Category Archives: Riwayat Hidup fasa 1

artikel part 1 hingga 9

Kenangan Masjid Negara

MASJID Negara bakal menyambut sambutan Jubli Emas selama tiga
Masjid negara terkini. (kredit foto Utusan online). 

Alhamdulillah 2015 merupakan tahun Jubli Emas Masjid Negara.  Bermakna Masjid Negara berusia 50 tahun dah. Masjid kebanggaan negara. Mengikut catatan, Masjid Negara dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965. Masjid ini dilihat sebagai lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.  Bermakna Masjid ini dibina 2 tahun selepas tahun kelahiranku. Kalau anda nak tahu lebih tentang Masjid Negara bolehlah google mana-mana website seperti wiki https://en.wikipedia.org/wiki/National_Mosque_of_Malaysia dan lain-lain portal yang bercerita lebih detail. http://www.masjidnegara.gov.my/jubliemas/index.php

Yang aku nak kongsi di sini cuma kenangan aku sekitar akhir tahun 1970an takkala aku baru habis mengaji sekolah menengah. Merantau la konon ke Kuala Lumpur. Tinggal bersama abang di Berek polis bujang berhadapan Stadium Merdeka.

Makan tanggung berak cangkung bak kata orang.  Malam-malam menapak ke Benteng (la ni dah jadi Pasar Seni) dan lepak di benteng melayan penjual-penjual ubat seperti Khalid Salleh yang menjual maajun Sirna Bayu sambil bersajak.

Berbalik kisah Masjid Negara ni, sepanjang aku tinggal di Berek bujang polis tu, setiap kali Jumaat aku menapak la ke Masjid tu untuk bersolat Jumaat. Jauh jugak la kalau dinisbah dengan umur la (50an) ni memang tak larat nak berjalan. Tetapi masa tu umur sekitar 18 tahun, tak lah rasa penat kalau setakat berjalan kaki sejauh +- 1 km tu. Ya lah terkebetulan kot bekal iman tu ada sikit di dada, so keinginan untuk menunaikan fardhu Jumaat tu kuat.  Kalau yang kurang iman tu Masjid depan rumah pun tak berdaya jugak nak sampai kan?.

Ciri lama dan moden
ruang solat berciri moden (kredit foto:astro awani)

Apa pun syukur aku kepada Allah kerana sepanjang perjalanan hidup ini, DIA campak aku ke daerah ini bagi mematangkan kehidupan serta menjadikan tempat-tempat yang bersejarah ini sebagai koleksi album kehidupan.

Bersyukurlah kita jadi rakyat Malaysia….

Armada TLDM era pra pembangunan di awal 80an tidak banyak mempunyai aset yang canggih.  Flotila Serang hanya boleh dibanggakan dengan skuadron FAG (G) dan FAC(M) sahaja.  Kapal Frigate cuma ada KD HANG TUAH dan KD RAHMAT manakala Flotilla Bantuan terdiri dari kapal-kapal lama yang dipindah milik seperti KD SERI LANGKAWI, KD BANGI dan  KD RAJA JAROM.

Bertugas di KD HANG TUAH pada waktu itu sudah dikira terbaik kerana kapal ini saja yang sering ditugaskan untuk lawatan operasi  ke luar negara yanga mana negara-negara yang sempat aku lawati ialah Singapura, Indonesia, India, Korea dan Hong Kong yang masih di bawah jajahan British.

Pada 1983, KD HANG TUAH telah membuat lawatan operasinya ke Bombay India selama 5 hari.  Di samping itu juga perancangan telah diatur untuk membaiki Meriam ‘A’ (4 inci) yang sudah sekian lama menjadi ‘tukun darat’ di Foxle  KD HANG TUAH.

DSC_0244-1
Berdiri dari kiri:..Ro Ridzuan, RO Mat Johar, arwah PBS Mazlan, Coxn Ahmad, midshipmen…
Duduk dari kiri:… Midshipmen… , saya dan Midshipman Lee

Bukan kisah A gun HANG TUAH yang aku nak kongsi dalam ekspresi kali ini tetapi satu sketsa kehidupan yang sempat aku rakam dalam memori setelah 30 tahun berlalu.  Kisahnya berkisar kepada seorang tua gelandangan yang merempat di kawasan pelabuhan Bombay tempat kami bertambat.

Beliau berasal dari Indonesia mengikut ibunya ke Bombay setelah berkahwin dengan lelaki warganegara India sejak umurnya  masih kanak-kanak lagi.  Semasa beliau berumur 9 tahun ibunya meninggal dunia dan dia di bela oleh bapa tirinya.  Tak lama selepas itu bapa tirinya pula meninggal dunia.

