelampung penyelamat itu seperti air tin, biskut, alat memancing dan beberapa bahan lagi di kongsi bersama-sama. Ketika itu air menjadi keperluan yang amat penting.

“Dengan jumlah yang ramai, bekalan tidak mencukupi jadi, kami banyak bergantung kepada air hujan untuk diminum sepanjang 4 hari 3 malam ditengah lautan” ujar Pak mail.

 Penantian Dan Pengharapan

Cerita Pak Mail lagi, semasa terapung di laut tanpa arah, masa berlalu dirasakan amat perlahan. Pada malam pertama itu mereka melihat satu cahaya terang jauh di ufuk iaitu sebuah kapal dagang yang bergerak seakan menghampiri mereka. Pak Mail menembak Flare untuk  menarik perhatian kapal tersebut sambil rakan-rakan lain menjeri-jerit minta tolong. Tetapi mungkin disebabkan alunan ombak yang kuat, ditambah kegelapan malam, sukar bagi kapal itu melihat pelampung mereka yang kecil di lautan yang luas dan mereka hanya mampu melihat dengan kecewa kapal itu berlalu.

Masuk hari kedua dan ketiga di tengah lautan kekuatan hati mula tercabar dan  masing-masing mula merasa bimbang akan nasib yang bakal menimpa sekiranya bantuan tidak juga datang.

Dengan kaki yang kejang kerana tidak boleh bergerak dan berlunjur dalam keadaan berhimpit himpit itu serta tidur yang hanya sekadar melepaskan pedih di mata cukup mencabar emosi dan fikiran ketika itu. Bekalan makanan yang ada di dalam pelampung juga semakin berkurangan. Masing-masing sudah mula bersuara meluah kan kebimbangan ada yg merintih meluahkan rasa sedih sekiranya ajal datang terutama yang telah ada keluarga. Smua itu sukar untuk diungkap kan ketika itu. Tambahnya lagi.

 Bantuan Tiba

Pada hari keempat, (11 Jan) mereka berdepan dengan masalah baru, pelampung itu semakin kekurangan angin membuatkan perasaan bertambah bimbang.

Menjelang tengah hari hujan sederhana lebat turun dan dengan air hujan itu ditadah untuk diminum.

Selepas hujan berhenti, tiba-tiba mereka terdengar deruan enjin yang kuat di udara dan melihat sebuah pesawat jenis AP-3C ORION milik Tentera Udara Australia terbang rendah. Pesawat itu adalah daripada pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat KDSP. Pak Mail berkata, beliau dan semua yang berada di dalam pelampung melambai-lambaikan tangan ke arah pesawat  itu dan ketika itu kegembiraan jelas terpampang pada raut wajah masing-masing malah ada yang menangis menjerit kesyukuran termasuk dirinya.

Pesawat tersebut  membuat satu pusingan dan kembali semula sambil melepaskan tembakan flare di empat penjuru pelampung kami untuk menandakan lokasi. Kemudian juruterbang membuat pusingan sekali lagi dan menjatuhkan bungkusan plastik berisi makanan dan minuman sebelum berlalu, katanya. Satu jam kemudian iaitu lebih kurang 1700H, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh tiba untuk mengambil kesemua yang terselamat.

Beliau berkata ada di antara anak kapal yang terpaksa dipapah naik ke atas kapal kerana lemah dan kejang kaki. Kesemua mereka kemudiannya diberi layanan dan makan minum di atas kapal itu sebelum mereka diambil pula oleh kapal KD Mahawangsa untuk diberikan bantuan sewajarnya.

Keesokan harinya (12 Jan), dua buah helikopter Nuri TUDM membawa mereka ke Kuching sebelum menaiki pesawat Hercules C130 TUDM menerbangkan mereka ke Ipoh. Mereka disambut oleh Panglima Tentera Laut ketika itu Laksamana Madya Datuk Mohd Zain Mohd Salleh dan pegawai-pegawai kanan lain.