Maka sebatang karalah orang tua ini meneruskan hidup zaman remajanya dengan bekerja  sekadar untuk mengisi alas perutnya sahaja.  Kadang ada kerja dan banyak masa yang beliau tidak berkerja mengikut ceritanya yang masih boleh bertutur dalam bahasa Indonesia.  Katanya , kalau bekerja pun pendapatan sekadar 5 rupee (RM1.00) sehari pada masa itu.  Begitulah jalan hidupnya melarat sepanjang hayat.

Di pelabuhan Bombay di tempat KD HANG TUAH berlabuh merupakan kawasan rekreasi di tepi laut.  Di gangway  telah disediakan tong sampah crew kapal membuang sampah.  Setiap kali kami turun untuk membuang sampah, ramai gelandangan datang menunggu  untuk menafaatkan sisa-sisa yang dibuang.  Nasi-nasi lebihan yang dibuang bersama sampah lain mereka ambil dan membuat pengasingan.  Nasi itu diayak, diasing dan dibersihkan semula untuk  dikitar semula sebagai makanan pengalas perut.

Terharu kami melihatnya tentang kesusahan dan kemiskinan golongan kasta rendah yang hidup di dalam sebuah negara yang rakyatnya mempunyai kepakaran dan kemahiran teknikal yang tinggi tetapi lemah dari segi pentadbiran.

DSC_0247-1
Kiri: PJT Zainal

Peminta sedekah bermaharajalela di seluruh bandaraya, bayi-bayi yang baru dilahirkan tidak mendapat perlindungan sewajarnya dan kebuluran adalah fenomena biasa .  Ibubapa memanipulasikan anak-anak kecil mereka sebagai bahan penarik kesihan belas orang ramai dengan melakukan pelbagai aktiviti..…

Hakikatnya di negara kita pada zaman yang sama, rakyatnya tiada yang kebuluran dan kanak-kanak  bebas bermain dalam keadaan perut yang kenyang.

Menyedari hakikat ini wahai rakyat Malaysia, mari lah kita bermuhasabah dan membuat perbandingan dan bersyukurlah dengan kemakmuran yang Allah kurniakan kepada kita.  Jangan pula kita jadikan kemakmuran dan keharmonian ini sebagai medan untuk memecahbelahkan perpaduan …..insaflah!!!

Ekspresi

Rumah kasut di Bombay
Rumah kasut di Bombay

Baik buruk manusia adalah bukan kerana bangsa…

Tentunya semua masih ingat tentang kejadian pencerobohan lebih 150 orang pengganas dari selatan Filipina yang mendakwa sebagai Askar Diraja Sulu dan berlindung di Kampong Tanduo, Felda Sahabat 17 Lahad Datu Sabah.

Pencerobohan berdarah pengganas di Lahad Datu yang bermula sejak 12 Feb 2013 lalu telah membuka mata banyak pihak terutamanya masyarakat terbanyak dalam negara yang sebelum ini tidak ramai yang  tahu tentang kewujudan etnik atau masyarakat Suluk di Sabah yang mana juga lebih dikenali dengan panggilan Tausug di Selatan Filipina.

Masyarakat Suluk sudah lama bertapak di Sabah dan dipercayai sehingga kini sudah beberapa generasi telah menjadikan Sabah sebagai penempatan yang pada awalnya kehadiran mereka untuk berniaga dan berkahwin dengan warga tempatan dan terus menetap sehingga pembentukan Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia sekaligus menjadi warganegara Malaysia secara automatik. Dianggarkan lebih 300,000 orang masyarakat Suluk yang sudah menjadi warganegara Malaysia di seluruh Malaysia.

Sebenarnya bukan aku nak cerita kisah pencerobohan ini tetapi di sebalik nama-nama kawasan ini seperti Tanjong Labian, Tawau dan Lahad Datu itu sendiri memang pernah aku kunjungi pada suatu ketika dahulu terutamanya semasa bertugas di KD LEMBING pada 1982 dan KD SERI SARAWAK awal 90an.

Terutamanya Tanjong Labian yang waktu itu adalah masih berhutan rimba.  Kami warga skuadron PC TLDM sememangnya tidak asing lagi dengan tempat ini.  Pak Mail menjadi ikon kepada kami sebagai seorang pemburu yang handal.  Pendeknya jika kami ingin makan daging binatang buruan, bersauh je di  Tanjong Labian, keesokan harinya dapatlah habuan.  Biasanya kami guna sistem barter masa berurusan dengan Pak Mail.  Kami beri bahanapi,dan makanan mentah untuk ditukarkan dengan daging seperti rusa, kijang, pelandok dan lain-lain.

Diringkaskan cerita semasa bertugas di KD LEMBING, kapal ini banyak stand off di Tawau.  COnya adalah Lt Hadi Rashid ( sekarang Laksdya Dato FOC ), XOnya ialah Lt Dya Anuwi Hassan (Sekarang Laksda Dato Markas ATM).  Dalam kesempatan yang ada aku dan PPP Rosli Awe (sama-sama OJT) selalu window shopping di Bandar Tawau.  Sebut On Job Training, bermakna aku dan Rosli hanya baru setahun dalam perkhidmatan TLDM termasuk 6 bulan di Latihan Rekrut dan 6 bulan dalam kursus Asas Kepakaran Kelas ll.

Di sebuah kedai sukan, H.Mohamed Sports ada seorang awek cun bernama Siti Rokiah (namun aku tidak begitu pasti Siti Rokiah ini dari keturunan Suluk atau tidak). Datuknya berasal dari selatan Filipina dan bapanya juga kelahiran Filipina tetapi sudah berhijrah ke Tawau sejak dari kecil mengikut bapanya.  Mereka tinggal di Perkampongan Air di Tawau yang mana kebanyakan penduduk di Perkampongan ini adalah berketurunan dari selatan Filipina (mungkin Suluk?)

DSC_0231
1982-Sudah menunjukkan ciri2 wanita moden

Terkebetulannya oleh kerana kami terlalu kerap ke kedai Sport tersebut maka secara tidak langsung kami ‘bersahabat’ baik dengan Siti Rokiah.  Sehinggakan pada suatu masa aku saja berseloroh untuk bertandang ke rumahnya dan tidak ku sangka telah mendapat respon positif.

Akhirnya jadi jugak aku dan Rosli bertandang ke rumah Siti Rokiah di Perkampongan air tersebut pada jam 5.00 petang selepas habis waktu kerja Siti Rokiah.  Masa tu tengah darah muda, bukan ingat takut atau seumpamanya walaupun kami faham sentimen orang Sabah yang tidak sukakan orang Semenanjong masih lagi menebal.  Perinsip aku ialah kita tak perlu takut jika kita tidak membuat apa-apa kesalahan dengan orang…

Dalam perjalanan masuk ke Perkampungan Air  tersebut yang berupa titian penghubung antara jalan masuk dan antara satu rumah ke satu rumah.  Kami perasan ada sekumpulan anak-anak muda berkumpul di laluan masuk sedang memerhati kami namun oleh kerana kami masuk dengan mengekori Siti Rokiah, maka tidaklah rasa begitu cuak sangat.

Semasa bertamu, kami berdua ditemani oleh Datuk dan bapa saudara Siti Rokiah. Datuknya merupakan seorang ahli agama dan tentunya sangat disegani oleh komuniti di situ.  Layanan mereka dalam pertemuan singkat pertama kali itu memberi gambaran kepada aku bahawa keluarga ini adalah orang baik-baik.

Dalam bersembang sambil minum petang itu bapa saudara Rokiah telah memberi tahu yang kelmarin ada satu kejadian pertumpahan darah berlaku di kampong tersebut. Dua orang pemuda bergaduh dan seorangnya parah ditikam kerna berebut seorang wanita.  Mengikut cerita bapa saudara Rokiah lagi, di kawasan itu sering berlaku pergaduhan.  Siti Rokiah yang duduk di sebelahku berbisik…. “Pergaduhan itu sebenarnya adalah berpunca kerana berebut dirinya”….. Hatiku berkata…”Tak hairanlah kerana Siti Rokiah memang seorang wanita yang agak cantik”..

Aku memandang Rosli, kerana waktu sudah lebih kurang jam 6.30 petang bermakna sudah masuk waktu maghrib.  Rosli yang terkelu tidak berkata apa-apa dan mengia saja bila aku mengajak pulang.  Bapa saudara Siti Rokiah menenangkan kami bila melihat riak kami yang agak suspen dengan penjelasannya dan meminta Siti Rokiah menemani kami keluar dari perkampungan supaya ‘keselamatan’ kami lebih terjamin.   Alhamdulillah kami keluar dengan selamat…

Setelah 30 tahun berlalu, kisah ini tersimpan dan baru terasa ianya mempunyai nilai yang tersendiri setelah bermacam-macam kisah yang tersiar di media-media berkaitan keperibadian orang-orang Suluk ekoran peristiwa pencerobohan di Lahad Datu.

Jika ada sesiapa yang terbaca coretan ini yang mengenali Siti Rokiah yang saya maksudkan…sampaikan salam takzim saya untuknya. Sebuah nostalgia yang mendewasakan kehidupan kami sebagai perantau.  Sesungguhnya umat islam itu bersaudara. Allahuallam.