Usaha mencari dan menyelamat  3 orang yang lemas dilautan terus dijalankan namun mereka gagal ditemui sehingga kini.

“Demi sebuah kedaulatan negara ini kami rela berkorban demi mu Malaysia”. Pak Mail mengakhiri ceritanya.

Perwira Tidak Didendang

Tiada istilah menyerah kalah sebelum berjuang. Sebagai anggota tentera laut, ship is their home and sea is their play ground adalah merupakan sumpah keramat mereka. Berpantang maut sebelum ajal. Panggilan pertiwi adalah misi yang mesti diteruskan meski pun terpaksa mendepani risiko yang tidak diundang.  Mereka-mereka ialah:

  1. Lt Chandran a/l Mathavan TLDM – Pegawai Memerintah
  2. Lt Dya Fuad bin Isnin TLDM – Pegawai Laksana
  3. Lt Dya Zainin bin majidTLDM – Pegawai Navigasi
  4. Lt Dya Abdul Rahim TLDM – Pegawai Penyelaras Kadet KDP
  5. PKK Sazalee bin Shoib
  6. PKK Ahmad Lahmi bin Abdullah
  7. PKK Mokhtar bin Amir (hilang)
  8. PKK Robert Teh Geok Chuan
  9. PKK Abdul Rahman bin Ayob
  10. BM JGN Abdul Wahab (Juragan)
  11. BM TMK Mohd Nor (Ketua Bahagian Teknikal)
  12. LK RDP Bakar bin Satiman
  13. LK TLR Ibrahim
  14. LK TMK Mohd Zain
  15. LK1 PPP Mokhtar bin Abu Bakar
  16. LK1 KMR Ismail bin Abdul Aziz
  17. LK1 TLS Muzaffar bin Ahmad
  18. LK1 TMK Yahya bin Ibrahim
  19. LK1 Roslim bin Yatim
  20. LK1 TMK Abd Rahim bin Ahmad
  21. LK1 KMR Abu bin Ibrahim
  22. LK1 PPP Mangkau a/k Lingau
  23. LK1 BDI Abu Hassan
  24. LK1 RDP Guna Sekaran
  25. LK  PPP Ahmad bin Hamid
  26. LK1 RDP Mazlan
  27. LK2 TLS Baharuddin
  28. LK2 KMR Anor
  29. LK2 PWP Saharuddin bin Saarani (hilang)

Al-fatehah ….. Semuga roh mereka yang terkorban sentiasa dicucuri rahmat dan digolong dalam orang yang mati syahid.

My Travelog – KERANA JASA KEPADA MALAYSIA

Dalam main-main isi nama dalam grup whatapps, akhirnya dalam masa tak sampai sebulan pun perancangan dibuat oleh pihak Persatuan TLDM Manjung menjadi kenyataan.

Aku bergegas ke Lumut pada 23 Mac untuk tujuan penerimaan pingat PJM dan pada 24 Mac 2018, kami seramai 231 orang veteran ATM dari pelbagai cawangan PVATM dan PBTLDM telah diberi anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Dipendekkan cerita, PJM ni dianugerahkan kepada Veteran ATM yang pernah berkhidmat dan berada dalam kawasan operasi secara berterusan dalam tempoh dari zaman darurat kedua sehinggalah kepada tarikh perletakan senjata Parti Komunis Malaya pada tahun 1989 dan Parti Komunis Kalimantan Utara pada 1990.

Lt Kdr Md Zain dan Rohaizad Warant Officer TLDM

Skot 146 yang sama2 menerima PJM

Laksma Ruzelmi

Laksamana Tan Seri Ahmad Kamarulzaman PTL

Salam Syawal 1438/2017

Assalamualaikum…Salam 1 Syawal.

Seperti biasa lah, saya akan mengabadikan gambar- kenangan sepanjang 3 hari berhari raya bersama saudara-mara, jiran tetanga dan rakan taulan yang datang beraya di Laman Dihati kami Kampong Paya Chegar, Jitra.

Raya kedua